Kota Bundar Baghdad: Senibina Ibukota Pertahanan Empayar Bani Abbasiyah

0
842
views

“Dalam bahasa Parsi, Baghdad bermaksud Hadiah Dari Tuhan”.

Kegemilangan empayar Bani Abbasiyah di dalam lipatan sejarah dunia dan sejarah Islam tidak dapat dipersoalkan lagi diantara para pengkaji sejarah kerana empayar yang bertahan di atas bumi Baghdad selama 1000 tahun lamanya ini mempunyai pelbagai kisah menarik yang boleh dikongsikan melalui dari bidang politik, ketenteraan, ekpedisi perluasan kuasa, perkembangan ilmu, kehalusan senibina bangunan dan lain-lain.
Shams Eddin Al-Koufi menulis sebuah puisi tentang kota Baghdad:

“Wahai kota Baghdad, setelah bintangmu terpadam, maka kami ditenggelami oleh kegelapan yang tiada cahayanya.”

Empayar yang disenaraikan sebagai penerus legasi penjaga Haramain (Mekah dan Madinah) setelah kejatuhan empayar Bani Umayyah I yang berpusat di kota Damaskus mencatatkan sebagai fasa puncak keemasan dunia Islam mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang dan kemahiran. Empayar yang sudah diketahui umum yang diasaskan oleh Khalifah Abu Abbas as-Saffah, menjadikan kota Kufah sebagai pusat pemerintahannya sebelum Khalifah al-Mansur menaiki takhta lalu menjadikan kota Baghdad sebagai ibukota ini telah menundukkan pelbagai kuasa lainnya seperti negara jiran ataupun negara jauh untuk tunduk bersekutu dibawah panji hitam Abbasiyah sekaligus empayar ini mencatatkan telah menguasai hampir 4.29 juta km persegi yang menyamai 7% di dataran (The 10 Greatest Empires in the History of the World, Bussines Insider).

Selain dikenali sebagai empayar yang dipimpin oleh pelbagai pemerintah yang mengamalkan sistem monarki (hanya keturunan bangsa Arab Quraish sahaja yang layak menjadi pemimpin empayar), kempen ketenteraan yang besar dan meluas (penaklukan dan peperangan diantara dinasti non-muslim dan muslim), pengembangan ilmu pengetahuan (pembinaan perpustakaan Baitul Hikmah, kelahiran beberapa ilmuwan Islam yang popular dari kota Baghdad dan penemuan melalui dari bidang sains serta teknologi), pembinaan bangunan yang kaya dengan senibina ( Masjid Agung Samarra, menara Masjid Abu Dulaf dan Madinat as-Salam ), pelbagai kemudahan infrastruktur untuk rakyat dan lain-lain lagi.

Dalam pembahasan artikel pada kali ini, saya akan menerangkan serba sedikit tentang bidang senibina bangunan Bani Abbaisyah iaitu ‘Madinat as-Salam’ ataupun ianya dikenali sebagai ‘Round City of Baghdad’.

Dari Daerah Terpencil Menjadi Empayar Gergasi

Ahmad bin Ya’akub berkata:

“Projek ini adalah satu-satunya projek yang paling gemilang di dalam sejarah Islam”.
Setelah kewafatan Khalifah Abu Abbas as-Saffah, maka naiklah al-Mansur sebagai penerusnya untuk memimpin kerajaan baharu ini. Untuk menguatkan pertahanan dan kekuasaan legasi para Bani Abbas, Khalifah al-Mansur perlu memusatkan dengan cepat tapak kekuasaan empayar baharu ini. Baginda mencari sebuah kawasan yang berada di tengah dataran Mesopotamia seterusnya mampu menguasai jalur perdagangan antara timur dan barat. Akhirnya keinginan Khalifah al-Mansur tercapai setelah baginda menemui daerah Baghdad yang berhampiran dengan sungai Tigris. Dalam sebuah buku bertajuk ‘The Book of Countries’ (Kitab al-Buldan) yang dikarang oleh ilmuwan geografi Arab, Ahmad bin Abu Ya’akub menjelaskan mengapa Khalifah al-Mansur memilih Baghdad sebagai ibukota empayar adalah kerana Baghdad terletak diantara garis perdagangan yang selamatdiantara sungai Tigris dan sungai Euphrates lalu dengan sebab ini, ianya memungkinkan daerah Baghdad mampu menjadi sebuah jalan yang mampu menghubungkan seluruh alam (kota).

al-Tabari mencatatkan bahawasanya Khalifah al-Mansur melakukan ‘survey’ di kawasan ini selama beberapa hari melalui perjumpaan dengan setiap orang penduduk kampung Baghdad yang tinggal di sekitar sini. Baginda mengambil tahu tentang keadaan cuaca di Baghdad setiap tahun, kadar air hujan yang turun, suhu panas atau sejuk pada siang dan malam hari, nyamuk, debu padang pasir dan lain-lain juga. Baginda turut membangunkan sebuah khemah di kawasan perkampungan ini untuk turut merasai sendiri bagaimana keadaan di kawasan tersebut pada setiap malam sehinggalah baginda memutuskan keputusan terakhir.

