Krakatau: Antara Gunung Berapi Paling Membinasakan Dalam Sejarah

1,008

Pra-tempah hanya di Shopee

Krakatau, satu nama yang  tidak perlu diperkenalkan lagi. Gunung berapi ini pernah menggemparkan dunia dek letusannya yang maha dahsyat. Sekiranya dibuka lembaran sejarah, sudah pasti letusan Krakatau adalah salah satu bencana alam yang paling menakutkan manusia moden pernah alami.

Krakatau yang dahulu sudah musnah akibat letusannya lalu digantikan dengan ‘anaknya’. Tanggal 10 April 2020, ketika mana dunia masih dibelenggu dengan penularan wabak COVID-19, Anak Krakatau kembali aktif, mengeluarkan debu dan asap kelabu, dipercayai wap air dan gas. Mujur, letusan kali ini tidak begitu besar sehingga mampu menjana tsunami seperti letusan pada tahun 2018. Merujuk pada tajuk, artikel ini akan mengupas  dengan lebih lanjut  tentang dinamik gunung berapi ini.

Rajah diatas merupakan imej satelit yang dirakam oleh LANDSAT-8 bertarikh 13 April 2020. Kepulan debu dan asap kelabu berterbangan setinggi 500 meter. – earthobservatory.nasa.gov

Kefahaman tentang gunung berapi sewajarnya dimulakan dengan pengenalan terhadap ‘Tectonic Plates’ atau Plat Tektonik. Plat tektonik utama ada tujuh. Ketujuh-tujuh plat tektonik ini bersama dengan plat tektonik kecil yang lain membentuk lapisan permukaan bumi. Kesemua plat ini merupakan lapisan teratas selepas mantel Bumi.

Gambaran berkenaan plat tektonik dapat dilihat pada rajah di bawah. Sekiranya diperhatikan, lokasi kedudukan Malaysia berada di Plat Eurasia, manakala Kepulauan Indonesia  terletak berhampiran sempadan antara dua plat , Eurasia dan Australia. Sempadan ini juga terkenal dengan nama julukan “Ring of Fire” atau Lingkaran Api Pasifik.

Lakaran plat tektonik diseluruh dunia. Perhatikan negara kita dan negara Indonesia berada di Plat Eurasia, iaitu yang diwarnakan ungu. Plat Indo-Australia pulak bergerak menuju kea rah Plat Eurasia, lantas membuatkan kawasan ini begitu ‘hidup’ dengan gunung berapi. – britannica

Anak Krakatau merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia. Anak Krakatau terletak di sempadan Plat Eurasia dan Plat Indo-Australia. Plat Australia mempunyai purata pergerakan 6-7 cm setahun ke arah yang bertembung dengan plat Eurasia ini. Pergerakan ini menyebabkan hujung plat(slab) terperosok di bawah plat Eurasia.

Suhu yang panas pada mantel Bumi bertindak mencairkan sebahagian daripada plat yang terperosok tadi lalu membentuk magma. Isipadu magma yang bertambah hasil daripada cairan ini bergerak menuju ke kebuk magma(magma chamber). Kebuk magma ini kemudian, dengan tekanan tinggi dari bawah permukaan , menghambur keluar lava dan gas. Ini adalah prinsip asas bagi kejadian letusan gunung berapi, sama juga seperti Gunung Berapi Anak Krakatau.

Keratan rentas bagi sebuah gunung berapi yang lahir daripada proses tusukan. Anak panah menunjukkan arah pergerakan plat. -(Anna, n.d.)

Gunung Berapi Krakatau mempunyai tiga fasa kehidupan. Tiga fasa ini dinamakan Krakatau Purba, Krakatau Muda dan Anak Krakatau. Krakatau Purba meletus pada 416 s.m. Letusan ini mengalirkan lava dan hamburan debu ke udara. Letusan ini menghancurkan Krakatau Purba dan meninggalkan sisa-sisa gunung berapi lalu membentuk tiga pulau iaitu Pulau Sertung, Pulau Panjang dan Pulau Rakata. Setelah itu , pada sekitar tahun 1200, letusan demi letusan yang sumber magmanya sama dari Krakatau Purba melahirkan dua gunung berapi baru iaitu Danan dan Parbuwatan.

Lava dari dua gunung berapi ini berterusan mengalir akibat daripada siri letusan yang panjang, lalu membeku dan membentuk daratan baru . Daratan baru ini mencantumkan Pulau Rakata, Danan dan Parbuwatan. Perlu diingat bahawa Pulau Rakata itu sendiri adalah gunung berapi. Ketiga-tiga gunung berapi ini membentuk kompleks Pulau Gunung Berapi Krakatau, atau Krakatau Muda, atau Krakata Pra Letusan 1883. Sumber magma ini adalah sumber yang sama datang dari kebuk magma yang dahulunya mengakibatkan letusan 416 S.M.

