“Syahdan, pada suatu ketika maka baginda berangkat sembahyang Jumaat ke masjid yang bernama Baitur Rahim Ratna Kemala itu. Maka masjid itupun disapulah orang dengan kain berbagai-bagai warnanya dan perbuatannya terlalu indah-indah rupanya. Maka raja keretan emas kenaikan baginda berangkat ke masjid itu hadir musta’id dengan perhiasannya terlalu indah-indah.

Maka segala hulubalangpun berdirilah bersaf-saf, maka muasil kerajaan dan segala megat-megat, maka bentara dan segala bujang sabilullah dan segala kundangan, marmang dan muda belia sekeliannya pun datanglah menyambut segala alat kerajaan. Maka bedil meriampun dipasang oranglah dua kali tujuh.

Maka Qadhi Malikul Adil dan segala syeikh ulama yang besar-besar dengan segala ahlul ibadah sekeliannyapun turunlah berjalan dahulu. Maka gendang arak-arakanpun dipalu oranglah terlalu ‘azmah daripada gong dan serunai, nagara, nafiri, bangsi, merangu, ceracap, mendeli, dermama, terlalu gemuruh bunyinya tiada berputusan. Maka segala pawaipun turunlah dan gendang nobatpun berbunyilah, maka bagindapun berangkatlah.

Maka payung iram-irampun terkembanglah berbagai-bagai warnanya, yang pertama-tama berjalan itu delapan puluh gajah tunggal, semuanya pakaian gajah itu keemasan bertatahkan ratna mutu manikam dan di atas gajah itu delapan puluh pahlawan yang memikul alat peperangan dan berkancing emas seletar dadanya dan memegang lembing bunga-bungaan berdiri di atas kerusi keemasan. Maka gajah itupun digerakkan pantas-pantas serta ia tombak melambung-lambung dirinya; dan delapan puluh kuda perang, maka di atas kuda itu delapan puluh pahlawan berbaju zirah dan berketopong besi kurasani terdiri di atas kerusi yang bertatahkan ratna mutu manikam memegang bedil istinggar. Apabila kuda itu diburunya, maka bedil itupun dipasangnya terlalu gempita bunyinya.

Maka bagindapun terpandang Laksamana dan Maharaja Setia, tatkala itu Laksamana pun ada mengikut mangkubumi mengiringkan raja berangkat. Maka dilihat oleh baginda sikap Laksamana berjalan itu terlalu manis, pantas barang lakunya, gemar melihat rupa Laksamana itu. Maka fikirnya baginda, “inilah gerangan rupanya utusan Raja Melaka yang bersama-sama mangkubumi itu.”

Dengan demikian maka bagindapun sampailah ke masjid itu. Maka keretan emas itupun diriak oranglah pada birai masjid itu, maka bagindapun naiklah berdiri seketika, maka biduanda dua puluh orang itupun datanglah berdiri di medan kayyali itu menghamburkan derma sedekah daripada emas dan perak dan permata yang tiada terkira-kira banyaknya lagi. Maka terlalulah ramai segala khalayak sekelian berebut mengambil sedekah kebawah hadhrat raja itu. Setelah sudah maka bagindapun berangkat ke dalam masjid, lalu ke masjid tuasa, lalu sembahyang sekadar enam belas orang dengan pendeta orang besar-besar sahaja, maka sekelian orang banyak itu sembahyanglah di luar masjid besar.

Adapun Masjid Baitur Rahim Ratna Kemala itu pegawainya daripada emas dan perak bertatahkan ratna mutu manikam. Bermula luasnya masjid itu kira-kira muat orang berdiri sembahyang itu selaksa dua ribu. Adapun berkelilingnya masjid itu tanaman serba bagai bunga-bungaan dan berbagai-bagai jenis, semuanya dengan jambangannya, dan sebuah kolam di tengah medan masjid itu, terlalu dalam airnya dengan jernihnya, tebingnya diikat dengan tembaga semberani, berbagai jenis ikan dilepas dalamnya, maka teratai dan telepok dibubuhnya hendak menahankan panas air dalam kolam itu.

Pagar masjid itu daripada batu merah dan putih, dan kuning, dan hijau, maka dilebur dengan kapur mengerlap rupanya. Maka di atas pagar itu dihunjamkannya besi melela pelbagai senjata rupanya, seperti ranggas berkilat-kilat kena sinar matahari itu, dan pintunya daripada tembaga suasa dan perak berkemuncakkan emas bertatahkan mutu manikam berumbai-umbaikan nilam pualam puspa ragam dikarang.

Maka sudah baginda sembahyang maka bagindapun duduklah berkata-kata dengan segala ulama akan ilmu haq ta’ala serta menghadapi segala ahlul qari min tilawatil Qur’an. Setelah sudah, bagindapun berangkat kembali… ”

Dapat diperhatikan bahawa bahasa dan latar persekitaran yang digunakan dalam hikayat ini berasal dari sekitar abad ke-17 atau ke-18 masihi dan mempunyai pengaruh Aceh. Perincian kisah menunjukkan pengarang mengarang hikayat ini berdasarkan suatu perjalanan kisah sebenar, namun beliau mengembangkan lagi kisah tersebut dengan memasukkan elemen alam, senibina, adat istiadat, kebudayaan dan lain-lain yang boleh dikira kurang tepat namun wujud pada persekitaran zaman penulis.

Kisah Laksamana ke negeri Setambul dan bersembahyang Jumaat di masjid yang diinspirasikan daripada Masjid Aya Sofia ini barangkali benar benar berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka atau ia diadaptasi daripada kisah perjalanan duta-duta Aceh ke sana pada abad ke-16 dan ke-17 masihi.

Ini menunjukkan bahawa orang negeri Jawi/ Melayu sememangnya pernah menjejakkan kaki ke ibu kota kerajaan Uthmaniah tersebut, menyaksikan kemegahan dan bersujud di dalam masjid agung Aya Sofya. Dua duta Aceh ke Istanbul iaitu Orang Kaya Umar dan Orang Kaya Hussain yang ke sana pada zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni sudah semestinya pernah melalui pengalaman tersebut.

Hari ini merupakan Jumaat bersejarah dimana setelah hampir seratus tahun Masjid Aya Sofya sunyi dari bekas sujud dan solat ia akan dibuka kembali untuk kaum muslimin mengimarahkannya. Semoga Allah taala meredhai dan memberkati keazaman bangsa Turki untuk mengembalikan syiar Islam yang hilang. Allah razi olsun.

Wallahua’lam

RUJUKAN:

Kassim Ahmad. Hikayat Hang Tuah Edisi Pelajar (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka; 1992)

“Procession of Sultan Süleyman through the Atmeidan”, pada fris Ces Moeurs et fachons de faire de Turcz (Adat Istiadat dan Pakaian Orang Turki), 1553.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nabil Nadri atau nama penanya Tuan Merbok merupakan pencinta sejarah, arkeologi dan budaya. Penulisannya yang banyak datang dalam bentuk artikel atau posting ringkas menyentuh pelbagai subjek menarik terutamanya berkaitan Alam Melayu dan Dunia Islam. Pencarian nasab dan salasilah diri menjadi obsesi yang mewarnai aktiviti beliau kebelakangan ini disamping usaha beliau menjejak ratusan artifak Batu Aceh yang terdapat di Tanah Melayu. Nabil Nadri merupakan graduan Sarjana Muda dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2014-2016) dan kini sedang dalam peringkat melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sejarah di universiti yang sama

Comments are closed.