Nak tergelak baca helaian risalah sebuah pergerakan agama semasa pulang dari solat Jumaat minggu lepas yang menyeru tentera melakukan kudeta atau rampasan kuasa untuk menggerakkan tentera setiap negara untuk menyerang dan membebaskan Palestin sepenuhnya atas alasan kepimpinan setiap negara terlalu lemah untuk bertindak. Walaupun idea tersebut kelihatan bagus dan menaikkan lagi sentimen romanticisme berkenaan jihad, isu kekhalifahan dan Palestin, hakikatnya idea sebegini tidaklah seindah seperti yang disangka ramai orang.

Kudeta bukanlah perkara asing dalam sejarah manusia. Ini dibuktikan dengan tindakan seorang jeneral tentera Yahudi bernama Zimri atau Zambri merampas kuasa pemerintahan kerajaan dengan membunuh rajanya, Raja Elah dan seluruh kaum kerabatnya pada 876 Sebelum Masihi. Namun, Zimri tidak bertahan lama menduduki takhta dan hanya bertahan selama tujuh hari kerana pihak tentera memilih Omri sebagai pengganti Elah dan menolak Zimri sebagai pemerintah mereka. Lalu baginda mengambil keputusan membunuh diri untuk mengelak rampasan kuasa yang dilakukan Omri. Bagi yang meminati sejarah Rom, pasti sedar tindakan Julius Caesar merampas kuasa daripada Senat dan mengisytiharkan dirinya sebagai diktator Rom. Bagi yang mengkaji sejarah Islam, anda pasti sedar tindakan jeneral Bani Abbasiyyah, Abu Muslim al-Khorasani yang menyerang Damsyik pada 751 Masihi dan membunuh seluruh Bani Umayyah bagi membantu Abu Abbas al-Saffah bergelar khalifah pertama Bani Abbasiyyah.

Tentang soal kudeta, mengapa saya berkeras menentang? Rampasan kuasa atau kudeta merampas hak asas rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan atas nama keselamatan. Dan ini bukan sesuatu yang asing di mana tentera yang naik menahan pemimpin kerajaan, aktivis politik atau mana-mana individu berpengaruh yang dirasakan menjadi ancaman keselamatan kepada negara pada ketika itu. Selain penahanan, junta tentera yang terlibat membentuk kerajaan baru dan menghentikan perlaksanaan hak yang dijamin dalam perlembagaan dan undang-undang seperti kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berhimpun. Makanya, apa yang kita lakukan selama ini tanpa segan-silu seperti mengumpat, menghina dan memfitnah boleh saja dihentikan dalam sekelip mata dan kita boleh saja ditahan, dibicarakan di mahkamah dan mereput dalam penjara. Dan ini bukan sesuatu yang patut dipandang main-main.

Semasa Abdel Fattah al-Sisi merampas kuasa daripada presiden Mesir, Mohammad Morsi dan menlantik Adly Mansour sebagai presiden sementara, berapa ramai ahli Ikhwanul Muslimin ditahan dan dibicarakan atas dakwaan-dakwaan yang kurang munasabah daripada Morsi, mursyidul am, Mohammad Badie sehinggalah ahli-ahli biasa. Dan selain ahli Ikhwan, krew berita Al-Jazeera, Peter Greste, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed ditahan dan dibicarakan atas dakwaan menyebarkan berita palsu dan berkolaborasi dengan Ikhwanul Muslimin. Pada tahun 2014 pula, lebih 100 tokoh dan aktivis politik berpengaruh Thailand dipanggil pihak junta untuk tujuan siasatan termasuk Perdana Menteri Thailand ketika itu, Yingluck Shinawatra.

Selain penafian hak menurut perlembagaan dan undang-undang, rampasan kuasa atau kudeta juga boleh menyebabkan negara kembali ke belakang sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun. Ya, jika mengikut teori, negara-negara diktator ini boleh saja menjana ekonomi mereka ke arah lebih baik kerana tidak ada halangan dari kerenah birokrasi untuk membawa negara ke hadapan. Dan mereka boleh saja memberi panduan dan nasihat yang baik kepada pemerintah. Namun, tindakan sebegini boleh menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah berleluasa dalam negara. Ini kerana kelompok sebegini boleh saja mengambil kesempatan daripada penggunaan kuasa yang wujud angkara kudeta sama ada untuk mengkayakan diri sendiri atau membina rangkaian penyokong junta yang setia kepada junta.

