Kronologi Tragedi Yang Menyatukan Dunia

0
848
views

Banyak iktibar boleh diambil sebagai pengajaran daripada krisis yang menimpa Thailand. Apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa manusia sedia bersatu apabila ditimpa dugaan. Dan tentu sekali kini ramai sedar tentang kepentingan pengetahuan geologi sebelum menerokai alam. Setiap perkara yang berlaku tentu sekali mengandungi hikmah. Pada 23 Jun 2018, selepas sesi latihan bolasepak, 12 pelajar mengikuti jurulatih mereka ke Gua Tham Luang di Pergunungan Doi Nang Non.

Gua ini mempunyai laluan batu kapur yang sempit, sekitar 10 kilometer panjang. Tetapi jaraknya bukanlah pencetus kepada segala masalah. Kerajaan tempatan telah meletakkan papan tanda supaya pengunjung tidak menerokai gua ini ketika musim hujan. Namun 13 insan yang sedang berkelah menyambut hari lahir pemain mereka mendapati nyawa mereka diancam maut susulan hujan lebat.

Secara tidak sengaja, mereka telah mencetuskan krisis yang memerlukan bantuan antarabangsa. Usaha menyelamat pada awalnya menemui jalan buntu akibat laluan terlalu sempit. Ada bahagian yang antara bahu dan bahu iaitu hanya 40 sentimenter lebar sahaja. Air yang berlumpur pula menghalang penglihatan. Selepas empat hari buntu, Thailand menerima bantuan Amerika Syarikat dan United Kingdom yang terdiri daripada pakar-pakar seperti Richard Stanton, John Volanthen dan Robert Harper.

Ketika ini pihak penyelamat perlu mendapat kepastian sama ada mangsa masih bernyawa. Tetapi peralatan yang dibawa tidak boleh mengesan mereka. Pihak polis tidak melepaskan tangan, masih berusaha mencari jalan alternatif. Dron dan robot turut digunakan. Keadaan semakin genting, kerana mangsa tentu sekali tidak mempunyai makanan selepas lima hari terkandas. Pencarian tidak membuahkan hasil pada esok hari. Untuk memudahkan urusan, pihak penyelamat cuba mengepam air.

Dan pada 29 Jun, Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha melawat kawasan sambil meyakinkan keluarga mangsa yang pihak berkuasa sedang berusaha sedaya upaya. Ketika itu pakar daripada Jepun, Laos dan Sweden sudah menyertai operasi ini. Pihak penyelamat juga telah membuang kotak-kotak plastik berisi makanan dan air bersih dengan harapan arus akan membawa kepada mangsa. Mereka juga meletakkan pen dan peta untuk ditanda kedudukan mangsa. Tetapi tiada balasan diterima.

Penduduk di wilayah tersebut juga menghulurkan bantuan makanan untuk membantu operasi. Bantuan kewangan juga disalurkan, kerana keluarga mangsa mengambil cuti kerana tidak mampu bekerja.

Hanya pada 2 Julai, selepas hampir 10 hari, mangsa-mangsa ditemui selamat, satu berita yang menggembirakan semua orang.

Namun pihak penyelamat berdepan dengan satu lagi kemelut. Mangsa yang sangat lapar memerlukan pemeriksaan kesihatan, dan mereka juga tidak mungkin boleh mengharungi cabaran gua ini. Arus deras telah lama menjadi faktor yang merumitkan keadaan. Pasukan penyelamat terpaksa menyelam selama enam jam berlawan arus, sebelum lagi lima jam ikut arus. Bagi penyelam yang berpengalaman sekalipun, operasi ini memang sangat bahaya.

Dan pada 6 Julai, angka korban pertama tercatat apabila seorang bekas sarjan meninggal dunia dalam perjalanan keluar. Saman Kunan sedang meletakkan tangki-tangki oksigen untuk membekalkan udara di ruangan gua dimana mangsa terkandas. Manusia perlu kadar oksigen 19.5% hingga 23.5% untuk bernafas dengan baik. Pada 8 Julai, kadar ini menjunam ke 15%, menimbulkan kerisauan hypoxia.

Tetapi mungkin atas doa seluruh negara (barangkali ramai lagi di luar Thailand), paras air yang surut memudahkan pasukan penyelamat. Dan berdepan dengan musim tengkujuh yang semakin hampiri, pihak berkuasa mengeluarkan arahan pada pagi 8 Julai.

Sesiapa sahaja yang tidak terlibat dengan operasi penyelamat dikehendaki memberi laluan dengan segera. Dan 13 penyelam bergegas ke dalam Gua Tham Luang. Menggunakan “buddy system” yang mana dua penyelam akan mengiringi setiap mangsa (penyelam di hadapan akan memegang tangki oksigen mangsa). Mangsa hanya perlu ikut dan berpaut pada tali yang telahpun diikat.

Dan selepas pukul 7 malam, empat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum digegaskan ke Hospital Chiangrai Prachanukroh. Pada 9 Julai, lapan mangsa telah diselamatkan, berbaki hanya empat sahaja lagi. Mereka akan diberikan rawatan dan pengawasan selama seminggu, yang jelas sekali akan membuatkan mereka terlepas peluang untuk ke Moscow atas jemputan FIFA. Pada 10 Julai semalam, kesemua mangsa sudah berjaya dibawa keluar dengan selamat hendaknya.

Tentu sekali nyawa mereka jauh lebih penting berbanding undangan ke Pusingan Akhir Piala Dunia. Namun keindahan di sebalik tragedi ini adalah bagaimana manusia boleh bersatu dan berganding bahu. Sebuah senarai panjang diperlukan untuk menamakan setiap negara yang membantu. Selain daripada negara-negara yang disebut, China, Myanmar, Australia, Jepun, Rusia, Finland, Denmark, Belanda, Belgium, Jerman, Czech, Ukraine dan India turut terlibat.

Malah Perancis pun menghulurkan sepasukan pakar dengan peralatan, tetapi ditolak pihak Thailand kerana sudahpun lengkap. Jurutera daripada SpaceX milik Elon Musk turut membantu operasi. Mereka membentangkan beberapa langkah untuk menyelamatkan mangsa dengan teknologi sedia ada daripada syarikat SpaceX.

 

Perlu juga ditekankan bahawa kemahiran berbahasa Inggeris turut memudahkan penyelamat untuk memahami keadaan mangsa. Ketika ditemui, mangsa memberitahu, “eat, eat, eat, we all hungry.” Melalui kerjasama, komunikasi dan doa, operasi Gua Tham Luang diabadikan dalam lebaran sejarah sebagai titik pertemuan yang menyatukan kerana seluruh dunia menanti dengan penuh harapan agar semua mangsa berjaya dikeluarkan.

Walaupun mereka tidak akan menghadiri Pusingan Akhir Piala Dunia 2018, satu lagi rezeki terbuka dengan luas. Manchester United telah menjemput seluruh kelab Mu Pa untuk ke Old Trafford pada musim Liga Perdana Inggeris 2018/2019. Tetapi bukan mangsa dan rakan-rakan kelab sahaja yang diundang. Malah semua penyelamat turut diberikan sanjungan yang sama.

Previous articlePenyokong Manchester United Dan Budaya Raver
Next articleSejarah Berkhatan Bermula Di Mesir Purba
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE