Kubu-Kubu Tinggal Di Jalan Sutera

951

Tatkala menyebut tentang Ayaz Kala, antara perkara yang paling diingati tentunya kubu-kubu yang pernah berdiri megah di sana. Pada hari ini, kubu-kubu yang menyimpan seribu satu kisah itu hanya wujud dalam bentuk puing-puing runtuhan. Namun, bentuk yang sedemikian rupa tetap memadai bagi mengenang detik-detik di mana ia berfungsi sebagai benteng pertahanan dari serangan-serangan nomad di Jalan Sutera.

DI MANAKAH LETAKNYA AYAZ KALA?

Ayaz Kala merupakan sebuah tapak arkeologi yang terletak di daerah Ellikqala, Karakalpakstan. Karakalpakstan pula merupakan sebuah republik autonomi di Uzbekistan yang bertempat di sempadan barat laut negara itu. Dalam kata-kata lain, ia juga membentuk sebahagian daripada wilayah Khwarezm.

Memandangkan wilayah tersebut terletak di sepanjang Jalan Sutera yang menghubungkan Timur dan Barat, maka ia merupakan tempat yang amat strategik pada masa purba. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika terdapat banyak petempatan atau kubu pertahanan dibina di sana.

Secara lebih terperinci, tapak Ayaz Kala berlokasi di sebelah timur banjaran gunung Sultan-Uizdag dan di sepanjang penghujung selatan Gurun Kyzylkum (Pasir Merah), iaitu gurun ke-15 yang paling besar di dunia. Kubu-kubu di Ayaz Kala dibangunkan dengan agak tinggi sekaligus membuatkannya mudah dilihat. Ketinggian itu juga membolehkan pihak yang mengawal kubu ini mengesan kehadiran musuh walau dari jauh. Sememangnya, kubu-kubu ini digunakan sebagai benteng pertahanan terhadap nomad-nomad dari padang pasir yang lazim menyerang.

Kem Yurt di gurun Kylzykum.

LEGENDA PEMBINAAN KUBU DAN JANJI PALSU

Menurut legenda tempatan, Ayaz Kala meraih namanya daripada seorang wira tempatan yang bernama Ayaz. Dalam satu versi penceritaan, Ayaz diperincikan sebagai seorang pengembala sementara versi yang lain pula menyebut beliau sebagai seorang pahlawan sahaya.

Apapun, dalam legenda berkenaan, diceritakan bahawa pemerintah Khwarezm dikusutkan dengan serangan nomad-nomad dari padang pasir yang kerap menceroboh sempadan utara kerajaannya. Oleh kerana itu, beliau menyatakan hasrat mahu membangunkan sebuah kubu bagi mempertahankan sempadannya.

Beliau malah melontarkan janji untuk mengahwinkan mana-mana lelaki yang berupaya membangunkan sebuah kubu bagi kerajaannya dengan puterinya. Tatkala mendengar khabar tentang janji tersebut, Ayaz pun mula membina sebuah kubu. Ketika melihat Ayaz hampir berjaya menyiapkan pembinaan kubunya itu, si raja bertindak mengingkari janjinya lantaran enggan bermenantukan seorang pengembala/sahaya. Justeru, si raja menyerahkan puterinya kepada lelaki lain untuk dikahwini. Selepas mendengar berita tersebut, Ayaz langsung sahaja berhenti membina kubu itu.

Runtuhan kubu terbesar di Khorezm – Ayaz Kala, Uzbekistan

SEJARAH SEBENAR AYAZ KALA

Walau bagaimanapun, sejarah sebenar Ayaz Kala tidak sepadan dengan legenda yang dinukilkan di atas. Misalnya, kubu yang berada di tapak Ayaz Kala bukan cuma sebuah, tetapi tiga. Tambahan lagi, kubu-kubu berkenaan tidaklah dibina pada masa yang sama atau oleh dinasti yang sama. Sebaliknya, ia didirikan pada tempoh yang agak lama, yakni antara kurun ke-4 SM sehingga kurun ke-7 M.

Tiga buah struktur ini dibina oleh kuasa-kuasa yang berbeza yang pernah menguasai wilayah berkenaan. Memandangkan ia terletak di Jalan Sutera, maka tidak hairanlah jika pihak-pihak yang menguasai kawasan ini berhasrat mahu melindunginya.

