Kusanagi – Pedang Legenda Jepun Yang Ghaib

1,076

Kusanagni-no-Tsurugi (bermaksud Pedang Pemotong Rumput) merupakan sebilah pedang legenda Jepun. Pedang yang secara umum dipanggil sebagai Kusanagi ini adalah salah satu daripada tiga darjah kebesaran Diraja Jepun.

Malahan, pedang ini dianggap mewakili nilai kegagahan. Sebagai kepilan, dua barangan lain adalah Yata-no-Kagami (sebentuk cermin yang dipercayai mewakili kebijaksanaan) dan Yasakani-no-Magatama (sebentuk batu permata yang dipercayai mewakili keluhuran).

Berikutan hubungannya yang rapat dengan institusi diraja Jepun, Kusanagi kadangkala disamakan dengan pedang Excalibur. Namun, tidak seperti pedang milik Raja Arthur itu, lokasi penyimpanan Kusanagni diketahui umum.

Pun begitu, pada hari ini, tidak seorang pun pernah benar-benar melihat pedang tersebut sekaligus membangkitkan persoalan tentang kesahihan kewujudan pedang Kusanagi.

YAMATA-NO-OROCHI, ULAR BERKEPALA LAPAN

Kusanagi pada asalnya dikenali sebagai Ame-no-Murakumo-no-Tsurugi (bermaksud Pedang Himpunan Awan Langit) dan asal-usulnya dikaitkan dengan legenda ular berkepala lapan. Ular ini dikenali sebagai Yamata-no-Orochi.

Ia menghantui sebuah keluarga kaya di wilayah Izumo. Tahun demi tahun, ular ini memakan sehingga tujuh daripada lapan anak perempuan keluarga tersebut. Justeru, ketua keluarga itu mengambil keputusan untuk meminta bantuan Susanoo, dewa laut dan ribut dalam kepercayaan Shinto. Dewa ini lantas menyerang Orochi, namun gagal menundukkannya dan terpaksa berundur.

Susanoo membunvh Yamata no Orochi, oleh Yoshitoshi

Dalam versi yang lain pula, dihikayatkan bahawa dewa itu sendiri yang meminang wanita itu dan permintaannya dipersetujui oleh si bapa. Walau apapun keadaannya, rancangan Susanoo adalah memabukkan kelapan-lapan kepala Orochi dan pada saat itu barulah beliau keluar menyerangnya.

Susanoo kemudiannya dikurniakan ilham untuk membvnuh ular tersebut. Dalam satu versi legenda, Susanoo ditawarkan untuk mengahwini anak perempuan itu seandainya berjaya membvnuh raksasa tersebut.

Untuk tujuan itu, Susanoo menyiapkan lapan buah mangkuk besar yang berisi sake. Lalu, beliau letakkannya di tempat yang dijangka bakal dilalui oleh Orochi.

Orochi memasuki perangkap tersebut dan tatkala ia sedang mabuk dan tidur, Susanoo pantas memanfaatkan peluang. Beliau memenggal setiap kepala ular itu dan memotong ekornya.

Pada ekor raksasa itulah beliau menemukan sebilah pedang, iaitu Kusanagi. Susanoo tidak menyimpan lama pedang tersebut. Dalam legenda, Susanoo diceritakan pernah dihalau lantaran perseteruannya dengan Dewi Amaterasu. Untuk berbaik-baik semula dengan saudara perempuannya itu, Susanoo pun menghadiahkan Kusanagi kepadanya.

Susanoo membvnuh Yamata no Orochi, oleh Utagawa Kuniyoshi

KISAH YAMATO TAKERU

Promosi Buku DTT

Dipercayai bahawa Dewi Amaterasu kemudiannya menyerahkan Kusanagi kepada Yamato Takeru, putera Maharaja Keiko. Pada waktu itulah pedang tersebut meraih nama Kusanagi.

Menurut legenda, ketika Yamato Takeru sedang keluar berburu, seorang seterunya menyalakan api sekaligus membuatkan seluruh rumput kering di sekelilingnya terbakar.

Dengan menggunakan pedang pemberian Amaterasu, Yamato Takeru memotong rumput-rumput kering yang terbakar itu. Lalu, beliau mengubah haluan api ke arah seterunya. Daripada situlah pedang tersebut mendapatkan nama Kusanagi.

Terdapat sejumlah kisah yang menyelubungi Kusanagi setelah ia dimiliki oleh Yamato Takeru. Misalnya, dalam Hikayat Heike yang ditulis pada kurun ke-13, Kusanagi dilaporkan hilang setelah berlakunya sebuah pertempuran laut.

Namun, kesahihan hikayat ini dipersoalkan lantaran ia disifatkan sebagai himpunan kisah-kisah lisan yang ditulis 200 tahun setelah peristiwa sebenar berlaku. Replika demi replika Kusanagi dihasilkan, lalu dicuri dan hilang apabila takhta Jepun saling direbutkan dalam kalangan kerabat diraja mahupun seteru-seteru mereka.

Yamato Takeru berpakaian seperti pelayan wanita, bersiap-sedia untuk membunvh para pemimpin Kumaso


KUSANAGI YANG TIDAK PERNAH DILIHAT KEWUJUDANNYA

Pada hari ini, Kusanagi dipercayai disimpan di dalam Kuil Atsusa, sebuah kuil suci Shinto yang terletak di Nagoya. Namun, keberadaannya di sana tidak dapat dipastikan secara mutlak memandangkan tidak seorang pun pernah melihat pedang itu.

Malahan, Maharaja Jepun sekarang pun diyakini tidak pernah melihat Kusanagi. Pedang ini pernah digunakan semasa upacara pemahkotaan Maharaja Jepun dan kali terakhir ianya berlangsung adalah pada tahun 1989. Maharaja Akihito sempat menerima regalia diraja itu, walaupun ketika itu ianya diselubungi dengan kain balutan.

Imaginasi pelukis tentang tiga darjah kebesaran Diraja Jepun

Berkemungkinan terdapat sebab-musabab yang munasabah sehingga Kusanagi dihindarkan dari pandangan manusia. Misalnya pada zaman Edo, terdapat seorang sami yang dikatakan pernah melihat pedang itu dan mencatatkan pula perincian tentangnya meninggal dunia.

Kem4tiannya itu disifatkan sebagai sumpahan yang dikaitkan dengan pedang tersebut. Tambahan lagi, pada asalnya pedang ini dikatakan disimpan di Istana Diraja. Namun pada kurun ke-7M, pedang ini dipertanggungjawabkan ke atas kegeringan dan seterusnya kemangkatan maharaja. Semenjak itu, Kusanagi dihantar ke Kuil Atsusa untuk disimpan di sana.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (26 Mei 2016). The Kusanagi: Unseen Legendary Japanese Sword. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/kusanagi-unseen-legendary-japanese-sword-005964

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.