Sepanjang lipatan sejarah Amerika Syarikat, negara tersebut menyaksikan empat presiden mati dibunuh semasa dalam tempoh perkhidmatan mereka. Mereka ialah Abraham Lincoln (ditembak oleh John Wilkes Booth), James A. Garfield (ditembak oleh Charles Guiteau), William McKinley (ditembak oleh Leon Czolgosz) dan John F. Kennedy (ditembak oleh Lee Harvey Oswald). Antara mereka, pembunuhan JFK yang dianggap paling kontroversi dan terus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat sehingga hari ini.

Kennedy dan Oswald

Sebelum kita melihat kisah pembunuhan presiden yang diselubungi kontroversi ini, apa kata kita lihat dulu kisah pembunuhnya, Oswald. Oswald merupakan anak jati New Orleans dan dilahirkan pada tahun 1939. Bapanya, Robert Edward Lee Oswald Sr merupakan sepupu jauh jeneral Konfederasi terkenal, Robert E. Lee mati dua bulan selepas Oswald dilahirkan. Selepas tinggal di rumah penjagaan anak-anak yatim beberapa kali, dia berpindah bersama ibunya ke New York pada usia 12 tahun. Pada usia remajanya, Oswald pernah dimasukkan ke pusat tahanan juvana kerana kesalahan ponteng sekolah tetapi turut menunjukkan minat terhadap sosialisme.

Selepas berpindah kembali ke New Orleans, Oswald menyertai Kor Marin Amerika Syarikat pada tahun 1956. Sepanjang berkhidmat bersama kor berkenaan, dia diketahui amat handal menembak dan disenangi oleh rakan sepasukannya. Beberapa tahun kemudian, Kor Marin memberi perlepasan terhormat kepada Oswald pada tahun 1959 selepas memohon dilepaskan bagi menjaga ibunya yang kurang sihat. Pada masa inilah, dia kemudian memilih berpaling tadah kepada Kesatuan Soviet dan tinggal di sana selama dua setengah tahun. Selepas dinafikan hak kerakyatan Soviet, Oswald cuba membunuh diri dengan mengelar tangannya tetapi berjaya diselamatkan dan dirawat di hospital. Selepas pulih, dia dipindahkan ke Minsk, Belarus (ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet) dan bekerja di sebuah kilang televisyen dan radio sambil dipantau oleh agensi perisikan Soviet, KGB. Sementara itu, apabila pihak kor mendapat tahu tindakan Oswald berpaling tadah, mereka menukar status terhormat Oswald kepada tidak dimahukan.

Oswald akhirnya memilih kembali ke Amerika Syarikat pada tahun 1962 bersama isterinya, Marina Prusakova dan anak pertama mereka, June. Dia berbuat demikian kerana merasakan kerjanya membosankan dan tiada tempat dituju untuk membelanjakan wang. Selain itu, ada yang berpandangan tindakan ini juga dilakukan berikutan patah hati dengan seorang wanita bernama Ella German sebelum dia bertemu dan berkahwin dengan Marina.

Setahun selepas kembali ke Amerika dan menetap di Dallas/Fort Worth, Oswald membeli selaras senapang dilengkapi skop penglihatan dan sepucuk revolver .38 melalui pesanan pos. Senapang tersebut kemudiannya digunakan dalam cubaan bunuh ke atas Jeneral Edwin Walker tetapi gagal. Cubaan bunuh Oswald terhadap Walker hanya diketahui 10 hari selepas pembunuhan Kennedy dan ini didedahkan oleh Marina semasa memberi keterangan terhadap Suruhanjaya Warren (suruhanjaya khas yang menyiasat pembunuhan JFK). Pada September 1963, Oswald mengembara ke Mexico City, Mexico untuk satu lagi cubaan mendapatkan visa ke Kesatuan Soviet dan Cuba tetapi tidak berhasil. Di sinilah, dia bersumpah dia akan membunuh JFK kerana ini.

Tatkala ‘ribut taufan’ ini rancak ke arah tarikh 22 November 1963, lain pula kisahnya bagi JFK. Lawatan ke Texas sudah lama dirancang sejak dari awal tahun 1963 tetapi belum ditentukan tarikhnya. Lawatan ini dirancang bukan saja sebahagian daripada kempen pemilihan semula Kennedy-Lyndon B. Johnson tetapi juga merupakan usaha memantapkan semula perpaduan dalam kalangan anggota Demokrat Texas yang berpecah kepada puak liberal dan puak konservatif. Selain itu, JFK juga mahu memenuhi undangan makan malam penghargaan untuk Ahli Kongres Albert Thomas yang diadakan di Houston pada 21 November 1963, sekaligus membolehkannya mengadakan lawatan ke bandar-bandar lain di Texas termasuk Dallas.

Mengikut jadual perjalanan JFK di Texas selama dua hari, hari pertama menyaksikan beliau seharusnya memberi ucapan dedikasi untuk Sekolah Perubatan Aeroangkasa Tentera Udara Amerika Syarikat di Pangkalan Udara Brooks, San Antonio sebelum menghadiri majlis makan malam penghargaan Thomas sebelum bermalam di Hotel Texas, Fort Worth. Pada hari kedua, rombongan JFK akan bersarapan bersama Dewan Perniagaan Texas di Hotel Texas sebelum meneruskan perjalanan ke Dallas (makan tengah hari dan ucapan bersama tokoh-tokoh masyarakat dan perniagaan di Dallas Market Center), Austin (majlis makan malam kutipan dana di Municipal Auditorium) dan diakhiri di Johnson City. Dari situ, JFK dan isterinya, Jacqueline akan menghabiskan masa hujung minggu di ladang Johnson.

Memandangkan lawatan JFK sudah dihebahkan kepada umum sejak Oktober 1963, maka logik juga bagi Oswald membuat persediaan terhadap jenayah terburuk terhadap Presiden Amerika Syarikat itu. Ini termasuklah bekerja di Depositori Buku Sekolah Texas atas cadangan rakan isterinya, Ruth Paine. Kedudukan bangunan tersebut dilihat sempurna untuk pembunuhan itu kerana kedudukannya amat hampir dengan laluan rombongan kenderaan JFK. Oswald juga turut menyewa di sebuah rumah tumpangan di pinggir bandar Dallas di bawah nama samaran O.H. Lee tetapi menghabiskan masa pada hujung minggu di Irving bersama keluarganya. Sebulan sebelum pembunuhan, anak kedua pasangan itu iaitu Audrey dilahirkan.

“Oh, no, no, no. My God. They’re going to kill us all!”

Sehari sebelum pembunuhan, Oswald meminta untuk menumpang kenderaan rakannya, Wesley Frazier ke Irving atas alasan mahu mengambil rod langsir di rumahnya. Walaupun ia dianggap luar biasa kerana selalunya dia hanya menumpang pada hujung minggu, Frazier memutuskan untuk menumpangkan Oswald. Pada hari pembunuhan, dia mengambil Oswald yang membawa sebuah beg kertas besar. Bila ditanya kandungan beg tersebut, dia hanya menjawab itulah rod langsir yang hendak dibawanya. Padahal dalam beg kertas itu, itulah raifal sama yang digunakan untuk cubaan bunuh Walker dan kini, ia akan digunakan untuk JFK.

Apabila rombongan JFK melalui Dealey Plaza pada 12.30 tengah hari, 22 November 1963, tiga das tembakan dilepaskan Oswald terhadap rombongan. Satu das mengenai kepala Kennedy dari belakang, satu das mengenai badan beliau dan Gabenor Texas, John Connally dan satu das lagi tidak mengenai sasaran tetapi menyebabkan serpihan yang mencederakan orang awam, James Tague. Selepas berjaya menembak, Oswald menyembunyikan raifalnya di sebalik kotak-kotak dan keluar dengan tenang dalam kekecohan yang berlaku. Pada mulanya, dia memilih menaiki bas tetapi bimbang ditangkap, Oswald turun dan mengambil teksi kembali ke rumah tumpangannya. Selepas kembali ke rumah tumpangannya, dia menyalin pakaian dan membawa sepucuk revolver dengan niat bersembunyi atau melarikan diri.