Trend sebegini dilihat jelas berlaku bukan saja semasa hari-hari awal al-Sisi tetapi berlaku sejak zaman Gamal Abdel Naser lagi. Khaled Fahmy, ketua bahagian sejarah, Universiti Amerika di Kaherah menyifatkan pembabitan tentera dalam sektor ekonomi Mesir dianggap ekonomi kelabu kerana ia tidak tertakluk kepada inkuiri Parlimen dan jabatan audit Parlimen tidak ada kawalan atau sebarang pengetahuan berkenaan sektor tersebut. Berdasarkan rekod, Nasser memberi ganjaran kepada pegawai-pegawai tentera yang setia dengan memberikan mereka jawatan di peringkat kementerian atau di peringkat wilayah. Sementara pada era Anwar Sadat dan Hosni Mubarak pula, pegawai-pegawai tentera diberi ganjaran perlantikan dalam sektor perkhidmatan sementara pegawai polis pula diberi perlantikan politik sebagai ganjaran. Sementara bekas presiden Indonesia, Suharto pula menubuhkan beberapa yayasan yang dikawal tentera dan ahli keluarganya untuk mencuri duit negara sehingga mencecah hampir $570 juta. Sebagai ganjaran, mereka diberikan saham dalam syarikat-syarikat penting Indonesia tanpa perlu membayar satu sen pun.

Tapi sebab paling mudah saya menentang rampasan kuasa atau kudeta ialah jumlah nyawa yang terkorban. Semua tahu, bila mana pihak tentera melancarkan rampasan kuasa dan mereka datang dari pelbagai lapisan masyarakat. Sama ada mereka tentera yang setia kepada kerajaan sebelumnya, aktivis dan penggiat politik atau rakyat biasa, ramai akan keluar di jalanan dan membangkang gerakan ini sekeras-kerasnya. Dan bila mana ia jadi pertumpahan darah, ia akan mencetuskan lebih banyak kekacauan dan huru-hara dalam negara tersebut.

Contoh paling mudah, serbuan tentera ke atas penunjuk perasaan di Dataran Rabaa al-Adawiyah yang mengorbankan lebih 538 orang mengikut statistik rasmi Kementerian Kesihatan Mesir. Namun laporan rasmi pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch mendedahkan 817 atau 1000 orang terbunuh dalam insiden tersebut. Pihak Human Rights Watch dalam laporannya menyelar pendekatan keras kerajaan kudeta dalam menangani demonstrasi penyokong pro-Morsi dan anti-kudeta serta menyifatkan insiden tersebut pembunuhan penunjuk perasaan paling besar dalam sejarah. Di Giza pula, lebih 200 orang terbunuh di mana kebanyakan mayat dalam keadaan menyayat hati iaitu terbakar dan penuh dengan lubang peluru. Sementara di Turki pada tahun lepas, 300 orang terbunuh dalam cubaan rampasan kuasa tentera untuk menyingkirkan presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Walaupun tentera mengatakan mereka melakukannya untuk menyelamatkan kerajaan dari menjadi era diktator seperti mana yang dilakukan pada 1807-1808, 1912, 1913, 1960 dan 1980, tetapi hasrat mereka ditentang ramai rakyat Turki. Erdogan menyifatkan kelompok perampas kuasa tidak mendapat mandat rakyat Turki yang menentang keras cubaan kudeta ini.

Siapa yang tidak mahu Palestin kembali merdeka dan di bawah penguasaan orang Islam. Ia menjadi impian semua orang Islam di dunia. Tetapi untuk membebaskannya dengan cara sebegini bukanlah solusinya. Boleh saja kudeta digerakkan dan ketumbukan askar boleh digerakkan untuk melakukannya. Tetapi apa pula nasib rakyat yang ditinggalkan tatkala terlalu beria-ia melaksanakan misi suci ini? Dan apakah si penulis tidak mengambil kira kesan jangka pendek, sederhana dan panjang jika kudeta tetap diteruskan pada agama, bangsa dan negara? Dan jika melihat kepada keadaan negara Islam hari ini, kita masih lagi lemah di mana negara-negara masih lagi bermusuhan antara satu sama lain. Tak perlu lihat jauh, lihat saja sekatan dikenakan kuartet negara Arab, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke atas Qatar kerana Qatar dianggap berkolaborasi dengan pertubuhan pengganas. Arab Saudi pula bergelut dengan Iran berkenaan soal hegemoni Semenanjung Tanah Arab terutama di Teluk Parsi. Dan apakah si penulis lupa ada sesetengah negara ini punya hubungan baik dengan Israel dan katalah ekspedisi ini tetap dijalankan, apa peluang sesetengah negara ini boleh menikam ketumbukan tentera dari belakang? Adakah si penulis lupa akan kisah Iran-Contra di mana Israel menjual senjata kepada Iran sebagai tukaran kepada pembebasan tujuh tebusan warga Amerika yang ditahan Hizbullah pada 80-an? Dan sebagai tukaran, pihak Amerika sedia menggantikan senjata Israel dan menjual kepada mereka, hasil jualan pula diagihkan kepada kumpulan-kumpulan anti-Sandinista di Nicaragua? Atau si penulis lupa tindakan Israel mahu berunding dengan Arab Saudi untuk memperkuat hubungan ekonomi dua hala selain sokongan moral mereka kepada Arab Saudi dalam sekatan Qatar? Belum campur lagi pergantungan keterlaluan negara-negara Arab kepada Barat dalam soal ekonomi atau sesetengah tokoh membiarkan diri mereka jadi boneka dalam permainan perebutan kuasa? Terlalu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum langkah radikal sebegini dipertimbangkan.