Lakaran pembentukan Krakatau, bermula dengan (A) iaitu Krakatau Purba. Krakatau Purba hancur setelah meletus pada 416 s.m. , meninggalkan sisa Pulau Rakata, Pulau Panjang dan Pulau Sertung. (C) menunjukkan aktiviti letusan bawah laut, melahirkan pula dua gunung berapi baru, Danan dan Perbuatan.
Rakata, Danan, dan Perbuatan dalam (D) telah membentuk satu kompleks gunung berapi yang sangat digeruni. Kompleks inilah yang meletus dengan dahsyat pada 1883, lalu meninggalkan sisa pulau (E). Setelah sekian lama menyepi, muncul pula Anak Krakatau (F) yang semakin membesar sehingga kini.

LETUSAN KRAKATAU 1883

Letusan Krakatau Muda tidak berlaku dengan sekaligus. Ianya berlaku berturut-turut daripada gunung berapi yang berlainan. Namun begitu, sela masa letusan ini begitu dekat sehinggakan impaknya begitu besar. Menurut Verbeek (1885) , Krakatau Muda mula menunjukkan aktiviti letusan pada Mei 1883. Ia seakan-akan memberi amaran bahawa satu bencana bakal tiba.

Tiga bulan kemudian, iatu Ogos 1883, Selat Sunda telah menyaksikan satu letusan mega yang berlaku selama  tiga hari berturut-turut! 26, 27 dan 28 Ogos 1883. Krakatau Muda mengalami letusan jenis plinian, iaitu tahap letusan paling ganas dan besar dalam hierarki jenis letusan gunung berapi. Antara contoh gunung berapi lain yang pernah meletus pada jenis atau tahap ini termasuklah Gunung Berapi St. Helen , Washington USA (1980) ; Gunung Berapi Pinatubo, Filipina(1991) ; dan Gunung Berapi Spur, Alaska (1992).

Gambaran letusan Gunung Perbuatan pada Ogos 1883 – BBC Indonesia

Letusan plinian kebiasaannya mengeluarkan isipadu magma yang begitu signifikan sehingga menyebabkan sebahagian daripada gunung berapi itu ranap, dan membentuk kawah yang disebut kaldera. Ini yang terjadi pada Krakatau Muda. Danan dan Perbuatan hancur musnah , meninggalkan hanya sisa-sisa Rakata.

Runtuhan Danan dan Perbuatan menghempas  permukaan lautan lalu menjana ombak besar tsunami setinggi kira-kira 30m dan membadai pulau-pulau sekitar Selat Sunda, persisiran pantai Lampung Selatan dan Jawa Barat. Pernyataan ini disokong oleh penemuan Yokoyama (1981).  Berdasarkan kajian survei gravimetri di kawasan Krakatau yang dilakukan oleh beliau, tsunami itu dijana akibat daripada hamburan bahan volkanik  berisipadu 18km3 yang menghempas permukaan lautan.

Letusan Plinian, merupakan jenis letusan yang paling dahsyat, mampu mempengaruhi keadaan atmosfera bumi-britannica.com

Letusan ini bukan sahaja mengakibatkan tsunami, ia juga mengganggu kandungan atmosfera bumi. Sejumlah 18 km3 bahan piroklastik yang bersaiz debu halus berterbangan di udara mencapai ketinggian 50 hingga 90 km. Abu halus ini kemudian bertiup ke arah barat , mengambil masa 14 hari untuk tersebar di kawasan Khatulistiwa dan pada November 1883, ianya telah tiba di Kanada.

Debu gunung berapi ini mengakibatkan langit di sebahagian wilayah Kanada menjadi warna-warni. Hal ini demikian kerana kesan daripada pantulan cahaya matahari terhadap zarah debu tersebut. Keadaan ini mengambil tempoh yang agak lama untuk kembali kepada asal, sehingga 1886 barulah warna langit tersebut bertukar seperti biasa.

Selain itu, dari aspek biologi, letusan Krakatau 1883 memberi kesan yang buruk kepada kehidupan terumbu karang di sekitar Selat Sunda. Kebanyakannya telah musnah dan tidak kurang juga ada yang tercampak ke daratan! Salah satu bongkah terumbu karang yang tercampak ke darat telah dijadikan monumen sejarah sebagai memperingati peristiwa ini. Ianya terletak di Anyer. Pengkaji menyatakan bongkah tersebut berukuran 300 m3 dan mempunyai berat yang melebihi 300 tan.

ANAK KRAKATAU

Pasca letusan 1883, keadaan di kompleks Gunung Berapi Krakatau masih belum tenteram. . Bermula tahun 1884 sehingga 1927, dalam tempoh masa 43 tahun, aktiviti gunung berapi di kawasan Krakatau begitu aktif terutama sekali letusan di dasar laut. Pada 27 Januari 1929, akibat daripada letusan demi letusan di kedalaman 180 meter, ianya telah membentuk tompokan yang boleh dilihat di permukaan laut, lalu saat inilah digelar oleh pengkaji sebagai saat kelahiran Anak Krakatau. Anak Krakatau ini muncul di kawasan kaldera Krakatau iaitu Krakatau Muda yang telah musnah pada 1883. Anak Krakatau ini mempunyai kadar pertumbuhan yang begitu pesat kerana letusan hampir terjadi saban tahun.

Kerja pemetaan yang dijalankan pada tahun 2000 menyaksikan Pulau Anak Krakatau telah mencapai ketinggian 315 meter dari aras laut dan isipadunya mencapai 5.52 km3. Secara purata, kadar pertumbuhan Anak Krakatau boleh mencapai 4 meter setiap tahun dan perkara ini begitu menggusarkan para pengkaji.

Anak Krakatau dikhuatiri bakal mencapai saiz terdahulu yang berdaya mencetuskan letusan mega seperti tahun 1883. Aktiviti letusan Anak Krakatau setakat ini masih belum memberi ancaman besar kepada penduduk berdekatan khususnya di sekitar Selat Sunda. Jangkauan batu yang terlontar hanya terbatas dalam kompleks Gunung Berapi Krakatau sahaja atau bersamaan dengan lingkungan 3km radius daripada pusat letusan.

22 Disember 2018 ,menyaksikan peristiwa runtuhan satu sektor Anak Krakatau iaitu di bahagian selatan gunung tersebut. Berpandukan data anjakan yang dikesan dari jauh melalui satelit dan analisis tenaga haba, Anak Krakatau menunjukkan isyarat jelas pergerakan sebahagian daripada jasadnya sebelum runtuh pada 22 Disember 2018. Tsunami sudah dapat diramalkan sekiranya jasad Anak Krakatau runtuh kerana isipadunya begitu jelas dapat menjana ombak besar apabila menghempas laut.

Pergerakan bahagian jasad Anak Krakatau juga seiring dengan letusan, yang boleh dikaitkan dengan perubahan tekanan dalam perut gunung berapi. Melihat pada komposisi magma, tiada perubahan besar kandungan bahan kimianya dengan letusan tahun sebelum ini, justeru, menyimpulkan bahawa komposisi magma bukan pencetus utama kepada runtuhan yang berlaku.

Pada a) pemerhatian daripada data anjakan(displacement), cerun Anak Krakatau bergerak sedikit demi sedikit(anak panah putih). Satelit InSAR turut merekodkan perubahan haba pada Anak Krakatau. b) adalah  lakaran runtuhan yang berlaku pada 22 September 2018. Garisan hitam menunjukkan satah yang gagal (failure plane) lalu cerun tersebut runtuh.  Isipadu  runtuhan diwarnakan dengn warna kelabu , cukup besar untuk mencetuskan tsunami.  Infrabunyi dan gelombak seismik telah diterima di stesen tempatan terlebih dahulu  kerana gelombang ini lebih laju berbanding gelombang tsunami. Dalam c) aktiviti gunung berapi masih ada, iaitu hamburan gas yang mengandungi  silicon dioxide. Bahan letusan (warna merah dalam rajah) ,  mengalir kelaut, menambahkan keluasan pulau tersebut. -(Walter et al., 2019)

Jadi persoalannya, adakah runtuhan Anak Krakatau dicetuskan oleh aktiviti gunung berapi, atau aktiviti seismik? Kemuncak pada fasa letusan telah direkod pada September 2018, 3 bulan sebelum runtuhan jasad Anak Krakatau. Pada September hingga Disember isipadu bahan yang keluar ketika letusan menunjukkan trend yang menurun.

Tambahan pula, pelepasan gas silicon dioxida agak rendah , beberapa minggu sebelum runtuhan. Kajian lain juga mendapati aktiviti gunung berapi tidak begitu memberi kesan terhadap kestabilan cerun di gunung berapi tersebut, kerana kestabilan cerun banyak berubah bergantung pada aktiviti hydrothermal  , tekanan liang, hakisan laut dan lain lain lagi. Maka , aktiviti gunung berapi  bukan faktor utama runtuhan pada 22 September 2018.

Ha, komposisi magma pun bukan, aktiviti gunung berapi pun bukan, habis apa pencetusnya? Menurut —, mereka berhipotesis bahawa aktiviti seismiklah yang bertindak sebagai pencetus luaran kepada runtuhan Anak Krakatau, agak munasabah namun kajian lanjut masih perlu dibuat.Tsunami daripada runtuhan gunung berapi dianggap sebagai jarang berlaku dan sistem amaran awal tsunami susah untuk mengesan tsunami jenis ini. Namun begitu, Asia Tenggara merekodkan tsunami daripada runtuhan gunung berapi kerap berlaku iaitu kira kira 17 peristiwa pada abad 20 dan 14 peristiwa pada abad 19.