Rajah 1: Keadaan Kennedy selepas ditembak oleh Oswald

Dalam perjalanan, Oswald bertentang mata dengan askar negeri J.D Tippit yang berada dalam kereta perondanya. Selepas selesai makan tengah hari, beliau ditugaskan meronda kawasan kejiranan Oak Cliff selepas kekecohan pembunuhan JFK. Selepas beberapa lama di situ, Tippit melihat kelibat seorang lelaki kurus berusia 30-an dan ketinggian 177 cm yang menyamai ciri penembak JFK di depositori. Kedua-duanya mula berbual dan apabila Tippit keluar dari kereta, beliau ditembak beberapa kali oleh Oswald sebelum melarikan diri. Seorang orang awam yang melihat kejadian itu kemudiannya mengambil radio kereta peronda Tippit dan segera melaporkan apa yang berlaku. Oswald kemudiannya ditahan di panggung Texas Theatre pada 1.40 petang selepas dikesan memasuki panggung tanpa membayar tiket.

Semasa dalam tahanan, dia enggan menjawab dalam sesi soal siasat dan bertegas bahawa dia dijadikan kambing hitam. Dua hari selepas pembunuhan JFK, Oswald dalam proses dipindahkan ke penjara daerah oleh pihak berkuasa apabila dia ditembak oleh pengusaha kelab malam, Jack Ruby. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Memorial Parkland, hospital sama yang merawat JFK dua hari sebelumnya dan mati pada 1.07 petang akibat pendarahan yang banyak dari luka tembakan di abdomen.

Rajah 2: Ruby menembak Oswald semasa dia dipindahkan dari balai ke penjara daerah.

Ruby kemudiannya ditahan dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Oswald pada tahun 1964 tetapi berjaya digugurkan atas alasan teknikal dan mahu mendapatkan hak perbicaraan baru. Bagaimanapun, dia gagal mendapatnya selepas mati di hospital sama yang merawat Kennedy dan Oswald pada 3 Januari 1967 akibat embolisme pulmonari.

LBJ dan Suruhanjaya Warren

Berbalik semula pada sehari selepas pembunuhan, Johnson bersama rombongan lain termasuk Jacqueline kembali ke Air Force One bersama keranda yang membawa mayat JFK. Selepas mendapat nasihat Peguam Negara yang juga adik JFK, Robert Kennedy, Johnson kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat Ke-36 sambil disaksikan oleh Jacqueline, anggota rombongan, media dan Hakim Sarah Hughes.

Rajah 3: Johnson mengangkat sumpah sebagai presiden sambil disaksikan Hakim Sarah Hughes dan Jacqueline Kennedy.

Selepas mengangkat sumpah dan diminta memberi kenyataan, beliau berkata, “Ini masa yang menyedihkan untuk semua orang. Kita mengalami kehilangan yang tidak boleh dicari ganti. Bagi saya, ini satu tragedi peribadi yang memberi kesan mendalam. Saya tahu seluruh dunia berkongsi kesedihan yang dialami Puan Kennedy dan seluruh keluarganya. Saya akan melakukan yang terbaik. Itu saja yang saya boleh lakukan. Saya meminta bantuan anda dan Tuhan.” Pada pagi yang sama, Johnson turut mengisytiharkan 25 November sebagai hari berkabung.

Upacara pengebumian JFK diadakan pada 25 November yang menyaksikan 800,000 orang berbaris sepanjang Pennsylvania Avenue untuk melihat kerandanya diusung dari Capitol Rotunda ke Katedral Katolik St Matthew. JFK dikebumikan dengan penghormatan tentera sambil disaksikan oleh pemimpin-pemimpin dunia dan anggota monarki seperti Putera Philip (suami dan wakil Ratu Elizabeth II), Presiden Perancis, Charles de Gaulle dan wakil Nikita Khruschev merangkap Timbalan Perdana Menteri Pertama Soviet, Anastas Mikoyan.

Rajah 4: Upacara pengebumian Kennedy di Washington.

Untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di Dallas, Texas pada 22 November 1963, Kongres dan Senat berhasrat menubuhkan panel siasatan masing-masing untuk menyiasat apa yang berlaku. Bagi mengelak konflik antara kedua-dua dewan, Johnson mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Warren diketuai Hakim Ear Warren dan dianggotai oleh Allen Dulles (Pengarah Agensi Keselamatan Pusat (CIA)), John J. McCloy (bekas presiden Bank Dunia), Gerald Ford (bakal presiden dan ketua minoriti Republikan), Senator Republikan, John Sherman Cooper, Ahli Kongres Demokrat, Hale Boggs dan sekutu rapat Johnson, Richard Russell Jr. Selepas siasatan selama setahun, suruhanjaya mendapati Oswald bertindak bersendirian semasa membunuh Kennedy dan mencederakan Connally.