Khalifah al-Mansur tidak terburu-buru memindahkan pusat pemerintahannya dari kota Damaskus ke kota Baghdad setelah baginda mendapat kekuasaan yang besar tersebut. Baginda bersama penasihatnya menyusun sebuah projek mega tapak pembangunan Madinat as-Salam yang berbentuk bundar. Projek ini dikendalikan dibawah penasihat bangsawan Parsi, iaitu dari Ibnu Barmak yang memulai projek ini pada tanggal 1 Ogos 762 M setelah sebulan pemerintahan Khalifah al-Mansur. Perletakan batu asas yang diiringi dengan solat sunat hajat dan doa turut diadakan pada tarikh tersebut. Bentuk pelan kota bundar yang sempurna ini diambil dari ilmu geometri karya ilmuwan Euclid yang turut dipelajari oleh baginda sendiri. Perlu diketahui, Khalifah al-Mansur merupakan seorang ilmuwan juga yang telah menelaah, menghafal serta pakar dalam pelbagai bidang ilmu seperti ilmu falak, matematik dan lain-lain.

Siapa sangka wilayah Baghdad yang dahulunya hanya sebuah perkampungan kecil yang berjiran dengan bekas ibukota empayar Parsi, Ctesiphon, mampu bangkit menjadi sebuah bandar yang setanding dengan ibukota kerajaan Rom Byzantium, Konstantinopel. Sebab utama Khalifah al-Mansur memilih Barmak adalah kerana beliau merupakan seorang bangsawan Parsi yang mengetahui bentuk geografi wilayah Baghdad dan pengaruhnya yang besar ke atas penduduk Baghdad yang majoritinya berdarah bangsa Parsi. Dengan perlantikan terhormat ini, Khalifah al-Mansur dapat menarik hati para masyarakat di situ untuk menerima kedatangan khalifah sekaligus mampu menundukkan masyarakat di situ untuk bangkit menentangnya kerana baginda baharu sahaja menaiki tampuk pemerintahan.

Pelan pembangunan kota ini dilakar oleh dua orang arkitek rasmi kerajaan iaitu Naubakht dan Mashallah bin al-Athari (ahli falak Muslim). Kedua orang arkitek ini juga berdarah Parsi seperti Barmak menginspirasikan pelan pembangunan kota kuno empayar Parsi seperti kota Guz, kota Hatra dan kota Ectabana. Pelan ini tidak dilukis semberono sahaja oleh kedua orang arkitek ini malahan pelan ini telah disusun rapi dan dibentangkan oleh al-Mansur bersama pakar astronomi, jurutera, arkitek lainnya selama enam tahun lamanya sebelum beliau menaiki kerusi khalifah. Naubakht merupakan seorang pakar astrologi turut menselitkan tanda Horoskop di dalam pelan kota bundar ini dengan tanda bintang yang menyerupai Leo. Di dalam kepercayaan tradisi kuno Parsi Sasan, Leo digambarkan sebagai tanda yang membawa pemimpin, penakluk dan tempat yang sesuai untuk perkembangan yang membawa kegemilangan yang besar. Rekabentuk bandar ini bukan sahaja diambil dari Parsi bahkan ianya juga diambil dari rekabentuk Greek-Rom.

Kota Madinah dijadikan model dalam pembentukan sistem kota bundar Baghdad.

Melalui pelan pembangunan ini, kota ini dibina dalam bentuk bundar sepanjang 1 km dan dilengkapi dengan empat pintu gerbang keluar-masuk. Setiap pintu utama itu mempunyai nama-nama tersendiri, iaitu:

1. Pintu al-Kufa (Jalannya menuju ke kota Kufah, jalan utama menuju ke kota Mekah).

2. Pintu al-Sham (Jalannya menuju ke kota Syam).

3. Pintu al-Khurasan (Jalannya menuju ke kota Khurasan).

4. Pintu al-Basra (Jalannya menuju ke kota Basrah).

(Pintu Khurasan merupakan pembuka kepada sebuah jalan yang panjang dan besar untuk aktiviti perdagangan yang menghubungkan pelbagai kota utama seperti al-Nahrawan, al-Daskarah, Jalula, Kaniqin, Qasr Shirin, Hulwan, Mardhawastan, Marj al-Qal’ah, Qasr Yazid, al-Zubaidiyyah, Khuskarish, Qasr Amr, Qarmisin dan banyak lagi sehingga ianya berakhir di dataran China).

Setiap pintu mempunyai jalur perjalanan masing-masing ke kota-kota utama.

