Perang Jementah ini merupakan perang saudara pertama berlaku dan terbesar di negeri Johor semenjak pengasasannya pada tahun 1528 (Tatapi rasanya ada lagi sebelum itu ). Perang Jementah berlaku pada tahun 1879 meliputi wilayah Kesang, Jementah , Segamat dan Tenang. Pertelingkahan ini antara Tengku Alam Shah, iaitu waris Sultan Ali dan pihak Maharaja Abu Bakar ( Sultan Johor Moden 1).

Semenjak negeri Johor diserahkan Sultan Ali kepada Temenggung Daing Ibrahim pada 1855 , Temenggung memang berkeinginan untuk memiliki wilayah Kesang seperti mana negeri Johor itu. Masa itu, jumlah penduduk Kesang hanyalah seramai 800 orang tetapi tiada berkerajaan dan berpendapatan. Pemerintahannya hanya ditadbir oleh Temenggung Paduka Tuan Muar, iaitu keturunan Temenggung yang memerintah Muar semenjak permulaan kurun 17 masihi dibawah kuasa Sultan dan Temenggung Johor.

Diringkaskan cerita, akibat masalah sara hidup akhirnya Sultan Ali telah menyerahkan jajahan Kesang kepada Sultan Abu Bakar pada 1877 dan menerima jumlah sara hidup sebanyak $1250 sebulan secara turun-temurun (aku tidak pasti kini jumlahnya berapa). Sultan Ali mangkat di Umbai dan dimakamkan di situ.

Pada 5 Febuari 1879, Kerajaan Johor telah keluarkan pemasyuran bahawa Sultan Abu Bakar telah dipersetujukan oleh Temenggung, Penghulu Muar dan Penghulu Kesang sebagai pemerintah Jajahan Kesang yang telah diberikan oleh Sultan Ali dan tambah-tambah pula disokong oleh Inggeris. Maka, lengkaplah kuasanya seperti peta sekarang ini. Tengku Alam menjadi begitu marah setelah kehilangan hak terhadap takhta ditambah pula dengan jajahan Kesang dengan mudah diserahkan kepada Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah sah Muar dan Kesang.

Kampung Kubu Dedap adalah salah satu lokasi penting dalam Perang Jementah dan nama kampung ini diambil sempena nama kubu yang pernah didirikan disini . Jika mengikut tulisan Shaharom Hussein, 25 Febuari 1879 merupakan tanda awal Perang Jementah. Jementah adalah tempatnya. Pertempuran berlangsung selama lebih kurang 2 setengah bulan. Tengku Nong telah memilih Jementah dan Chohong sebagai tempat menjalankan serangan. Tengku Nong telah membina kubu di Lubuk Bandan dan mempunyai kubu – kubu lain seperti di Sungai Siput dan kubu Dedap.

Tiap – tiap kubu mempunyai ketua yang dikhaskan. Beberapa bulan sebelum itu, Tengku Alam telah bersepakat dengan Tengku Nong dan adiknya Tengku Mat menghasut Panglima Sanchu, Wan Daud anak kepada Temenggung Muar serta Wan Abas dan pembesar dari Negeri Sembilan bernama Raja Berambut Panjang supaya menghasut orang ramai melakukakan huru – hara di jajahan kiri Muar. Jementah merupakan tempat pertama diserang dan serangan itu telah berjaya. Setelah itu, Tengku Nong melantik dirinya menjadi Raja Muda dan Wan Daud menjadi Temenggung Paduka Tuan. Tengku Nong dibawah pimpinan Wan Abas membakar rumah, membunuh haiwan ternakan dan mengambil harta benda di Jementah.

Penghulu Jementah telah lari dan mengadu akan serangan dan kemusnahan yang berlaku di Jementah kepada penguasa kerajaan di Kanan Muar. Hal ini telah sampai ke pengetahuan Maharaja Abu Bakar dan baginda memerintahkan orang kanan baginda iaitu Ungku Ahmad pergi menyelesaikan masalah di Kiri Muar itu. Ungku Ahmad telah berangkat bersama beberapa orang lengkap dengan senjata menyerang musuh di Lubuk Bandan. Pasukan Tengku Nong dan Panglima Sanchu telah bertahan di Kaki Gunung Ledang. Di satu tempat bernama Kampung Lela mereka telah mendirikan sebuah kubu berbentengkan tanah.

Maharaja Abu Bakar telah menghantar pula Dato’ Bentara Luar Johor Mohd Salleh bin Perang bersama pasukan lengkap 400 buah senapang dan beberapa buah meriam bagi memberi bantuan sokongan untuk Ungku Ahmad di Lubuk Bandan. Pasukan ini terdiri daripada polis kerana ketika itu Askar Timbalan Setia Johor belum lagi ditubuhkan. Dato’ Bentara Luar telah menyusun strategik pasukannya ditambah dengan kehadiran panglima – panglima handal di negeri Johor dan 500 orang lengkap dengan senapang.

