Kucing Disembah Sebagai Tuhan Oleh Mesir Purba

2,423

Dunia dewata Mesir dipenuhi dengan pelbagai jenis makhluk yang mengagumkan. Setiap satunya menggamit perhatian menerusi gambarannya yang unik. Panteon yang besar ini terdiri dari ratusan dewata, yang kebanyakannya dirincikan berbentuk haiwan. 

Hal ini dilihat sebagai isyarat penekanan tentang hubungan yang terjalin rapat lagi mendalam antara masyarakat Mesir purba dengan alam. Namun, terdapat satu dewata yang amat menonjol antara semua. Malah dalam lipatan sejarah, kultus yang menyelubungi dewata ini merupakan antara yang paling terkemuka di Mesir.

Nama dewata yang dimaksudkan ini adalah Bastet si dewi cinta, kegembiraan, wanita dan juga kesenangan. Dewi ini digambarkan sebagai seekor kucing. Disifatkan sebagai bengis namun penuh dengan ghairah, dewata ini amat dikasihi oleh masyarakat Mesir purba dalam rentang waktu yang agak panjang. Pada kesempatan kali ini, mari kita telusuri serba-serbi tentang Dewi Bastet.

Bastet si dewi kucing Mesir

BENTUK TERAWAL DEWI BASTET

Dalam mitologi masyarakat Mesir purba, Bastet merupakan salah satu dari sekalian dewata yang memegang gelaran ‘Mata Dewa Ra’. Hal ini sekaligus membuktikan keupayaannya sebagai dewata pelindung dan juga dewata penghukum. Bastet pada asalnya dikenali sebagai Bast, atau Baast, Ubaste dan juga Baset. Beliau dianggap sebagai salah satu dewata yang paling awal dikaitkan dengan masyarakat Mesir.

Kultus seputar Dewi Bastet berkembang secara stabil dalam sepanjang sejarah Mesir. Merentas masa, Bastet kemudiannya menjadi salah satu dewi utama dalam panteon Mesir. Begitu tingginya kedudukan yang diraih oleh dewi ini hinggakan ia memiliki pusat pemujaan tersendiri di sebuah kota yang dinamakan bersempena dengannya – iaitu kota Bubastis. Bubastis merupakan salah sebuah kota purba Mesir yang paling terkemuka, berlokasi di Mesir Hilir (Lower Egypt) atau tepatnya, berhampiran Delta Nil yang subur.

Maksud sebenar nama Bast sejak sekian lama telah menghantui para pengkaji Mesir purba. Tulisan hieroglif bagi namanya mengandungi bentuk yang menggambarkan balang (atau bekas) dan juga sepotong roti di sisinya.

Artifak pengebumian dari dinasti ke-18 yang dtemukan di makam Tutankhamun, berupa balang kosmetik alabaster yang dihiasi pada bahagian atasnya dengan singa betina, mewakili Bastet

Balang tersebut dikenali sebagai ‘bas’, manakala imej bulatan-separa kecil yang menggambarkan sepotong roti pula merujuk kepada sebutan penamat – t, yang menjadikan sebutannya berbunyi ‘bast’. Ramai penyelidik bersepakat mengatakan bahawa terjemahan sebenar bagi nama berkenaan adalah ‘Dewi Balang Sapuan’ (She of the Ointment Jar) – memandangkan bas di sini merujuk kepada balang seramik yang digunakan oleh masyarakat Mesir untuk menyimpan wangian ataupun sapuan. Barangan sebegini lazimnya dianggap sebagai barangan kebesaran diraja pada zaman tersebut.

Peranan Dewi Bastet yang paling utama agak mirip dengan beberapa dewi kucing yang lain, iaitu melindungi para raja. Sama seperti Mafdet si kucing pelindung kamar peribadi firaun, dan juga Sekhmet si singa betina bengis yang berperanan menghancurkan musuh sang raja, Bast pula dianggap sebagai dewi yang bertanggungjawab mengasuh dan melindungi raja.