Kota ini dibentengi dengan dinding bata tanah liat yang berjumlah sebanyak 452,000 biji yang dimana kota tersebut dikelilingi benteng yang kuat sebanyak tiga lapis. Menurut al-Khatib al-Baghdadi di dalam salah satu karyanya bertajuk ‘Tarikh Baghdad’ atau ‘History of Baghdad, beliau memperincikan jumlah bata yang digunakan di dalam tiga lapisan benteng kota tersebut. Benteng pertama ianya dibina menggunakan 140,000 biji bata, benteng kedua pula menggunakan 150,000 biji dan benteng lapisan terakhir menggunakan 162,000 biji bata yang tingginya mencecah sehingga 80 kaki.

Setiap bata terbabit dianggarkan seberat 53 kilogram.

Ahmad bin Ya’akub menjelaskan juga tentang projek pembangunan kota mega ini disertai oleh 100,000 orang pekerja yang datang dari pelbagai belahan daerah yang berada di bawah pemerintahan Bani Abbasiyah. Pekerja-pekerja ini terdiri daripada tukang kayu, arkitek, penggali, tukang besi dan buruh yang bergaji. Tidak ada buruh paksa yang dikerahkan di dalam projek pembangunan bandar ini.

Mengikut sumber lain, sebab Khalifah al-Mansur menyetujui pelan pembangunan berbentuk bundar adalah kerana kawasan di sekitar Baghdad tidak mempunyai benteng semulajadi seperti bukit atau jurang dan atas sebab-sebab itu kota ini dibangunkan dalam bentuk bundar supaya pertahanan kota dapat diimbangi antara utara, timur, barat, selatan serta tiada celahan kelemahan apabila musuh datang menyerang.

Pada ketika itu, kunci utama pertahanan kota adalah benteng. Maka pelan pembangunan berbentuk bundar adalah lebih disarankan oleh pelbagai pakar strategi ketenteraan dan pertahanan.

Berapa kos bayaran untuk pembangunan kota besar ini?

Ianya dianggarkan berjumlah sebanyak 883,000 dirham.

Kos bajet pengeluaran bayaran gaji untuk para pekerja?

Bajet bayaran untuk para arkitek dan jurutera dianggarkan sekitar 18 juta dinar. Manakala bajet bayaran untuk pekerja biasa adalah serendah 4 juta dinar.

Keluasan isi kota dibahagikan kepada lima bahagian yang mana bahagian pertama adalah bahagian utama yang didirikan Masjid al-Mansur dan Istana al-Khuld.

Empat bahagian lainnya merupakan bahagian yang disediakan oleh Khalifah al-Mansur untuk kediaman para penduduk dan tempat perdagangan seperti bazar sebelum ianya dipindahkan ke luar kota. Empat bahagian tersebut dilengkapi dengan Saqa’if (ruang jalan berjalan kaki).

A. Bahagian Pertama: Dari pintu Khurasan ke pintu Basrah.

Mempunyai 12 jalan kecil dan setiap saqa’if tersebut mempunyai nama panggilan masing-masing iaitu:

1. Sikket al-Darb al-Daiyiq.
2. Abu Ahmad.
3. Ibnu Buraiha.
4. as-Saqqain.
5. Wadih.
6. al-Marwarudhiya.
7. Syeikh Umair.
8. Muhalmil.
9. ar-Rabi’.
10. Sulaiman.
11. al-Nuaimiya.
12. Sikket al-Harras.

B. Bahagian Kedua: Dari pintu Basrah ke pintu Kufa’ mempunyai 12 saqa’if juga, iaitu:

1. Sikket al-Surrat.
2. al-Haitham.
3. al-Matbaq.
4. an-Nisa.
5. Sarjis.
6. al-Husain.
7. ‘Atiya.
8. Muuashi.
9. al-Abbas.
10. Ghazwan.
11. Abu Hanifa.
12. Sikket al-Dayyiqa.

C. Bahagian Ketiga: Dari pintu Kufa’ ke pintu Syam mempunyai 8 saqa’if, iaitu:

1. Sikket al-Akki.
2. Abu Qurra.
3. Abduya’.
4. as-Samaida.
5. al-A’la.
6. Nafi.
7. Aslam.
8. Sikket Manara.

D. Bahagian Keempat: Dari pintu Syam ke pintu Khurasan ada 9 saqa’if, iaitu:

1. Sikket al-Mu’adhinin.
2. Darim.
3. Israil.
4. al-Qawariri.
5. al-Hakam bin Yusuf.
6. Sana’a.
7. Said.
8. az-Ziyadi.
9. Sikket Ghazwan.

Sikket atau Sikak merupakan sebuah kediaman untuk ketua pegawai keselamatan di setiap bahagian. Di setiap Sikak mempunyai dua buah pintu utama yang dibuka pada siang hari dan ditutup pada malam hari.

Model ini digunakan berdasarkan dari kota Madinah yang mempunyai pengawal yang berjaga di pintu utama kota pada malam hari dan membukanya pada siang hari.

