13 Mei 1969 ialah satu peristiwa gelap dalam babak sejarah negara. Pertelingkahan antara kaum yang membawa kepada 25 orang terbunuh dan 145 lagi cedera (angka rasmi) ialah satu peristiwa yang tidak seharusnya berlaku. Tetapi ia berlaku atas banyak faktor bukan saja pada tahun berkenaan tetapi dipengaruhi pelbagai faktor yang berlaku semasa penjajahan British dan Jepun. Ya, ia satu topik sensitif di mana tiada siapa mahu berbicara tentangnya. Tetapi ia perlu sebagai ingatan agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Faktor yang membawa kepada 13 Mei 1969

  • Dasar pecah dan perintah British 

Semua pasti sedia maklum perihal British bila menguasai negara-negara koloni mereka. Bagi memastikan tiada siapa dapat mencabar hegemoni mereka, mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah dengan memisahkan komposisi kaum di negara ini. Mereka menetapkan peranan dan status berbeza bagi setiap kaum. Orang Melayu seharusnya tinggal di kampung, orang Cina sepatutnya berada di bandar manakalah orang India patutnya berada di estet.

Ini bagi memudahkan usaha mereka mengeksploitasi sumber semulajadi negara ini. Namun pada masa sama, ia turut mengehadkan interaksi antara kaum. Selain itu, dalam laporan kertas putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), pihak British tidak bersungguh-sungguh mendedahkan orang Cina dan India yang datang ke Tanah Melayu dengan adat istiadat orang Melayu dan lebih suka mereka duduk secara berasingan. Polisi sebegini ibarat bom jangka pada hubungan antara kaum ketika itu dan akhirnya meletus semasa 13 Mei 1969.

  • Aliran pendidikan

Sebelum Laporan Razak dibentangkan pada tahun 1956, sistem pendidikan negara menyaksikan empat aliran pendidikan iaitu Melayu, Cina, India dan Inggeris. Ketiga-tiga sekolah yang dinyatakan sebelumnya menggunakan kurikulum dan bahasa pengantar yang berbeza.

Ketidakseragaman dalam kedua-dua perkara di atas ini menyebabkan pelajar-pelajar yang lahir dari tiga aliran sekolah berkenaan hanya mampu bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini juga satu masalah yang berpotensi menggugat perpaduan kaum ketika itu.

  • Perbezaan agama dan budaya

Selain isu pendidikan, isu agama dan budaya turut menghantui hubungan antara kaum di negara ini terutama sebelum peristiwa 13 Mei. Semua sedia maklum terdapat pelbagai agama di negara ini seperti Islam, Buddha, Hindu dan Kristian. Dan dari segi budaya pula, semua kaum mempunyai budaya mereka yang tersendiri.

Masalahnya di sini bukan kepada perbezaan agama tetapi sikap curiga dan kejahilan terhadap agama-agama lain yang membawa kepada pelbagai insiden yang menyinggung emosi penganut agama lain sehingga mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

  • Penubuhan persatuan berasaskan kaum

Struktur masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang telah melahirkan banyak persatuan-persatuan politik sosial dan ekonomi yang berasaskan kaum masing-masing. Perkara ini telah memeperkuatkan lagi rasa syak wasangka antara satu sama lain kerana persatuan-persatuan ini hanya memperjuangkan kepentingan kumpulan kaum yang diwakilinya sahaja tanpa menghiraukan kaum-kaum yang lain.

Parti-parti politik yang berbentuk perkauman seringkali mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan kaum hingga menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara antara satu kaum dengan kaum yang lain.

  • Pendudukan Jepun di Tanah Melayu

Salah satu punca permusuhana orang Melayu dengan orang Cina ialah akibat pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini kerana Jepun memberi layanan yang lebih istimewa kepada orang Melayu berbanding orang Cina kerana Jepun masih lagi dipengaruhi sentimen peperangan dengan negara China pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.

Ini menyebabkan tentera Jepun bersikap pilih kasih dalam hal yang melibatkan kaum Melayu dan Cina. Jepun juga telah melantik orang Melayu sebagai pemimpin kerajaan dan anggota keselamatan. Tapi berbeza pula dengan orang Cina di mana mereka dimusuhi dan dilayan tanpa perikemanusiaan. Ini mendorong sesetengah daripada mereka menyertai Malaysian People Anti-Japanese Army (MPAJA) yang digerakkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan sokongan British semasa WWII.

KRONOLOGI PERISTIWA KE ARAH 13 MEI

  • Pemerintahan 14 hari MPAJA

Selepas Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, ia menandakan berakhirnya WWII. Tetapi bagi MPAJA, penyerahan kalah Jepun juga membuka ruang untuk mereka berleluasa di Tanah Melayu. Dalam tempoh 14 hari sebelum British kembali ke Tanah Melayu dan mengasaskan Pentadbiran Tentera British (BMA) pada September 1945, mereka mula melancarkan kempen terhadap orang awam terutama individu-individu yang dianggap bersubahat dengan tentera Jepun.

Modus operandi mereka ialah membawa individu-individu ini ke pinggir hutan dan disuruh menggali lubang. Sesetengah daripada mereka ini dibelasah dengan kayu atau cangkul dan ditolak masuk ke dalam lubang di mana dalam sesetengah kes, ada yang ditanam hidup-hidup. Ada juga yang ditembak mati dalam keadaan berlutut atau digantung sampai mati selepas dibicarakan dalam mahkamah kanggaru mereka sendiri. Tiada siapa yang berani bersuara kerana bimbang dilabel pengkhianat dan dihukum mati dengan kejam oleh MPAJA.

Memandangkan ramai mangsa terdiri daripada orang Melayu, ini mengundang kemarahan ramai di mana ramai bangkit menentang seperti Kiai Haji Salleh. Misalnya di Batu Pahat, pertumpahan darah hampir-hampir tercetus jika tidak kerana campur tangan bakal Menteri Besar Johor dan pengasas Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (UMNO), Dato Onn Jaafar.

Sementara di Sungai Manik, Perak pula, orang Melayu bertempur dengan gerila MPAJA dan peneroka Cina tempatan selepas MPAJA cuba mengambil alih Sungai Manik dan bandar-bandar berhampiran. Pertempuran berterusan sehinggalah BMA ditubuhkan pada September 1945.

  • Darurat 1948-1960

Selepas gerila PKM membunuh dua pengurus ladang dan seorang penolong pengurus ladang Eropah di Sungai Siput pada tahun 1948, British mengisytiharkan darurat di mana ia terhad di Perak pada Jun 1948 sebelum diluaskan ke seluruh negara sebulan kemudian.

