Kota Troy Didapati Setua 5500 Tahun Lampau!

609

Kisah Troy yang menjadi sebahagian sajak epik Iliad oleh Homer sentiasa menggamit minat para pembacanya. Siapa yang tidak tertarik dengan taktik kuda kayu yang dijadikan helah tentera Yunani untuk menyerang dan menjarah kota berkenaan, satu helah yang terus diperkatakan sehingga hari ini.

Walaupun ramai menganggap kisah Troy sebagai satu mitos sama seperti Atlantis, bagi pakar arkeologi Jerman, Heinrich Schliemann, ia merupakan satu realiti yang hanya menanti masa ditemui. Dan menjelang pertengahan abad ke-19, apa yang dihajatinya itu menjadi realiti.

Satu perkara yang menggaru kepala sejarawan dan pengkaji ialah hakikat Troy tidak wujud. Penyair Yunani terkenal, Homer mempopularkan kota berkenaan dalam mahakarya Iliad dan Odysseynya yang dikarang pada abad kelapan Masihi. Kedua-dua karya berkenaan menceritakan perihal perang selama 10 tahun antara Yunani dengan Troy dan watak-watak yang terlibat seperti Achilles, Hector, Priam, Agamemnon dan Odysseus sendiri.

Kota itu dijumpai pada tahun 1870 oleh Schliemann di tapak yang dikenali sebagai Hisarlik. Menurut beliau, terdapat banyak bukti yang menunjukkan tapak tersebut sebenarnya Troy berdasarkan bukti seperti emas yang digelar harta Priam dan barang kemas Helen, kedua-duanya ditemui pada tahun 1873.

Tetapi penemuan Schliemann turut membawa kepada satu fakta baru, Hisarlik sebenarnya mendedahkan bandar ini silih berganti dibina dan dibina semula dari Zaman Gangsa hinggalah era Empayar Rom sekaligus menjadikan setiap lapisan yang didedahkan proses ekskavasi sebagai unik dan berbeza mengikut tempoh masa. Justeru, pakar memanggil setiap lapisan ini Troy I hinggalah Troy XI dengan lapisan Troy I merujuk kepada ekspedisi ekskavasi yang dijalankan Schliemann pada tahun 1870-an.

Lapisan kota-kota Troy.

Namun, satu penemuan baru yang dibuat pengkaji arkeologi di Hisarlik dilihat dapat membongkar usia sebenar petempatan lama itu. Satu lapisan baru yang dikenali sebagai Troy 0 mendedahkan pelbagai penemuan baru seperti kesan terbakar lama, serpihan tembikar dan alang-alang kayu pada lapisan baru Hisarlik.

Berdasarkan bukti ekskavasi lama, usia Hisarlik dianggarkan berusia 4,900 tahun dan bermula sejak dari Zaman Gangsa. Tetapi berdasarkan penemuan baru ini, usia petempatan purba yang terletak di selatan Dardanelles itu sebenarnya 5,500 tahun. Ini bermakna Hisarlik sudah dijadikan sebagai kawasan petempatan manusia enam abad lebih awal daripada jangkaan asal.

Berdasarkan pelbagai lapisan bandar yang ditemui di Hisarlik, ini menunjukkan bandar lama itu mempunyai sejarah yang rumit dan panjang. Penemuan terbaru yang dibuat pasukan pengkaji arkeologi Turki ini bakal mengubah pandangan kita terhadap Troy untuk selama-lamanya. Ini kerana ia boleh memberi pelbagai maklumat baru bukan sekadar evolusi pembangunan bandar berkenaan tetapi juga satu ruang untuk mengetahui aspek kebudayaan masyarakat Zaman Gangsa. Dengan kepentingan sejarah dan budaya yang cukup penting di sini, apa saja penemuan akan diikuti dengan rapat di seluruh dunia.

Tatkala Hisarlik terus diekskavasi untuk mencari klu baru berkenaan Troy, apa pula kisah kuda Trojan yang digunakan tentera Yunani semasa menyerang Troy? Teori tentang asal-usul kuda berkenaan terlalu banyak seperti lambang kapal-kapal Yunani yang berubah menjadi simbol mistik kekuatan Yunani, tanda rahsia oleh pengkhianat Troy untuk membenarkan tentera musuh masuk atau lambang kekuatan dewa laut Poseidon yang turut dikenali sebagai penggegar bumi.

Tetapi sejarawan kontemporari mempunyai teori mereka yang tersendiri. Mereka berpandangan kuda kayu Trojan itu sebenarnya mesin pengepungan yang digunakan pihak lawan untuk menceroboh kota Troy. Ini berdasarkan beberapa ukiran yang ditemui di istana seorang raja Assyria bernama Assurnasirpal II (883-859 SM) di Nimrod.

Walaupun ‘kuda Assyria’ dikatakan wujud lewat selepas Pertempuran Troy, bahan-bahan bertulis yang ditemui dari arkib di Hattusa, ibu kota kerajaan Hittite mencadangkan mesin pengepungan telah lama digunakan seawal abad ke-18 SM.

Kuda Trojan

Mesin pengepungan ini digambarkan sebagai sebuah pelindung kayu yang boleh dialihkan dengan panjang 26 kaki dan lebar enam kaki dengan sebatang kayu tajam berukuran 17 kaki panjang. Di sebalik pondok inilah, ia digerakkan oleh puluhan askar yang mengepung dan menyerang dinding-dinding kota dengan tujuan mencari ruang antara batu dan melemahkan struktur pertahanan kota.

Dokumen-dokumen Hittite ini merujuk alat ini sebagai punggung orang gasar atau binatang bertanduk satu. Jadi, tidak mustahil kuda Trojan yang digunakan merujuk kepada mesin pengepungan tetapi dalam bentuk kuda. Tetapi masih banyak soalan masih belum terjawab dari siapa yang menyerang Troy dan mengapa penduduk kota berkenaan melawan mereka bermati-matian. Nampaknya, Hisarlik dilihat sebagai tempat menjawab semua persoalan itu.

RUJUKAN:

1. Whelan, Ed. (2019). Surprise Discovery Reveals Ancient City of Troy is 5,500 Years Old. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/city-troy-0012483

2. Martinez, Oscar. (2018). How archaeologists found the lost city of Troy. National Geographic. https://www.nationalgeographic.com/archaeology-and-history/magazine/2015/12/the-lost-city-of-troy/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.