Kotornya Barat Pada Abad Ke-18 Dan Ke-19!

15,551

Selalunya bila kita menonton siri lama Eropah seperti Taboo, War and Peace, Victoria dan The Count of Monte Cristo, kita selalu bayangkan orang-orang Eropah sebagai beradab dan bertamadun dengan bangsa-bangsa lain dianggap gasar dan ketinggalan zaman. Tetapi tidak ramai orang tahu, bangsa Eropah ini boleh tahan juga perangai pengotornya dan ini berlaku semasa abad ke-19, tatkala cita-cita imperialisme mereka berada di kemuncaknya. Siapa sangka mereka yang kononnya melaungkan diri mereka sebagai pembela tamadun sebenarnya gagal menjaga kebersihan bandar mereka sendiri.

Anda tidak percaya? Boleh lihat senarai di bawah:

1. Penulis buku Dirty Old London: The Victorian Fight Against Filth, Lee Jackson mendedahkan jalan-jalan London yang dipenuhi dengan lumpur sebenarnya merujuk kepada tahi kuda. Ini kerana terdapat lebih puluhan ribu kuda yang digunakan untuk pelbagai urusan seharian yang memberi kesan buruk kepada jalan-jalan. Menjelang tahun 1890-an, terdapat 300,000 ekor kuda yang digunakan di London dengan seribu tan kutipan tahi sehari. Pihak berkuasa cuba membersihkan jalan sebaik mungkin dengan mengupah remaja berusia antara 12 hingga 14 tahun untuk meredah jalan dan mengutip tahi kuda di atas jalan. Menurut Jackson, itu merupakan antara tugas sukar semasa era Victoria ketika itu.

2. Selain tahi kuda, tahanlah jika pada satu ketika anda merasa kaki becak semasa berjalan di London pada abad ke-18 dan ke-19 walaupun cuacanya baik. Pada era Victoria, itu sebenarnya air kencing sama air kencing haiwan atau orang ramai yang membasahi jalan-jalan. Untuk mengelak situasi ini berterusan, pihak berkuasa cuba menurap jalan-jalan dengan kayu. Tetapi selepas beberapa minggu, aktiviti penurapan ini dihentikan kerana bau ammonia yang keluar dari laluan pejalan kaki terlalu kuat. Dan pemilik-pemilik kedai di tempat di mana ia diturap turut mengadu ammonia yang keluar melunturkan warna kedai mereka.

3. Isu pencemaran udara bukan saja membelenggu dunia hari ini tetapi juga semasa abad ke-18 dan ke-19. Setiap isi rumah menggunakan arang batu untuk keperluan dari memanaskan badan hinggalah keperluan memasak. Jadi setiap kali arang batu digunakan, ia menjadikan udara kelihatan gelap dan meliputi setiap permukaan dengan kotoran jelaga. Justeru, jangan terkejut jika asap dari pembakaran ini boleh mencapai setinggi separuh batu dan boleh dilihat sejauh 20 batu. Ini dicatatkan dalam biografi Samuel Pepys: The Unequalled Self hasil tulisan Claire Tomalin. Penduduk yang merasa rimas perlu membersihkan muka dan tangan beberapa kali bagi menampakkan diri mereka kelihatan bersih. Atas sebab itu juga, mereka enggan memakai pakaian berwarna putih kerana bimbang tidak dapat membersihkan pakaian itu dari kesan jelaga.

4. Isu saluran penyaliran seperti longkang tersumbat dan bau busuk menjadi mimpi ngeri penduduk London pada abad ke-18 dan ke-19. Ini kerana air yang berada dalam longkang-longkang bukan saja bertakung tetapi juga jadi pilihan penduduk untuk memenuhi panggilan alam mereka (buang air kecil/besar). Jika itu saja membuatkan sesiapa yang membaca loya, penjual-penjual daging turut mencampakkan sisa daging mereka ke dalam longkang. Berikutan kedudukan longkang atau tandas berhampiran dengan perigi-perigi, ia mengakibatkan pencemaran air dan mendedahkan penduduk kepada bahaya penyakit seperti disenteri.

5. Sungai Thames amat sinonim dengan London berikutan peranannya sebagai jalan air untuk pelbagai urusan seharian penduduknya. Tetapi skala pencemarannya amat buruk pada abad ke-18 dan ke-19 menerusi kenyataan wartawan dan penyelidik Inggeris, Henry Mayhew. Beliau menyifatkan sungai itu dicemari dengan pelbagai jenis bahan seperti bahan dari kilang bir, kilang mineral dan kilang kimia, lepa berbau, tahi kuda, bangkai haiwan seperti kucing dan anjing serta sampah-sarap. Bau sungai tersebut sangat menjijikkan sehinggakan pada tahun 1858, Perdana Menteri Britain ketika itu, Benjamin Disraeli terpaksa melarikan diri dari bilik mesyuarat dengan satu tangan memegang dokumen-dokumen dengan satu tangan lagi menutup hidung dengan kain sapu tangan. Mereka cuba menangani bau busuk dengan merendam langsir dengan kapur klorida tetapi tidak berhasil.