PKM dilihat mahu meneruskan usaha membentuk sebuah negara komunis di Tanah Melayu melalui perang gerila, satu usaha yang ditolak sekeras-kerasnya oleh British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun-tahun menuju ke arah kemerdekaan.

Namun, tidak ramai tahu usaha mendapatkan khidmat orang Cina untuk membantu kempen melawan PKM pada tahun-tahun awal darurat amat sukar. Bagi menggalakkan orang bukan Melayu membantu usaha mempertahankan Tanah Melayu dari ancaman PKM, mereka menyertai kerahan Khidmat Negara (National Service). Malangnya, hanya 200 orang sahaja yang menyertai pasukan itu dari tahun 1949 hingga 1951.

Dan apabila ia dikuatkuasakan pada tahun 1950, laporan kertas putih MAGERAN mendedahkan dari Februari hingga Ogos 195, lebih 10,000 pemuda Cina melarikan diri ke China untuk mengelak dari dipanggil menyertai kerahan tersebut.

Situasi ini nyata menghampakan ramai orang Melayu dan sudah beberapa kali mendapat teguran rasmi. Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Tanah Melayu Sir Henry Gurney pernah berkata, “Perasaan kecewa telah timbul dalam kalangan anggota masyarakat lain tentang keengganan orang Cina memberi pertolongan.

Mereka hidup bersenang-lenang dan menumpukan tenaga semata-mata untuk mencari kekayaan.” Cubaan kedua untuk membawa 2,000 orang Cina menyertai Khidmat Negara juga berakhir dengan kegagalan pada tahun 1952 walaupun Persatuan Cina Semalaysia (MCA) menawarkan insentif antara $50 hingga $300 bagi setiap rekrut Cina dalam masa latihannya.

Walau bagaimanapun, kertas putih MAGERAN turut menyatakan penghargaan kepada ramai anggota kerajaan dan keselamatan dari kalangan kaum bukan Melayu yang berjuang bagi memastikan negara terus selamat dari ancaman PKM. Salah seorang tokoh keselamatan dari kaum Cina yang pernah menabur bakti semasa era darurat ialah bekas Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Sarawak, mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng. Kisahnya pernah diabadikan dalam satu entri The Patriots tidak lama dahulu.

  • Jarum halus PKM

Walaupun tewas semasa fasa pertama darurat, impian melihat sebuah negara komunis tidak pernah terpadam di hati penyokong-penyokong PKM. Pada dekad 60-an, mereka secara senyap mula menyusup dalam parti-parti politik atau pertubuhan bersifat kemasyarakatan. Tujuannya satu iaitu mencetuskan ketidakstabilan dalam negara dalam apa jua cara bagi memastikan negara yang baru mencapai kemerdekaan itu terus lemah. Bukan sekali dua PKM menjadi batu api sehingga mencetuskan keributan dalam kalangan masyarakat. Berikut beberapa peristiwa yang direkodkan dalam laporan kertas putih MAGERAN:

i. Pada tahun 1967, kerajaan bersama Brunei dan Singapura mula mengeluarkan mata wang mereka sendiri (semua dipanggil dolar) di bawah nama Dolar Malaysia, Dolar Singapura dan Dolar Brunei. Dengan pengenalan tiga mata wang baru ini, mereka menandatangani Perjanjian Pertukaran Mata Wang bagi membolehkan wang mereka boleh ditukar antara satu sama lain. Tetapi enam tahun selepas itu, Kuala Lumpur menarik diri dari perjanjian tersebut dan nama rasmi mata wang kita ialah Ringgit dan Sen.

ii. Tetapi pihak komunis mengambil kesempatan dari situasi ini dengan mengadakan tunjuk perasaan anti-penurunan nilai mata wang dan menghasut orang ramai menentang langkah penurunan nilai mata wang. Dan bagi memaksimumkan impak tindakan ini, Pulau Pinang dipilih sebagai tapak protes. Ini mengakibatkan kekecohan penduduk Melayu-Cina pada 24 November 1967 di mana beberapa orang terbunuh, ramai cedera dan beberapa rumah serta kereta musnah terbakar. Keadaan ini mencetuskan rasa curiga dalam kalangan penduduk.

iii. Almarhum Tunku Abdul Rahman menulis dalam kolum mingguannya bersama The Star, “Pihak komunis tidak pernah meninggalkan kita. Jika mereka tidak boleh melancarkan tindakan agresif secara terbuka, mereka melancarkan tindakan bersifat subversif. Pada tahun 1967, kita terpaksa membuat sedikit pengubahsuaian tentang mata wang kita, dan kita putuskan untuk turunkan sedikit nilai mata wang – sangat sedikit sehingga orang pun tidak perasan. Tetapi di Pulau Pinang, Barisan Sosialis mengarahkan hartal (penutupan kedai sebagai tanda berkabung). Jadi, bila mereka isytiharkan hartal, samseng keluar di jalanan dan mula mencetuskan kekecohan serta menyerang orang Melayu yang dianggap anak emas pihak kerajaan. Tanpa mereka sedar, orang Melayu yang diserang itu langsung tidak tahu tentang nilai atau penurunan nilai mata wang kita dan mereka amat terkejut dengan kejutan itu.”

iv. Setahun selepas itu, 13 anggota PKM terdiri daripada 11 orang Cina dan dua orang Melayu dihukum mati kerana membantu tentera Indonesia semasa Konfrontasi di Johor. Justeru, 13 banduan ini seharusnya dihukum mati di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Namun, Ahli Parlimen Batu dari Parti Buruh Dr Tan Chee Koon merayu semua 13 banduan dilepaskan dari hukuman mati. Chee Koon mendapat sokongan dari komuniti Cina dan kumpulan pro-komunis untuk menghasut masyarakat Cina. Mereka berhimpun di hadapan Penjara Pudu dan sepanjang jalan menuju ke penjara berkenaan sambil menakutkan pengguna jalan raya dengan membaling batu dan botol pada kenderaan yang melaluinya dan menghalang laluan trafik.

Untuk mengelak situasi menjadi lebih tegang, Almarhum Tunku merayu pengurangan hukuman kepada Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah dan Sultan Johor, Almarhum Sultan Ismail al-Khalidi. Hukuman kesemua 13 banduan itu ditukar daripada hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.

