Moving Forward As One

Kota Emas Luxor Mesir Purba Yang Hilang

1,158

PayLater by Grab

Jika ditanya mana-mana pengkaji Mesir Purba apa penemuan terbesar bidang berkenaan, majoriti akan menyebut makam Firaun Tutankhamun dan khazanah yang dimakamkan bersama baginda. Penemuan makam tersebut oleh ahli arkeologi Howard Carter dianggap satu pencapaian hebat dalam bidang kaji Mesir Purba. Tetapi pada September tahun lepas, ia telah diatasi menerusi penemuan bandaraya emas Luxor yang hilang.

Pada peringkat awal, ramai pengkaji diketuai Dr Zahi Hawass menyangka kota tersebut merupakan tinggalan lama kota-kota Mesir Purba yang biasa. Tetapi semua itu berubah apabila salah seorang pengkaji menemui sebuah serpihan siling tanah liat yang mengandungi hieroglif yang berbunyi, “Jumpalah Aten yang tinggal di atas kebenaran.” Sebaik mendengar ayat tersebut, mereka mula sedar ini sebenarnya metropolis milik Firaun paling kontroversi dalam sejarah tamadun itu, Akhenaten.

Contoh artifak yang mengandungi hieroglif yang membantu pengkaji menentukan bila kota ini ditubuhkan. Sumber: Dr Zahi Hawass

Rekod sejarah menunjukkan tapak kota yang turut digelar Pompeii versi Mesir Purba ini wujud sekitar era ayahanda Akhenaten, Amenhotep III. Baginda yang memerintah antara 1386 hingga 1353 SM itu bertanggungjawab menjadikan tamadun tersebut sebagai tamadun yang kaya dan digeruni kerajaan-kerajaan lain ketika itu. Pada tahun-tahun terakhir pemerintahan Amenhotep III, baginda dikatakan menjadikan Akhenaten sebagai pemerintah bersama.

Beberapa tahun selepas menaiki takhta, baginda berubah secara drastik. Dalam tempoh pemerintahannya selama 17 tahun, semua budaya dan tradisi Mesir Purba ketika itu dibuang Akhenaten macam sampah tak bernilai. Ini termasuk aktiviti penyembahan dewa-dewi Mesir Purba dan ia digantikan penyembahan satu dewa iaitu dewa matahari Aten. Dan sebagai tanda komitmen terhadap agama baru ini, baginda turut menukar nama asalnya, Amenhotep IV kepada Akhenaten yang bermaksud taat kepada Aten.

Bagaimanapun, tindakan drastik Akhenaten tidak terhenti di situ saja. Baginda memindahkan pusat pemerintahan dari Thebes ke satu kawasan utara yang diberi nama Akhenaten (kini dikenali sebagai Amarna). Di sinilah, revolusi kesenian Mesir Purba dijalankan termasuk mengubah gaya lukisan daripada bersifat seragam kepada terperinci.

Antara tinggalan tapak perkuburan seekor lembu.

Tetapi revolusi yang digerakkan Akhenaten hanya bertahan sehingga baginda mangkat sekitar 1336/1334 SM. Selepas Tutankhamun menaiki takhta, semua tinggalan termasuk idea-idea yang dianggap menyeleweng oleh masyarakat ketika itu diha,p,uskan. Hanya selepas penemuan semula Amarna pada abad ke-18, barulah minat terhadap Akhenaten kembali timbul.

Setiap kali para pengkaji mengeluarkan lebih banyak tanah dan pasir dari tinggalan kota berkenaan, ada saja tinggalan bangunan yang menarik perhatian mereka. Sesetengah daripadanya dibina mengikut era Firaun yang berbeza. Misalnya di utara kota berkenaan, terdapat tinggalan kuil yang menguruskan pemumiaan Amenhotep III. Manakala di sebelah selatan, wujud sebuah kuil era Ramses III yang dikenali sebagai Medinet Habu.

Selain kuil-kuil yang didirikan oleh Firaun-Firaun, terdapat juga artifak dan tinggalan bangunan milik penduduk awam dari era-era berkenaan. Antara sisa bangunan yang ditemui ialah sisa bangunan pentadbiran, tempat penghasilan kaca dan besi serta sebuah kawasan perkuburan yang diisi dengan makam-makam yang diukir daripada batu.

Contoh artifak yang ditemui di bandar emas Luxor yang hilang. Sumber: Dr Zahi Hawass

Kota ini sememangnya meriah semasa era Amenhotep III tetapi selepas Akhenaten berkuasa, kota tersebut telah ditinggalkan. Bagi para pengkaji, ia merupakan satu teka-teki menarik yang perlu diselesaikan. Ini kerana tiada rekod yang menyatakan mengapa baginda meninggalkan kota tersebut semasa era pemerintahannya.

Yang pasti, kota ini kembali hidup semasa era Tutankhamun dan terus digunakan sekurang-kurangnya hingga abad ketujuh Masihi. Sejak itu, ia terbenam dalam tanah dan pasir sebelum ditemui oleh komuniti arkeologi pada tahun lepas. Penemuan ini dilihat memberi peluang kepada pengkaji menyingkap pelbagai rahsia Akhenaten termasuk obsesinya terhadap Aten.

RUJUKAN:

Blakemore, E. (2021). ‘Lost golden city of Luxor’ discovered by archaeologists in Egypt. National Geographic.

Ruangan komen telah ditutup.