Kota Purba Orang Aztec Dibina Atas Tasik

3,417

Berikut adalah surat Hernan Cortes kepada Raja Sepanyol pada masa tersebut, yang begitu teruja dengan kepadatan dan keluasan Kota Tenochtitlan yang didiami oleh orang asal Mesoamerika pada masa tersebut. Siapa kata mereka tak maju dan merupakan puak yang tidak sophiscated? Bahkan Tenochtitlan juga boleh digelar sebagai “Venice Mesoamerika” di atas statusnya sebagai sebuah kota metrópolis di atas Tasik Texcoco.

Tenochtitlan didirikan di atas sebuah pulau kecil yang berada di Tasik Texcoco. Pemilihan yang dilakukan pula tidak dilakukan secara rawak, jikalau mengikut legenda puak Mexica (yang kemudiannya dikenali sebagai Aztec), kehadiran sebuah helang di atas sebuah kaktus telah memberikan petanda bahawa itu merupakan tempat yang bakal menjadi nadi Empayar Aztec.

Kunci perkembangan Empayar Aztec bermula di Tenochtitlan, di mana pelbagai projek kejuruteraan mega seperti pembinaan jambatan dan saliran yang luas dijalankan bagi menghubungkan pulau-pulau kecil di sekeliling Tasik Texcoco (seperti Tlatelolco). Pembinaan chinampas, sebuah pulau mini buatan manusia yang berfungsi sebagai kebun tanaman telah membantu untuk memberi sumber makanan kepada kota Tenochtitlan. Kemajuan agrikultur ini telah membantu dalam menyambung beberapa kawasan yang sedia ada di Tasik Texcoco.

Hasil ini merupakan suatu pencapaian yang hebat bagi Empayar Aztec. Bayangkanlah, sebuah kota yang terhad dari segi tanah, mampu menyambungkan pulau-pulau yang lain menggunakan laluan air sahaja. Proses yang begitu rumit dan memakan masa ini yang telah mengejutkan rombongan Sepanyol yang dipimpin oleh Hernan Cortes pada tahun 1520.

i. Peta Tenochtitlan (1524)

Tidak dapat dinafikan bahawa chinampas telah membawa kepada kemajuan Tenochtitlan dalam membuat sistem jajaran lebuhraya airnya yang tersendiri. Ia juga telah membantu dalam sistem empangannya yang memisahkan di antara air masin dan air tawar.

ii. Chinampas (diambil dari bahasa Nahuatl yang bermaksud ‘kotak daripada buluh’.

Jika menyusuri dari sudut pentadbiran kota, Tenochtitlan juga telah dibahagikan kepada beberapa kawasan besar yang dikenali sebagai campan. Di dalam sebuah campan, terdapat beberapa sub-kawasan yang dikenali sebagai calpolli. Setiap sub-kawasan mempunyai pasar, sekolah dan juga tempat keagamaan yang dibina oleh bangsawan (ketua bagi sub-kawasan tersebut). Selain itu, kesemua golongan di Tenochtitlan, dari pelbagai lapisan masyarakat dan jantina mempunyai akses pendidikan yang luas.

iii Gambaran keadaan masyarakat Aztec

Lokasi yang paling menarik terletak di tengah-tengah kota, berdirinya sebuah piramid berkembar setinggi 60-meter yang dikenali sebagai Templo Mayor. Zon ini dikenali sebagai ‘Zon Suci’. Di samping itu, zon tersebut mempunyai beberapa bangunan yang dikhaskan bagi dewa-dewa mereka seperti Tlaloc (yang memerlukan ritual korban kanak-kanak menangis) dan juga Huitzilopochtli (yang memerlukan jantung yang masih berdegup milik ritual korban).