Namun, impak daripada tindakan tersebut menyaksikan kelompok pro-komunis melabel kerajaan sebagai lemah dan meneruskan provokasi mereka ke tahap lebih melampau. Dan seperti ramai sedia maklum, bakal Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menghantar surat mengkritik keras tindakan baginda yang membawa kepada insiden 13 Mei. Dan semua maklum sebulan selepas itu, beliau dipecat daripada UMNO.

Dua minggu sebelum pilihan raya 1969, seorang pekerja parti UMNO bernama Allahyarham Kassim Omar dibunuh dengan kejam oleh ahli-ahli Parti Buruh. Allahyarham dibelasah sampai mati di tepi jalan, mukanya dicat dengan cat merah dan pakaiannya diconteng dengan mesej memboikot pilihan raya. Pembunuhan tersebut merupakan satu kejutan kepada ramai pihak dan ini hampir-hampir mencetuskan rusuhan kaum jika tidak kerana tindakan pantas pemimpin-pemimpin UMNO yang mahukan urusan jenazah Allahyarham disegerakan dan secara senyap dalam keadaan terhormat.

Figure 1: Keadaan mayat Allahyarham Kassim Omar. Kredit https://jebatmustdie.files.wordpress.com/2009/06/13-may-1969-analysis-by-jmd.pd

Rusuhan Kaum

a) Keributan di Pulau Pinang

Tujuh bulan sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pada 2 Januari tahun sama, Pulau Pinang menyambut ulang tahun ke-100 status sebagai bandaraya oleh kerajaan British. Bagaimanapun, sambutan dicemari dengan insiden salah faham antara orang yang berpesta dengan penonton yang melihat sambutan berkenaan. Ia hampir-hampir menjadi rusuhan kaum jika tidak kerana campur tangan cepat pihak berkuasa bagi menenangkan keadaan. Dalam insiden ini, 4 orang awam terbunuh sementara 48 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

b) Rusuhan di Pulau Pangkor

Pada Mei 1959, berlaku pertembungan antara orang Cina dengan orang Melayu di Pulau Pangkor yang mengakibatkan kebakaran rumah kediaman dan tiga individu terbunuh (dua orang Melayu, seorang Cina). Sementara 10 lagi cedera dalam insiden berkenaan. Bagi menenangkan keadaan, perintah berkurung dilaksanakan selama beberapa hari di Pangkor. Pihak kerajaan turut mengarahkan rondaan polis dikerapkan dan Almarhum Tunku pernah melawat pulau berkenaan dan menasihati penduduk agar bertenang.

c) Pertelingkahan di Bukit Mertajam

Lima tahun sebelum insiden 13 Mei, dua individu masing-masing seorang Melayu dan seorang Cina mati disebabkan oleh satu pertelingkahan kecil. Semua ini berpunca daripada insiden seorang pekerja pasar berbangsa Melayu dipukul dengan cangkul oleh seorang penjual sayur Cina berusia 15 tahun. Ini mencetuskan insiden pukul dan bakar tatkala pekerja yang terkesan dengan insiden itu cuba melaporkannya kepada pihak berkuasa. Untuk mengelakkan lebih banyak ketegangan, perintah berkurung dikeluarkan selama beberapa hari untuk menenangkan keadaan.

TRAGEDI

Provokasi

Enam hari sebelum pilihan raya 1969, tiga konstabel polis terserempak dengan sekumpulan anggota pemuda Parti Buruh yang menconteng slogan anti-pilihan raya di atas jalan. Bila diminta berhenti, mereka bertindak menyerang dengan rod besi dan membaling batu dan kayu terhadap polis. Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri. Salah seorang daripada ahli pemuda itu cedera parah dan mati semasa mendapat rawatan di hospital. Bagi pihak pembangkang, mereka mempergunakan kematian ahli parti pakatan mereka itu dengan menganjurkan perarakan pengebumian pemuda tersebut yang besar pada hari pilihan raya itu sendiri, satu tindakan yang dianggap provokatif dan merbahaya.

Polis dan Kementerian Dalam Negeri memberi kebenaran kepada perarakan berkenaan tetapi ia hanya boleh dianjurkan pada 9 Mei 1969. Dengan jarak sepanjang lapan batu, 14,000 peserta berarak sambil melaungkan slogan-slogan berbaur Maoist, menyanyikan lagu The East is Red dan membawa potret Mao Zedong. Perarakan yang melalui di tengah-tengah Kuala Lumpur dan mengakibatkan kesesakan trafik di setiap jalan utama di Kuala Lumpur. Orang Melayu yang melihat diejek dengan ejekan ‘Malai si!’ (Matilah orang Melayu) dan ‘Hutang darah bayar darah’.

Kejutan buat Perikatan

Pada pilihan raya 1969, kejutan melanda Parti Perikatan kehilangan banyak kerusi parlimen dan dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen. Walaupun berjaya mengekalkan penguasaan di Selangor, mereka hanya mempunyai majoriti empat kerusi. Perak hampir jatuh ke tangan pembangkang sementara Gerakan pula memulakan asas bertapak di Pulau Pinang. Sementara kebanyakan kerusi negeri yang dikuasai Perikatan jatuh ke tangan parti pembangkang dari kaum Cina (ingatan, Kuala Lumpur masih lagi sebahagian daripada Selangor dan belum lagi diberi taraf sebagai Wilayah Persekutuan). Semua ini berlaku akibat provokasi melampau pihak sebelah yang mengusik perkara-perkara bersifat sensitif seperti hak keistimewaan orang Melayu dan hak kerakyatan. Semua ini direkodkan dalam laporan kertas putih MAGERAN.

Sebagai reaksi kepada kejayaan mereka yang tidak disangka-sangka, dua parti utama pembangkang iaitu DAP dan Gerakan memutuskan untuk menganjurkan perarakan kejayaan sekitar Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Mei 1969. Sesiapa yang melihat tindakan ini sudah tahu ini satu provokasi merbahaya dan ini diakui sendiri oleh mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng. Dalam bukunya Nations Before Self, beliau berkata:

“The sudden surge of excessive Chinese chauvinistic and uncontrolled emotions during the May 69 elections following Opposition camps, was accompanied by even some simplistic presumptuousness that even greater Chinese political ascendency and successes would follow. The aggressive posturing and defiance seen during the funeral procession of an opposition posturing element shot by the police few days earlier had already fumed the situation. All these acts together could only create anger and inflict humiliation on the fragile sensitivities of a basically proud race and people. Very strong Malay anger arose intermixed with political anxieties for the community’s future. A counter procession in strength with much embedded racial pride and improvised self-protection was planned and organized.”