Jika si penulis benar-benar mahu berjuang membebaskan Palestin, sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk menekan pihak Israel. Bagi para pemerintah terutama yang ada hubungan baik dengan Barat, mereka boleh saja memanfaatkan hubungan tersebut dengan menyuarakan bantahan atau kebimbangan berkenaan isu Palestin. Dan dari hubungan baik ini, mereka boleh saja membina rangkaian pelobi mereka sendiri agar isu-isu berkenaan umat Islam seperti Palestin jadi tumpuan negara tersebut. Bagi individu berpengaruh seperti artis, sasterawan, cendekiawan dan usahawan, mereka boleh saja melakukan Boikot, Keluarkan Pelaburan Saham dan Sekatan (Boycott, Divestment dan Sanction/BDS) sebagai menyambut usaha memaksa Israel menghentikan semua aktiviti penjajahan dan kezaliman ke atas warga Palestin. Inisiatif BDS yang dilakukan ini amat membanggakan kerana ia memberi pukulan keras kepada status ekonomi Israel. Menurut satu laporan, sekiranya Israel berterusan dikenakan BDS, ia boleh menyebabkan kerugian $47 billion untuk jangka masa panjang. Bagi pengguna juga, BDS boleh dilaksanakan dengan memulaukan mana-mana produk yang mempunyai kaitan dengan Israel. Bagi penulis, aktivis dan wartawan, perjuangan menceritakan kisah sebenar Palestin dari kesengsaraan penduduk di Tebing Barat dan Gaza hinggalah kolaborasi pihak berkuasa Palestin dan Israel dalam memusnahkan penentangan penjajahan rejim patut diteruskan. Selama ini, masyarakat dibutakan dengan laporan-laporan yang bersifat bias, palsu dan menggambarkan rejim sebagai mangsa. Sebagai penulis, wartawan atau aktivis, cerita-cerita sebegini harus dibanteras dan diterangkan semula bagi membolehkan penduduk dunia mengenali sisi sebenar Palestin dan sisi gelap Israel yang tidak diketahui. Namun paling penting, doa dan sokongan padu tidak harus dilupakan. Siapa tahu, pada hari yang dijanjikan, Baitulmaqdis dan Palestin kembali ke tangan umat Islam sementara Israel hanyalah nota kecil dalam lipatan sejarah dengan syarat ummah kembali bersatu di bawah panji tauhid.

Sumber:

  1. Ellis, Niv. (2015). The Jerusalem Post. Study: Peace would boost Israel’s economy $123 billion by 2024. http://www.jpost.com/Business-and-Innovation/Study-Peace-would-boost-Israels-economy-123b-by-2024-405393
  2. The Electronic Intifada. https://electronicintifada.net/
  3. Akhbar Haaretz. (2017). Israel, Saudi Arabia are reportedly negotiating economic ties. http://www.haaretz.com/middle-east-news/1.796215
  4. Al-Jazeera English. (2017). Israel calls for Saudi Arabia ties and state visits. http://www.aljazeera.com/news/2017/06/israel-calls-saudi-arabia-ties-state-visits-170622082111519.html
  5. Suruhanjaya Tower. (1986). Laporan Suruhanjaya Tower Berkenaan Skandal Iran-Contra. http://www.presidency.ucsb.edu/PS157/assignment%20files%20public/TOWER%20EXCERPTS.htm
  6. Worley, Will dan Cockburn, Harry. (2016). Akhbar The Independent. Prime Minister says 265 people killed in attempted military coup, including at least 100 plotters. http://www.independent.co.uk/news/world/europe/turkey-coup-dead-erdogan-military-chief-ankara-istanbul-death-toll-plotters-how-many-killed-wounded-a7140376.html
  7. Kingsley, Patrick. (2016). Akhbar The Guardian. Turkey coup: Erdogan mourns casualties-and vows retribution. https://www.theguardian.com/world/2016/jul/17/recep-tayyip-erdogan-mourns-coup-casualties-and-vows-retribution
  8. BBC News. (2013). Egypt crisis: Al-Jazeera journalists arrested in Cairo. http://www.bbc.com/news/world-middle-east-25546389
  9. Tadros, Sherine. (2012). Al-Jazeera. Egypt military’s economic empire. http://www.aljazeera.com/indepth/features/2012/02/2012215195912519142.html
  10. Koerner, Brendan. (2004). Slate.com. How did Suharto steal $35 billion? http://www.slate.com/articles/news_and_politics/explainer/2004/03/how_did_suharto_steal_35_billion.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply