La Tenriruwa Sultan Adam: Raja Bone Bugis Yang Meninggalkan Takhta Kerana Islam

1093
views
Gambar sekadar hiasan.

Rumpun bangsa Melayu dan agama Islam tidak dapat dipisahkan, sehingga wujud satu istilah “masuk Melayu” yang bermaksud memeluk agama Islam. Islam tiba di Kepulauan Alam Melayu sejak abad ketujuh lagi dan kewujudan kesultanan-kesultanan Melayu-Islam terawal seperti Kesultanan Perlak dan Samudera Pasai sejak abad kesembilan membuktikan bahawa Islam telah lama dan kukuh bertapak di Alam Melayu. Pengislaman orang-orang Melayu bermula apabila Raja-Raja mereka secara sukarela memeluk Islam di hadapan para ulama dari Semenanjung Tanah Arab. Ini kemudiannya diikuti oleh rakyat jelata yang taat setia kepada Raja-Raja mereka tanpa sebarang paksaan.

Gambar 1: Raja Bone ke-11, Sultan Adam (sumber lakaran potret: laman web rasmi Pemerintah Kabupaten Bone)

Masyarakat Bugis juga merupakan sebahagian daripada rumpun besar bangsa Melayu. Sejarah kemasukan Islam di bumi Sulawesi Selatan atau Tanah Bugis boleh dijejaki seawal abad ke-17 lagi. Ini agak lewat berbanding dengan kedatangan Islam di tempat-tempat lain di Kepulauan Alam Melayu. Sebelum kedatangan Islam di bumi Sulawesi Selatan, masyarakat Bugis mengamalkan kepercayaan pagan dalam bentuk Animisme, Dinamisme dan Politheisme. Kerajaan-kerajaan Bugis yang berkuasa di bumi Sulawesi Selatan seperti Kerajaan Gowa-Tallo, Bone, Wajok, Luwuk, Soppeng, Ajjatappareng dan Sidenreng.

Tiga orang ulama dari Minangkabau berperanan besar dalam permulaan penyebaran agama Islam di Sulawesi Selatan. Mereka ialah Abdul Makmur atau Datuk Ri Bandang, Sulaiman atau Datuk Patimang dan Nurdin Ariyani atau Ri Tiro. Satu persatu kerajaan Bugis-Makassar menerima Islam pada awal abad ke-17 bermula dengan kerajaan Luwuk pada tahun 1603, kemudian Kerajaan Gowa-Tallo pada tahun 1605, diikuti oleh Kerajaan Sidenreng dan Soppeng pada tahun 1609, seterusnya Kerajaan Wajok dan akhirnya Kerajaan Bone pada tahun 1611.

Kerajaan Gowa-Tallo juga memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Sulawesi Selatan. Setelah Kerajaan Gowa-Tallo menjadikan Islam sebagai agama rasmi kerajaan mereka, pemerintah mereka giat menyebarluaskan agama Islam di kerajaan Bugis yang lain tetapi ditentang kuat oleh Kerajaan Bersekutu (Tellumpoccoe) iaitu Bone, Wajok dan Sidenreng. Penentangan tersebut disahut dengan perang (Mussu Selleng) yang mengakibatkan kekalahan tiga Kerajaan Bersekutu tersebut. Kerajaan Bone yang ketika itu diperintah oleh La Tenripale Arung Timurung iaitu Raja Bone ke-12 (1611-1631) akhirnya memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Abdullah. Islam mula dijadikan agama rasmi Kerajaan Bone sejak itu. Sebenarnya sebelum itu lagi, Pemerintah Bone ke-10 iaitu Ratu We Tenri Tuppu (1609-1611) adalah Pemerintah Bone pertama yang tertarik dengan agama Islam. Baginda berangkat ke Sidenreng secara sembunyi untuk mempelajari agama Islam secara mendalam, tetapi malangnya baginda mangkat di sana.

