Mengikut sejarah tamadun China, Dinasti Xia ialah dinasti beraja pertama yang ditubuhkan pada tahun 2070 SM hingga 1600 SM. Pengasas dinasti ialah Yu TheGreat, raja yang dikatakan mempunai kuasa untuk mengawal ketibaan Banjir Besar. Selepas Dinasti Xia ditubuhkan di tebing Sungai Kuning, sebanyak 11 puak utama membayar ufti sebagai tanda kesetiaan kepada dinasti pertama China ini.

Walau bagaimanapun, disebabkan kurangnya sumber sahih tentang sejarah Dinasti Xia, ramai pengkaji menyatakan bahawa dinasti ini hanyalah mitos belaka. Namun masih ramai pengkaji percaya bahawa Dinasti Xia memang wujud. Buktinya? Kota kuno bernama Erlitou yang ditemui pada tahun 1959 mampu mendedahkan hakikat kewujudan dinasti yang dianggap mitos sahaja!

Mampukah kota Erlitou mendedahkan sejarah sebenar Dinasti Xia ini? Apakah sejarah tamadun China akan dirombak kembali jika Dinasti Xia sememangnya wujud dan tidak hanya kisah lagenda untuk kanak-kanak saja?

Illustrasi kota Erlitou dengan masyarakat yang berhimpun. Adakah kota ini berkait dengan Dinasti Xia yang lagenda? (Sumber: Dragon’s Armory)

Sejarah Dinasti Xia Dan Pertikaian Kewujudannya

Terlebih dahulu, kita gali dahulu sejarah dinasti pertama dalam tamadun China ini. Dinasti Xia pernah direkodkan dalam catatan sejarah Dinasti Zhou (1046 SM – 256 SM), iaitu dinasti ketiga China yang ditubuhkan seribu tahun kemudian selepas Xia. Sima Qian, iaitu sejarawan China yang terkenal pada zaman Dinasti Han (202 SM – 9 Masihi) juga pernah menulis tentang senara-senarai raja-raja yang memerintah kerajaan Dinasti Xia.

Walaupun sejarawan terkenal seperti Sima Qian mengesahkan kewujudan dinasti pertama China ini, namun sumber utama yang menjadi kepercayaan sejarawan untuk menemui rekod sejarah tamadun China mempertikaikan kewujudan Dinasti Xia ini. Sumber utama tersebut ialah tulang ramalan atau dipanggil dengan nama ‘oracle bones’.

Tulang ramalan atau 甲骨 (jiǎ gǔ) ialah artifak terpenting pada zaman Dinasti Shang (1600 SM – 1050 SM) di mana masyarakat Shang pada masa tu percayakan ramalan. Tulang ramalan juga menjadi pemangkin kelahiran tulisan Bahasa Cina yang kita kenal dan amalkan sekarang. Tulang untuk dijadikan sebagai tulang ramalan ialah pelbagai jenis tulang yang ada. Tulang yang biasa digunakan ialah tulang cangkerang kura-kura dan tulang haiwan.

Tulang yang dipilih tersebut akan dibakarkan dalam unggun api, kemudian rekahan-rekahan atas tulang akan dibaca oleh tukang peramal. Rekahan-rekahan tersebut dibentuk menjadi beberapa karakter dan wujudnya tulisan Bahasa Cina. Seterusnya, tulang haiwan menjadi tapak ukiran untuk merekodkan sejarah. Inilah artifak berbentuk manuskrip pertama dalam sejarah China. Pasti ada antara masyarakat Shang ini merekod tentang sejarah Dinasti Xia kan?

Tulang ramalan yang dipamerkan dalam muzium Yin Ruins, Anyang ini ialah tulang lembu jantan. (Sumber: Flickr)

Sayangnya, tidak ada lansung rekod tentang dinasti pertama ini di atas sebarang permukaan tulang ramalan. Sebab inilah ramai sejarawan tempatan masih tidak mempercayai kewujudan Dinasti Xia sehingga kini. Golongan ini kemudian mempertikaikan rekod-rekod berkenaan dinasti ini pada zaman Dinasti Zhou. Mereka berspekulasi bahawa sejarah Dinasti Xia hanyalah rekaan penulis sejarah di bawah arahan Dinasti Zhou.