Jantung Itu Bernyawa Dengan Ilmu
Al-Khatib berkata:

“Mereka berkata, tiada kota lain yang sehebat ini (Kota Baghdad) dan ianya terkenal di seluruh pelusuk dunia”.

1. Zaman Khalifah al-Mansur (754 M-775 M).

Setelah siap pembinaan kota ini pada tahun 766 M, Khalifah al-Mansur tidak mengabadikan namanya pada kota ini sebaliknya baginda lebih memilih untuk menamakannya sebagai Madinat as-Salam atau dalam bahasa Melayu ianya bermaksud Kota Damai. Walaupun nama rasminya adalah Madinat as-Salam tetapi setelah itu, kota ini mendapat pelbagai gelaran lainnya seperti al-Mudawara (Kota Bundar) dan al-Zawarh (Kota Berlawanan).

Kota bundar Baghdad dikelilingi dengan sistem pengairan yang airnya mengalir masuk dari aliran sungai Tigris dan aliran air ini keluar ke sungai Tigris semula. Sistem pengairan yang mengelilingi kota ini bukan sahaja berfungsi sebagai bekalan air bersih kepada penduduk kota dan sebagai jalur perdagangan air bahkan ianya juga berfungsi sebagai benteng pertahanan semulajadi buatan manusia.

Mengikut sumber ahli sejarah, masjid al-Mansur berkubah emas merupakan sebuah bangunan utama dan pertama yang dibangunkan di tengah-tengah bandar ini dibina dengan rekabentuk senibina Iran kuno melalui rekabentuk ‘apadana’ dan masjid ini juga didampingi dua buah bangunan lainnya iaitu ibu pejabat polis dan kediaman ketua pasukan keselamatan khas khalifah. Kebanyakan bahan yang digunakan dalam pembangunan kota ini adalah menggunakan batu-bata dari tanah liat yang dipanggang di bawah sinaran matahari. Kubah yang menghiasi masjid ini merupakan kubah emas yang 100% murni tanpa bahan campuran lain.

Di sebelah masjid ini, dibinanya kediaman khalifah.

Bangunan yang dibina bersebelahan masjid adalah Istana al-Mansur atau The Golden Gate Palace ini dilengkapi kubah hijau (singgahsana Khalifah al-Mansur) yang setinggi 130 kaki berhampiran dengan pintu Khurasan. Tujuan istana khalifah dibina tinggi daripada masjid supaya Khalifah al-Mansur dapat melihat pemandangan sekeliling kota dan dalam usaha pemantauan dari jauh sekiranya mendapati ada tentera musuh yang datang ingin menyerang kota. Di dalam istana al-Khuld tersimpannya sebuah perpustakaan peribadi milik Khalifah al-Mansur yang diisi dengan pelbagai karya puisi dan ilmiah dari Parsi dan Arab yang dikenali sebagai Khizanat al-Hikmah. Istana ini juga dilengkapi dengan kediaman anak-anaknya, para pembantu, para hamba, para bangsawan, bangsal kuda untuk penjaga khalifah dan pejabat rasmi kerajaan. Al-Khatib mencatatkan juga, di istana, khalifah didampingi oleh 7,000 orang gundik istana, 700 orang penjaga pintu dan 4,000 orang hamba abdi.

Kediaman kedua khalifah yang berada di luar kota bundar iaitu istana al-Khuld dihiasi dengan lembaran-lembaran sutera yang ditenun dengan benang emas, dihiasi dengan aliran-aliran dari kolam hiasan serta tumbuhan, lantai yang dilapisi dengan batu marmar dan dikelilingi oleh 50 buah tugu pahlawan memegang lembing yang dipahat daripada perak. Menurut al-Hamawi, di puncak kubah hijau istana, terdapat sebuah tugu besar menyerupai pahlawan yang memegang lembing diperbuat daripada emas yang dapat dilihat dari kesemua sudut iaitu dari dalam mahupun luar kota. Tugu ini adalah untuk mengetahui arah mata angin yang bertiup. al-Hamawi menjelaskan di dalam bukunya, bahawasanya penduduk kota pada masa itu percaya jikalau lembing itu disapa angin lalu menunjukkan ke suatu arah, maka dari situlah musuh khalifah akan datang menyerang. Tetapi kepercayaan ini hanyalah tahyul semata-mata, kerana tugu ini tidak mampu menyelamatkan kota Baghdad ketika pasukan Mongol datang menyerang.

Seorang pengembara Yahudi, Benjamin of Tudela, mengisahkan keagungan istana ini di dalam catatannya:

“Di dalam istana khalifah, tiang-tiang dihiasai dengan pahatan emas dan pelbagai koleksi berlian-berlian yang mahal menghiasi setiap sudut dinding istana. Ruangan kebal di dalam istana khalifah juga tersimpan limpahan emas, batu rubi, kain sutera dan emas permata”.

