Ahli-ahli arkeologi China melaporkan bahawa mereka telah pun mengesahkan status ibu kota purba bagi maharaja Yao Tangdi yang hidup pada 6000 tahun lalu. Maharaja ini disifatkan sebagai pembawa keamanan buat “masyarakat sinar”.

Bagi sebilangan pihak, Yao dianggap sebagai figura mitos. Namun, kerajaan China sendiri menegaskan bahawa pemerintah ulung ini benar-benar wujud dan bukan legenda semata. Tapak arkeologi Taosi yang terletak di Shanxi, China, kini dikenal-pasti sebagai sebuah ibu kota purba yang dikenali sebagai Pingyang.

“Lingkungan arkeologi telah mencapai kata sepakat bahawa Taosi adalah ibu kota pada era pemerintahan Yao,” ujar Wang Wei, ketua arkeologi Akademi Sains Sosial China (Chinese Academy of Social Sciences). Kerja-kerja ekskavasi di sana telah pun dimulakan sejak tahun 1978 lagi.

Taosi, kota purba yang ditubuhkan oleh Maharaja Yao Tangdi

“Taosi merupakan sebahagian daripada apa yang disebutkan oleh bahan-bahan sejarah sebagai Pingyang, yakni ibu kota maharaja Yao,” kata He Nu, seorang pensyarah dari akademi sama. “Era maharaja Yao, Shun dan Yu bukanlah legenda. Ia sejarah yang benar-benar berlaku.”

Kuil dan makam Yao juga terdapat di Taosi, yang juga dikenali sebagai Pingyang namun dinamakan pada hari ini sebagai Kota Linfen.

Pemerintahan maharaja Yao dicatatkan berlangsung terlalu harmoni hingga kononnya alam turut bersinar cerah. Confucius memuji Yao secara berterus-terang, menyifatkan beliau sebagai seorang budiman, penegak kebenaran dan dermawan. Britannica pula menulis:

“Legenda menceritakan bahawa sepanjang 70 tahun pemerintahan Yao, matahari dan bulan bersinar bagaikan permata, lima buah planet bercahaya bagaikan lilitan mutiara, burung-burung margasatua bersarang-semayam di perkarangan istana, mata air kristal memancar dari bukit, rumput mutiara memenuhi wilayah pinggiran, hasil tuaian padi berlimpah-ruah, dua ekor unikorn (yang menjadi simbol kemegahan) muncul di ibu kota Pingyang, dan kekacang juga muncul lalu menghasilkan satu lenggai pada setiap hari selama setengah bulan sebelum 15 lenggai layu satu demi satu pada hari-hari berikutnya.”

Potret Maharaja Yao sebagaimana yang dibayangkan oleh pelukis Dinasti Song, Ma Lin

Nama maharaja Yao juga sering dikaitkan dengan penggantinya, Shun, yang merupakan seorang petani yang diangkat oleh Yao sebagai maharaja sekaligus mengenepikan puteranya sendiri. Yao turut mengahwinkan dua orang puterinya dengan Shun. Yao dan Shun masing-masing dicatatkan dalam sejarah sebagai pemerintah yang budiman. Fenomena alam yang menakjubkan juga kononnya berlaku pada era pemerintahan Shun.

Seorang blogger merangkap sejarahwan amatur dari Cloud Chronicler menyenaraikan tujuh orang wira purba bagi masyarakat China, antaranya seperti Yao, Shun dan Yu. Dua orang wira yang lebih awal ialah Fuxi yang mengajarkan masyarakat China cara menternak haiwan dan mencipta lapan trigram bagi buku I Ching atau Kitab Perubahan, serta Shen Nong atau Petani Kayangan yang mencipta bajak dan cangkul serta mengajarkan manusia cara bercucuk tanam.

Selain itu, terdapat pula dua orang maharaja yang mendahului Yao, Shun dan Yu. Salah seorangnya ialah Huangdi atau Maharaja Kuning yang disifatkan oleh Cloud Chronicler sebagai “pemerintah pengasas dan leluhur azali bagi masyarakat China”. Beliau turut didakwa sebagai nenek-moyang kepada Yao. Pada eranya, berlaku huru-hara di China sebelum Huangdi kemudiannya menghimpunkan pasukan tentera dan menakluki raja-raja kecil sekaligus menguasai wilayah Sungai Kuning. Menurut legenda, beliau bertanggungjawab mencipta tulisan, kapal, pedati, busur dan panah, dan barang seramik, manakala isterinya pula menemukan kain sutera pertama.

Murai dan Kelinci, dilukis oleh Cui Bai pada kurun ke-10M; menurut legenda, nenek-moyang Maharaja Yao bertanggungjawab menemukan kain sutera

“Berkenaan pengganti (Huangdi), iaitu Zhuan Xu, tidak banyak maklumat yang diperoleh melainkan beliau menggagaskan institusi keluarga patriarki, melarang perkahwinan saudara-rapat, dan mewariskan mantel pemerintahan kepada Yao,” tulis Cloud Chronicler.

Sejarahwan China dari zaman purba menyebutkan bahawa Yao hidup di Wilayah Hebei. Kemudian, beliau berpindah ke selatan dan menubuhkan Pingyang atau Taosi sebagai ibu kota pemerintahannya.

Xinhua, agensi berita China, melaporkan bahawa ekskavasi-ekskavasi terkini mendapati keluasan ibu kota Taosi mencecah 2.8 juta meter persegi (691 ekar) dan mempunyai sistem pembahagian kawasan yang terancang rapi.

Blog Chinese Archaeology pula menyebutkan bahawa ahli-ahli arkeologi yang bertugas di Taosi menemui sebuah istana, balai pencerap dan kediaman golongan elit dan awam serta kawasan perkuburan elit.

Penemuan-penemuan di sana mendorong ilmuwan untuk memperkenalkan nama Tamadun Taosi yang diletakkan tarikhnya sebagai 4300 hingga 3900 SM. Antara barangan lain yang turut ditemui adalah pinggan seramik yang dihiasi lukisan naga, gendang seramik, gendang kulit buaya, kapak jed dan batu, alatan upacara daripada kayu dan batu-batu peranggu.

TERJEMAHAN:

Mark Miller. (21 April 2015). Taosi Confirmed as 4200-Year-Old Legendary Capital of Chinese Hero Emperor. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/taosi-confirmed-4200-year-old-legendary-capital-chinese-hero-emperor-002934


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.