Justeru pada hakikatnya, kubu-kubu Ayaz Kala hanya merupakan sebahagian daripada kubu-kubu pertahanan yang terdapat di hujung Gurun Kyzylkum. Terdapat banyak lagi kubu lain yang pernah berdiri megah di rantau Khwarezm, dan kerajaan Uzbekistan sendiri kini berusaha untuk meraih pengiktirafan buat kubu-kubu berkenaan (termasuklah kubu-kubu Ayaz Kala) sebagai Tapak Warisan Dunia.


Kubu Ayaz Kala 1 dan 2 di republik Karakalpakstan dan gurun Kyzylkum di Uzbekistan. Ayaz Kala 1 berada di puncak sementara Ayaz Kala 2 di kaki bukit. Ayaz Kala 3 pula berada di belakang

Dengan kedudukannya yang terletak di timur dan selatan Laut Aral dan di sepanjang Amu Darya (Sungai Oxus), rantau Khwarezm secara efektif dianggap sebagai persimpangan antara Timur dan Barat. Justeru, ia banyak meraih manfaat daripada aktiviti perdagangan yang dijalankan di sana. Pada tempoh antara kurun ke-6 dan kurun ke-4 SM, Khwarezm merupakan sebahagian daripada Empayar Achaemenid. Setelah itu, ia didominasi oleh empayar-empayar yang bersilih ganti.

Pada kurun ke-11 Masihi, rantau ini mencapai zaman kemuncak apabila Empayar Khwarezmi ditubuhkan. Empayar ini diasaskan oleh Anushtegin Gharchai, seorang bekas hamba Turki dari Seljuk yang dilantik sebagai gabenor Khwarezm. Oleh kerana itu, para pemerintah Empayar Khwarezmi dapatlah disebutkan sebagai pihak bawahan Seljuk.

Pun begitu, mereka pada akhirnya tetap jua meraih kebebasan dan kemerdekaan. Pada kemuncak kuasanya, Empayar Khwarezmi tidak hanya menguasai Asia Tengah. Akan tetapi, ia turut mendominasi Iran. Namun, menjelang kurun ke-13, empayar tersebut tumbang akibat diserang oleh Monggol.

Wujud kemungkinan bahawa raja yang diceritakan dalam legenda tempatan tadi merupakan pemerintah Empayar Khwarezmi, memandangkan empayar tersebut merupakan empayar paling masyhur yang pernah berdiri di rantau Khwarezmi. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kubu-kubu yang terdapat di gurun ini dibina pada kurun ke-4SM hingga kurun ke-7M, iaitu jauh sebelum tertubuhnya Empayar Khwarezmi.

SENI BINA KUBU AYAZ KALA III

Kubu yang paling tua di antara tiga kubu Ayaz Kala dikenali sebagai Ayaz Kala III. Pun begitu, bahagian tertua yang dimaksudkan ini bukanlah struktur keseluruhannya. Bahagian ini, yang disebut sebagai Ayaz Kala III (a), dipercayai dibina pada kurun ke-5 hingga kurun ke-4 SM. Ayaz Kala III (a) merupakan sebuah bangunan monumental yang dibahagikan kepada empat bahagian utama, setiap satunya mempunyai sejumlah bilik. Ayaz Kala III (a) terletak di penjuru timur laut struktur keseluruhan Ayaz Kala III.

Dengan keluasannya yang mencecah 5 hektar (50000 meter persegi), Ayaz Kala III dianggap sebagai salah sebuah kubu paling besar di Karakalpakstan. Kubu yang dikelilingi tembok ini dibina pada kurun pertama atau kedua Masihi, iaitu pada era Kushan. Ia berbentuk segi empat selari dan mempunyai sejumlah menara peninjau berbentuk bulat.

Berdasarkan bukti arkeologi yang ditemui, sebahagian besar ruangan dalam kubu ini kosong. Penemuan ini melahirkan andaian bahawa Ayaz Kala III mungkin hanya berfungsi sebagai markas tentera. Terdapat juga kemungkinan yang ia digunakan sebagai kediaman pemerintah atau tempat perlindungan bagi para petani semasa berlakunya peperangan. Namun malangnya, pada hari ini kita hanya dapat melihat kubu ini dalam rupa bentuknya yang kasar sahaja.

Runtuhan Kubu Ayaz Kala di Uzbekistan

CELAHAN PEMANAH DAN MENARA-MENARA PENINJAU: AYAZ KALA I

Jika dibandingkan dengan Ayaz Kala III, keadaan dua buah kubu lain, iaitu Ayaz Kala I dan Ayaz Kala II jauh lebih terpelihara. Ayaz Kala I terletak di puncak sebuah bukit yang berpermukaan rata. Lokasi ini sekaligus membolehkannya memantau kawasan sekitar. Menurut ahli-ahli arkeologi, Ayaz Kala I dibina sekitar kurun ke-4 atau kurun ke-3 SM.

