Pada Julai 2003, sekumpulan arkeologis dari Pre-Construct Archaeology menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Tabard Square, Southwarck, London. Ekspedisi ini berhasil menemukan sebuah kompleks biara Rom yang dipercayai dibina sebagai dedikasi kepada Dewa Mars Camulus sekitar tahun 150M. Antara artifak yang turut dijumpai adalah sebuah prasasti Tabard yang terukir padanya nama awal London, iaitu ‘Londinesi’ serta beberapa barangan lain seperti mangkuk timah dan sebentuk kaki bersaiz manusia yang diperbuat daripada gangsa.

Walau bagaimanapun, perhatian arkeologis tertarik kepada satu lagi penemuan yang diperkirakan antara penemuan paling signifikan di Britain sejak 10 tahun dahulu (1993-2003) – sebuah bekas berhias sekitar 6 atau 5cm besar yang diperbuat daripada timah.

Ketika memberi perincian tentang bekas ini, seorang kurator di Muzium London yang bernama Francis Grew berkata, “Bekas ini memiliki kualiti yang sangat tinggi. Penutupnya muat dengan sempurna sekaligus menjadikannya bersifat kedap air dan menjamin isi kandungannya. Pemilik bekas ini pasti berlatarbelakangkan bangsawan dalam kalangan masyarakat Rom. Ini kerana bahan buatannya adalah daripada timah, suatu bahan logam yang sangat berharga pada waktu itu.”

Namun, bukan bekas itu yang menjadi tumpuan utama dalam kalangan penyelidik, sebaliknya kandungan di dalamnya iaitu krim pencerah kulit. Tambah mengejutkan, krim pencerah kulit itu masih lagi terpelihara dengan baik hinggakan ketika arkeologis membuka bekas tersebut semasa awal penemuan, mereka semua hampir ‘laluk’ dek baunya yang begitu menusuk hidung. Seperti ulasan pengarah Pre-Construct Archeology iaitu Garry Brown terhadap barang kosmetik purba ini, usianya yang menjangkau hampir 2000 tahun merupakan satu rekod arkeologi.

Lebih daripada itu, krim pencerah kulit ini turut ditemukan bersama cap jari penggunanya! Menurut para analisis, cap jari ini dapat membantu mereka meraih maklumat lanjut tentang pengguna krim berkenaan seterusnya memperhalusi budaya mereka pada waktu itu. Krim pencerah kulit ini dianalisa secara kimia oleh Richard Evershed dan pasukannya dari Universiti Bristol.

Hasil kajian yang diterbitkan di dalam Nature pada tahun 2004 mendapati ia diperbuat daripada lemak haiwan (lembu atau kambing), kanji yang terhasil dari akar dan bijirin yang direbus, serta sejenis mineral dioksida yang dipanggil sebagai mineral citeriterit. Bahan-bahan ini membuatkan tekstur krim berkenaan selesa untuk disapu pada kulit. Para penyelidik juga berhasil mencipta semula krim ini dengan menggunakan bahan-bahan segar.

Lokasi penemuan krim pencerah kulit ini membuatkan para penyelidik pada awalnya memperkirakan bahawa ia adalah sapuan bagi tujuan perubatan atau sapuan bagi tujuan ritual keagamaan, sebelum mereka kemudiannya mendapati bahawa ia adalah krim penjagaan kulit. Kaum wanita Rom sememangnya diketahui sangat menghargai kulit yang putih dan mulus. Oleh kerana itu, penemuan ini membuktikan lagi bahawa kebudayaan Rom meraih penerimaan dalam kalangan penduduk di London pada waktu itu – lebih dari sekadar pengasimilasian seni bina. Artifak kosmetik ini kini dipamerkan di Muzium London.

RUJUKAN

2000-Year-Old Roman Face Cream With Visible, Ancient Fingermarks. Museum of Artifacts. https://museum-of-artifacts.blogspot.com/2015/10/2000-year-old-roman-face-cream-with.html

Cara Simpson and Oginia Tabisz. (28 Julai 2003). Roman fingerprints found in 2000-year-old cream. The Guardian. https://www.theguardian.com/uk/2003/jul/28/artsnews.london

Nicole Callaway. (20 Mei 2018). Scientists Amazed to Discover 2000-Year-Old Face Cream Still Containing Last Finger Imprints. Ancient Origins.https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/scientists-archaeologists-discover-roman-face-cream-canister-021911


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.