Kemasyhuran Bastet di zaman Mesir purba meraih kemuncak sekitar zaman dinasti ke-22, atau tepatnya pada tahun 945SM. Pada waktu itu, firaun pengasas bagi dinasti tersebut iaitu Hedjkheperre Setepenre Shoshenq I menjadikan Bubastis sebagai pusat pemerintahannya.  Hal ini sekaligus membuatkan kota berkenaan menjadi sebuah kota Mesir yang penting.

Beliau memulakan usaha pembinaan kuil yang megah lagi hebat. Projek pembinaan ini diteruskan oleh puteranya, Osorokon II dan disiapkan oleh cucunya, Osorokon III. Kuil ini didedikasikan khusus buat Dewi Bastet.
Gambaran-gambaran terawal bagi Dewi Bastet menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang wanita berkepala singa betina. Gambaran awal seperti ini memiliki banyak kesamaan dengan dewi pahlawan iaitu Sekhmet yang juga terkenal sebagai dewata singa. Namun, seiring peredaran zaman, imej Bast berubah menjadi lebih jinak. Justeru, imej singa betina yang dikaitkan dengannya mula berubah menjadi imej kucing.

Setelah itu, Dewi Bastet mula digambarkan sebagai seorang wanita berkepala kucing, atau bahkan kucing tanpa langsung ada sifat-sifat manusia. Susulan daripada hal tersebut memperlihatkan wujudnya perkembangan amalan memuja kucing di Mesir, di mana haiwan tersebut dianggap sebagai haiwan suci.

Bastet digambarkan sebagai wanita berkepala kucing

Dalam sejarah Mesir purba, kucing menduduki tempat yang sangat istimewa dan diberikan penghormatan khusus. Banyak haiwan lain yang dihormati dan dipersembahkan sebagai haiwan korban kepada para dewa, antaranya seperti babun, buaya, anjing, burung sekendi, cerpelai dan lain-lain. Namun di antara semua haiwan itu, tiada yang dapat menanding keistimewaan kucing.

Penghormatan dan pemujaan kucing tersebar begitu meluas hinggakan apabila amalan tersebut merudum ataupun menghilang, kita dapat melihatnya dengan begitu jelas sekali. Hal ini disebabkan kerana masyarakat Mesir lebih menumpu pada aspek-aspek kedewataan haiwan tersebut, iaitu Dewi Bastet dan bukannya haiwan itu sendiri. Justeru, tidak hairanlah jika mereka memumiakan begitu banyak kucing sebagai satu bentuk pemujaan Dewi Bastet.

Mengikut perkiraan ahli arkeologi, jumlah mumia kucing yang telah ditemukan mencecah jutaan. Amalan memuja Dewi Bastet dengan mempersembahkan korban kucing yang berleluasa pada hakikatnya membawa kepada implikasi yang amat buruk kepada haiwan berkenaan. Misalnya, banyaknya bilangan kucing yang diperlukan untuk dijadikan sebagai mumia (untuk dipersembahkan kepada Dewi Bastet) telah melahir dan mengembangkan sebuah sektor ekonomi yang tersendiri dalam kalangan masyarakat Mesir purba. 

Rangkaian perdagangan yang luas melibatkan kucing mula wujud, di mana ia meliputi kerja-kerja pembiakan dan penjualan kucing, penjualan patung dan keranda pengebumian kucing, pegawai yang menyelia kerja-kerja memumiakan kucing, penjual makanan, minyak, resin dan juga bahan-bahan awet serta segala perkara yang berkait dengan amalan pemujaan Dewi Bastet.

Di samping itu, terdapat banyak necropolis 
yang dibangunkan secara khusus untuk kucing, terutama di tapak pengebumian Saqqara (Memphis) di Bubastis. Begitu juga dengan Speos Artemidos yang terletak berhampiran Beni Hasan. Setiap tapak pengebumian ini menempatkan ratusan bahkan ribuan kucing yang telah terlebih dahulu dimumiakan. Selain tulang-temulang kucing, antara yang turut ditemukan sudah tentulah keranda-kerana kucing yang dihasilkan dengan begitu terperinci, sesuai kefungsiannya sebagai sembah korban buat Dewi Bastet.