Mengikut rekod sejarah dari Dinasti Zhou, raja terakhir Dinasti Xia ialah Raja Jie, seorang pemerintah yang zalim. Baginda kemudian digulingkan oleh pengasas Dinasti Shang bernama Tang. Kemudian, Raja Zhou iaitu pemerintah Dinasti Shang yang terakhir digulingkan oleh pengasasDinasti Zhou bernama Wu.  Golongan akademik yang tidak mempercayai kewujudan Dinasti Xia berpendapat bahawa bagi memastikan Dinasti Shang bukanlah dinasti pendahulu Zhou, pihak kerajaan dinasti merekacipta Dinasti Xia sebagai dinasti pendahulu Zhou.

Kota Erlitou ialah ibu kota Dinasti Xia?

Kita berbalik kepada topik utama, iaitu kota kuno Erlitou. Tapak kota Erlitou pertama kali ditemui oleh ahli arkeologi China bernama Xu Xusheng pada tahun 1959. Tapak ini terletak di wilayah Henan, kemudian wilayah lain iaitu Shanxi, Shaanxi, dan Hubei mendedahkan tapak kota yang berkaitan dengan Erlitou. Aktiviti ekskavasi ke atas tapak kota kuno itu mula beroperasi pada tahun 2003.

Peta tapak ekskavasi tapak kota Erlitou. (Sumber: Dragon’s Armory)

Berdasarkan penemuan arkeologi, kota Erlitou telah wujud pada 6,000 tahun lalu. Pada awal penempatan, tapak ini dihuni oleh masyarakat Neolitik yang melalui dua fasa kebudayaan: Yangshao dan Longshan. Tapak Erlitou kemudian diabaikan selama 600 tahun lamanya. Masuk tahun 1900 SM, tapak ini dihuni kembali dan lahirnya fasa kebudayaan Erlitou.

Sejak fasa kebudayaan Erlitou, tapak Erlitou mengalami kemajuan yang pesat sehingga terbinanya sebuah kota yang gah. Para ahli arkeologi China mengandaikan bahawa wujudnya sebuah kerajaan kuno yang menjadikan kota Erlitou sebagai ibu kota. Bukti arkeologi yang ditemui ialah tapak penyembahan, bengkel, makam golongan elit, jalan raya, dan 8 buah istana! Mereka juga menemui artifak-artifak seperti alatan gangsa, batu turqouis, batu jed, dan tembikar.

Pemegang arak yang diperbuat dari gangsa ini ialah salah satu artifak Yang ditemui dari tapak kota Erlitou. (Sumber: Ancient Origins)

Memang tidak salah lagi, tinggalan infrastruktur dan artifak-artifak yang ditemui dari kota kuno Erlitou menjelaskan bahawa kerajaan kuno pernah dibina pada tahun seawal 1600 SM. Dengan penemuan arkeologi ini, ramai  sejarawan percaya bahawa kerajaan kuno yang dimaksudkan ialah Dinasti Xia kerana kota Erlitou satu-satunya kota terawal dibina dan lokasinya berhampiran Sungai Kuning, sama seperti sejarah penubuhan Dinasti Xia.

Tapi, terlalu awal untuk kita mengaitkan terus antara kota Erlitou dengan Dinasti Xia. Kumpulan ahli arkeologi yang melakukan aktiviti ekskavasi atas tapak Erlitou itu masih mencari jawapan bagi menyelesaikan satu lagi teka-teki dalam sejarah tamadun China. Hanya tunggu masa saja sehingga kita menunggu peristiwa, di mana pada masa akan datang ada antara cerdik pandai mengesahkan bahawa: Dinasti Xia smememangnya wujud dan kota Erlitou ialah ibu kota Xia!


Korang nak tahu lagi banyak benda menarik tentang China? Jom baca KITAB TAMADUN CINA. Boleh beli di https://bit.ly/3emM5EF 

 

RUJUKAN:

Wu, Mingren. 14 January 2022. Erlitou: China’s First Great City and Beginning of the Xia Dynasty? Ancient Origins.

Wu, Mingren. 28 March 2016. Reading Oracle Bones and Writing the Future in the Shang Dynasty. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Leave A Reply