Saiz kubu ini agak kecil jika dibandingkan dengan Ayaz Kala III. Keluasannya hanya mencapai 2.7 hektar (27 000 meter persegi). Pelan binaan Ayaz Kala I berbentuk segi empat tepat dan ia dibina di sepanjang paksi utara-selatan.

Pada bahagian hujung selatan kubu ini terdapat sebuah struktur petak tambahan, di mana ia boleh diakses dari sebelah timur. Struktur tambahan ini dibina bagi tujuan meningkatkan lagi pertahanan kubu tersebut, memandangkan ia menuntut pihak penceroboh agar melepasi dua buah gerbang. Dalam proses tersebut, mereka tentunya akan terdedah kepada serangan pasukan pemanah yang bertahan di dalam kubu.

Tembok yang mengelilingi Ayaz Kala I bukan hanya sebuah, tetapi dua buah siri tembok. Tembok-tembok ini mencapai ketinggian 10 meter (32.8 kaki). Di celah-celah dua tembok ini pula terdapat sebuah koridor yang bahagian atasnya ditutupi dengan sambungan antara satu tembok dengan satu tembok yang lain.

Gerbang ke kubu Ayaz Kala


Kefungsian Ayaz Kala I sebagai benteng pertahanan mula hilang selepas Ayaz Kala III dibina. Pada era Kushan, kubu ini hanya berfungsi sebagai pos kawalan. Apapun, terdapat kemungkinan bahawa masyarakat tempatan terus menggunakan Ayaz Kala I sebagai tempat perlindungan hingga ke zaman pertengahan.

Di bahagian dalam tembok kedua (tembok luar) terdapat sejumlah lubang yang membolehkan para pemanah yang bertahan di dalam kubu untuk membidik panah ke arah musuh dengan selamat. Lubang atau celahan ini juga berfungsi sebagai saliran air hujan. Bagi menambahkan lagi ciri pertahanan kubu Ayaz Kala I, sejumlah 45 buah menara peninjau yang berbentuk separa lonjong dibina.

Lubang-lubang panah di kubu Ayaz Kala


AYAZ KALA II – KUBU PALING TERKINI

Ayaz Kala II merupakan kubu yang paling lewat dibina jika dibandingkan dengan dua kubu lain, iaitu pada kurun ke-7/8 Masihi. Pada waktu itu, wilayah Khwarezm diperintah oleh sebuah dinasti tempatan yang dikenali sebagai Afrighiyah. Kebanyakan maklumat yang kita miliki tentang dinasti in datangnya dari karya-karya seorang polimath kurun ke-10/11, Abu Rayhan al-Biruni.

Sebagai seorang yang berasal dari Khwarezm, al-Biruni menyebutkan bahawa Dinasti Afrighiyah sudah pun memerintah kawasan tersebut sejak tahun 305 Masihi lagi. Tambahnya lagi, dinasti tersebut mempunyai 22 orang pemerintah secara keseluruhan, di mana setiap seorang daripadanya merupakan putera kepada pendahulunya. Dinasti Afrighiyah memerintah Khwarezm selama 690 tahun.

Walau bagaimanapun, tidak banyak yang kita ketahui tentang empat kurun terawal pemerintahan mereka. Maklumat berkenaan dinasti ini hanya hadir setelah Islam tiba di rantau tersebut dan pemerintah-pemerintah Afrighiyah mula memeluk agama itu pada kurun ke-8 dan kurun ke-9 Masihi.

Apapun, al-Biruni mencatatkan bahawa Dinasti Afrighiyah ditubuhkan oleh seorang lelaki bernama Afrig. Tambah menarik, beliau juga menyebutkan bahawa Afrig pernah membina sebuah kubu besar bernama Fila atau Fir di lokasi berhampiran ibu kotanya, Kath (Beruniy pada era moden), yang terletak di tebing Amu Darya dan tidak terlalu jauh dari tapak Ayaz Kala.

