Ini bukan cerita baru tapi ini juga bukan cerita lama. Ia satu fenomena yang sudah wujud sejak zaman-berzaman. Bahkan masyarakat Melayu juga menyebut satu perumpamaan membabitkan fenomena ini, guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Fenomena yang saya maksudkan ialah fenomena berita palsu atau fake news.

Kita anggap fenomena ini kelihatan tidak merbahaya kerana tidak membabitkan diri kita namun, sekiranya ia dibiarkan, ia sebenarnya berpotensi menjadi wabak yang memusnahkan semua yang ada di laluannya.

Definisi berita palsu secara umum menurut pengamal media ialah berita yang mengandungi unsur penipuan. Secara khusus, berita palsu menurut Michael Radutzky, penerbit 60 Minutes ialah berita yang mengandungi unsur penipuan, menarik minat orang ramai dan diterima pada semua peringkat. Bagaimanapun, beliau tidak memasukkan pula cerita-cerita palsu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik terhadap media untuk komen atau cerita yang mereka tidak suka. Bagi Guy Campanile, seorang lagi penerbit 60 Minutes, berpandangan berita palsu ialah berita yang muncul dari sumber yang tidak diketahui asal-usulnya dan secara umumnya, ia satu penipuan. Campanile turut menegaskan niat dan tujuan penyebaran berita palsu turut memainkan peranan di mana ada sesetengah berita tersebut bersifat satira dan menunjukkan poin yang dibawa, berlebih-lebihan, tidak ada fakta yang tepat dan propaganda.

Bagi mengenali berita palsu dengan lebih terperinci, ia telah dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu satira, hubungan palsu, kandungan bersifat melencong atau palsu, kandungan disalahguna untuk pembohongan, dimanipulasi dan bersifat palsu sepenuhnya. Satira tidak dianggap menyusahkan tetapi lebih kepada membodohkan orang lain. Hubungan palsu menyalahgunakan tajuk berita untuk lebih perhatian walaupun isi berita bersifat benar. Kandungan bersifat melencong atau palsu lebih menjurus kepada elemen fitnah dan menyeleweng sumber berita walaupun berita tersebut benar. Kandungan yang disalahguna untuk pembohongan, dimanipulasi dan bersifat palsu ialah berita sebenar tetapi telah diseleweng dengan sumber palsu, dicipta dengan tujuan menipu atau kandungan 100% palsu.

Ramai mengatakan fenomena berita palsu ialah fenomena baru yang wujud. Namun, ia sebenarnya wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Contoh paling mudah pada zaman purba ialah kempen berita palsu yang dijalankan maharaja pertama Empayar Rom, Augustus ke atas pesaingnya, Mark Antony pada abad pertama Masihi. Belum dicampur lagi riwayat-riwayat maharaja-maharaja seterusnya di mana para penulis Rom menceritakan maklumat-maklumat palsu atau tidak dapat disahkan seperti Caligula dituduh gila dan melakukan sumbang mahram sementara Nero dituduh bermain lyre semasa peristiwa ‘The Great Fire of Rome’. Pada abad ke-15, Shakespeare menulis pelbagai cerita kurang enak tentang musuh-musuh Dinasti Tudor termasuk Richard III yang dituduh sebagai pengecut dan bongkok. Semasa peristiwa Revolusi Amerika, Benjamin Franklin menyebarkan propaganda orang-orang asli Amerika bekerjasama dengan pihak British dengan tujuan menaikkan semangat patriotik orang Amerika terhadap penjajahan British.

Walau apapun alasan yang digunakan untuk menjustifikasikan penggunaan berita palsu, hakikatnya berita palsu tidak menyumbang apa-apa, kecuali merosakkan integriti entiti bernama kebenaran. Saat perkara ini berlaku, integriti kebenaran semakin terhakis dan sukar bagi manusia membezakan yang mana benar dan sebaliknya. Dan ia diburukkan lagi dengan tindakan-tindakan yang dibuat secara terburu-buru tanpa memikirkan akibat dalam jangka pendek dan jangka panjang. Dan bila manusia mengetahui cerita sebenar setelah bertindak, maka terkeluarlah frasa ‘sudah terhantuk, baru terngadah’. Kerana terlalu ikutkan emosi dan mempercayai berita yang disebarkan, sudahnya manusia itu sendiri yang mencipta sendiri kejatuhannya. Contoh paling mudah, seorang pemilik kedai piza di Washington D.C terpaksa menanggung kerugian kerana tindakan seorang lelaki menembak kedainya kerana mendakwa kedai tersebut ialah pusat kegiatan sindiket penculikan kanak-kanak.