Namun, ia mencetuskan rasa curiga bukan saja dalam kalangan orang ramai tetapi juga membabitkan Senat dan Kongres. Ini membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Khas Dewan Amerika Syarikat berkenaan Pembunuhan membabitkan pembunuhan JFK dan pembunuhan Martin Luther King Jr pada tahun 1968. Jawatankuasa ini bertanggungjawab mewujudkan teori penembak kedua berdasarkan bukti bunyi rakaman radio polis Dallas di mana pakar mengatakan 95% kemungkinan satu lagi das tembakan dilepaskan. Jawatankuasa khas turut berpandangan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Keadilan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan CIA menyembunyikan maklumat yang dilihat relevan kepada siasatan Suruhanjaya Warren.

Pada tahun 1992, selepas filem JFK ditayangkan di panggung, ia mewujudkan semula minat kepada orang ramai untuk pembunuhan JFK. Minat dan desakan orang ramai ini membawa kepada penggubalan Akta Pengumpulan Rekod Pembunuhan John F. Kennedy atau Akta JFK pada tahun sama untuk mengumpul dan menjadikan semua rekod berkenaan pembunuhan JFK boleh diakses oleh orang ramai. Dari tahun 1994 hingga 1998, 60,000 dokumen atau empat juta halaman dilepaskan kepada khalayak. Ini disusuli baki 5,000 lagi dokumen atau dua juta halaman dilepaskan kepada khalayak pada 2017 dengan pengecualian diberi kepada dokumen yang ditangguhkan perlepasannya atas sebab mengancam keselamatan negara dan mengancam keharmonian orang awam. Pada Ogos 2018, Presiden Donald Trump menangguhkan perlepasan baki dokumen kepada khalayak selama tiga tahun dan hanya akan dilepaskan pada 26 Oktober 2021.

Teori konspirasi pembunuhan JFK

Disebabkan sikap curiga orang ramai terhadap cara pihak kerajaan mengendalikan siasatan pembunuhan JFK lebih-lebih lagi selepas insiden Watergate, ia turut mewujudkan teori konspirasi yang melambak. Antara teori yang popular:

1. Teori penembak kedua yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Khas Dewan Amerika Syarikat berkenaan Pembunuhan. Jawatankuasa membuat kesimpulan demikian selepas pakar bunyi menyatakan 95% kedengaran bunyi satu lagi das tembakan dalam rakaman radio polis Dallas pada hari pembunuhan JFK. Bagaimanapun, melalui pengenalan teknologi terkini dan analisis pakar akustik, teori tersebut tidak mempunyai asas dan sebaliknya menunjukkan hanya tiga das tembakan yang dilepaskan oleh Oswald pada hari berkenaan.

2. Pembunuhan dikatakan didalangi oleh kumpulan elit yang diketuai oleh David Rockefeller yang mahu mengekalkan kuasa golongan elit dan menggalakkan lagi pembabitan ketenteraan Amerika Syarikat di Vietnam. Teori ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Johnson dalam mesyuarat pembunuhan itu yang menyifatkan pembunuhan JFK sebagai karma kerana penglibatannya dalam rampasan kuasa dan pembunuhan Presiden Vietnam Selatan, Ngo Dinh Diem.

3. Pembunuhan dikatakan didalangi oleh mafia yang tidak senang dengan tindakan Bobby Kennedy melancarkan perang ke atas kongsi gelap. Dengan pembunuhan JFK, ia dapat membantu mereka menyingkirkan Bobby dari kedudukannya sebagai Peguam Negara Amerika Syarikat. Penulis teori konspirasi menuding jari kepada pembunuh Oswald, Ruby yang dikatakan mempunyai kaitan dengan mafia Sam Giancana.