Figure 2: Perarakan kejayaan DAP di Kuala Lumpur. Kredit: https://jebatmustdie.files.wordpress.com/2009/06/13-may-1969-analysis-by-jmd.pdf
Figure 3: Kebebasan bersuara yang melampau. Kredit: https://jebatmustdie.files.wordpress.com/2009/06/13-may-1969-analysis-by-jmd.pdf

Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu. Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye yang pada ketika itu menjawat Presiden Parti Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Parlimen Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tapi permohonan maafnya itu diibaratkan nasi menjadi bubur.

Tragedi

Kemarahan orang Melayu sudah tidak boleh dibendung lagi. Sudah lama mereka bersabar dengan provokasi pihak pembangkang yang sentiasa mengusik sentimen orang Melayu. Tetapi satu perkara yang membuatkan mereka berang ialah ejekan berbaur perkauman seperti ‘Melayu babi balik kampung’. Dan ini diketahui oleh ramai orang termasuk Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris. UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini.

Punca sebenar 13 Mei berlaku apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang beberapa orang Melayu yang dalam perjalanan ke Kampung Baru untuk menyertai perarakan UMNO dengan membaling botol kaca dan batu ke arah mereka.[5] Pergaduhan ini diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru Jalan Raja Muda. Dalam pukul 6.30 petang orang Melayu mula bergerak dari Kampung Baru dan menyerang orang Cina dengan bersenjatakan parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta.

Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda Cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut. Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Di sebalik kekecohan dan rusuhan yang berlaku ketika itu, profesionalisme pasukan keselamatan harus dipuji bagi memastikan insiden hari itu tidak merebak. Ini berdasarkan catatan mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng:

“I am very proud to have been a police officer during the May 13 crisis. Thefirst few days of the crisis were the proudest moments in my entire police career. I saw in Kuala Lumpur how both experienced and young police recruits conduct themselves as peace officers…. I monitored, heard and recorded the firm and undaunted voice of a former Malay subordinate transferred to the Riot Unit, rejecting demands from a Malay mob to hand over some non-Malays who had pretended to be dead but rushed to him  for protection when the opportunity arose. His words still echo in my memory;

“Ya, anda Melayu. Saya juga Melayu. Tetapi di sinilah persamaan kita berakhir. Anda tiada tanggungjawab. Sementara saya seorang pegawai polis. Jika kamu cuba melintasi garisan ini, maka darah sama akan membasahi kedua-dua garisan!”

Catatan mendiang dibuat selepas melihat ketegasan anak buahnya itu enggan melayan tuntutan sekumpulan orang Melayu yang mahukannya menyerahkan mana-mana orang bukan Melayu yang berpura-pura mati kepada mereka. Selepas melihat ketegasan polis berkenaan, kumpulan tersebut tidak lagi membuat tuntutan berkenaan. Namun, ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi dengan pelbagai khabar angin tentang apa yang berlaku ketika itu. Ia tidak dibantu juga dengan laporan media asing yang sentiasa berusaha merendah-rendahkan imej negara atau suka mencari berita negatif, satu trend yang sudah dikesan sejak zaman kemerdekaan lagi.

Dalam insiden yang dianggap babak hitam dalam sejarah negara, angka rasmi menunjukkan lebih 200 orang terbunuh, 439 cedera dan lebih 9,000 orang ditahan. Kebanyakan yang ditahan menurut kertas putih MAGERAN ialah anggota kongsi gelap dan elemen subversif pro-komunis. Tetapi bilangan orang yang terbunuh dalam tragedi itu berkemungkinan lebih ramai jika kita melihat keterangan saksi yang melihat deretan lori yang membawa mayat yang tidak sempurna ke Balai Polis Jalan Travers.  Semasa peristiwa 13 Mei ini juga, perintah berkurung 24 jam dilaksanakan dengan sesiapa yang disyaki melanggar perintah berkurung berpotensi ditembak pihak berkuasa. Perintah ini dilaksanakan pada 14 dan 16 Mei 1969. Kecuali kekecohan di Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Singapura yang menyaksikan populasi besar masyarakat Cina di situ, keadaan kelihatan tenang dan aman dalam negara.

Respon

Pada 16 Mei tahun sama, MAGERAN turut ditubuhkan atas titah DYMM Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Peranan pengerusi MAGERAN digalas oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan dibantu oleh Allahyarham Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T Sambathan, Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie, Jeneral Almarhum Tunku Osman Jiwa (Panglima Angkatan Tentera Malaysia) dan Allahyarham Tan Sri Salleh Ismael (Ketua Polis Negara). Ini bagi menggantikan peranan Parlimen yang digantung semasa darurat. Sementara di peringkat negeri dan daerah, pentadbiran diuruskan oleh Majlis Gerakan Negeri dan Majlis Gerakan Daerah. MAGERAN melaksanakan pelbagai langkah bagi memulihkan semula keamanan pasca-13 Mei dan keamanan dapat dikembalikan dalam tempoh dua bulan. Perintah berkurung juga dikurangkan secara beransur-ansur sehinggalah keamanan benar-benar sudah terjamin. Pada Februari 1971, MAGERAN dibubarkan dan Parlimen kembali berfungsi seperti biasa.

Sepanjang tempoh darurat, MAGERAN telah melakukan pelbagai tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian agar tragedi tersebut tidak berulang. Antara tindakan yang diambil ialah membentuk Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat pada perlembagaan negara.  Rukun Negara merupakan hasil buah fikiran Allahyarham Tan Sri Ghazali. Selain itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) turut dilancarkan untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan satu aktiviti ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar. dan Bagi membolehkan semua agenda ini dapat dicapai, satu kerajaan perpaduan dengan nama Barisan Nasional (BN) diperkenalkan dengan hampir kesemua parti yang bertanding pada 1969 menyertai BN kecuali DAP.

Pada Januari 1970, satu majlis perundingan dibentuk bagi membincangkan soal perpaduan kaum di negara ini. Majlis yang diberi nama Majlis Perundingan Negara (MPN) itu dipengerusikan oleh pengerusi MAGERAN, Allahyarham Tun Abdul Razak. Komposisi majlis terdiri daripada anggota MAGERAN, wakil kerajaan negeri, wakil parti-parti politik, wakil dari Sabah dan Sarawak, wakil kumpulan-kumpulan agama, wakil badan profesional, wakil dari perkhidmatan awam, wakil kesatuan pekerja dan majikan, wartawan, wakil kumpulan guru dan wakil kumpulan minoriti. Objektif utama penubuhan MPN ialah meneliti isu-isu perpaduan negara dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melibatkan pelbagai kaum. Ia juga bertindak sebagai penasihat kepada MAGERAN mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan perhubungan dan integrasi kaum di Malaysia.

Pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara turut dilaksanakan sebagai falsafah negara selaras dengan deklarasi diraja pada hari yang sama. Rukun Negara yang terhasil dari buah fikiran Allahyarham Tan Sri Ghazali diinspirasikan dari falsafah negara Indonesia iaitu Pancasila. Rukun negara adalah manifestasi idealogi nasional dengan tujuan untuk mencapai perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, warna kulit, bangsa dan agama. Konsep rukun negara yang dibentk oleh MAGERAN ini pada asasnya ialah untuk membentuk corak masyarakat Malaysia berdasarkan prinsip hidup yang telahpun wujud dan boleh dijadikan pegangan masyarakat Malaysia. Prinsip-prinsip tersebut ialah:

1) Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat.

2) Memelihara cara hidup demokratik.

3) Mencipta suatu masyarakat yang adil dan kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

4) Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi yang kaya dan pelbagai corak.

5) Membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi.

Konsep rukun negara telah dibahagikan kepada lima prinsip iaitu:

  1. Kepercayaan Kepada Tuhan.
  2. Kesetiaan kepada Raja Dan Negara
  3. Kedaulatan Undang-undang
  4. Keluhuran Perlembagaan.
  5. Kesopanan Dan Kesusilaan

Beberapa minggu selepas peristiwa 13 Mei, Majlis Muhibbah Negara ditubuhkan atas arahan MAGERAN dan dipengerusikan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman. Majlis ini ditubuhkan pada setiap peringkat iaitu pusat, negeri dan daerah. Antara tanggungjawab majlis ini ialah menggalakkan perkembangan perasaan muhibbah di antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan berusaha memulihkan, memupuk dan mengekalkan perasaan saling mempercayai di kalangan kaum. Selain itu, majlis ini bertanggung jawab mengkaji masalah-masalah sosial dan kebajikan awam dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa atau jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan untuk menghapuskan kesulitan-kesulitan dan salah faham. Selepas kerajaan berparlimen dipulihkan semula pada Februari 1971, Majlis Muhibbah Negara dimansuhkan dan digantikan dengan Majlis Perpaduan Negara dan diwartakan di bawah Peraturan-peraturan Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971.

Selepas insiden 13 Mei, kebanyakan parti politik mula menyedari kepentingan bersatu dalam satu barisan yang menggabungkan pelbagai kaum. Justeru wujudlah Barisan Nasional yang lahir atas kesedaran untuk mengatasi masalah perpaduan kaum akibat peristiwa 13 Mei 1969. Ia dianggotai oleh UMNO, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kongres India Malaysia (MIC), MCA dan enam lagi parti politik. Tujuan pembentukan Barisan Nasional ialah untuk mengurangkan perpecahan politik dan sesuai dengan pindaan Perlembagaan 1971. Rombakan politik ini telah berjaya menampakkan hasil yang cukup memberangsangkan kerana semua pihak semakin mula memahami kepentingan perpaduan kaum.

Dasar kerajaan pasca-13 Mei
Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Dasar ini telah diperkenalkan pada tahun 1970 dan mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu:

i) Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum

Melalui dasar ini kerajaan bertindak untuk merapatkan jurang kekayaanantara golongan kaya dan golongan miskin tanpa mengira kaum kerana ketidakseimbangan kekayaan terutamanya antara kaum hanya akan mencetuskan suasana yang tidak harmorni akibat rasa tidak puas hati anatara satu sama lain. Justeru untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru ini kerajaan telah memberi banyak tumpuan kepada golongan seperti pekebun-pekebun kecil, penghuni estet, petani nelayan dan pesawah.Antara program dan perancangan yang telah dilaksanakan ialah seperti berikut:

a) Penyediaan infrastruktur parit dan tali air termasuk pemberian subsidi dan kredit bagi membolehkan pesawah melaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

b) Menyediakan skim penanaman semula yang menggalakkan penggunaan benih kacukan berhasil tinggi, termasuk pemberian kredit dan subsidi sara hidup serta bantuan untuk pembiakan ikan dan kegiatan ternakan yang ditujukan kepada pekebun kecil.

c) Menyediakan skim pemilikan bot dan pemberian subsidi kepada nelayan untuk membantu mereka memberi kelengkapan menangkap ikan yang perlu dan lebih berguna.

d) Melaksanakan rancangan pembukaan tanah baru yang membolehkan penghuni desa menyertai kegiatan pertanian moden, misalnya skim anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA).

e) Melaksanakan penyediaan kemudahan sosial seperti klinik, hospital, sekolah bekalan air dan elektrik, rumah kos rendah dan peluang pekerjaan sebagai peniaga kecil bagi kumpulan berpendapatan rendah.

ii) Penyusunan semula masyarakat

Dalam DEB, kerajaan juga memberi tumpuan untuk menyatupadukan semula masyarakat yang telah berpecah belah akibat ketidakseimbangan perolehan dan pengagihan kekayaan negara. Dalam dasar ini kerajaan menetapkan sasaran untuk pemilikan ekuiti dalam bidang perusahaan dan perniagaaan iaitu 70 peratus ekuiti rakyat Malaysia termasuk 30 peratus ekuiti bagi

kaum Bumiputera pada tahun 1990. Selaras dengan usaha untuk menjayakan DEB kerajaan telah mengambil langkahlangkah berikut untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan DEB:

i) Meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan kurang berupaya.
ii) Menyusun semula corak guna tenaga dalam sektor ekonomi tertentu
iii) Menyusun semula pemilikan ekuiti.
iv) Melatih dan membentuk para usahawan dan pedagang baru di kalangan masyarakat bumiputera.
v) Menambahkan kuota pendidikan di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri khas untuk pelajar Bumiputera.
vi) Menambahkan bilangan bumiputera yang berkelayakan ikhtisas dan teknikal dalam sektor awam dan swasta.

Untuk memastikan DEB berjaya mencapai matlamatnya, kerajaan turut menggembleng tenaga jabatan kerajaan yang terlibat untuk menggerakkan instrumen DEB. Antara perbadanan yang mengambil bahagian untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf ekonomi kaum Bumiputera ialah:

  1. Permodalan Nasional Berhad (PNB).
  2. Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
  3. Perbadanan-perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).
  4. Bank Negara.
  5. Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
  6. Skim Amnah Saham Bumiputera.
  7. Majlis Amanah Rakyat (MARA).
  8. Pusat Daya Pengeluaran Negara (PDPN).

Setelah tahun 1990, tahun yang dijangkakan untuk mencapai matlamat DEB tiba, DEB masih lagi belum berjaya mencapai matlamat sepenuhnya seperti pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam aktiviti ekonomi. Namun begitu banyak juga kejayaan yang telah dicapai seperti purata pendapatn isi rumah yang bertambah, pengurangan kadar kemiskinan telah dapat dikurangkan dan pengenalan kaum berdasarkan aktiviti ekonomi telah berkurangan.

Bagaimanapun, masih ada yang menuding jari dengan mengatakan DEB sebagai punca ketidakseimbangan ekonomi. Namun, beberapa hari lepas, The Patriots ada menerbitkan satu artikel bertajuk DEB: Punca Ketidakseimbangan Ekonomi? untuk menjawab tuduhan berkenaan. Berdasarkan analisis penulis, DEB banyak membantu ramai keluar dari kepompong kemiskinan berbanding sebelum perlaksanaannya. Tetapi pada masa sama, struktur pengagihan bantuan dan subsidi juga perlu ditambahbaik selaras dengan peredaran zaman dan pertambahan populasi penduduk negara ini.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah hasil daripada Akta Pelajaran 1961 berdasarkan syor Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 sertatelah dimaktubkan dalam Ordinan Pendidikan 1957. Pada amnya, dasar ini bertujuan untuk membantu menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan melalui sistem pelajaran yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama serta berasaskan kokurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Antara langkah yang telah diambil ialah:

  1. Bahasa Inggeris diwajibkan di semua sekolah rendah.
  2. Bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan di semua sekolah menengah.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di semua sekolah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat. Bahasa Melayu mula diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun 1970. Dan mulai tahun 1983, semua kursus tahun pertama di peringkat universiti diajar dalam Bahasa Melayu.

Objektif utama sistem pelajaran kebangsaan ialah untuk memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Antara matlamat lain dasar ini ialah:

i) Untuk menghasilkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
ii) Menggalakkan perkembangan ekonomi, umpamanya menyediakan tenaga kerja khasnya dalam bidang sains dan teknologi.
iii) Menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan politik negara.
iv) Membentuk satu masyarakat majmuk yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.
v) Mengurangkan pembaziran tenaga kerja akibat terlalu ramai murid yang keciciran dari alam persekolahan pada usia yang muda hingga mengurangkan potensi kerja negara.|
vi) Mendemonstrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yag kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar.

Antara strategi yang telah dilaksanakan pula ialah:

a) Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama.
b) Mengadakan kurikulum dan peperiksaan yang sama di semua sekolah.
c) Memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada 1983 berdasarkan kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira serta memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) pada 1989.
d) Mempertingkatkan pendidikan rohani, disiplin dan keagamaan.
e) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang dapat memupuk disiplin dan perpaduan.
f) Memperluaskan pendidikan teknik dan vokasional dan mempelbagaikan kemudahan pelajaran.

Pada tahun 1974, satu jawatankuasa kabinet dipengerusikan Menteri Pendidikan ketika itu, Tun Dr Mahathir ditubuhkan untuk mengkaji keberkesanan, kekurangan dan masalah dalam dasar pendidikan sebelumnya. Laporan jawatankuasa berkenaan dibentangkan kepada kabinet pada tahun 1979 memberi dimensi baru kepada pendidikan negara. Ini membawa kepada perancangan dan perlaksanaan KBSR pada tahun 1983 disusuli oleh KBSM pada tahun 1989. Selaras dengan perubahan ini juga, Kementerian Pelajaran turut ditukar kepada Kementerian Pendidikan pada tahun 1987 disusuli dengan falsafah pendidikan bertulis pertama dalam sejarah negara yang digubal pihak kementerian.

Semua langkah di atas amat penting untuk memupuk perpaduan terutamanya langkah yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama. Ini akan memberikan kefahaman dan rasa saling memahami sambil dapat menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain kerana mereka dapat berinteraksi dengan menggunakan satu bahasa tunggal iaitu Bahasa Melayu. Melalui aktiviti ko-kurikulum pula akan dapat melahirkan insan generasi yang dapat menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama, Malaysia tidak lari daripada aspek kepelbagaian budaya anatara satu sama lain. Melalui dasar ini, unsur-unsur kebudayaan dapat dignakan untuk membentuk warganegara yang lebih baik dan membina negara bagi mencerminkan satu keperibadian Malaysia. Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirangka berteraskan tiga prinsip utama yang telah ditetapkan oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu:

I) Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini;
II) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.
III) Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Dasar ini juga penting kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai kebudayaan yang berbeza kerana ia dapat memberi kefahaman tentang budaya masing-masing agar perasaan prasangka anatara satu sama lain dapat dihindari. Selain itu, dasar ini juga menolak unsur-unsur barat yang tidak sesuai daripada meresap masuk dan mempengaruhi kebudayaan rakyat Malaysia. Matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah:

i) Membantu mencapai perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
ii) Memupuk dan menjamin keutuhan identiti kebangsaan.
iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan mutu kehidupan manusia dan menanam sikap kerohanian yang seimbang dengan pembangunan kebendaan di Malaysia.

Bagi membolehkan matlamat dasar ini dapat dicapai, beberapa langkah telah dilaksanakan:

  1. Memperbanyakkan dan mengembangkan pertunjukan kebudayaan di peringkat negeri dan nasional.
  2. Memberi latihan dan menyokong pergerakan-pergerakan kebudayaan.
  3. Meningkatkan taraf dan mutu berbagai-bagai bidang seni di negara kita.
  4. Memupuk kesedaran kebangsaan.
  5. Memenuhi keperluan sosiobudaya negara.

Bagaimanapun, dasar ini seolah-olah terpinggir dan hanya diketahui oleh penggiat dan pencinta seni kebudayaan. Dalam coretannya kepada akhbar Utusan Malaysia pada tahun 2001, Menteri Luar ketika ini Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan ia masih lagi terperangkap dalam kerangka sempit seni yang memfokuskan kepada aspek-aspek budaya rendah dan bukan aspek budaya bertaraf tinggi seperti falsafah dan nilai moral. Selain itu, beliau merasakan dasar ini diperlakukan seperti anak tiri kerana jarang disebut oleh penggubal undang-undang yang melihat dasar-dasar berkait dengan ekonomi, kewangan, perdagangan dan perniagaan. Beliau menambah mungkin sudah tiba masanya dasar ini pelan tindakan yang lebih sistematik dan praktikal. Kewajarannya ialah supaya apabila Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya pada tahun 2020, antara lainnya ialah acuan kebudayaan kebangsaan yang sarat dengan nilai.