PEMUJAAN KUCING – KERANA KASIH MAKA DIMUMIAKAN


Pada tahun 1890, suatu pemandangan yang amat mengejutkan didokumentasikan oleh Sir William Martin Conway, 1st Baron Conway of Allington. Ketika menziarahi Mesir, beliau sempat menyaksikan kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di sebuah tapak pengebumian kucing yang amat luas saiznya. Bertempat di Speos Artemidos, berhampiran Beni Hasan. Di situ sahaja, terdapat lebih 200 000 ekor kucing dikuburkan. Barang-barang berharga di dalamnya pula telah pun dicuri.

Pameran mumia-mumia kucing di Muzium Louvre

Pencuri-pencuri tersebut sejak sekian lama melakukan aktiviti penjarahan ke atas tapak berkenaan dan memilih mumia-mumia yang berkualiti tinggi untuk dijual kepada para pelancong yang lalu-lalang di kawasan sekitar. Pada masa itu, anda boleh sahaja membeli kucing Mesir sebenar yang telah dimumiakan dengan bayaran beberapa keeping syiling. Malah, kebanyakan mumia-mumia kucing itu dihantar ke England, terutama Liverpool. Di sana, sebahagian daripada mumia tersebut dijual sebagai cenderamata manakala sebahagian yang lain pula dijadikan sebagai baja.

Walaupun kucing-kucing tersebut dibunuh dalam skala yang begitu besar – paling kurang 10 000 kucing dimumiakan pada setiap tahun – pada hakikatnya haiwan itu diberikan penghormatan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Mesir purba. Perbuatan membunuh kucing tanpa sebab dianggap sebagai satu kesalahan jenayah tahap tinggi. Diodorus Siculus pernah menulis tentang seorang warga Rom di Mesir yang dijatuhi hukuman bunuh oleh orang awam di atas perbuatannya membunuh seekor kucing.

Mencederakan kucing merupakan satu penghinaan yang berat buat mereka. Begitu juga dengan perbuatan membunuh burung sekendi, burung gagak ataupun kucing – baik secara sengaja ataupun tidak sengaja – kesemuanya merupakan jenayah yang boleh dijatuhi hukuman mati.
Para pemuja Dewi Bastet lazimnya berkumpul pada setiap tahun dalam sebuah keraian yang diadakan secara khusus untuk dewi tersebut.

Hal ini dituliskan secara terperinci oleh Herodotus yang pernah menyaksikan sendiri festival berkenan. Beliau mencatatkan bahawa Festival Dewi Bastet merupakan keraian yang paling masyhur sepanjang tahun. Kira-kira 700 000 orang berhimpun dan berlayar merentasi Sungai Nil untuk menuju kota Babustis demi menghadiri festival berkenaan.

Festival tersebut disambut dengan penuh mewah dan para hadirin kebiasaannya meminum arak jauh lebih banyak berbanding pada hari-hari biasa. Acara ritual dan sembah korban merupakan acara kemuncak bagi festival itu, di mana kesemua aktiviti ini dilangsungkan di Kuil Bastet, Bubastis. Herodotus turut menyebutkan tentang sekumpulan besar pemuja wanita yang turut terlibat dalam festival itu. Hal ini menggambarkan kepada kita tentang peranan atau signifikasi yang dibawa oleh Dewi Bastet, iaitu mengangkat atau meninggikan darjat wanita pada zaman itu.

Seorang paderi wanita memberikan makanan dan susu sebagai sembah korban kepada roh kucing. Di atas altar itu terdapat mumia kucing yang telah mati

Merentas peredaran masa, imej Dewi Bastet semakin berbeza berbanding Sekhmet yang disifatkan sebagai singa betina yang bengis. Gambaran Bastet diubah menjadi kucing yang lebih jinak. Pada masa-masa ini, Dewi Bastet mula dianggap sebagai dewi cinta, asmara, wanita, keibuan, kosmetik, kegirangan, kesuburan, tarian dan juga kesembuhan. Bastet disifatkan sebagai dewata dari keluarga kucing yang jinak manakala Sekhmet pula dewata dari keluarga kucing yang bersifat bengis, iaitu singa.

