Laksamana, Ke Mana Kamu Berlayar?

4730
views

Di dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan bahawa ada seorang Laksamana yang tidak dinamakan berada di Melaka semasa Portugis (ditulis sebagai Feringgi di dalamnya) mula berkonflik dengan Melaka. Ini dapat dilihat dari petikan di bawah;

“Bermula bendahara dan temenggung dan laksamana dan segala pegawai dan menteri pun berbicaralah. Maka kata seorang, “Baik kita persembahkan raja, jangan diberi (akan kemahuan Feringgi), kerana Feringgi orang jahat.” Maka kata seorang pula, “Biarlah, apanya hendak jadikan sangat tanah di bidang belulang itu?” Maka dengan demikian rialnya bertimbun-timbun itu diterima oleh rajalah dimasukkan ke dalam gedung.” (ms 589)

Seorang watak Laksamana juga disebut di dalam Hikayat hang Tuah di dalam petikan berikut;

“Maka dalam berbuat itu bendahara dan temenggung dan laksamana pun berbicaralah menyembahkan raja suruh orang pergi tahani jangan dibuat gedung itu, kerana luas sangat tanahnya, kerana janji raja dengan kapitan (Feringgi) sekadar sebidang belulang juga luasnya diberi raja itu.” (ms 589)


Namun, tiada satupun perkataan “laksamana” dijumpai ketika serangan subuh Portugis ke atas Melaka berlaku.

Namun demikian, “laksamana” muncul selepas Portugis berjaya menawan Melaka dan gerombolan Sultan Melaka berundur keluar dari Melaka, laksamana yang dinamakan sebagai Tun Nadim disebut;

“Syahadan Bendahara Tun Mat dan Temenggung Tun Karim dan Laksamana Tun Nadim dengan segala menteri pegawai orang-orang besar Melaka itu, tatkala sudah selesai daripada lari musuh Feringgi itu, maka ia pun menghimpunkan segala rakyat barang yang ada itu dibawanya berjalan bersama-sama. Bermula berjalan itu lantas ke hujung tanah yang bernama Johor.” (ms 591)

Sulalatus Salatin selenggaraan A. Samad Ahmad pula memang tidak ada langsung menyebut tentang keberadaan “laksamana” ketika sebelum atau semasa serangan Portugis ke atas Melaka, namun kali pertama dan terakhir disebut mengenai seorang laksamana ialah ketika Sultan Ahmad telah bernegeri ke Johor selepas lama Melaka jatuh ke tangan Portugis;

“Hatta berapa lamanya baginda di Pahang, lalu berangkat ke Johor, duduk di Pekan Tua, membuat kota kara; maka sembah segala rakyat, “Tuanku, jauh amat ke hulu negeri ini.” Maka baginda pun lalu ke Bintan bernegeri di sungai Bukit Batu Pelabuhan namanya. Sultan Mahmud Syah diam di Tebing Tinggi, Laksamana Khoja Hassan duduk di Pantar.” (ms 271)

Ini berbeza dengan catatan di dalam “Portuguese Documents on Malacca from 1509 to 1511” yang menyatakan bahawa Laksamana yang memimpin Armada Laut Melaka ketika itu tidak sempat pulang membantu mempertahankan Melaka kerana sedang belayar di perairan Melaka berkemungkinan melayari sempadan empayar Melaka ketika itu melalui laut. Tulisan tentang Sultan Mahmud menghantar utusan bagi menyampaikan isyarat kecemasan juga ‘battle order’ kepada “Laksamana” ditulis seperti berikut;

He (Sultan Mahmud) quickly sent a message to his Laksamana, the admiral of his fleet, which was sailing along the coast, to come to Malacca and attack Portuguese fleet, taking it by surprise, and set it on fire. Some of his naval boats were in the river beyond the bridge. They were ordered to attack the Portuguese from in front, and to leave no Portuguese alive.” (ms 319:108)

Selepas kejatuhan Melaka, Albuquerque sendiri mendapat maklumat berikut;

“Albuquerque received news that the Laksamana was close to Malacca with his fleet. In addition the ruler of island of Lingga, a vassal of the Sultan and a very valiant man, was coming to the aid of the Sultan. However, when they learnt that the Governor was already in occupation of Malacca, they turned back.” (ms 351:255)

Jadi, timbul persoalan menarik untuk difikirkan pembaca seperti berikut;


1. Siapakah “Laksamana” yang sebenar semasa serangan Portugis ke atas Melaka?

2. Adakah wujud beberapa orang Laksamana yang bertugas semasa Portugis menyerang Melaka?

3. Jika Tun Nadim adalah Laksamana yang tinggal diam di Melaka ketika itu, siapakah pula Laksamana yang sedang pergi belayar semasa Portugis menyerang Melaka?

4. Kemana sebenarnya Armada Laut Melaka belayar jika benar dari rondaan sempadan bergegas pulang ke Melaka kemudian mereka berpatah balik selepas mengetahui Melaka telah ditawan Portugis?

5. Jika benar Armada Laut Melaka berundur, adakah armada ini membantu melindungi dan memudahkan pengunduran Sultan keluar dari Melaka hingga bernegeri di Johor, misalnya?

Banyak lompang dan titik-titik yang perlu disambungkan. Anda ada jawapan?

RUJUKAN:

  1. Hikayat Hang Tuah, selenggaraan Kassim Ahmad
  2. Sulalatus Salatin Edisi Pelajar selenggaraan A. Samad Ahmad
  3. Portuguese Documents on Malacca from 1509 to 1511 susunan M.J. Pintado