Menurut al-Biruni, bangunan kubu ini dijejaskan oleh aliran sungai yang berubah. Akibatnya, ia disapu habis oleh Amu Darya pada kurun ke-19. Semasa era al-Biruni, apa yang tinggal hanyalah kesan tinggalannya sahaja. Apapun, Ayaz Kala II dibina pada tarikh yang lebih terkemudian dan ia mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Ayaz Kala II dibina pada sebuah bukit kecil berbentuk kon yang berada di selatan bukit utama tempat Ayaz Kala I dibina. Saiz Ayaz Kala II jauh lebih kecil berbanding dua kubu lain. Kubu ini terdiri daripada dua bahagian – bangunan utamanya berbentuk bujur dan ia dapat diakses melalui gerbang yang berada barat daya.

Gerbang ini pula dihubungkan dengan sebuah terowong sepanjang 50 meter (164.04 kaki) yang terbentang di kaki bukit. Ayaz Kala II mungkin terus digunakan sehingga kurun ke-13. Apa menarik bagi kubu ini adalah sebahagian filem tentang biografi Genghis Khan dirakam di Ayaz Kala II. Malahan, terdapat kemungkinan bahawa kru filem berkenaan ‘membaiki’ sebahagian tembok dan ‘membina semula’ gerbang masuk kubu ini.

Walaupun kesemua usaha ini sama sekali tidak direkodkan, pengubahan di era moden dapat dikesan dengan jelas pada struktur berkenaan memandangkan saiz bata lumpur yang digunakan bagi membaikinya agak kecil jika dibandingkan dengan batu lumpur asal.

Runtuhan Kubu Ayaz Kala

BANGUNAN AGAM

Walaupun ketiga-tiga buah kubu ini merupakan mercu tanda paling utama bagi Ayaz Kala, kita tidak seharusnya melupakan struktur-struktur lain yang turut terdapat di sana. Sebahagiannya telah pun digali dan ditemui, sementara ada pula yang masih terkubur menanti masa untuk dijumpai. Antara struktur paling menonjol adalah binaan yang berdiri di kaki bukit. Binaan tersebut dikenali sebagai ‘bangunan agam’ dan ia dihubungkan dengan Ayaz Kala II melalui sebuah terowong.

Tidak banyak yang dapat kita lihat dari binaan tersebut, walau ia diandaikan sebagai bangunan yang paling indah di Asia Tengah pada zaman pertengahan awal. Ekskavasi-ekskavasi lanjut telah pun dijalankan di situ dan antara penemuan yang paling signifikan ialah syiling-syiling Dinasti Afrighiyah. Bangunan ini dipercayai dibina pada kurun ke-4 Masihi dan mengalami kerosakan akibat dua buah kebakaran. Pada kurun ke-6/7 Masihi, bangunan agam ini digunakan sebagai tempat perlindungan sebelum akhirnya ia ditinggalkan secara mutlak.

MEMPERAKUI NILAI TAPAK ARKEOLOGI AYAZ KALA

Sejurus selepas kefungsiannya sebagai benteng pertahanan hilang, kubu-kubu Ayaz Kala sirna dari ingatan dunia. Namun pada 1940an, kubu-kubu tersebut ditemukan semula oleh seorang ahli arkeologi Soviet, iaitu Sergey Tolstov, yang mengusahakan Ekspedisi Chorasmian.

Walau bagaimanapun, sejak ianya ditemui, kubu-kubu tersebut tidak dijaga dengan rapi sekaligus ia terdedah kepada cuaca. Memandangkan struktur-struktur ini dibina daripada batu lumpur, maka ia mudah terhakis akibat pelbagai faktor, seperti hujan, tumbuh-tumbuhan, dan para pelancong yang datang melawat tapak-tapak berkenaan.


Runtuhan kubu terbesar di Khorezm – Ayaz Kala, Uzbekistan

Pun begitu, signifikasi kubu-kubu Ayaz Kala sudah pun diperakui. Pelbagai usaha juga dilakukan bagi memastikan ia dapat terus berdiri megah untuk tatapan generasi akan datang. Sebagai contoh, pada tahun 2005, Ayaz Kala dirangkumkan sebagai sebahagian daripada CentralAsianEarth, iaitu sebuah “bengkel latihan praktikal tentang pemuliharaan struktur-struktur tanah di Asia Tengah dan Afghanistan” yang dilaksanakan oleh UNESCO.

Tambahan pula, pada tahun 2008, kerajaan Uzbekistan menyerahkan penyertaan kubu-kubu Ayaz Kala kepada UNESCO supaya ia dapat diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia dengan label ‘Istana-Istana Padang Pasir dari Khorezm Purba’. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan demi melindungi kubu-kubu purba ini.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (18 Mei 2020). The Ayaz Kala Desert Fortresses: Spectacular Silk Road Ruins. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ayaz-kala-0013726

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.