4. Pembunuhan didalangi oleh kelompok pejuang anti-Castro yang bersekongkol dengan Cuba yang berpunca daripada kegagalan operasi Bay of Pigs. Bay of Pigs ialah satu operasi rahsia untuk merampas Cuba dari Fidel Castro dengan sokongan ketenteraan Amerika Syarikat. Namun pada saat akhir, Kennedy menarik balik sokongan logistik yang diperlukan dan ramai pejuang anti-Castro terbunuh atau ditahan. Pengabaian ini mewujudkan rasa dendam tiada kesudahan mereka terhadap JFK termasuk keinginan untuk membunuhnya. Bagaimanapun, Havana menafikan sekeras-kerasnya pembabitan mereka atas alasan jika ia memang dilakukan, ia boleh menyaksikan negara tersebut berhadapan setiap inci kekuatan ketenteraan Amerika sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan JFK.

5. Pembunuhan didalangi oleh Israel selepas JFK berhasrat menekan Tel Aviv untuk mendedahkan reaktor nuklear Dimonanya. Pembunuhan ini dikatakan digerakkan oleh CIA dan Mossad selain mendapat sokongan Meyer Lansky (akauntan mafia) dan Anti-Defamation League. Namun, tindakan ini dianggap tidak logik kerana berpotensi menjejaskan hubungan baik Tel Aviv-Washington dan mengakibatkan negara itu bersendirian dalam berhadapan negara-negara Arab yang disokong oleh Soviet.

6. Soviet dituduh melancarkan operasi pembunuhan Kennedy sebagai tindak balas terhadap Krisis Peluru Berpandu Cuba. Pandangan ini dinyatakan oleh Jawatankuasa Khas Dewan dan disokong oleh beberapa pembelot Soviet berprofil tinggi. Bagaimanapun, teori ini tidak kukuh kerana Soviet tiada motif untuk membunuh Kennedy dan percaya jika jenayah tersebut terdedah, ia bakal mencetuskan perang antara kedua-dua negara.

Teori Bob Baer

Bagi bekas pegawai CIA, Bob Baer, tragedi pembunuhan Kennedy merupakan sesuatu yang harus disiasat dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi selepas lebih banyak dokumen sulit berkaitan pembunuhan tersebut didedahkan kepada khalayak. Ini membawa kepada satu siasatan baru yang disiarkan dalam program JFK Declassified: Tracking Oswald yang disiarkan History pada tahun 2017. Dan ini membawa kepada satu teori baru yang mengejutkan.

Baer berpandangan memang benar Oswald merupakan penembak tunggal yang menembak mati JFK, satu kesimpulan yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Warren dan Jawatankuasa Khas Dewan. Tetapi tidak seperti anggapan dua badan berkenaan yang menyimpulkan dia bertindak bersendirian, beliau percaya Oswald sebenarnya disokong oleh kumpulan pejuang anti-Castro yang dikenali sebagai Alpha 66 yang turut mengandungi beberapa ejen rahsia Cuba. Kumpulan ini mendapat latihan ketenteraan oleh CIA dalam banyak hal termasuk pembunuhan dan sabotaj. Ini dibuktikan menerusi kewujudan dokumen berlabel JM Move dan penemuan beberapa kelongsong peluru di Louisiana yang dilihat sama dengan kelongsong raifal yang digunakan oleh kumpulan tersebut.

Baer juga percaya laluan Oswald yang disangka orang gila oleh Suruhanjaya Warren dan Jawatankuasa Khas Dewan kerana tiada hala tuju itu sebenarnya menutup cara bagaimana dia bersembunyi dan melarikan diri melalui penemuan tiket pindahan bas dan penemuan laluan belakang bas di satu kawasan kejiranan di Dallas. Tambahnya, Alpha 66 juga bertanggungjawab membantunya semasa semua itu berlaku termasuk menyediakan rumah selamat untuk membantu Oswald bersembunyi.

Jika dia memilih berlagak selamba daripada bertindak semberono menembak Tippit, Oswald boleh saja sampai di salah satu daripada beberapa rumah selamat Alpha 66 dan bersembunyi hingga keadaan kembali tenang. Dari situ, dia boleh menggunakan tiket pindahan bas yang diambilnya semasa menaiki bas beberapa minit selepas insiden pembunuhan JFK dan menghilangkan diri. Dan berdasarkan rekod, Baer dan regu penyiasat Adam Bercovici tidak menolak pembabitan mereka dalam cubaan pembunuhan Walker beberapa bulan sebelumnya termasuk membantu Oswald melarikan diri selepas cubaan pembunuhan itu gagal.