6. Isu bandar kotor ini bukan setakat berlaku di London tetapi juga di Paris. Ya, Paris yang dikenali sebagai kota percintaan. Tidak seperti hari ini, ia juga dihantui imej kotor yang melampau. Bonda Raja Louis XIV, Permaisuri Anne dari Austria berkata, “Paris merupakan satu tempat yang buruk dan berbau. Jalan-jalannya sangat kotor sehinggakan tiada siapa boleh bertahan di situ berikutan bau daging dan ikan busuk serta kelibat orang ramai kencing di jalanan.”

7. Tidak ramai tahu Istana Versailles yang menjadi tempat pemeteraian Perjanjian Versailles yang menjadi penamat Perang Dunia Pertama dikenali dengan satu nama lain iaitu tandas/lubang najis. Bagi mana-mana delegasi luar yang bertandang ke istana, sudah pasti akan ada kedengaran keluhan yang tidak tahan dengan bau busuk dan kotoran di istana. Berikutan saiz istana yang besar dan bilangan tandas yang sedikit, maka usah terkejut jika pekerja istana hinggalah kerabat dan tetamu diraja mencari mana saja tempat yang dirasakan sesuai untuk melepaskan hajat. Bagi yang berkemampuan dan berkuasa, bila ianya sudah selesai, tahinya akan dibersihkan oleh orang suruhan mereka.

8. Isu kebersihan diri sentiasa dititikberatkan oleh mana-mana masyarakat tanpa mengira di mana saja mereka berada. Tetapi bagi masyarakat Eropah terutama yang menetap di bandar-bandar besar, ia merupakan satu tugas sukar. Bagi penduduk miskin terutama yang menetap di kawasan setinggan dan bersesak-sesak, satu-satunya bekalan air yang diterima ialah paip tegak yang disediakan oleh tuan rumah. Jika ia disediakan pun, pengguna hanya boleh mendapat bekalan air antara dua hingga tiga jam seminggu. Justeru, apa saja air yang diraih perlu dijimatkan bagi membolehkan ia cukup untuk satu minggu berikutnya. Tetapi selalunya, paip tegak ini juga menjadi saksi pergaduhan antara penduduk yang berebutkan bekalan air dan keperluan beratur panjang untuk mendapatkannya. Jika ada yang nak mandi juga, boleh pilih untuk mandi di sungai atau tasik. Tetapi tahankah anda jika baunya terlalu busuk?

9. Sebelum kewujudan tandas hari ini, orang terdahulu memilih membuang air di lubang penakung najis. Lubang ini dipastikan mempunyai liang bagi membolehkan sebarang air sisa najis dapat diserap oleh tanah. Tetapi jika ia dibina terlalu hampir dengan perigi, ia berpotensi untuk bocor dan mencemari sumber air penduduk. Jika ada sisa najis dalam lubang, maka tukang angkut najis akan dipanggil untuk mengutip dan membawa pergi najis itu. Kerja sebegini dianggap kerja tambahan bagi sesiapa yang mahu mencari duit tambahan. Kutipan najis hanya dibuat pada waktu malam dan bukan waktu siang kerana bimbang jika ia dibuat pada waktu siang, ia akan mengakibatkan pencemaran bau yang menjejaskan keselesaan penduduk. Najis-najis ini akan diangkut ke luar bandar dan dijual kepada petani sebagai baja tanaman mereka.

10. Penulis The Family, Sex, and Marriage in England 1500-1800, Lawrence Stone menceritakan di kawasan tanah perkuburan, liang lahad yang menempatkan mayat tidak akan ditutup melainkan selepas ia benar-benar penuh. Liang sebegini merujuk kepada kubur besar khas untuk penduduk miskin di mana mayat akan ditanam bersebelahan antara satu sama lain mengikut barisan. Selepas lubang tersebut penuh, barulah ia ditutup. Jika tidak, tahanlah sesiapa yang melalui kawasan tanah perkuburan dengan bau mayat yang keluar dari liang-liang ini.

11. Ia merupakan sesuatu yang menyeksakan bagi penduduk abad ke-18 dan ke-19 yang menetap di kawasan setinggan. Sudahlah bersesak-sesak untuk ruang kediaman, mendapatkan akses bekalan air untuk urusan seharian juga sukar. Bagi yang menetap di pinggir bandar, ada yang duduk bersama binatang ternakan mereka dalam satu rumah yang sama. Yang membezakan bahagian mereka ialah satu pembahagi yang memisahkan ruang ternakan dengan bilik yang dijadikan sebagai dapur dan bilik tidur. Bahagian para digunakan untuk mengeringkan makanan binatang dan ia disebarkan sepanjang lantai para. Jadi bila mereka makan di situ, melihat biji atau lalang jatuh semasa makan merupakan satu perkara biasa.

