Kucing sebagai haiwan peliharaan bukanlah yang paling sosial atau paling peramah. Tetapi berdasarkan satu eksperimen yang dibuat di Jepun, ia bukan saja tahu nama pemiliknya. Malah, ia juga tahu nama teman-teman sepermainannya.
Kajian ini dibuat sekumpulan pengkaji dari Universiti Kyoto, Jepun. Mereka mengkaji perilaku 48 ekor kucing yang tinggal dengan haiwan peliharaan lain sama ada di rumah atau di kafe kucing.
Kucing-kucing ini akan diperdengarkan suara tuan mereka memanggil kucing atau haiwan lain yang tinggal bersama mereka. Kemudian, imej kucing yang dipanggil akan muncul pada skrin komputer. Bagi menguji reaksi yang berbeza, gambar kucing lain akan ditunjukkan sebagai ganti imej kucing/haiwan peliharaan lain yang tinggal bersama kucing berkenaan.
Daripada 48 ekor kucing yang diuji, 19 merenung skrin untuk tempoh lama. Ini kerana si kucing merasakan nama yang dipanggil tuannya tidak sama dengan imej yang dipaparkan di skrin. Ia merupakan reaksi terkejut tipikal untuk kucing.
Dalam satu eksperimen yang lain, kucing-kucing ini akan ditunjukkan imej tuan mereka atau diri mereka apabila namanya dipanggil. Walaupun 26 ekor kurang berjaya, tetapi ia merenung skrin untuk tempoh lama apabila nama dan imej yang dipaparkan tidak sama. Ini terjadi kepada kucing yang tinggal bersama keluarga besar.
Pengkaji dari Universiti Kyoto percaya ini berkemungkinan berkait dengan faktor persaingan. Ini kerana apabila namanya dipanggil, si kucing tahu itu merupakan waktu makannya. Jika nama kucing lain yang dipanggil, maka itu bukan waktu makan untuknya.
Bagaimanapun, dari segi nama tuan mereka, kucing tiada sebab merasa terancam. Ini kerana tuan mereka atau manusia lain tidak akan mengganggu makanan mereka. Lantas, tiada keperluan bagi si kucing mengingati nama tuan mereka.
Kajian bersifat pelik bin ajaib ini diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports.
RUJUKAN
Allen, V. (2022, 15 April). Fur real? Cats know the name of their owner and can also recognise the monikers of their feline friends, research shows. Daily Mail.