Di samping itu, pelaksanaan dasar berkenaan memerlukan pendekatan yang sesuai. Sebagai contohnya, oleh kerana kebudayaan kebangsaan bukan rojak, maka pendekatan pelaksanaannya tidak harus berbentuk rojak. Oleh kerana kebudayaan kebangsaan adalah berasaskan kontrak sosial, maka pendekatan pelaksanaannya tidak harus melanggar kontrak tersebut. Dan oleh kerana kebudayaan bukan sesebuah barangan atau perkhidmatan, maka pendekatan pelaksanaannya tidak harus dipengaruhi pasaran.

Dasar Pembangunan Nasional (DPN)

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diumumkan oleh Tun Dr Mahathir pada 17 Jun 1991 di Parlimen. DPN dilaksanakan bagi menggantikan DEB dan ia terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) bagi tempoh tahun 1991-2000. Melalui dasar ini ia masih lagi mengekalkan tujuan asas DEB dan bermatlamatkan untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan adil . Matlamat akhir dasar ini ialah untuk membentuk perpaduan kaum. DPN merangkumi beberapa aspek penting seperti berikut:

a) Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.
b) Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan.
c) Mengurang dan akhirnya menghapuskan keadaan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi dalam negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi daripada pembangunan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia.
d) Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi dalam kalangan negeri-negeri dan di antara kawasan luar bandar dan bandar.
e) Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi, di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara.
f) Memajukan pembangunan sumber manusia termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran-kemahiran perlu bagi menghadapi cabaran dalam pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat.
g) Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden.
h) Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

Melalui DPN terdapat empat perkara yang telah digariskan kepada pendekatan strategi ekonomi DEB iaitu:

a) Mengalih tumpuan membasmi kemiskinan di kalangan golongan termiskin di samping mengurangkan kemiskinan relatif.
b) Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.
c) Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat
d) Memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.

Mitos 13 Mei

Tatkala ramai mahu mengambil pengajaran dari insiden 13 Mei agar ia tidak berulang kembali, ada pula yang menangguk di air keruh dengan melemparkan teori-teori mengarut tentang 13 Mei. Teori-teori sebegini bukan saja dianggap satu pembunuhan watak oleh ramai figura politik tetapi juga dianggap satu cubaan untuk menutup apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu. Berikut beberapa mitos yang muncul dari ini.

Cubaan rampasan kuasa?

Kua Kia Soong, bekas ahli DAP dan aktivis sivil bagi pertubuhan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menulis sebuah buku bertajuk 13 May: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969. Dalam buku yang diterbitkan pada tahun 2007, Kia Soong mendakwa peristiwa 13 Mei itu direncanakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Datuk Harun dan Tun Dr Mahathir sebagai sebahagian daripada plot rampasan kuasa secara senyap dari Almarhum Tunku Abdul Rahman. Teori ini bersandarkan kepada keputusan Allahyarham Tun Razak meluluskan permit perarakan pengebumian yang diatur oleh Parti Pekerja dan elemen pro-komunis pada 9 Mei 1969. Ini berikutan ketika itu, beliau memegang peranan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Tetapi tidak ramai tahu, tanpa pengeluaran permit sekalipun, perarakan tersebut akan tetap dijalankan. Ini ditambah dengan sentimen anti-Melayu dan sentimen anti-pihak berkuasa yang membara akibat hasutan pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak bertanggungjawab. Dan keputusan yang diambil Allahyarham Tun Razak bukanlah sesuatu yang mudah. Memandangkan pilihan raya berlangsung pada 10 Mei, perkara terakhir yang dilakukannya ialah menjejaskan trend undian terhadap Parti Perikatan. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, pastinya parti akan kehilangan lebih banyak undi pada hari pemilihan.

Dan satu fakta yang mungkin tidak disedari semua terutama Allahyarham Tun Razak dan Almarhum Tunku sendiri ialah walaupun perarakan berjalan lancar di sebalik pelbagai provokasi yang dilemparkan terhadap orang Melayu yang melihat ketika itu, tiada sebarang tindak balas awal dari orang Melayu. Jika benarlah beliau merancang orang Melayu mengamuk sejurus selepas permit diberikan kepada penganjur, sejarah pasti akan menunjukkan sebaliknya. Walaupun ketegangan kaum semakin memuncak disebabkan perarakan tersebut, tiada sebarang insiden berlaku dari 9 Mei hinggalah 12 Mei 1969.

Justeru, teori yang mengatakan Allahyarham Tun Razak memberi permit kepada perarakan pengebumian bagi menggulingkan Almarhum Tunku merupakan sesuatu yang mengarut. Lainlah sekiranya beliau memberi permit kepada parti-parti kerajaan mengadakan perarakan sama bagi meraikan kejayaan mereka selepas pilihan raya umum. Tetapi berdasarkan pelbagai laporan, semua perarakan bagi meraikan kejayaan parti masing-masing dianggap tidak sah.

Almarhum Tunku sendiri dalam bukunya berkenaan 13 Mei, 13 Mei: Sebelum dan Selepas tidak bersetuju dengan perarakan yang dianjurkan Parti Buruh bagi menghormati mendiang. Tetapi selepas keluarga mangsa dan pemimpin Parti Buruh merayu kepada pihak polis, ia diteruskan dengan syarat ia mengikut laluan yang ditetapkan dan bilangan yang menyertai mestilah sedikit. Dalam erti kata lain, ia seharusnya diuruskan seperti upacara pengebumian biasa lain. Namun, itu sama sekali tidak berlaku pada 9 Mei dan semua sedia maklum apa jenis provokasi yang dimainkan mereka hari itu.

Dan jika benarlah Tun Dr Mahathir merupakan sebahagian daripada perancang rampasan kuasa itu, maka mengapa semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hanya beliau sahaja yang disingkirkan? Ini berdasarkan coretan Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya Surat Dari Dr Mahathir tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat itu. Baca petikan ini:

Keruncingan hubungan Dr Mahathir dengan Tunku Abdul Rahman terus memperhebatkan lagi gelora politik tanahair terutama dalam kalangan orang Melayu selepas peritistiwa 13 Mei. Tunku menganggap surat Dr Mahathir kepadanya yang tersebar luas di seluruh tanahair sebagai memusnahkan seluruh pengorbanannya terhadap negara dan bangsa sejak 17 tahun lalu. Ini mendorong Tunku memberikan kata dua kepada Umno. Pilih “saya atau Dr Mahathir”.