12. Tandas pertama dicipta oleh seorang penulis Inggeris bernama Sir John Harington pada tahun 1596 untuk kegunaan rumah agamnya di Kelston. Tandas pam yang dipanggil juga sebagai Ajax dinyatakan dalam buku karangannya bertajuk A New Discourse upon a Stale Subject: The Metamorphosis of Ajax yang diterbitkan pada tahun sama. Namun di sebalik ini, bilik air dan tandas masih dianggap satu bentuk kemewahan oleh golongan berada walaupun selepas 200 tahun ia dicipta.

Justeru, bila tandas awam pertama diperkenalkan semasa Ekspo Dunia Pertama di Hyde Park pada tahun 1851, ia seharusnya menjadi satu kelegaan kepada pihak berkuasa dan orang ramai. Ekspo tersebut menyaksikan lebih enam juta pelawat melawat ekspo itu. Tetapi ia juga mencetuskan kontroversi sama ada ia satu keperluan atau satu pembaziran. Ini kerana tandas sebegini dianggap sesuatu yang memalukan terutama kaum wanita kerana mereka menganggap jika mereka masuk tandas awam di jalanan untuk melepaskan hajat, ia akan menjatuhkan maruah mereka.

13. Isu kekotoran bukan setakat pada kawasan bandar, jalanan dan bekalan air tetapi juga membabitkan isu makanan. Contohnya, bagi memastikan roti yang dihasilkan lebih putih dan lebih berat, sesetengah pembuat roti yang tidak bertanggungjawab mencampurkan alum, sejenis bahan berasaskan aluminium dalam adunan roti mereka. Bahan yang menjadi sebahagian daripada sabun pencuci bukan saja mengakibatkan masalah kekurangan nutrien tetapi juga cirit-birit kronik yang boleh membawa kepada kematian. Sementara bagi surirumah, ada yang mencampurkan susu dengan asid borasik dengan tujuan menghilangkan bau masam dalam susu. Masalahnya, asid ini boleh menyebabkan sesiapa yang mengambilnya muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Tidak hairanlah akibat semua ini, ramai penduduk yang mati akibat penyakit berjangkit dari disenteri hingga kolera. Di Paris, penyakit kolera menjadi mimpi ngeri penduduk di mana ia menjadi epidemik selama enam bulan dan mengorbankan 19,000 nyawa. Doktor berhadapan kesukaran mendiagnosis penyakit ini kerana terlalu banyak simptom dari demam panas hingga sakit kepala dan boleh menyebabkan mangsanya terlantar atas katil dalam tempoh beberapa jam. Sementara London pula tiga kali dilanda epidemik kolera pada tahun 1831, 1848-1849 dan 1853-1854 yang menyaksikan 6,536 kematian (1831), 14,137 kematian (1848-1849) dan 10,738 kematian (1853-1854).

Namun, satu peristiwa yang dipanggil The Great Stink di mana cuaca panas antara Julai dan Ogos 1858 menguatkan lagi bau busuk yang muncul dari Sungai Thames akhirnya memaksa pihak berkuasa bertindak. Berikutan itu, satu rangkaian saliran longkang dibina hasil cadangan Joseph Bazalgette dari 1859 hingga 1875 dan masih berfungsi sehingga hari ini. Hasil kerja Bazalgette bukan sekadar mengelakkan lebih banyak sisa kumbahan disalurkan ke Sungai Thames malah mengurangkan bilangan kematian akibat penyakit kolera. Ini bukan satu dongengan tetapi hakikat yang pernah dilalui penduduk Eropah satu ketika dahulu dengan menjadikan Paris dan London sebagai contoh. Tapi biasalah, manusia mudah lupa, kan?

RUJUKAN:

1. BBC. (2013). 10 dangerous things in Victorian/Edwardian homes. https://www.bbc.com/news/uk-25259505

2. Furst, Elaine. (2013). 10 Reasons 19th Century Paris Was As Miserable As Les Mis. Listverse. https://listverse.com/2013/01/19/10-reasons-19th-century-paris-was-as-miserable-as-les-mis/

3. L. Tupy, Marian. (2019). The Industrial Revolution Was Dirty, but Pre-Industrial Europe Was Worse. Foundation for Economic Education. https://fee.org/articles/the-industrial-revolution-was-dirty-but-pre-industrial-europe-was-worse/

4. National Public Radio. (2015). ‘Dirty Old London’: A History Of The Victorians’ Infamous Filth. https://www.npr.org/2015/03/12/392332431/dirty-old-london-a-history-of-the-victorians-infamous-filth

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.