Kucing Menganggap Tuan Mereka Bak Ibu Bapa Mereka

1,677

Tak sah dalam kehidupan masing-masing jika tidak mempunyai haiwan peliharaan yang disayangi dan dibelai setiap hari. Bagi yang mengikuti kisah orang kuat The Patriots iaitu abang Jamalee, pasti sudah masak dengan kerenah salah seekor kucingnya bernama Jimi. Penulis sendiri mempunyai banyak kucing yang meninggalkan kenangan bukan sedikit terhadapnya. Tetapi tahukah anda, kucing boleh mendemonstrasikan hubungan rapat mereka terhadap penjaga mereka sama seperti anjing dan bayi manusia.

Ini didedahkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Negeri Oregon berdasarkan satu eksperimen. Dalam eksperimen membabitkan 70 anak kucing sebagai subjek eksperimen, kucing-kucing ini akan diletakkan dalam sebuah bilik selama dua minit bersama tuan mereka sebelum ditinggalkan bersendirian selama dua minit dan disatukan semula. Para penyelidik yang mengkaji tingkah laku anak kucing ini memgelaskan jenis hubungan mereka sama seperti bayi dan anjing dalam empat kategori: selamat, ambivalen, mengelak dan tidak terurus.

Hasil eksperimen mendapati 60% mempunyai hubungan rapat yang selamat dengan tuan mereka. Dengan kata lain, jika anak kucing ini dibiarkan bersendirian tanpa tuannya, mereka akan merasa tertekan. Tetapi mereka akan merasa selamat apabila tuan mereka kembali menerusi keseimbangan hubungan rapat dan eksplorasi antara kedua-duanya.

Manakala 30% lagi subjek menunjukkan gaya hubungan tidak selamat di mana mereka merasa tertekan apabila disatukan semula dan menunjukkan sama ada melalui sentuhan berlebihan, mengelak atau tidak terurus. Berdasarkan kajian berkenaan, perubahan sebegini sama seperti yang dialami oleh kanak-kanak. Dan kandungan kajian terus kekal konsisten walaupun subjeknya diubah kepada kucing dewasa dan ulangan eksperimen dibuat dua bulan kemudian.

RUJUKAN:

Pearson, Jordan. (2019). Your Cat Thinks of You Like a Parent, Study Suggests. Vice.com. https://www.vice.com/en_us/article/pa735v/your-cat-thinks-of-you-like-a-parent-study-suggests

Ruangan komen telah ditutup.