Disebabkan oleh tahap kesuburan kucing-kucing jinak yang tinggi, Dewi Bastet turut dikaitkan dengan peranan yang menjurus kepada hal-hal sedemikian. Begitu juga dengan sifat anggun dan juga ramah yang dimiliki oleh kucing jinak, ianya juga mempengaruhi ciri-ciri yang dikaitkan dengan Dewa Bastet seperti berahi, lemah-lembut dan berorientasikan kekeluargaan. Bastet juga dianggap sebagai dewata pelindung wanita yang paling utama, dengan peranan yang melibatkan asmara, kehamilan, kelahiran, dan juga keibuan.

Sebelum tertubuhnya dinasti ke-22 dalam pemerintahan Mesir, peranan Dewi Bastet bersifat lebih dualistik. Aspek yang disandangnya terbahagi kepada dua – ibu yang bersifat sebagai seorang pelindung dan pengasuh, dan juga pelunas dendam yang memiliki kebengisan luar biasa. Namun, peranannya yang paling utama diletakkan pada sifat-sifat yang lebih mulia – iaitu sebagai dewi kelahiran dan dewi kehamilan. Di zaman Greek-Mesir, hal tersebut membuatkan Bastet disamakan dengan Dewi Artemis – iaitu dewi pemburu yang digeruni merangkap dewi pelindung yang bersifat luhur.


Selain itu, Dewi Bastet juga disifatkan sebagai pelindung kepada isi rumah, justeru dipersonafikasikan sebagai kucing belaan, yang mana kucing belaan lazimnya disayangi oleh seluruh ahli keluarga. Oleh kerana itu, apabila mana-mana kucing belaan meninggal dunia akibat sakit tua, seluruh keluarga akan dirundung rasa duka yang berpanjangan. Bagi mengekspresikan kedukaan tersebut, mereka akan mencukur kening dan terus meratap sehinggalah bulu kening tersebut tumbuh semula.

BASTET SI DEWATA KEIBUAN


Bastet juga ada disebutkan di dalam Catatan-Catatan Piramid yang masyhur, di mana dalam catatan tersebut, beliau disebut sebagai pelindung keluarga diraja. Malah, dicatatkan bahawa ibunda merangkap kepada raja adalah Dewi Bastet itu sendiri.

Dalam sejarah Mesir, Bastet turut disebut sebagai ibu kepada Maahes, si dewa kucing jantan, zuriat Bastet bersama Dewa Ptah. Maahes merupakan dewa perang dan pisau, dan dikenali dengan beberapa gelaran seperti Pemikul Pisau, Raja Merah Galak dan Raja Penyembelihan. Sama seperti Sekhmet dan Bastet versi awal, Maahes digambarkan sebagai seorang lelaki berkepala singa yang amat menggerunkan.

Pada suatu tempoh masa, Bastet meraih kemasyhuran yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat Mesir hinggakan kultusnya tersebar dalam skala yang begitu besar. Ramai orang mula berkunjung ke Babustis dari seluruh Mesir. Mereka sanggup mengembara ke utara, meredah padang pasir dan merentasi Sungai Nil untuk memuja Dewi Bastet.

Sampai pada suatu ketika, para pengunjung ini meminta supaya dijualkan kucing-kucing mumia supaya kelak, mereka boleh mempersembahkannya khusus buat Dewi Bastet. Hal ini membawa kepada peningkatan permintaan terhadap kucing.

Patung Bastet dari Mesir purba setelah digambarkan sebagai kucing jinak, pada suatu tempoh di antara 664-610SM

Semenjak itu, ribuan kucing segera dibiakkan dengan satu tujuan khusus, iaitu untuk dibunuh dan dimumiakan. Pun begitu, angka yang dicapai tidak pernah cukup untuk memenuhi permintaan para pemuja Dewi Bastet. Hal ini berkemungkinan menjadi factor mengapa mumia-mumia kucing yang ditemukan oleh ahli-ahli arkeologi hanya mengandungi sebahagian daripada anggota badan kucing. Malah, terdapat juga keranda-kerana mumia yang sama sekali kosong tidak memiliki isi. 