Apabila Timbalan Presiden Umno, Tun Abdul Razak menyampaikan kata dua ini kepada mesyuarat MKT Umno di Sri Taman pada 12 Julai 1969, Harun Idris berkata, “Tun (Razak), kalau begitu, buat apa panggil mensyuarat ini, buang sahajalah Mahathir”. Pandangan beliau disokong kuat oleh Ketua Kaum Ibu Umno, Tan Sri Fatimah Hashim dan juga Pengerusi Pemuda Umno Negeri Kedah, Syed Nahar Shahabudin. Tun Abdul Razak seterusnya memberitahu bahawa Dr Mahathir sebagai ahli MKT telah melanggar tatatertib parti kerana membuat kenyataan kepada umum tentang perkara yang sangat penting mengenai parti.

Jika benar Allahyarham Datuk Harun merupakan sebahagian daripada plot itu, mengapa beliau enggan mempertahankan Tun Dr Mahathir daripada dipecat parti? Malah, beliau juga yang merasakan tindakan menyingkirkan Tun Dr Mahathir satu langkah terbaik. Dan kalau ikutkan, rusuhan kaum dan kemurkaan Almarhum Tunku terhadap beliau merupakan dua insiden berbeza. Saya ulang, dua INSIDEN BERBEZA. Kemurkaan Almarhum Tunku terhadap Tun Dr Mahathir hanya muncul pada pertengahan Jun selepas surat beliau yang ditulis secara peribadi kepada baginda menjadi surat terbuka.

Surat inilah yang membawa kepada pemecatan Tun Dr Mahathir dari UMNO beberapa bulan selepas itu. Dan Almarhum Tunku juga tidak pernah menuduh beliau sebagai dalang kekecohan pada 13 Mei. Malah, tiada sebarang bukti yang menunjukkan Allahyarham Tun Razak dan Allahyarham Datuk Harun sebagai dalang  rancangan perarakan kejayaan dan kekecohan di Setapak, tempat bermulanya kekecohan insiden 13 Mei. Justeru, untuk mengaitkan negarawan yang bertanggungjawab kepada kemerdekaan negara dengan insiden berdarah ini merupakan sesuatu yang mengarut.

2. MAGERAN

Dalam buku yang sama, Kia Soong turut menuduh Allahyarham Tun Razak cuba meminggirkan orang Cina dari pihak kerajaan pasca-13 Mei. Selain itu, aktivis SUARAM itu juga mendakwa beliau tidak mahu memberi ruang kepada tokoh-tokoh Cina berfahaman sederhana kerana mahukan kawalan penuh dalam kerajaan. Semua dakwaan ini bersandarkan kepada satu dokumen yang kononnya telah dinyahsulitkan berkenaan satu sumber Agensi Perisikan Pusat (CIA) berkenaan kebimbangan mereka terhadap beliau.

Hakikatnya, sesiapa yang melihat senarai anggota MAGERAN mendapati nama Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambathan membentuk komposisi anggota majlis berkenaan. Walaupun pengundi Cina memutuskan untuk mengabaikan MCA, Allahyarham Tun Razak tetap memasukkan mereka dalam senarai anggota kabinet.

Perlu diingat, selepas MCA tewas teruk pada pilihan raya 1969, mereka tidak mahu dipilih sebagai anggota kabinet kerana merasakan menjadi punca kegagalan Parti Perikatan. Apa yang dilakukan beliau dilakukan demi kebaikan negara untuk jangka masa panjang. Justeru, Parti Perikatan di bawah pimpinan Allahyarham Tun Razak dilihat mahu memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi, menambahbaik semangat muhibbah dan harmoni antara kaum yang terjejas akibat insiden berkenaan serta menghalang negara dari menjadi titik kecil dalam sejarah.

Kedua, jika benar Allahyarham Tun Razak mempunyai kecenderungan autokratik seperti didakwa Kia Soong, beliau boleh saja memanjangkan lagi tempoh darurat di bawah MAGERAN untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan. Dan beliau boleh saja membuat usul menyingkirkan Almarhum Tunku semasa mesyuarat MKT sama yang membawa kepada pemecatan Tun Dr Mahathir. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku dan ini merupakan satu lagi fitnah yang mencemarkan nama baik beliau.

Dan jika Kia Soong cuba pula menggunakan sudut hubungan kurang enak Allahyarham Tun Razak-Almarhum Tunku, hakikatnya hubungan mereka sentiasa baik walaupun diuji dengan insiden 13 Mei. Malah dalam bukunya 13 Mei: Sebelum dan Selepas, baginda merasakan beliau orang terbaik yang boleh mengendalikan MAGERAN. Malah mereka berdua sentiasa berhubung bagi memastikan tempoh yang dianggap mencabar dalam tempoh 12 tahun kemerdekaan negara dapat dilalui tanpa sebarang insiden.

Pandangan terakhir

Jarang saya berbicara tentang isu-isu yang bersifat kontroversi sebegini. Jika adapun, mungkin sudah setahun lepas. Tetapi 13 Mei 1969, suka atau tidak, ia satu topik yang bukan saja perlu didedahkan tetapi perlu dipelajari segala jenis pengajaran di sebaliknya. Ini kerana dari insiden ini, kita belajar untuk menerima ia sebahagian daripada catatan sejarah, mengambil segala pengajaran dari apa yang berlaku dan belajar untuk menjadi sebuah negara yang terbaik. Jangan kerana pendirian politik bersifat sempit, yang kecundang bukan kuasa tetapi negara tercinta ini.

SUMBER

  1. Mudhakkir, Ahmad. (2018). Ringgit Plus. 6 Things You Didn’t Know About the Malaysian Ringgit. https://ringgitplus.com/en/blog/Funny-Money/6-Things-You-Didn-t-Know-About-the-Malaysian-Ringgit.html
  2. Jebat. (2009). Jebat Must Die. THE 13TH MAY 1969 RACIAL RIOTS The True and Fair View. https://jebatmustdie.files.wordpress.com/2009/06/13-may-1969-analysis-by-jmd.pdf
  3. MAGERAN. (1969). Laporan Tragedi 13 Mei. https://rayaputeh.wordpress.com/laporan-tragedi-13-mei/
  4. Abdullah, Saifuddin. (2001). Utusan Malaysia. Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu dinilai. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
  5. Utusan Malaysia. (2013). MPAJA bunuh ramai orang Melayu. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131004/lk_01/MPAJA-bunuh-ramai-orang-Melayu

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.