Moving Forward As One

Kota Mesopotamia Yang Tersembunyi dari Tatapan Dunia

3,127

Banyak maklumat tentang Mesopotamia menceritakan tentang kehebatan peradaban ini. Macam-macam kisah disajikan untuk kebanggaan orang ramai.

Di sini bangkitnya tamadun Sumeria, Akkad, Assyria dan Babylonia yang memainkan peranan besar sebelum diserap masuk dalam Empayar Achaemenia.

Malah Mesopotamia mengatur langkah pertama dalam lembaran sejarah, yang mengasingkan manusia daripada zaman prasejarah.

Catatan adalah perkara penting dalam sesuatu budaya. Dan inilah sumbangan Mesopotamia yang paling dihargai. Segala maklumat mengajar orang ramai tentang pelbagai perkara, mengenai cara hidup silam misalnya. Walau bagaimanapun, sejarah ditulis oleh orang yang menulis.

Bukan semua yang pandai menulis. Yang arif menulis pula barangkali menyimpan kecenderungan untuk berpaling arah. Sejarah yang elok kemudian menjadi mitos. Inilah lumrah dalam sejarah silam.

Namun tiada apa yang mitos tentang sebuah penempatan Mesopotamia sekitar 4,000 tahun lalu. Penempatan ini terletak tidak jauh daripada kota Ur. Pada 24 Jun 2021, sepasukan pakar arkeologi daripada Iraq dan Rusia bergerak ke Tel al-Duhaila sekitar 30 kilometer daripada tapak Ur. Mereka pergi ke sana untuk mengkaji dapatan yang dibuat pada tahun sebelumnya.

Pertama sekali, penemuan tapak Mesopotamia bukanlah sesuatu yang besar. Setakat ini saja, pakar arkeologi menemui 1,200 tapak daripada peradaban hebat ini. Walau bagaimanapun, tapak berhampiran dengan Ur ini sangat penting untuk dikenal pasti. Saintis mendahului tapak ini, oleh kerana faktor lokasinya.

Cuba rujuk balik pasal kota Ur dalam Bibel, bagaimana ada ayat Ahli Kitab menyatakan bahawa inilah tempat kelahiran Nabi Ibrahim as.

Tinggalan kota Ur

Pengaruh keagamaan mampu merangsangkan perhatian orang ramai khusus pada sesuatu kawasan. Ia takkan lekang daripada tatapan umum, kerana semua ingin tahu tentangnya. Walaupun sains dan sejarah moden di sebelah Barat sekarang bebas daripada kecenderungan agama, ia masih lagi ada pengaruhnya.

Kerana ramai dalam kalangan pengkaji terdiri daripada keluarga yang berlatar belakangkan agama. Jadi mereka ingin tahu tentang selok-belok realiti secara tuntas. Memang takkan mungkin mereka buktikan kisah keagamaan dan sirah kenabian. Namun mereka boleh menerangkan tentang sesuatu tempat secara lebih mendalam.

Ur mempunyai harta kekayaan yang luar biasa, sebagai tempat persinggahan ekonomi rantau. Banyak kayu mewah dijual, hasil daripada beberapa rantau seperti India misalnya. Kota ini mengamalkan budaya berkosmopolitan, dengan sebuah ekonomi agak mapan hingga mampu menarik perhatian pedagang jauh dan dekat (Lawler, 2016).

Hasil kekayaan yang melimpah ini pula mempengaruhi setiap lapisan masyarakat dalam dan luar. Bayangkanlah – Ur terlalu banyak harta hinggakan mακαm diraja pun habis berhias dengan tatahan emas (Martos, 2019).

Bayangan zaman dulu.

Mungkin pengaruh ini diimpikan rakyat marhaen ketika itu, sampai mereka mendirikan sebuah penempatan tidak jauh daripada Ur. Ataupun Ur sendiri berkembang begitu pesat hingga terpaksa ada satu lagi penempatan… bagaikan kawasan metropolitan yang menaungi bandar-bandar besar.

Apa-apa pun, penempatan ini mengamalkan pertanian yang agak menarik untuk diulaskan. Semua tahu yang Mesopotamia adalah sebuah lembah tersangat subur. Terlalu subur sampai sejarawan mengabadikannya sebagai “buaian tamadun”.

Sebagai kawasan pertanian, penempatan ini memang memainkan peranan penting di sebalik status tersebut. Lama ia tersembunyi daripada pengetahuan, lebih-lebih lagi kalau tengok asal-usulnya. Ia diasaskan selepas sistem politik Babylonia rαnαp, dengan tulisan cuneiform menjelaskan tentang keadaan ketika itu.

Mαlαng sekali, sejarah berulangan… dengan penempatan ini ditemui pada ketika sistem politik Iraq dan Syria dalam keadaan yang dihujung tanduk.

RUJUKAN:

Lawler, A. (2016, Mac 11). City of Biblical Abraham Brimmed With Trade and Riches. National Geographic.

Martos, M.M. (2019, Mei 22). The royal (ditapiskan) of Ur revealed Mesopotamia’s golden splendor. National Geographic.

Ruangan komen telah ditutup.