We Tenri Tuppu kemudiannya digantikan oleh La Tenriruwa sebagai Raja Bone ke-11. Baginda menerima tawaran daripada Raja Gowa untuk memeluk Islam secara sukarela kerana baginda tertarik dengan agama Islam dan meyakini kebenarannya. Baginda juga menyeru supaya rakyatnya menerima Islam, tetapi malangnya seruan tersebut ditentang keras oleh rakyat Bone ketika itu terutamanya daripada para pembesar kerajaan yang dikenali sebagai Ada’ Pitue. Baginda meninggalkan istananya dari Watampone menuju ke Pattiro di selatan Bone untuk menyeru rakyat jelatanya di sana menerima Islam, tetapi malangnya seruan tersebut juga tidak diterima oleh penduduk di sana.

Rakyat Bone kemudiannya berkumpul dan bersatu menentang La Tenriruwa dan memaksa baginda dimakzulkan daripada takhta. Oleh sebab itu, baginda terpaksa turun daripada takhta setelah hanya memerintah selama beberapa bulan sahaja. Baginda bersama permaisuri beserta para pengikut mereka membawa diri ke Makassar untuk mendalami ilmu pengajian Islam. Baginda kemudiannya memakai gelaran Sultan Adam. Pada tahun 1615, baginda dikurniakan tanah jajahan di Bantaeng, menyebarkan Islam di sana dan menubuhkan sebuah institusi pengajian Islam Nahdatul Tawalib sehingga baginda mangkat dan diberi gelaran “Matinroe ri Bantaeng.”

Islam hanya mula diterima secara rasmi dan meluas oleh Raja dan rakyat Bone semasa pemerintahan La Tenripale, Raja Bone ke-12 yang menggantikan La Tenriruwa Sultan Adam yang dimakzulkan daripada takhta. Ini berlaku setelah Kerajaan Gowa-Tallo menyerang Bone dan berjaya menewaskannya setelah Bone tetap enggan dan berkeras untuk tidak tunduk di bawah kekuasaan Kerajaan Gowa-Tallo yang beragama Islam. Apabila La Tenripale memeluk Islam dan memakai gelaran Sultan Abdullah, maka baharulah rakyat Bone mula boleh menerima dan ikut sama memeluk agama Islam sehingga Islam dijadikan agama rasmi kerajaan. Konsep ini sama seperti pepatah Arab “an-nas ‘ala din al-malik” (“agama rakyat bergantung kepada agama raja”) dan pepatah Barat “cius region, eius religion” (“siapa yang menguasai negeri, maka beliau juga menguasai agama rakyatnya”).

Pengorbanan La Tenriruwa atau Sultan Adam yang sanggup dimakzulkan daripada takhta demi mempertahankan keislamannya membuktikan bahawa baginda adalah seorang muslim sejati yang memilih kehidupan ukhrawi yang bahagia dan kekal buat selamanya daripada kehidupan duniawi yang penuh dengan kemegahan dan kuasa kedudukan tetapi akan hancur binasa. Baginda diiktiraf sebagai Raja Bone pertama yang memeluk Islam secara terang-terangan dan menyeru rakyatnya memeluk agama Islam. Pemerintahan baginda juga adalah antara pemerintahan paling singkat dalam sejarah Kerajaan Bone disebabkan desakan rakyat Bone ketika itu yang mendesak pemakzulan baginda daripada takhta kerana keislamannya. Untuk makluman, salah seorang cucu baginda ialah Arung Palakka, seorang Raja Bone ke-15 (1672-1696) yang begitu berpengaruh dalam sejarah Bugis di Sulawesi Selatan.

Sumber rujukan:

– Ahmad Ridha, “Islamisasi Kerajaan Bone, Suatu Tinjauan Historis,” Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan, Universitas Islam Negeri (UIN) Alauddin, Makassar, Sulawesi Selatan, 2013.

– Nurman Said, “Religion and Cultural Identity Among The Bugis (A Preliminary Remark),” Inter Religio 45 / Summer 2004, hlm 4.

– Andaya L.Y, The Heritage of Arung Palakka, A History of South Sulawesi (Celebes) in The Seventeenth Century, Leiden: Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en Volkenkunde, 1981.

– Farid F. Saenong, “Statist Islam and Folk Islam, Ethnohistory and Muslim Practices in Bantaeng,” JICSA, Jil. 4, No. 2, Disember 2015, hlm. 76-99.

– Abdul Hafid, “Budaya Spiritual Mengenai Makam Syekh Muhammad Amir di Kabupaten Bantaeng,” WALASUJI, Jil. 6, No. 1, Jun 2015, hlm. 139-152.