Kota Empayar Khmer Yang Hilang Akhirnya Ditemui Di Kemboja

2,865

Mahendraparvata yang merupakan salah sebuah ibu kota dari era Angkor bagi Empayar Khmer (kurun ke-9 hingga kurun ke-15 Masehi) akhirnya telah dikenal pasti berlokasi di timur laut Angkor Wat, Kemboja.
Bukti arkeologi tentang kota yang telah lama hilang ini sebelumnya hanya terhad kepada anggapan bahawa ianya adalah beberapa buah kuil suci yang terpencil.

Namun, imbasan lidar pandangan-udara yang digabungkan dengan dapatan-dapatan dari hasil tinjauan telah menemukan sebuah ‘rangkaian bandar urban yang sangat besar’ berusia sekitar kurun ke-9 Masehi. Para arkeologis meyakini bahawa bandar yang ditemukan itu adalah kota Mahendraparvata.

Pandangan udara dataran tinggi Phnom Kulen dan Mahendraparvata

IMBASAN GRID KOTA MAHENDRAPAVARTA

Projek penyelidikan lidar ini didanai oleh Pertubuhan Arkeologi dan Pembangunan (Archaeology and Development Foundation) serta Persatuan Penyelidik Eropah (ERC) sebagai sebahagian daripada Konsortium Arkeologi Lidar Khmer (Khmer Archaeology Lidar Consortium) dan Inisiatif Arkeologi Lidar Kemboja (Cambodian Archaeological Lidar Initiative).

Daripada ratusan pemerhatian baharu yang dibentang di dalam kertas-kertas kajian para saintis yang disiarkan di dalam jurnal Antiquity, antara yang paling mencuri tumpuan adalah penemuan lokasi Mahendraparvata, iaitu sebuah ibu kota Empayar Khmer yang usianya menjangkau 11 atau 12 abad lamanya (kurun ke-8 hingga kurun ke-9 Masehi).

Mahendraparvata, sebuah ibu kota Empayar Khmer yang bertarikh kurun ke-8 dan ke-9 Masehi

Imbasan-imbasan lidar yang dilakukan berhasil mengenal pasti sebuah kawasan urban-berpusat yang sangat luas, kira-kira 15.4-19.3 batu persegi (40-50 km persegi) sebuah dataran tinggi. Menurut para penyelidik, Mahendraparvata merupakan ‘kota grid’ berskala besar pertama yang dibina oleh Empayar Khmer di Phnom Kulen.

Selain itu, kota itu juga dibangunkan jauh lebih awal berbanding kompleks kuil Angkor Wat di barat laut Kemboja atas perintah Raja Jayavarman II. Mahendraparvata dikatakan memiliki rangkaian jalan raya yang besar yang membahagikan zon pusat kepada zon grid menerusi penggarisan di peta dan juga pembahagian blok-blok bandar.

SENI BINA YANG BENAR-BENAR UNIK BAGI EMPAYAR KHMER SENDIRI

Di seluruh grid kota, imbasan-imbasan yang dilakukan berjaya menemukan pelbagai penerapan seni bina baik dari sudut sivik mahupun kerohanian. Misanya, binaan-binaan kuil, gundukan, kolam, sistem empangan dan sebuah pusat takungan tidak siap yang mengelilingi pusat pentadbiran, serta istana diraja dan sebuah kuil berbentuk piramid yang besar.

Peta grid pusat Mahendraparvata

Walaupun memiliki bahan-bahan bukti baru sebegini, para arkeologis mempemarkan sifat berhati-hati dan cermat dalam menulis kertas kajian mereka terutama ketika membuat kesimpulan berkenaan teori ‘kota hidraulik’. Hal ini kerana saluran-saluran air yang mereka temukan tidak kelihatan seperti direka untuk mengairi kawasan pertanian dan sawah. Menurut mereka, Mahendraparvata berkemungkinan lebih cenderung berfungsi sebagai sebuah kota yang khusus untuk menjadi simbol kekuatan sivik dan kerohanian empayar berkenaan.

Walaupun Mahendraparvata mempunyai grid kota yang luas, para arkeologis tidak melihat sebarang bahan bukti untuk membolehkan mereka menjelaskannya sebagai sebuah kawasan-pusat yang lazimnya memiliki tembok ataupun parit, sebagaimana yang dapat dilihat di Angkor dan kota-kota Khmer di zaman terkemudian. Hal ini merupakan suatu ciri yang benar-benar unik walau untuk dunia Khmer sendiri.

Kedudukan paksi dan orientasi piramid pusat, takungan dan kuil-kuil di Koh Ker (atas) dan Mahendraparvata (bawah)

Pada hakikatnya, gaya pembangunan urban sebegini selari dengan penemuan terkini berkenaan ‘urbanisme tropika’ di Khmer dan Maya. Menerusi perspektif skala landskap baharu yang ditawarkan oleh teknologi lidar, para saintis kini beranggapan bahawa Mahendraparvata bukanlah sebuah kompleks yang tersusun secara geometrik. Akan tetapi, ia adalah sebuah bandar urban yang berserabut dan rumit.

SAIZ MAHENDRAPARVATA DUA KALI LEBIH BESAR BERBANDING KOTA PURBA PALING BESAR DI KEMBOJA


Ini bukanlah kali pertama kota-kota purba yang hilang ditemukan semula di Kemboja menerusi imbasan lidar, memandangkan pada tahun 2016 yang lalu, terdapat sebuah artikel di Guardian yang melaporkan bahawa pasukan arkeologis berjaya menemukan ‘kota-kota zaman pertengahan yang belum pernah direkodkan’ terletak tidak jauh dari kota kuil purba, Angkor Wat.

Pada waktu itu, ahli arkeologi dari Australia yang bernama Dr. Damian Evans mengumumkan bahawa teknologi imbasan laser dari pandangan udara berhasil menemukan sejumlah kota yang berusia 900 hingga 1400 tahun di bawah lantai hutan tropika, yang mana sebahagian daripadanya setanding dengan ibu kota Kemboja, Phnom Penh.

Sebuah contoh tapak kuil yang baru didokumentasikan di hutan wilayah Phnom Kulen

Sementara itu, Dr. Mitch Hendrickson, pengarah industri-industri projek Angkor merangkap profesor di jabatan antropologi Universiti Illinois memaklumkan bahawa tinjauan awal yang dilakukan berhasil memberikan perubahan besar dalam pemahaman kita tentang bagaimana masyarakat Khmer di era Angkor membina, mengubahsuai dan menghidupkan kota-kota mereka.

Sebelum  memasuki tahun 2016, umum mengetahui bahawa Preah Khan di Kompong Svay merupakan sebuah kota yang sangat signifikan dan dicanangkan sebagai kompleks terbesar yang pernah dibina di zaman Angkor dengan keluasan mencecah 8.5 batu persegi (22 km persegi). Akan tetapi, saiz tersebut dikalahkan oleh Mahendraparvata yang dua kali ganda lebih luas dengan ukuran keluasan mencecah 15.4-19.3 batu persegi (40-50 km persegi).

PENDEKATAN BERGANDA DALAM PENYELIDIKAN MAHENDRAPARVATA


Memandangkan kini para saintis telah pun melengkapkan imbasan lidar mereka di kawasan hutan Angkor, usaha-usaha yang dirincikan di dalam kertan kajian ini secara efektif menamatkan segala kerja pemetaan arkeologi selama 150 tahun di daerah Angkor Besar sekaligus menetapkan peringkat yang disebut oleh para penyelidik sebagai ‘peringkat pemodelan bentuk urban secara spatiotemporal yang lebih sofistikated.’

Saintis juga memaklumkan bahawa dengan menggabungkan data yang telah dikumpulkan oleh badan arkeologi Angkor dengan data daripada imbasan pandangan udara, model-model demografik yang lebih jitu dapat dihasilkan di mana ia mungkin akhirnya berupaya menyelesaikan beberapa persoalan penting berkenaan asal-usul Angkor; bagaimana ia berkembang, bagaimana ia tumbang dan bagaimana ia dibina semula dalam tempoh ratusan tahun sehingga menjadi salah sebuah tamadun paling besar di dunia.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Ashley Cowie. (15 Oktober 2019). Lost City of Khmer Empire Finally Found in Cambodia! Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/lost-city-khmer-empire-0012724

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.