Nama Kublai Khan mungkin paling diingati menerusi penubuhan Dinasti Yuan. Bahkan, beliau juga turut dianggap sebagai salah seorang maharaja China yang paling masyhur. Kublai Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan, pengasas Empayar Monggol. Pada pandangan masyarakat China ketika itu, bangsa Monggol yang menjalani gaya hidup yang amat berbeza dilihat sebagai bangsa gasar.

Namun, Kublai Khan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai seorang pemerintah yang bijak. Masyarakat China juga memandangnya secara positif, di mana salah satu faktor utamanya adalah lantaran sikap beliau terhadap budaya China semasa memerintah sebagai maharaja.

KEHIDUPAN AWAL KUBLAI KHAN

Dicatatkan bahawa Kublai Khan dilahirkan di Monggolia pada tahun 1215. Bapa beliau ialah Tolui, putera keempat Genghis Khan. Nama ibunya pula ialah Sorghaghtani Beki. Antara adik-beradik Kublai ialah Mongke Khan si Khagan keempat (Khan Agung) merangkap individu pertama dari keluarga Tolui yang memegang gelaran tersebut, Hulagu Khan si pemerintah pertama Ilkhan, dan Ariq Boke yang kemudiannya diperangi oleh Kubali demi mewarisi gelaran Khagan daripada Mongke. Ketiga-tiga beradik ini masing-masing merupakan putera sulung, ketiga dan keempat Sorghaghtani.

Kublai dididik tentang seni perang sejak usia kecil, sebagaimana yang menjadi kebiasaan masyarakat nomad di steppe Monggolia. Oleh hal yang demikian, Kublai membesar menjadi seorang pahlawan, penunggang kuda dan pemburu yang cekap. Beliau juga didedahkan kepada budaya dan falsafah China sejak usia awal, sekaligus membenihkan minat terhadapnya. Pendedahan ini banyak mempengaruhi keputusan yang diambil oleh Kublai kelak.

Lukisan yang menggambarkan Kublai Khan dalam sebuah ekspedisi perburuan, oleh pelukis istana China, Liu Guandao, sekitar 1280

Semasa abang Kublai, iaitu Mongke, menjadi Khagan bagi Empayar Monggol pada tahun 1251, beliau dilantik sebagai gabenor bagi wilayah-wilayah China, iaitu wilayah utara China. Pada masa itu, wilayah selatan China diperintah oleh Dinasti Song Selatan. Monggol sememangnya berhasrat mahu men4kluknya, walau seringkali menemui kegagalan.

Dicatatkan bahawa Kublai menghormati adat-istiadat dan tradisi masyarakat tempatan tempat beliau mentadbir. Selain itu, Kublai juga melantik penasihat-penasihat berbangsa China bagi membantu beliau menjalankan pembaharuan. Pendekatan sebegini mencerminkan betapa pentadbiran beliau diterima baik oleh penduduk tempatan.

Menghadap Mongke Khan


PERANG SAUDARA

Pada tahun 1259, Mongke terkorban dalam sebuah kempen ketenteraan memerangi pasukan China. Lantas, perang saudara pun tercetus antara Kublai dan adiknya, Ariq Boke. Kematian Mongke ini juga menandakan bermulanya perpecahan Empayar Monggol. Memandangkan Kublai dan saudaranya, Hulagu, sedang berada jauh dari ibu kota Monggol, iaitu Karakorum, maka Ariq Boke mengambil kesempatan tersebut untuk menabalkan dirinya sendiri sebagai Khagan.

Ariq Boke, Khagan Empayar Monggol

Kublai pulang ke Karakorum pada tahun 1260 dan serta-merta membantah tindakan Ariq Boke. Malah, dengan sokongan daripada kumpulan-kumpulan pro-China, Kublai juga menabalkan dirinya sendiri sebagai Khagan. Hal ini sekaligus mendorong kepada meletusnya perang saudara yang berpanjangan sehingga tahun 1264, di mana Kublai tampil memenangi pep3rangan ini.

PEN4KLUKAN WILAYAH SELATAN

Kini, Kublai boleh menumpukan perhatiannya ke selatan, khususnya men4kluki Dinasti Song Selatan. Kempen ini bakal menjadi suatu kempen yang panjang buatnya. Kempen ini juga jauh lebih mencabar berbanding kempen sebelumnya, memandangkan rupa bumi dan cuaca di sana meneutralkan keampuhan pasukan tentera Monggol, khususnya pasukan kavalri mereka.

Oleh hal yang demikian, Kublai terpaksa mengambil pendekatan yang berbeza. Dalam kempen ini, beliau memanfaatkan teknologi pengepungan daripada masyarakat di barat, selain membina sebuah armada perang.

Pendekatan pertama membolehkan pasukan Monggol men4kluki kota-kota bertembok China, terutamanya Xiangyang. Pendekatan kedua pula membenarkan Monggol menyerang wilayah pantai China selatan. Kekuatan armada Monggol inilah yang meraihkan mereka kemenangan ke atas Dinasti Song Selatan dalam Pertempuran Yamen pada tahun 1279.

Tentera-tentera Monggol

Pen4klukan Dinasti Song Selatan oleh Kublai Khan merupakan sebuah pencapaian yang mengagumkan. Hal ini secara efektif mengangkat beliau sebagai maharaja asing pertama yang memerintah China secara keseluruhan.

Apapun, tidak dinafikan bahawa terdapat sejumlah kempen ketenteraan Kublai Khan yang berakhir dengan kegagalan, terutama sekali kempen memerangi Jepun dan Vietnam. Kublai mangkat pada tahun 1294 dan kedudukannya diambil alih oleh cucu beliau, Temur Khan. Dinasti Yuan hanya dapat bertahan kurang dari sekurun selepas kemangkatan Kublai Khan.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (25 Oktober 2018). Kublai Khan: Mongol Warrior, Horseman, Hunter and Powerful Emperor. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/kublai-khan-mongol-warrior-horseman-hunter-and-powerful-emperor-006033


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.