Runtuhan Anak Krakatau ini mengakibatkan tsunami yang dahsyat.  Ianya telah mengambil lebih kurang 400 nyawa penduduk Banten dan Lampung. Sisa runtuhan gunung berapi itu tersebar sehingga 2000 meter daripada lokasi ia runtuh. Rekod seismik menunjukkan aktiviti gegaran berlanjutan untuk beberapa jam, menyerupai gegaran gunung berapi dengan letusan yang didorong oleh wap.

Gaya letusan pada pasca runtuhan berbeza dengan gaya letusan pra runtuhan. Data infrabunyi dan data seismik menyokong peryataan ini, dengan menunjukkan perbezaan kandungan frekuensi. Produk gunung berapi yang keluar akibat daripada letusan ini bertambah setelah runtuhan berlaku, melihat pada keluasan kawasan pulau yang semakin bertambah (lava beku menambah luas pulau tersebut).

POTENSI LETUSAN PADA MASA AKAN DATANG

Pemerhatian terhadap aktiviti letusan Anak Krakatau mendatangkan pelbagai reaksi dari kalangan pengkaji , tidak kurang juga ada yang menyuarakan kebimbangan akan kemungkinan letusan dahsyat tahun 1883 bakal berulang. Tetapi ada juga yang membantah seperti Bemmelen (1949), berpendapat letusan mega tidak mungkin berlaku selagi mana jumlah kandungan kimia batuan yang terhasil daripada magma belum mencapai kadar peratusan yang sama ketika letusan 1883. Beliau juga menyatakan letusan 1883 memerlukan tempoh pendam yang lama untuk mengumpul sejumlah tenaga, berbeza dengan Anak Krakatau yang letusannya berulang dan kerap.

Mengulas tentang komposisi kimia batuan yang terhasil daripada letusan Anak Krakatau, De Neve (1981) telah merekodkan perubahan kandungan kimia yang konsisten. Bahan kimia iaitu silika yang terkandung dalam batu dari setiap siri letusan pada tahun 1992 sehingga tahun 2001 mencatatkan peningkatan.

Melihat pada corak peningkatan ini, beliau menganggarkan setiap 10 tahun , jumlah silika dalam batu dari letusan akan meningkat 1%. Sampel batuan daripada letusan tahun 1883 turut dianalisis komposisi kimianya, mengandungi 68% silika. Merujuk kepada perkiraan ini, Anak Krakatau memerlukan tempoh  140 tahun untuk mencapai kandungan 68% silika. Mungkinkah tahun 2040 , 19 tahun dari sekarang, malapetaka ini berulang? Bagi menjawab persoalan ini,penelitian serta kajian mendalam perlu dilakukan untuk letusan- letusan seterusnya.

Kesimpulannya, sejarah Krakatau dalam siri letusannya memberi igauan kepada penduduk di Selat Sunda malah di seluruh dunia. Demikianlah aktiviti gunung berapi yang sememangnya menjadi bukti bahawa Bumi itu ‘hidup’dan dinamik. Jadi , kita sebagai manusia penghuni di planet ini sewajarnya bersiap siaga untuk sebarang tindak balas Bumi yang senantiasa mempunyai potensi melenyapkan spesis. Siapa tahu, masa akan datang, spesis manusia bakal mengalami nasib yang sama seperti dinosaur, pupus secara akibat daripada bencana yang tercetus.

Artikel kiriman Ahmad Hanif untuk The Patriots. 

RUJUKAN

Anna, S. (n.d.). Volcanoes: How often do they erupt and what happens when they do? Retrieved December 21, 2020, from https://www.abc.net.au/news/science/2017-11-22/volcanoes-heres-what-happens-when-they-erupt/8997014

Letusan Krakatau yang menewaskan puluhan ribu orang dan mengguncangkan dunia. (n.d.). BBC NEWS INDONESIA. Retrieved from https://ichef.bbci.co.uk/news/640/cpsprodpb/10E55/production/_104950296_gettyimages-164077927.jpg

SUTAWIDJAJA, I. S. (2006). Pertumbuhan Gunung Api Anak Krakatau setelah letusan katastrofi s 1883. Indonesian Journal on Geoscience, 1(3), 143–153.

Walter, T. R., Haghshenas Haghighi, M., Schneider, F. M., Coppola, D., Motagh, M., Saul, J., … Gaebler, P. (2019). Complex hazard cascade culminating in the Anak Krakatau sector collapse. Nature Communications, 10(1). https://doi.org/10.1038/s41467-019-12284-5

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.