Terdapat juga sekolah yang dikhaskan bagi para bangsawan dan juga sebuah padang bola (ya, ini merupakan signifikan yang besar bagi mereka) dan padang tersebut harus dibina disebelah piramid dewa Huitzilopochtli. Mengapa? Ia melambangkan ritual mereka, bahawa bola tersebut merupakan kepala si korban ritual dan kemenangan sesebuah kumpulan dalam permainan bola ini biasanya akan dikorbankan atas dasar penghormatan yang besar.

iv. Templo Mayor

Berbalik kepada kota Tenochtitlan, istana pada zaman Raja Montezuma mempunyai zoo, akuarium dan juga taman botani persendirian yang pada masa tersebut amatlah jarang untuk dilihat. Pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan eksotik terdapat di dalam istana Montezuma.

v. Zoo Montezuma

Jalan raya daratan yang luas juga membantu dalam melancarkan trafik penduduk Tenochtitlan yang berjumlah hampir 200,000 penduduk (hampir sama seperti jumlah kepadatan penduduk di Paris dan Naples). Cortes juga pernah mencatatkan bahawa keluasan jalan raya tersebut mampu memuatkan 10 ekor kuda bersebelahan satu sama lain dalam laluan yang sama.

Pada zaman Raja Nezahualcoyotl, sebuah dam kecil berukuran 17 km dibina bagi mengawal paras kenaikan air dan juga akses kepada sumber air tawar. Terdapat juga pelbagai plaza-plaza luas yang boleh dijadikan sebagai pasar mega terbuka yang mampu memuatkan hampir 60,000 orang dalam satu masa.

vi. Raja Nezahualcoyotl

Walau bagaimanapun, ketamakkan Cortes, penyebaran epidemik campak dari orang Eropah dan juga perluasan jajahan Sepanyol telah menghancurkan kota ini pada tahun 1521. Apa yang lebih mengejutkan, adalah pelan pihak Sepanyol untuk mengeringkan tasik tersebut secara berperingkat bagi memudahkan pembinaan kota dan tempat tinggal bagi para koloni dari Sepanyol. Orang Sepanyol mula membina rumah mengikut acuan rumah di Eropah seperti di Seville. Tapak Templo Mayor juga telah dimusnahkan dan dibina tempat pentadbiran Empayar Sepanyol di Amerika sebagai suatu simbolik dalam menjatuhkan tamadun dan budaya Aztec.

vii. Kejatuhan Tenochtitlan

Orang Sepanyol mungkin telah menemukan “Tenochtitlan” sukar untuk dikatakan. Nasib baik beberapa perkataan Nahuatl telahpun di pinjam dalam bahasa Sepanyol (dan seterusnya ke bahasa Inggeris) untuk memudahkan cara penyebutannya seperti tomatl (tomato), chocolātl (chocolate) dan ahuacatl (avocado). Mereka melakukan penggabungan nama bandar itu sebagai “Mexico”, ataupun “tempat puak Mexica” atau Aztec. Untuk sesuatu tempoh masa, bandar itu juga pernah dipanggil oleh nama, Mexico-Tenochtitlan.

viii. Perbandingan Tasik Texcoco pada tahun 1519 dan Mexico City pada masa sekarang

Pengeringan menyeluruh Tasik Texcoco dapat dilihat pada masa kini, yang mana ianya sekarang dikenali sebagai Mexico City – sebuah kota yang dibina semula selepas pengeringan Tasik Texcoco.

P.S: Penulis bakal melanjutkan pengajian ke Mexico City selama setahun bagi mendalami sejarah dan budaya tamadun di Mesoamerika dan Mexico. Saya berharap para pembaca dapat sedikit sebanyak ilmu dari sudut yang jarang dilihat dan doakan juga saya selamat berangkat dan pulang ke Malaysia bagi meneruskan artikel-artikel berkenaan tema yang sama.

RUJUKAN:

Aguilar-Moreno, M. (2009). Handbook to Life in the Aztec World. New York: Facts on File.

Cortés, H. and Gayangos y Arce, P. (2007). Cartas y relaciones de Hernan Cortés al emperador Carlos V. Mairena del Aljarafe (Espagne): Extramuros.

Invicta (2018). Tenochtitlan -The Venice of Mesoamerica (Aztec History). Available at: https://www.youtube.com/watch?v=fmHVqb6t__8 [Accessed 20 Jul. 2019]

Kings and Generals (2018). Aztecs: Arrival of Cortes and the Conquistadors. Available at: https://www.youtube.com/watch?v=suRAVIndO4Y [Accessed 21 Jul. 2019].

Sample, I. (2004). Why is Mexico City sinking?. [online] The Guardian. Available at: https://www.theguardian.com/science/2004/may/06/thisweekssciencequestions [Accessed 20 Jul. 2019].

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.