Kita baru mendengar bahawa Ketua Hakim Negara, YAA Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan YAA  tan Sri Dato’ Zulkefli Ahmad Makenudin telah membuat pengumuman untuk meletakkan jawatan mereka yang akan berkuat kuasa mulai 31 Julai 2018.

Sebelum ini, pelantikan antara dua jawatan tertinggi dalam kehakiman negara ini menimbulkan isu kerana dilihat sebagai tidak berperlembagaan (walaupun tidak sehingga mencetuskan krisis) sehinggakan Persatuan Bar Malaysia telah memulakan saman pemula ke mahkamah untuk memohon perisyhtiharan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ini tidak berperlembagaan dan sekaligus tidak sah berdasarkan hujah bawah Perkara 122(1) Perlembagaan, yakni hakim tambahan tidak boleh dilantik untuk memenuhi jawatan dalam pentadbiran dan Perkara 124(4) yang mengatakan bahawa seseorang yang mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan (termasuk hakim tambahan) mestilah dilakukan dihadapan Ketua Hakim Negara. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua individu yang memenuhi jawatan ini tidak boleh terdiri daripada orang yang sama. Selain itu, had umur persaraan bagi Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah 66 tahun 6 bulan (lanjutan daripada had umur persaraan 65 tahun) menurut Perkara 125(1) Perlembagaan. Tempoh perkhidmatan YAA berdua melebih umur tersebut juga menyebabkan pertikaian berkenaan pelantikan mereka.

Isu naik turun Ketua Hakim Negara ini bukanlah sesuatu yang baharu. Semestinya kita pernah mendengar atau membaca mengenai Krisis Kehakiman dan Perlembagaan pada tahun 1988 berkenaan pemecatan Tun Salleh Abbas yang berlaku pada zaman pemerintahan Perdana Menteri ke-7 kini, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Ke-4 Malaysia, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Sesungguhnya sejarah tragis ini telah menghakis kuasa kehakiman Malaysia sehinggakan sistem kehakiman Malaysia dilihat sebagai tidak bebas dan disekat oleh kuasa Perdana Menteri hasil daripada pindaan kepada peruntukan Perkara 121 yang meletakkan kuasa Hakim Negara di bawah Parlimen.

Apa itu Kuasa Kehakiman?

Kuasa kehakiman menurut mahkamah dalam PP v Dato’ Yap Seng [1987] adalah “kuasa untuk menyemak persoalan-persoalan yang dikemukakan dengan tujuan untuk menyatakan keputusan yang berwibawa tentang hak dan libiliti satu atau lebih pihak.” Kes ini berkenaan dengan tindakan Mahkamah Agung yang bersandarkan kepada Perkara 121(1) Perlembagaan untuk mentaksahkan seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah yang memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk menarik balik semula kes daripada mahkamah-mahkamah rendah dan memindahkannya ke Mahkamah Tinggi walaupun selepas prosiding di mahkamah-mahkamah rendah telahpun berjalan. Kuasa ini dilihat sebagai sebuah perncerobohan kepada bidang kuasa mahkamah dan percanggahan kepada doktrin perasingan kuasa (doctrine separation of power). Susulan kes ini, Jabatan Peguam Negara telah mendrafkan pindaan yang kontroversi iaitu menukarkan peruntukan dalam Perkara 12(1) yang menyebut, “kuasa kehakiman Persekutuan hendaklah terletak kepada mahkamah” kepada “dan mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan dan Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.”

Apa maksudnya? Maksudnya, kuasa kehakiman boleh disekat oleh Parlimen melalui undang-undang Persekutuan. Ini bermakna Parlimen boleh menggubal undang-undang yang mempunyai ‘fasal penyingkiran’ (ouster clause) yang mengeluarkan bidang kuasa mahkamah. Contohnya, sebelum pindaan pada 2012, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memperuntukkan, apa-apa keputusan menteri untuk tidak memberikan, menggantung atau menarik balik lesen atau permit tidak boleh dicabar di mahkamah. Undang-undang kita banyak mempunyai ouster clause seperti ini. Maka, jika hak anda terkesan di bawah undang-undang tersebut, anda tidak boleh membawanya ke mahkamah untuk menegakkan hak anda.