Tujuan Khalifah al-Mansur membina istana dan masjid sebelah menyebelah adalah bertujuan menunjukkan yang makna dua kekuasaan menurut agama Islam. Kekuasaan yang fana milik manusia dan kekuasaan yang abadi milik Tuhan.

Di sekeliling istana dan masjid al-Mansur, kota ini dibahagikan kepada empat bahagian dan dilengkapi dengan lorong-lorong jalan yang kecil yang menghubungkan kediaman para penduduk dan tapak bazar. Diantara ruang benteng kedua dan benteng ketiga disediakan sebuah tanah yang didiami oleh penduduk ataupun bangunan yang disewakan oleh kerajaan kepada pedagang. Luas kawasan ini tidaklah terlalu besar kerana Khalifah al-Mansur sengaja membina bangunan-bangunan kecil ini secara rapat supaya para penduduknya sentiasa mengenali antara satu-sama lain seiring dengan hasrat baginda yang ingin menjadikan kota ini sebagai kota yang penuh kedamaian.

Kawasan sekitar masjid dan istana ini dihiasi dengan taman bunga dan tanaman-tanaman yang mengindahkan lagi pemandangan di pusat kota. Taman ini dikenali sebagai al-Rahbah.

Hadi al-Alawi di dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Peradaban Baghdad, beliau menuliskan tentang sebuah taman yang indah ditumbuhi oleh pelbagai bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Pada awalnya, tujuan kota ini dibangunkan berfungsi sebagai pusat administrasi negara akan tetapi lama-kelamaan kota ini bangkit menjadi sebagai salah satu kota kosmopolitan yang menyatukan manusia mulai dari aktivti perdagangan, diplomatik, ketenteraan dan juga sebagai tempat penyebaran serta penterjemahan karya-karya ilmiah dari seluruh dunia.

Semakin tahun, kota ini semakin dipenuhi oleh manusia yang datang dari pelbagai belahan dunia. Khalifah al-Mansur mengambil langkah lain untuk mengurangkan manusia yang datang memenuhi ruangan kota tersebut. Khalifah al-Mansur membangunkan sebuah tapak untuk perdagangan di luar kota iaitu di daerah al-Karkh. Pada tahun 773 M, akhirnya ruangan pasar di dalam kota dipindahkan sepenuhnya ke daerah al-Karkh di selatan kota.

Pada akhir zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, kota Baghdad menjadi pusat perdagangan import-eksport untuk para pedagang yang datang dari India, China dan Afrika.

Para penduduk kota bukan sahaja aktif dalam aktiviti perdagangan bahkan mereka juga menguasai pelbagai aktiviti sukan seperti memanah, menunggang kuda dan permainan catur. Ibnu al-Rumi mencatatkan tentang seorang sahabatnya yang handal dalam permainan catur.

2. Zaman Khalifah Harun ar-Rashid (786 M-809 M).

Kota bundar Baghdad mencapai tahap kegemilangan dan kemajuan pada zaman keemasan Islam iaitu di bawah pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid dan anaknya, Khalifah al-Ma’mun. Populasi penduduk di dalam kota dan kawasan sekitarnya mencapai angka dari 500,000 orang sehingga ke sejuta orang. Populasi seramai ini menjadikan kota Baghdad sebagai kota yang ditempati manusia paling ramai di Timur Tengah pada waktu tersebut.

Kos bayaran untuk projek pembangunan, perluasan dan naiktaraf kota bundar Baghdad pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid dianggarkan berjumlah sebanyak 7 billion dinar.

Zoo juga dibina oleh khalifah ianya disediakan untuk tontonan orang awam tanpa sebarang bayaran. al-Khatib mengisahkan, zoo ini dibuka kepada umum tanpa sebarang bayaran. Para pengunjung dapat melihat haiwan seperti gajah yang dipakaikan dengan kain sutera yang ditenun khas, singa Afrika yang diikat lehernya dengan rantai besi, pelbagai haiwan daratan lainnya termasuk juga pelbagai spisis ikan yang dipelihara di dalam kolam.

Kota Baghdad yang pada mulanya hanya sebagai pusat administrasi negara akhirnya menjadi sebuh pusat antarabangsa manusia dalam bidang perdagangan. Baghdad menjadi tempat utama para pedagang yang datang dari daerah Baltik ataupun dari dataran China menukar atau membeli barangan seperti produk tekstil, kulit, kertas, rempah ratus dari India, buah-buahan dari Transoxiana dan sebagainya.

Para pedagang di sini sungguh kaya raya sehinggakan seorang pedagang yang terkenal iaitu Maqlad Ibn Safi Addin menikahi sepupu perempuannya dengan mas kahwin bernilai 100,000 dinar.

Kekayaan para bangsawan dan para pedagang di kota Baghdad memang tiada penghujungnya. Mengikut Jurji Zaydan di dalam bukunya, Sejarah Peradaban Islam, ibu kepada Khalifah al-Mu’tazz mempunyai kekayan harta seperti emas dan berlian yang dianggarkan bernilai sebanyak 4 juta dinar.

Bukan sahaja menjadi pusat perdagangan, kota bundar ini juga menjadi pusat utama pengembangan ilmu pengetahuan dan tempat berkumpulnya para ilmuwan yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Ilmuwan yang datang bukan sahaja menuntut ilmu dari kota ini bahkan ada juga yang berkongsi ilmu mereka untuk pembangunan kota Baghdad. Contohnya, pada tahun 751 M, ilmu kaedah pembuatan kertas diberikan oleh ilmuwan dari dataran China kepada ilmuwan Arab. Kaedah pembuatan kertas ini diterima oleh pemerintah Abbasiyah sehingga akhirnya kota Baghdad menjadi pusat industri pembuatan kertas seiring dengan meningkatkan mutu kualiti yang tahan lama dalam penggunaan kertas. Pemerintah Abbasiyah turut membangunkan kilang industri kertas yang besar di kota Damaskus. Kota Damaskus menjadi pembekal utama kertas ke negara-negara yang berada di rantau Eropah.

Pusat penterjemahan buku-buku ilmiah dari bahasa Parsi, Yunani, Rom, China dilakukan di Baitul Hikmah ataupun dikenali sebagai ‘House of Wisdom’. Baitul Hikmah pada asalnya adalah perpustakaan peribadi milik Khalifah al-Mansur dan khalifah-khalifah setelahnya sebelum perpustakaan ini dibuka pada umum pada zaman pemerintahan Khalifah al-Ma’mun. Pada zaman Khalifah al-Mansur, baginda menjemput para ilmuwan dari India dan meminta mereka berkongsi ilmu kepada baginda seperti ilmu astronomi dan ilmu matematik.

Untuk bacaan lanjut mengenai kota Baghdad yang terkenal dengan panggilan kota ilmu anda boleh membacanya di: https://www.thepatriots.asia/baghdad-kota-buku-yang-dikagumi/

Pada zaman khalifah Harun ar-Rashid, baginda menjadikan perpustakaan peribadi ini sebagai pusat penterjemahan melalui dari buku berbahasa Parsi, Cina, Sanskrit dan Yunani. Walaupun perpustakaan ini menjadi pusat penterjemahan tetapi hanya para ilmuwan yang diundang sahaja yang diizinkan untuk menggunakan perpustakaan ini. Menurut catatan ahli sejarah, al-Qifti, perpustakaan pada zaman Khalifah Harun dikenali dengan nama Khizanat Kutub al-Hikmah.

Walaupun pada tahun 796 M, Khalifah Harun ar-Rashid memindahkan ibukota Abbasiyah ke kota Raqqa, tetapi pembangunan dan kemajuan di kota Baghdad tetap berjalan dengan jayanya.

3. Khalifah al-Ma’mun (813 M-833 M).

Perpustakaan peribadi milik khalifah ini akhirnya dibuka pada umum setelah Khalifah al-Ma’mun menaiki kerusi pemerintahan menggantikan Khalifah al-Amin. Perpustakaan yang dikenali sebagai Baitul Hikmah tersebut dikunjungi oleh pelbagai ilmuwan dari seluruh dunia sehinggakan lahirnya ilmuwan-ilmuwan Islam yang terkenal dari kota Baghdad seperti al-Tabari, Ibnu Nadim, al-Jahiz, al-Khindi, al-Ghazali, al-Kindi dan lain-lainnya. Pelbagai ilmu yang dibahaskan dan dibentangkan di sini termasuk bidang ilmu falsafah, matematik, perubatan, astronomi, optik, politik, ketenteraan, kartografi, puisi, sastera dan sebagainya. Ulama yang terkenal dalam bidang penterjemahan di Baitul Hikmah seperti al-Kindi yang menterjemahkan manuskrip milik Aristotle dan Hunyan bin Ishaq yang menterjemahkan manuskrip milik Hippocrates.

Khalifah al-Ma’mun sendiri akan memberikan hadiah berupa dalam bentuk ketulan emas untuk satu buku yang berjaya diterjemahkan oleh penterjemah atau yang ditulis oleh para ulama.

Bahasa apa yang digunapakai di dalam kawasan Baitul Hikmah ini?

Bahasa Arab, Yunani, Parsi, Latin dan Hebrew.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Baitul Hikmah, anda boleh membacanya di: https://www.thepatriots.asia/baitul-hikmah-institusi-ilmu-agung-umat-islam-dalam-kenangan/

4. Zaman pemerintahan Dinasti Buwaihi (934 M-1062 M).

Pelbagai kemudahan yang didirikan di sekitar kota ini seperti pembinaan hospital Bimaristan al-Aduli dan makmal sains Dar al-Alim di bawah seliaan Dinasti Buwaihi yang pada ketika itu menakluk kota Baghdad dari empayar Bani Abbasiyah.

Bimaristan al-Aduli merupakan hospital pertama yang dibangunkan di kota Baghdad.

