Kuil Sensoji, Pusat Buddhisme Bagi Masyarakat Jepun Di Tokyo

191

Tokyo adalah sebuah bandar moden lagi maju, namun ia juga merupakan sebuah tempat yang memiliki sejarah yang cukup panjang. Antara faktor yang memasyhurkan bandar berkenaan adalah kuil-kuil yang terdapat di sana. Antara kuil yang paling masyhur di Tokyo adalah Kuil Sensoji. Kuil ini adalah yang tertua di bandar berkenaan dan ia memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah Tokyo dan perkembangan Buddhisme dalam kalangan masyarakat Jepun. Pada hari ini, Kuil Sensoji sangat masyhur baik dalam lingkungan penduduk tempatan mahupun pelancong asing.

SEJARAH KUIL SENSOJI, TOKYO, JEPUN

Kuil ini kali pertama dibina pada kurun ke-7M apabila Buddhisme masih dianggap sebagai sebuah agama asing di Jepun. Menurut legenda, kuil tersebut dibangunkan untuk memuliakan sebuah patung bodhisattva Kannon (Avalokitesvara). Bodhisattva adalah seseorang yang berada dalam perjalanan menjadi Buddha dan berhajat untuk membantu manusia mencapai keselamatan. Legenda menyatakan bahawa patung tersebut ditemui oleh dua orang beradik dan apabila mereka berdua membawanya pulang ke kampung halaman di Asakusa, sebuah makam suci dibangunkan bagi menempatkan patung berkenaan. Merentas tahun, makam tersebut kemudiannya menjadi sebuah kuil lantaran agama Buddhisme menjadi semakin masyhur dan Asakusa pula berkembang menjadi sebuah bandar.

Kaminarimon atau Gerbang Petir di Kuil Senso-ji, Asakusa, Tokyo

Kaminarimon atau Gerbang Petir dibangunkan buat kali pertama pada tahun 941M dan ia menjalani pembinaan semula beberapa kali. Pada tahun berikutnya, Hozomon atau gerbang di bahagian dalam kompleks kuil dibina oleh ketua puak Taira Samuari. Pada kurun ke-17, Shogun Ieyasu (1543-1616) menjadikannya sebagai salah sebuah kuil keluarganya.

Pada zaman pemerintahan Tokugawa di Edo (kelak dinamakan sebagai Tokyo), kuil itu menjadi sangat terkenal dan ia dinaungi oleh ramai elitis. Pada kurun ke19, kuil tersebut terpaksa dibina semula berikutan bencana kebakaran dan gempa bumi yang berlaku. Semasa Perang Dunia Kedua berlaku, kuil ini mengalami kehancuran ketika Amerika melakukan pengeboman ke atas Tokyo. Lantaran itu, kuil Sensoji dibina semula secara keseluruhan. Pembinaan semula kuil ini dianggap oleh masyarakat Jepun sebagai simbol kehidupan semula negara sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Pada hari ini, kuil tersebut menjadi salah sebuah tapak keagamaan yang paling kerap dikunjungi di dunia dan ia kekal sebagai salah sebuah pusat Buddhisme di Jepun.

PERINCIAN KUIL SENSOJI, TOKYO, JEPUN

Pada laluan masuk utama ke kuil ini berdiri megah Gerbang Kaminorimon, yang dicat dengan warna merah dan dibumbungi dengan atap zink. Terdapat empat buah patung di gerbang tersebut, antaranya patung dewa angina dan petir yang terletak di dua buah ruangan kecil. Pada gerbang itu juga terdapat sebuah tanglung merah yang bergantungan. Menurut kisah rakyat tempatan, di dalam tanglung berkenaan dipercayai tinggal seekor naga.

Sebaik sahaja memasuki kuil, berbaris panjang kedai-kedai besar. Kewujudan kedai-kedai ini bukanlah suatu perkara baru. Ia berakar dari budaya kurun ke-17 lagi. Kebanyakan gerai di situ dicat dengan warna merah dan secara umumnya menjual cenderahati yang bersifat keagamaan.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Berhampiran kawasan membeli-belah yang sibuk ini pula terletak Kuil Denpoin, sebuah kuil yang memiliki sebuah pagoda dan kebun seluas 2.5 ekar yang dihiasi dengan gaya klasik Jepun. Terdapat banyak hasil seni berharga dan lembaran-lembaran ajaran Buddha digantung di kuil berkenaan. Walau bagaimanapun, kawasan ini hanya boleh diakses selama beberapa hari dalam bulan Mac setiap tahun. Hal ini kerana kuil tersebut masih lagi menjadi kediaman bagi sejumlah sami dan kebun-kebun di sana pula dimiliki oleh ketua sami.

Kaminarimon atau Gerbang Petir di Kuil Senso-ji, Asakusa, Tokyo

Di hadapan Kuil Denpoin ini berdiri pula gerbang monumental Hozomon, iaitu laluan masuk bersaiz besar berwarna merah dan dilengkapi dengan atap. Di sini terdapat tablet-tablet peringatan bagi beberapa orang yang telah meninggal dunia, yang jumlahnya tidak terhitung banyaknya. Terdapat juga di gerbang berkenaan pagoda lima-tingkat dengan gaya tradisional, selain dua buah patung Nio yang dianggap sebagai pelindung kuil tersebut.

Di sebalik bangunan ini terletak pusat kompleks kuil Hondo atau Kannon-do, yang kononnya tertanam di bawah tanahnya patung bodhisattva Kannon – patung yang ditemukan di sebatang sungai kira-kira 1500 tahun yang lalu. Terdapat juga sejumlah gerai cenderahati di sana dan kebanyakannya menjual setanggi dan skrol yang digunakan dalam upacara-upacara agama Buddha. Di hadapan kuil itu ditempatkan sebuah pembakar setanggi. Kuil ini diakses menerusi sebuah tangga dan ruangan dalamnya mengandungi banyak hasil seni yang sangat berharga.

MENGUNJUNGI KUIL SENSOJI, TOKYO, JEPUN

Kuil ini terletak di tengah-tengah daerah Asakusa, Tokyo, Jepun. Terdapat sejumlah stesen metro berhampiran kompleks agama Buddha itu. Sejumlah tempat penginapan turut tersedia di sana, yang sesuai dengan bajet yang pelbagai. Pada setiap tahun, sebuah keraian agama diadakan di kuil tersebut secara besar-besaran. Kuil ini dibuka pada waktu siang. Lantaran kuil ini bukan sahaja merupakan sebuah tempat tarikan pelancong, maka para pengunjung kadangkala berkesempatan untuk menyaksikan upacara-upacara keagamaan diadakan di sana.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (29 November 2019). Sensoji Temple, Tokyo’s Throbbing Heart of Japanese Buddhism. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sensoji-temple-0012924

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.