Kuasa kehakiman ini penting kerana mahkamah dijamin dengan kuasa ini untuk bertindak adil dan saksama dalam menguruskan hal-hal pentadbiran keadilan. Selari dengan dua prinsip Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan, kehakiman berfungsi sebagai antaranya, (1) melaksanakan keadilan, (2) semak dan imbang antara legislative dan eksekutif, (3) mekanisme penyelesaian pertikaian, (4) melindungi hak asasi manusia dan (5) memelihara perlembagaan. Kehakiman juga berperanan untuk (1) melaksanakan pentadbiran kehakiman mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang dan (2) memelihara kebebasan kehakiman dalam mentafsir serta mentadbir undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan. Jadi dapatlah kia tafsirkan, kuasa kehakiman ini adalah (1) mentafsir undang-undang termasuk Perlembagaan, (2) mengisytiharkan sama ada tindakan kerajaan sah atau tidak di sisi undang-undang dan (3) mengisytiharkan sama ada undang-undang Persekutuan atau Negeri sah atau tidak.

Pelantikan, Kelayakan dan Pemecatan Hakim

Pelantikan hakim, bagi tiga hakim tertinggi negara iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan Sabah dan Sarawak dilakukan atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja (Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi turut memerlukan Perdana Menteri untuk berunding dengan Ketua Hakim Negara). Ini berdasarkan peruntukan Perkara 122B(1) Perlembagaan.

Secara umumnya, untuk seseorang layak dilantik menjadi hakim, Perkara 123 menggariskan bahawa calon hendaklah (a) warganegara Malaysia dan (b) dilantik selama b) bagi tempoh sepuluh tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah itu atau mana-mana satu daripada mahkamah itu atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri, atau pada suatu masa menjadi peguam bela dan pada suatu masa lain berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri.

Bagi Hakim Mahkamah Persekutuan, menurut Perkara 125(1), tempoh jawatan dan saraan hakim Mahkamah Persekutuan adalah sehingga dia mencapai umur 66 tahun seperti yang diluluskan Yang di-Pertuan Agong dan lanjutan mestilah tidak lebih daripada 6 bulan.

Bagaimana hakim tidak lagi berada dalam jawatan? Ini boleh dilihat melalui peruntukan Perkara 125(3) yang menyatakan bahawa hakim boleh dipecat hanya oleh Yang di-Pertuan Agong jika didapati mereka hilang akal, masalah kesihatan atau sebab-sebab lain yang dinyatakan dalam Kod Etika Hakim 2009 atas cadangan tribunal. Pemecatan ini hanya boleh dibuat oleh Agong dan melalui tribunal sahaja menurut Perkara 125(4) dan hakim tersebut berdasarkan Perkara 125(5), sepanjang prosiding tribunal, akan digantung perkhidmatannya.

Walau bagaimanapun hakim tidak semestinya dipecat untuk tidak lagi berkhidmat. Perkara 125(2) menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong. Inilah yang dilakukan oleh dua hakim tertinggi negara kita ini. Mereka tidak dipecat melainkan mereka sendiri yang melatakkan jawatan secara sukarela.

Kebebasan Kehakiman

Memang ada yang melihat bahawa tindakan YAA Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan meletakkan jawatan ini adalah satu ruang untuk kebebasan kehakiman kembali subur walaupun untuk lebih kukuh, pindaan kepada Perkara 121(1) perlu dilakukan semula. Kebebasan kehakiman ini menurut Sir Browne-Wilkinson adalah kebebasan untuk membuat keputusan tanpa “fear or favour”. Sebab itulah pindaan yang mengikat mahkamah kepada Parlimen ini dilihat tidak bebas dan mengekang institusi kehakiman. Mahkamah perlu bebas untuk membuat keputusan untuk menjalankan fungsi dan peranannya dan bebas daripada eksekutif dan legislatif.

Dalam Metramac Corporation Sdn Bhd v Fawziah Holdings Sdn Bhd [2007], hakim mengatakan bahawa, “kebebasan kehakiman ini adalah kebebasan untuk melakukan keputusan tanpa terikat dengan apa-apa melainkan undang-undang dan kesedarannya secara neutral, adil dan bebas tekanan. Tujuannya adalah untuk memastikan keadilan diberikan dan mengembalikan keyakinan kepada institusi kehakiman.”

Jadi, dalam Malaysia Baharu dan tidakan Ketua hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan meletakkan jawatan ini, adakah kita akan melihat institusi kehakiman kita kembali bebas dan dapat mengembalikan keyakinan awam?

Rujukan

Perlembagaan Persekutuan.

Shad Saleem Faruqi. 2008. Document of Destiny: The Constitution of The Federation of Malaysia. Star Publications (Malaysia). Selangor, Malaysia.

Syahredzan Johan. 2013. ‘Mengenali Sistem Kehakiman’. Sinar Harian Online. (23 September) http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/syahredzan-johan/mengenali-sistem-kehakiman-1.204512 >diakses pada (13 Jun 2018).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.