Dalam siasatan sama, mereka turut mendapati Cuba tahu tentang peristiwa berkenaan hasil perbualan mereka dengan seorang bekas pegawai perisikan Cuba. Pegawai tersebut mendakwa antena radio yang selalunya dihalakan ke Washington diarah ditukar arahnya ke Dallas bagi membolehkan Castro mendengar sendiri apa yang berlaku pada 22 November 1963. Bagi menguji kesahihan keterangan tersebut, mereka mengadakan satu eksperimen di mana Baer menggunakan satu alat yang menguatkan isyarat radio dari Dallas dengan satu kumpulan diketuai Marty Skovland menggunakan aerial dari sebuah bot berhampiran perairan Cuba.

Kumpulan ini memainkan peranan sebagai menara radio yang menangkap isyarat radio dari Dallas. Hasilnya amat mengejutkan, kumpulan Skovland dapat mendengar dengan jelas rakaman radio pada hari pembunuhan JFK yang dimainkan Bercovici yang dikuatkan isyaratnya oleh Baer. Bagaimanapun menurut Baer, itu masih tidak menjelaskan sama ada Havana benar-benar terlibat dalam pembunuhan itu atau ia sememangnya didalangi oleh kumpulan anti-Castro. Ini kerana masih banyak persoalan yang masih belum terjawab seperti pembabitan Ruby dan apa rahsia yang sangat penting yang memerlukan Oswald dibunuh.

Tambah Baer, jenayah sebenar yang menyelubungi pembunuhan JFK bukan sekadar pembunuhan presiden paling berprofil tinggi itu tetapi cubaan Rumah Putih dan agensi-agensi kerajaan menutup sebarang maklumat Oswald pra-pembunuhan dan bagaimana ia disembunyikan dari pengetahuan dua badan yang ditugaskan menyiasat pembunuhan itu. Baer berkata, “Mereka mempunyai 25 tahun untuk menghitamkan dan melindungi sumber serta kaedah untuk menjayakannya. Apa yang mereka lindungi berkenaan maklumat Oswald dan itu saja. Saya tidak nampak sebarang konspirasi kerajaan tetapi melindungi dan tidak menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya Warren termasuk memusnahkan maklumat, ianya sudah terbukti.”

Baer pernah mengalaminya sendiri apabila cuba meminta satu pita mengandungi kes pembunuhan Kennedy semasa berkhidmat bersama CIA tetapi pita tersebut disembunyikan. Begitu juga apabila beliau dan Bercovici cuba melihat pita mengandungi latihan pejuang anti-Castro semasa menyiasat pembunuhan JFK itu tetapi selepas meneliti semua pangkalan data mereka, pita itu tiada langsung.

Selepas meneliti semua dokumen yang dilepaskan, Baer berpandangan Perkhidmatan Rahsia boleh saja bertindak lebih pantas termasuk menahan Oswald atas sebab keselamatan sekaligus membolehkan tragedi pembunuhan yang melanda Kennedy dapat dielakkan. Tetapi atas sebab mahu mengelak malu, maka siasatan terhadap pembunuhan itu dihentikan. Maka elok ia diakhiri dengan kata-kata Baer, “Ianya bukan yang difikirkan oleh ahli-ahli teori konspirasi – lelaki berpayung hitam, penembak kedua di padang rumput, jenayahnya ialah menutup semua maklumat yang relevan terhadap siasatan.”

RUJUKAN:

1. History. (2018). Assassination of John F. Kennedy. https://www.history.com/topics/us-presidents/jfk-assassination

2. History. (2017). JFK Declassified: Tracking Oswald. Episod 1 – The Iron Meeting. https://www.dailymotion.com/video/x5jrebs

3. History. (2017). JFK Declassified: Tracking Oswald. Episod 2 – The Russian Network. https://www.dailymotion.com/video/x6ci8w7

4. Pruitt, Sarah. (2017). JFK Files: Cuban Intelligence Was in Contact With Oswald, Praised His Shooting Ability. History. https://www.history.com/news/what-the-jfk-assassination-files-say-declassified-release-oswald

5. M. Gillon, Steven. (2017). Why the Public Stopped Believing the Government about JFK’s Murder. History. https://www.history.com/news/why-the-public-stopped-believing-the-government-about-jfks-murder


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.