Daripada sini, kita dapat menduga bahawa kebanyakan paderi dan pihak berkuasa tidak berkongsi idealogi atau fahaman yang sama dengan para pemuja Dewi Bastet. Justeru, mereka memperdaya kebanyakan daripada para pemuja agar membeli kucing-kucing mumia yang pada hakikatnya, tidak mengandungi sebarang kucing di dalamnya.

Walau bagaimanapun, selain daripada mumia, gambaran-gambaran utama yang menunjukkan imej Bastet adalah tugu, seni ukiran dan juga binaan tiang yang kebanyakannya diperbuat daripada gangsa. Lazimnya, gambaran pada patung-patung tersebut mempunyai kemiripan dengan kucing belaan – bersifat anggun dan lampai – dan dikelilingi oleh banyak anak kucing. Selain itu, seringkali juga kucing yang digambarkan pada patung atau ukiran mempamerkan kucing berpostur duduk sambil dikelilingi oleh barang perhiasan.

Gambaran sebegini turut pernah dicatatkan oleh Herodotus ketika beliau menulis tentang rumah kucing-kucing Mesir yang dihiasi dengan anting-anting dan juga perhiasan emas. Herodotus juga menulis bahawa setiap kucing (patung atau tugu kucing) mempunyai pelindung atau penjaganya yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, jika dilihat daripada sudut pemikiran logik, pemujaan dewata kucing dalam kalangan masyarakat Mesir purba mempunyai asas-asas yang agak mudah dan ringkas. Pada suatu tempoh dalam lembaran sejarah Mesir, iaitu ketika zaman di mana simpanan makanan mereka seringkali diancam oleh tikus dan haiwan-haiwan perosak yang lain, secara alaminya kucing berperanan menjadi pemangsa sekaligus membunuh haiwan-haiwan perosak berkenaan. Justeru, agak munasabah untuk haiwan berkenaan dilihat sebagai haiwan pelindung.

Tidak dinafikan bahawa jika dilihat dari satu sudut, kepercayaan masyarakat Mesir purba bersifat agak primitif dan banyak menumpu pada alam di sekeliling mereka. Delta Nil yang subur turut dihuni oleh bermacam-macam hidupan. Justeru, komuniti manusia yang menghuni kawasan tersebut secara perlahan-perlahan menerapkan kepercayaan terhadap haiwan-haiwan pelindung dan juga haiwan-haiwan perosak, sebelum kemudiannya memuja mereka.

KEMASYHURAN BASTET DISELUBUNGI KEMATIAN KUCING-KUCING JINAK


Dewi Bastet merupakan salah satu dewata yang paling masyhur dan dikasihi dalam lipatan sejarah Mesir purba. Kultus pemujaannya hanya dapat ditandingi oleh dewata-dewata hebat seperti Ra, Seth, Osiris, Thoth ataupun Ptah.

Walau bagaimanapun, keadaan tersebut tidaklah menghairankan dan kita pun sedia maklum akan faktor-faktornya.
Bastet meraih penghormatan dan kasih-sayang yang bukan calang-calang berikutan personafikasi dan juga sifat-sifatnya, iaitu kucing wanita yang anggun dan memberahikan namun pada masa yang sama bersifat bengis lagi menggerunkan.

Selain itu, Bastet sebagai kucing pula menjadi bahagian penting dalam kehidupan sehari-hari masyarakat Mesir, justeru dalam setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan mereka, nama Dewi Bastet tidak luput dari turut dikaitkan bersama.

Walau bagaimanapun, kita secara sebulat suara boleh menyebutkan bahawa kemasyhuran Dewi Bastet sama sekali tidak mencerminkan sikap atau layanan yang baik diberikan kepada kucing-kucing jinak di Mesir purba. Hanya semata-mata disebabkan oleh kultus pemujaan Bastet, para pemuja dewi berkenaan sanggup melakukan kekejaman yang langsung tidak memiliki nilai keperimanusiaan.

TERJEMAHAN DARI:

Aleksa Vuckovic. (5 Oktober 2019). Egyptian Cat Goddess Bastet, Protector of the King. Ancient Origins https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/bastet-0012680

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.