Krisis Politik Israel – Percaturan Benjamin Netanyahu Tidak Menjadi

1,645

Buat julung kalinya dalam sejarah politik Israel, rakyat negara tersebut perlu menyertai pilihanraya dua kali dalam masa setahun. Krisis politik ini bermula pada 9 April 2019 apabila Likud dan Kahol Lavan masing-masing mendapat 35 kerusi dengan 9 parti lain berkongsi 50 kerusi selebihnya. Dalam pilihanraya ini, Kahol Lavan yang diketuai Benny Gantz melonjak 24 kerusi. Maka tiada parti boleh membentuk kerajaan melainkan melalui muafakat dengan parti-parti lain bagi mendapatkan 61 majoriti.

Maka Benjamin Netanyahu yang menjadi Perdana Menteri Israel sejak tahun 2009 berdepan dengan realiti bahawa Benny Gantz boleh mengambil alih kerajaan. Namun Gantz dan Kahol Lavan berundur. Mengikut perlembagaan, Presiden Reuven Rivlin mengesahkan Netanyahu kekal sebagai Perdana Menteri dengan syarat membentukkan pakatan bersama parti-parti lain sebelum 29 Mei.

Sebenarnya perkara ini bukanlah baharu bagi Netanyahu. Dalam pilihanraya-pilihanraya sebelumnya pun sama. Beliau perlu bermuafakat. Pada tahun 2015, beliau mengesahkan kerajaan baharu dua jam sebelum waktu penamat dengan Likud bersama Rumah Yahudi, Judaisme Taurat Bersatu (UTJ), Kulanu dan Shas. Sebelumnya pun beliau membentuk kerajaan muafakat juga. Namun kali ini, beliau berdepan dengan beberapa kes korupsi. Pada 28 Februari 2019, beliau menjadi perdana menteri pertama yang bakal didakwa dalam mahkamah (Talmazan & Goldman, 2019).

Rundingan bersama parti-parti lain kali ini tidak membuahkan hasil. Netanyahu sudahpun mendapat sokongan daripada Avigdor Lieberman iaitu ketua Yisrael Beitenu. Tetapi parti pro-sekularisme ini hanya mendapat lima kerusi. Pakatan Netanyahu-Lieberman memerlukan sokongan daripada parti-parti Ultra-Ortodoks (Haredi). Cuma masalah antara kerjasama sedemikian ialah Haredi menentang undang-undang kewajiban masuk tentera (Haaretz, 2019). Tetapi sokongan parti-parti Shas dan UTJ akan mendekatkan Netanyahu dengan garisan majoriti.

Netanyahu juga tidak mendapat sokongan daripada Parti Buruh. Dan kerajaan sepakat bersama Gantz pun tidak boleh dibentukkan oleh kerana kes rasuah Netanyahu. Maka datang sahaja 29 Mei, dengan tempoh lanjutan dua minggu, Netanyahu-Lieberman gagal membentuk kerajaan muafakat dengan mana-mana parti lain. Presiden Rivlin pun bakal memilih Gantz sebagai Perdana Menteri Israel. Untuk mengelakkan laluan mudah sedemikian, Parlimen Knesset mengundi untuk dibubarkan demi pilihanraya baharu pada 17 September 2019.

Keputusannya pula tidak berpihak kepada Netanyahu. Kahol Lavan dan Likud masing-masing kehilangan dua dan empat kerusi. Berlaku pula kebangkitan politik bangsa Arab dengan gabungan Joint List antara Balad, Ta’al, United Arab List dan komunis Hadash.

Israel perlu melalui pilihanraya semula, yang pada 17 September 2019 keputusannya tidak berpihak kepada Netanyahu. Kahol Lavan kehilangan dua kerusi. Likud pula kehilangan empat kerusi. Dan Joint List diketuai Ayman Odeh yang mendapat 12 kerusi. Tiada parti mendapat majoriti dan Likud pula berkurangan kuasa Knesset. Dan Netanyahu pun membatalkan kunjungannya dalam Perhimpunan Agung PBB untuk menyelesaikan krisis politik ini.

Apa yang sepatutnya menyelesaikan krisis politik nampaknya menjerut Israel lebih ketat lagi. Dan sebaik sahaja pilihanraya tamat, Netanyahu dan Gantz telah memulakan perbincangan penting bagi menentukan pegangan kerajaan. Seperti biasa Netanyahu mencuba nasib dengan parti-parti berhaluan kanan dan agama, sementara Gantz pula menghimpun sokongan dalam kalangan parti-parti tengah dan kiri. Lieberman sekali lagi berdiri di atas pagar sebagai kingmaker untuk bersatu bersama Likud, Kahol Lavan dan Yisrael Beiteinu.

Sungguhpun begitu, perjalanan masih belum selesai. Kerana Netanyahu yang merupakan ketua parti kedua paling berkuasa dalam Knesset bertegas untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Penguasaan beliau pun membolehkan sebarang usaha untuk memperkenalkan undang-undang imuniti.

Sehinggalah selesai perbicaraan, Benjamin Netanyahu bukan sedang berjuang untuk karier politiknya sahaja. Beliau sedang bertarung demi masa depannya sama ada penjara atau kuasa. Jadi usaha Likud untuk menghalang Gantz daripada tampuk ketua kerajaan barangkali masih hidup, hanya jika Gantz terima tawaran ini untuk menjadi parti minoriti meskipun mempunyai kuasa paling besar dalam Knesset.

RUJUKAN

After Netanyahu Fails To Form Government, Israel To Hold New Election. https://www.haaretz.com/israel-news/elections/after-netanyahu-fails-to-form-government-israel-to-hold-new-election-1.7306156

Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu to be indicted on corruption charges. https://www.nbcnews.com/news/world/israel-prime-minister-benjamin-netanyahu-indicted-bribe-fraud-charges-n977571

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.