Pada tahun 982 M, seorang pemerintah dari Dinasti Buwaihi membina sebuah hospital dan berjaya mengumpulkan seramai 25 orang doktor yang pakar dalam pembedahan tulang, mata dan lain-lain lagi.

Diperkirakan anggaran yang dibina di sekitar kota Baghdad adalah sebanyak lima buah hospital besar yang besarnya menyerupai seakan istana khalifah.

Pada tahun 1184 M, seorang pengembara dari luar merekodkan di dalam catatannya bahasawanya saiz hospital di Baghdad menyerupai sebuah istana yang mempunyai pelbagai kemudahan dan sentiasa penuh dengan pesakit.

_____________________

• Info berdasarkan penandaan di dalam peta bergambar di atas. H bermaksud tahun Hijrah.

A. Pusat Madinat as-Salam, terletaknya masjid dan istana al-Mansur. Kawasan awal tumpuan para pengunjung dan pedagang pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mansur.

B. Sebuah kawasan yang bernama al-Harbiyah. Ianya merupakan sebuah pusat pangkalan tentera bergaji Bani Abbasiyah yang siap dibina pada tahun 157 H.

C. Sebuah kawasan yang bernama al-Karkh, iaitu sebuah kawasan yang dikhaskan untuk aktiviti perdagangan jual beli dan import-eksport barangan. Kawasan ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 157 H.

D. Sebuah kawasan yang bernama al-Rusafah. Merupakan kawasan kompleks kediaman Khalifah al-Mahdi yang siap dibina pada tahun 159 H.

E. Al-Mukharim, kawasan penempatan para bangsawan dan siap dibina pada tahun 159 H.

F. Istana al-Khuld. Istana kediaman kedua milik Khalifah al-Mansur yang siap dibina pada tahun 157 H.

G. Dar al-Khilafah, merupakan istana kediaman milik Khalifah al-Mu’tamid yang datang memindahkan semula ibukota empayar Bani Abbasiyah ke kota Baghdad dari kota Samarra. Baginda tidak tinggal di dalam kawasan kota bundar kerana kebanyakan kawasan di dalamnya telah terjejas akibat peperangan.

H. Al-Shamsiyah mulanya merupakan sebuah kawasan perkhemahan para tentera sebelum kawasan ini dibangunkan istana yang menjadi kediaman rasmi khalifah Dinasti Buwaihi pada abad ke-10.

I. Bab al-Taq merupakan kawasan komersil yang dibangunkan berhampiran dengan kompleks al-Rusafah dan ianya siap dibina sepenuhnya pada tahun 159 H.

Kejatuhan Baghdad Menamatkan Zaman Keagungan 
Kehebatan kota bundar Baghdad memang tidak dapat disangkal lagi kerana ianya sering menjadi tempat perebutan kuasa politik dalaman mahupun luaran yang berkeinginan menguasai sumber kewangan empayar Abbasiyah yang melimpah ruah.

Pada zaman Khalifah al-Mu’tasim, para pemerintah mempunyai masalah politik dengan orang-orang Turki dan untuk menghindarkan masalah itu berakhir dengan pertumpahan darah dan kejatuhan kota Baghdad, baginda mengambil langkah damai dengan memindahkan ibukota Bani Abbasiyah ke kota Samarra pada tahun 836 M. Pada tahun 892 M, kota Baghdad kembali ibukota Abbasiyah dibawah pemerintahan Khalifah al-Mu’tamid. Permulaan kejatuhan kota Baghdad bermula setelah Khalifah al-Mu’tasim berpindah ke kota Samarra dan meninggalkan kota ini ke tangan orang-orang Turki.

Pada tahun 945 M, kota Baghdad jatuh ke tangan pemerintahan Dinasti Buwaihi setelah mereka mengalahkan orang-orang Turki yang berkuasa di dalam kota pada ketika ini. Penguasaan ke atas kota Baghdad lebih menunjukkan kepada bentuk kerajaan persekutuan dengan Dinasti Hamdan yang telah menolong pasukan Dinasti Buwaihi mengalahkan pasukan Turki.

Sehinggalah pada tahun 1055 M, Dinasti Turki Seljuk menakluk kembali kota Baghdad dan memasukkan Baghdad sebagai salah satu wilayahnya. Tanda-tanda kejatuhan kota Baghdad terus berjalan sehinggalah pada tahun 1152 M, kota Baghdad kembali ditawan kembali oleh Bani Abbasiyah. Pada masa ini khalifah Bani Abbasiyah hanyalah sebagai boneka, menjadi khalifah tanpa simbol kekuasaan. Kekuasaan hanya dipegang dan diatur oleh para menteri yang mempunyai permainan politik masing-masing.

Tahun 1258 M.

Ibnu Katsir menuliskan hari kejatuhan kota Baghdad di dalam bukunya, Permulaan dan Pengakhiran:

“Anak panah membanjiri kota Baghdad umpama titisan air hujan yang lebat dari langit menimpa bangunan Mustansiriya Madrasah, Mughetheya Madrasah, masjid Abu Hanifah, hospital al-Adudi dan kediaman khalifah. Anak-anak panah tersebut membawa sebuah mesej kepada seluruh penduduk Baghdad. Mesej yang mereka tidak akan selamatwalaupun menyerah kepada Hulagu Khan. Tetapi penduduk kota. Tidak akan sesekali menyerah”.

Menurut ahli sejarah, Youssef Ziedan, peristiwa itu merupakan sebuah mesej awal dan terakhir dari Hulagu Khan kepada penduduk kota Baghdad walaupun pada akhirnya Khalifah al-Mustahim Billah terpaksa membuka pintu kota setelah dikepung berhari-hari lamanya.

Setelah Hulagu Khan mengalahkan dan menghapuskan pusat kegiatan pembunuh elit Hashashin di benteng Alamut, maka beliau mengatur langkah seterusnya untuk menawan kota Baghdad atas perintah rasmi dari Kaisar Dinasti Yuan, Mongke Khan.

Untuk bacaan lanjut mengenai Hashashin, anda boleh membacanya di: https://www.thepatriots.asia/siapakah-organisasi-hashashin-yang-masyur-itu/

Pada tanggal 29 Januari 1258 M, pasukan Hulagu Khan telah memasuki daerah Baghdad dan membangunkan kem disekitar kota tersebut. Setelah beberapa hari pertempuran kecil dan rundingan damai yang dipenuhi tipu muslihat dari pihak Hulagu Khan, maka kota Baghdad akhirnya dapat ditawan tanpa tentangan dari pihak khalifah Abbasiyah. Khalifah terakhir Bani Abbasiyah iaitu Khalifah al-Mustahim Billah ditangkap dan dibunuh. Penduduk kota dijadikan tawanan dan Baitul Hikmah digeledah lalu dibakar kesemua buku-bukunya sehingga abu-abu buku ini dibuang ke sungai Tigris oleh tentera Hulagu Khan. Aliran sungai Tigris tersebut menjadi hitam dengan abuan bakaran buku dan tanah Baghdad menjadi merah dengan tumpahan darah penduduk kota.

Perlu diketahui, Khalifah al-Mustahim Billah bukanlah seorang pengecut dan lemah. Baginda mampu melarikan diri melalui sebuah terowong rahsia yang dibina oleh moyangnya, Khalifah al-Mansur yang berada di bawah istana al-Khuld. Terowong rahsia tersebut dianggarkan sepanjang empat sehingga ke enam kilometer dan jarak ini mampu membawa baginda ke tempat yang lebihselamat. Tetapi, baginda tidak mengambil langkah melarikan diri dan membiarkan rakyatnya ditinggal hina lalu dibunuh. Baginda sendiri keluar dari istana dan menyerahkan diri kepada Hulagu Khan setelah 10,000 orang lelaki yang mempertahankannya mati dibunuh dan 7,000 orang ulama dipenggal kepalanya hidup-hidup.

Seorang saksi dan juga ahli sejarah, Zuhair Al Din Al Kazaruni, merekodkan tentang keadaan kota Baghdad yang dilihat oleh mata kepalanya sendiri setelah kota ini hancur dimamah oleh pasukan Mongol dan ditinggalkan:

“Aku menyaksikan keadaan kota ini yang kosong. Tiada manusia yang hidup. Segala monumen dan bangunan hancur merebah bumi. Istana hanya tinggal tiang. Kediaman para penduduk hilang dari pandangan”.

Seorang saksi yang terselamat lalu ditawan di dalam tragedi pembantaian ini, iaitu Ibnu al-Fuwati mengisahkan:

“Tentera Mongol menjarah kubah emas yang menghiasi masjid al-Mansur. Segala isi di dalam istana dirampas dan tiada tinggal sisanya. Para penduduk dibunuh dengan pedang”.

Ibnu Battuta mengisahkan tragedi ini di dalam catatannya, Rihla:

“Seramai 24 ribu orang ulama dibunuh”.

Berakhirnya hayat sebuah kisah kota yang dahulunya adalah sebuah perkampungan kecil berubah menjadi sebuah metropolis lalu jatuh terlungkup menjadi debuan tanah padang pasir buat selama-lamanya.

Bacaan lanjut kejatuhan kota Baghdad ke tangan Hulagu Khan: https://www.thepatriots.asia/pengepungan-baghdad-babak-hitam-dalam-sejarah-umat-islam/

– TAMAT –

Sumber rujukan:

1. Once Upon a Time in Baghdad: The Two Golden Decades The 1940s and 1950s oleh Margo Kitikar.

2. The Great Caliph: The Golden Age of Abbasid Empire oleh Amira K.Bennison.

3. The City Of Mansur: The Builder Baghdad Between The Caliph’s Will And Shari’ah Norms oleh Ana Maria Negoida.