Moving Forward As One

Kota Purba Iran Berusia Lebih 5000 Tahun Ditemui

1,960

Bertempat di Zabol, Sistan-Baluchestan, Shahr-i-Sokhta (Bandar Terba.kar) merupakan salah sebuah lokasi arkeologi dari Zaman Gangsa yang paling besar di Iran dan juga Timur Tengah.

Sebilangan sejarawan berpandangan yang ia berdiri sebagai ibu kota bagi sebuah tamadun agung yang tumbuh mekar di tebing Sungai Helmand sekitar tahun 3,200 Sebelum Masehi. Dapatan-dapatan arkeologi pada tarikh kebelakangan bagaimanapun menuding kepada tarikh yang sedikit berbeza – yakni tiga hingga empat kurun lebih tua.

Dijuluki sebagai ‘Pompeii Dunia Timur’, luas keseluruhan Shahr-i-Sokhta berukuran 200 hektar. Berdasarkan karya-karya sastera lama, lingkungan arkeologi mengaitkan kota ini dengan kota legenda Aratta, iaitu kota yang muncul dalam beberapa epik puisi tamadun Sumeria seperti Enmerkar dan Raja ArattaEnmerkar dan EnsuhkeshdannaLugalbanda dan burung Anzu, dan juga Epik Gilgamesh yang diketahui ramai.

Kota legenda ini disifatkan terletak di kejauhan dan sukar untuk dikunjungi. Ia kaya dengan emas, perak, lapis lazuli, dan berbagai-bagai lagi barangan mewah lain. Dicatatkan, kota Aratta bermegah dengan sebuah kuil Inanna yang bertatahkan lapis lazuli sepenuhnya.

Tapak perku.buran yang menyimpan ribuan artifak berharga dari tamadun purba yang menghuni Shahr-i-Sokhta

Penemuan arkeologi mendapati yang Shahr-i-Sokhta merupakan pusat perdagangan utama di zamannya. Ia dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari Mesopotamia, Lembah Indus, dan juga Asia Tengah. Bagi sejarawan, run.tuhan kota purba ini signifikan kerana ia menjadi bukti kewujudan sebuah tamadun berperadaban yang awal di timur Iran.

Cuma malangnya, kota ini pernah run.tuh sebanyak tiga kali akibat keba.karan. Kejadian terakhir dipercayai berlaku sekitar tahun 1,800 SM dan semenjak itu, ia tidak pernah lagi dibaiki. Sejarawan juga masih berteka-teki dalam soal punca kemunculan dan kejatuhan Shahr-i-Sokhta.

Setakat penyelidikan yang dijalankan sepanjang 40 tahun kebelakangan, lingkungan arkeologi berhasil menemukan lebih 1,200 buah ku.bur. Salah satunya mengandungi rangka wanita yang dianggarkan meni.nggal dunia di usia 20-an pada tahun 2,900-2,800 SM.

Ma.yat ini dise.madikan bersama sebuah cermin gangsa yang diukir rapi, juga mata-buatan yang diperbuat daripada campuran bitumen dan emas. Pemeriksaan lanjut mendapati yang mata-buatan ini meninggalkan kesan pada soket mata wanita berkenaan sekali gus mengisyaratkan yang ia dipakai untuk tempoh yang agak panjang sebelum kema.tiannya.

Rangka wanita yang dijumpai di Shahr-i-Sokhta, bersama mata-buatan

Tahun 2014 memperlihatkan banyak ku.bur aneh ditemui. Antaranya termasuklah ku.bur berbentuk bulat milik ma.yat lelaki pertengahan usia yang dise.madikan bersama rangka dua ekor anjing serta 12 tengkorak manusia.

Menurut Seyyed Mansur Sajjadi yang mengepalai kerja-kerja penggalian, ku.bur tersebut dipercayai milik mereka yang berpindah dari Asia Tengah ke Dataran Irani, memandangkan bentuk dan kaedah penye.madiannya berbeza dengan masyarakat tempatan.

Ada pula ku.bur yang menyimpan rangka seorang pemuda yang kepalanya terpisah dari jasad dan ditanam bersama dua bilah pe.dang pendek. Begitu juga dengan sebuah ku.bur yang mengandungi enam tengkorak bersama sejumlah tulang-belulang manusia yang panjang belaka.

Kerja ekskavasi yang berlangsung selama 23 musim ini tidak hanya menemukan ku.bur dan rangka manusia, tetapi juga ribuan artifak berharga. Ketiadaan tembok pertahanan dan keseragaman dalam bentuk makam mendorong ilmuwan untuk menyimpulkan yang penduduk Shahr-i-Sokhta tidak mengamalkan sistem hierarki sosial.

Pelan rumah di runtuhan kota Shahr-i-Sokhta

Rumah-rumah yang dijumpai pula berbentuk segi empat tepat dengan ketinggiannya kira-kira dua meter. Penghuni Shahr-i-Sokhta dilihat amat menekankan nilai estetika, dengan pintu dan dinding rumah mereka rata-ratanya diukir dengan motif geometri. Rekaan sama turut dijumpai pada barangan tembikar dan batu mohor.

Kesemua penemuan ini meraihkan Shahr-i-Sokhta pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia, sekali gus memungkinkan kajian lanjut dilakukan dengan lebih berkesan.

Ruangan komen telah ditutup.