Krisis Perbankan Yang Pernah Menimpa Israel

613

Pra-tempah hanya di Shopee

Tentu sekali ramai tidak tahu tentang krisis perbankan yang pernah menimpa Israel pada tahun 1983. Apa yang berlaku jelas membuktikan bahawa Israel bukanlah sebuah dunia kewangan serba kebal.

Malah apabila Israel mengisytiharkan kemerdekaan, seluruh dunia menahan ketawa melihat produk eksport mereka.

Kepimpinan Levi Eshkol (1963-1969) dan Golda Meir (1969-1974) menyuburkan institusi perbankan negara. Semasa 1970-an pula, Bank Hapoalim mula mengawal harga saham dalam pasaran bursa.

Tindakan Hapoalim sebenarnya mudah. Bank ini menggalakkan orang ramai melabur dalam saham dengan jaminan palsu yang harga saham akan terus meningkat (Blass & Grossman, 1996).

Orang ramai pun membeli, dan Hapoalim memperolehi permodalan lebih tinggi. Sesiapa yang tidak mampu tetapi berminat pula boleh membuat pinjaman untuk melabur. Jadi bank mendapat keuntungan daripada kadar faedah pula.

Taktik ini dihidu bank-bank lain, seperti Clali, Igud, Leumi dan sebagainya. Jelas sekali mereka sedang memanipulasikan institusi perbankan.

Kegiatan mereka tidak sah di sisi undang-undang – tetapi mereka menipu dalam laporan akhir tahun untuk meloloskan diri daripada cengkaman suruhanjaya kerajaan.

Satu-satunya bank yang enggan menyertai langkah manipulasi ini ialah First International Bank of Israel.

Pihak perbankan juga pandai memanipulasikan fakta. Selama ini kerajaan Israel menggalakkan orang ramai membuat pinjaman bank. Pihak bank pula digalakkan membeli bon kerajaan.

Jadi kerajaan dengan cara ini boleh mencetak wang. Bank-bank yang memanipulasi menggunakan hujah ini sebagai penampan.Dan saham tanpa henti dikeluarkan (dan dibeli) sepanjang 1970-an hingga awal 1980-an.

Mula-mula nampak berjaya. Bank menjadi besar. Banyak cawangan dibangunkan, memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan orang. Mereka meneruskan amalan ini, kerana sesiapa yang berhenti akan nampak lemah.

Malah Yoram Aridor yang menjaga portfolio kewangan dibawah Menachem Begin juga menyertai skim pelaburan saham ini. Jadi orang ramai menjadi yakin, yakin dan yakin.

Malapetaka

Jumlah pasaran perbankan melambung tinggi, tetapi pulangan modal mula mengecut. Bermula 1980 hingga 1982, pulangan 41 peratus turun ke 28 peratus. Pada tahun 1983, langit Tel Aviv semakin runtuh.

Semua bank sudah tahu yang amalan manipulasi sebegini sedang mengembangkan tanpa membangun. Ibaratkan belon: tiba masa akan meletup.

Kementerian Kewangan pula rela diam daripada berlaku jujur, hingga sanggup melemahkan matawang shekel untuk menghentikan kegiatan manipulasi.

Kemudian Amerika Syarikat datang, bukan untuk membantu. Sebaliknya dolar Amerika sebenarnya membuat hal.

Ramai menjual saham bank Israel untuk membeli dolar Amerika. Pada 2 Oktober 1983, orang melepaskan pegangan saham begitu banyak (satu hari itu lebih banyak daripada seluruh September).

Jadi sekarang saham berapungan dalam bursa, tidak bernilai dan perlu dibeli pada harga tinggi supaya bank boleh mengekalkan pasaran.

Selama beberapa hari, situasi ini berlarutan dan Menteri Kewangan seolah-olah berpihak pada bank. Ketika ini orang sudah tidak berpegang pada kerajaan.

Yoram Aridor mempunyai solusi: hadkan pembelian AS$, dan semua wajib melabur dalam saham bank.

Namun pada 6 Oktober, bursa saham hancur berderai. Aridor membuat keputusan untuk menggunakan duit awam supaya boleh membantu bank. Bursa saham ditutup beberapa minggu, dan matawang shekel menjunam 23 peratus.

Kerajaan Israel tidak membantu bank secara percuma. Krisis perbankan ini terlalu kritikal, kerana kos bantuan mencecah AS$6.9 bilion (KDNK Israel 1983 ialah AS$27 bilion). Krisis ini menyebabkan Clali, Hapoalim dan Leumi dimiliki kerajaan (Levin, 1999).

Artikel ini turut boleh dibaca di portal kewangan dan ekonomi kami, The Outlook. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.