Selain mengundang persoalan tentang kesahihan kebenaran, penyebaran cerita palsu sebenarnya menyediakan benih kehancuran sesebuah tamadun. Nampak tidak merbahaya tetapi hakikatnya, fitnah menjadi antara punca kejatuhan kerajaan-kerajaan di dunia dari Rom sehingga Kesultanan Melayu Melaka. Berita palsu menyebabkan manusia saling berbalah antara satu sama lain dan ia sebenarnya menyediakan jalan-jalan ke arah dosa-dosa lain seperti membunuh dan khianat. Dan berita palsu juga menyebabkan manusia tiada lagi rasa empati dan simpati kerana ia sebenarnya menyemarakkan lagi amarah, cemburu dan hasad tak berkesudahan, menjadikan manusia buta hati dan dihantui paranoia tak bertempat. Banyak contoh kita boleh lihat dalam sejarah tetapi saya pilih dua kisah yang saya kira memilukan. Pertama, kisah pembunuhan keluarga Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir angkara onar yang dicetuskan si Kitul dan Raja Mendeliar yang cemburu pengaruh Tun Mutahir dalam istana Melaka. Kedua, hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas Anne Boleyn atas tuduhan zina, sumbang mahram dan khianat di mana tuduhan-tuduhan ini adalah rekaan semata-mata, di mana sesetengah berpandangan ia direka oleh Thomas Cromwell walaupun dinafikan penulis biografi Cromwell.

Figure 1: Cara mengesan berita palsu. Sumber dari https://blogs.ifla.org/lpa/files/2017/01/How-to-Spot-Fake-News-1.jpg

Bertitik-tolak daripada fenomena ini, International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) menyediakan garis panduan bagaimana nak mengenali fenomena ini. Pertama, semak terlebih dahulu sumber. Kedua, baca melangkaui tajuk berita. Ketiga, semak siapa penulis berita. Keempat, semak sumber sokongan itu sahih atau tidak. Kelima, lihat tarikh penerbitan untuk tentukan ia relevan atau tidak. Keenam, lihat sama ada ia mengandungi unsur jenaka. Ketujuh, lihat apakah ia mempengaruhi pendirian kita dan akhir sekali, rujuk laporan tersebut pada pakar. Al-Quran secara jelas telah menyediakan panduan dalam berhadapan dengan isu ini. Allah berfirman dalam ayat 6, Surah Al-Hujurat tentang kepentingan menyemak sumber sesuatu berita sebelum disebarkan kerana kegagalan kita menyemak sesuatu berita boleh menyebabkan orang lain ditimpa musibah dan kita diselubungi rasa kesal tak berkesudahan. Pendek kata, dengan panduan yang disediakan ini, berita palsu seharusnya tidak lagi menjadi isu tetapi ia akan tetap menjadi isu yang berlarutan sampai bila-bila.

Sebagai konklusi, berita palsu ialah satu fenomena yang harus dibendung sejak dari awal lagi. Sekiranya ia dibiarkan berleluasa, ia akan menjadi barah yang membawa kepada kemusnahan masyarakat. Empayar-empayar silam jatuh kerana fitnah dan cerita palsu, jangan kerana nafsu, kita pula jadi mangsa seterusnya pembunuh ‘senyap’ ini gara-gara mahu popular sekejap!

Sumber:

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Fake_news
  2. https://blogs.ifla.org/lpa/files/2017/01/How-to-Spot-Fake-News-1.jpg
  3. http://www.cbsnews.com/news/whats-fake-news-60-minutes-producers-investigate/
  4. https://www.theguardian.com/media/2016/dec/18/what-is-fake-news-pizzagate

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.