Mereka telah dipecahkan kkepada 4 pasukan dimana pasukan pertama diketuai oleh Panglima Perang Isa, pasukan kedua diketuai oleh Panglima Kiri Awang , pasukan ketiga oleh Panglima Besar Yusof dan pasukan terakhir ialah Panglima Dalam Damit. Dalam masa yang sama, Maharaja Abu Bakar megambil usaha untuk mengatasi pengikut – pengikut Tengku Alam dengan mengawal jalan masuk bekalan ke Muar. Dengan harapan, langkah tersebut dapat melemahkan gerakan di Muar.

Namun, ianya tidak sama sekali kerana Tengku Alam masih boleh menghantar bekalan senjata dan bantuan ke Muar dengan menggunakan orang tengah antaranya ialah Imaum dan seorang bangsa Cina, Ah Sin. Tengku Alam meminta agar Tengku Nong membuat laporan setiap perkembanagan di Muar dan menghantar laporan itu kepadanya.

Kembali semula di Kubu Dedap. Dato Bentara Luar Mohd Salleh bin Perang telah membuat kubu di Dusun Dedap, satu tempat di jajahan Jementah. Terdapat lebih kurang 5 buah kubu disini ( tetapi mengikut perbualan aku bersama pemuda yang aku jumpa di Surau Kubu Dedap, beliau kata 7 buah kubu).

Di antara kubu-kubu yang penting ialah Kubu Dedap, Kubu Lubuk Bandan, Kubu Sungai Siput, Kubu Macang Padang dan Kubu Raja Lela. Di salah sebuah kubu kepunyaan Tengku Nong, terdapat sebuah meriam bernama ‘Gegak Gempita’ telah diletakkan di atas sebatang dahan pokok dedap. Kubu Dedap tempat pertahanan orang-orang Dato’ Bentara luasnya 40 kaki dan bentengnya dibuat daripada tanah setinggi dua belas kaki. Semasa membina Kubu Dedap itulah, orang-orang Tengku Nong dan Panglima Sancu telah membuat serangan secara mengejut ke atas pengikut-pengikut Dato’ Bentara Luar.

Strategik pukul curi itu telah menyebabkan tiga orang pengikut Dato’ Bentara Luar terkorban sementara enam orang mendapat cedera. Dato’ Mohd Salleh telah menyusun strategik denagn lebih berkesan dimana beliau telah menyuruh pengikutnnya seramai 100 orang menebang buluh, diberkas supaya senang diangkat dan dibawa orang untuk dijadikan kubu dan perisai.

Lebih 50 orang diarah membuat jalan rentas mengepung kubu musuh. 4 buah meriam diatur pada tempatnya megadap sasaran musuh. Kemuncaknya telah tiba, pada 4.30 pagi 30 Disember 1879, pasukan Ungku Ahmad telah menyerang bertubi – tubi. Kebetulan pada pagi itu telah hujan dan pasukan Tengku Nong dan Panglima Sanchu sedang nyenyak tidur. Mereka tersedar dan memalu gendang perangnya dan terus membalas serangan.

Akhirnya, pasukan Tengku Nong dan Panglima Sanchu dapat ditewaskan . Perang Saudara di Jementah akhirnya tamat . Mereka yang terlibat dalam pertempuran dengan pasukan Maharaja Abu Bakar telah dibawa ke Johor dan seterusnya ke Singapura. Antaranya ialah Wan Daud, Raja Rambut Panjang, Tengku Muhammad Tengku Nong. Tengku Alam diampunkan dan diberi elaun bulan sebanyak $750.00 dengan syarat berkelakuan baik dan tidak menimbulkan kekacauan.

– Arifz Sukor

Sumber Rujukan :-

Sejarah Johor Kaitannya Dengan Negeri-Negeri Melayu, Shaharom Hussein

Istana dan Politik Johor ( 1835-1885)
365 Hari Dalam Sejarah Malaysia Jilid 2 ( Jul – Dis), Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor , Matlob dan Zam Ismail

Temubual dengan Puan Harijah Bt Timin( isteri tuan rumah) dan seorang pemuda di Surau Kubu Dedap


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang anak jati Muar yang amat mencintai sejarah, warisan dan budaya. Aktif dalam menulis artikel sejarah tempatan walaupun kini sedikit menyepi kerana menumpukan dahulu pada kerjaya hakiki. Telah menubuhkan Persatuan Sejarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (PASEM) pada 16.11.16 sebagai medium memupuk minat terhadap Sejarah terutama sejarah ketenteraan serta minat menulis dalam kalangan ahlinya. Penulis juga merupakan AJK Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Muar dan Penasihat 2 Persatuan Sejarah UPNM (PASEM) . Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi dari UPNM.

Comments are closed.