Kota Berusia 2000 Tahun Ditemui Di Albania

1,362

Pada pertengahan tahun yang lalu, iaitu sekitar bulan Jun 2018, sekumpulan ahli arkeologi dari Poland dan Albania menemukan sisa runtuhan yang dipercayai merupakan Kota Bassania, salah satu kota dari Kerajaan Illyria yang berusia sekitar 2000 tahun yang lalu. Pada asalnya, penduduk tempatan hanya menganggap batu-batuan di tapak berkenaan sebagai batu-batuan semula jadi di kawasan perbukitan.

Namun ternyata, runtuhan yang terletak berhampiran kota Shkoder, utara Albania ini berkemungkinan adalah kota purba yang dimaksudkan oleh sejarahwan Rom Livy (meninggal dunia 17M) di dalam karyanya.

MENELUSURI SEJARAH KOTA BASSANIA

Menurut Livy di dalam karyanya yang berjudul History of Rome, Kota Bassania merupakan sebuah pusat ekonomi dan kubu ketenteraan bagi Kerajaan Illyria yang berkuasa sekitar tahun 400 hingga 100SM. Kota ini terdiri dari sejumlah petempatan dan kubu benteng yang salah satunya telah ditemui oleh ahli arkeologi.

Bassania merupakan sebuah kota purba dari Illyria yang berhampiran dengan koloni Yunani di Lissus, di Albania moden. (Kredit First New)

Menurut penulis berkenaan, Bassania dan Kerajaan Illyria tumbang secara muktamad dalam serangan Rom yang berlangsung pada permulaan abad pertama Masihi. Kata Livy, Raja Illyria yang bernama Gentius menghimpunkan bala tentera seramai 15 000 orang di kota Lyssus lalu mara ke Bassania yang terletak “lima batu dari Lyssus”.  Pasukan ini berkubu di sana untuk menghadapi pasukan tentera Rom yang dipimpin oleh Appius Claudius.

Perang Illyria-Rom ini berakhir pada tahun 168SM dengan kemenangan berpihak pada Rom. Bassania kemudiannya dipercayai telah dimusnahkan oleh Octavian Augustus dan bala tenteranya pada abad pertama Masihi.

“Agak awal untuk menyebutkannya secara pasti, namun kota ini kelihatan seperti telah meraih kemajuan sekitar abad ke-4 hingga abad ke-2SM sebelum kemudiannya ditinggalkan secara bertahap tetapi pasti setelah tumbangnya Kerajaan Illyria,” ujar Saimir Shpuza, seorang ahli arkeologi dari Albania.

“Mungkin kerana itulah ahli-ahli arkeologi mengambil masa yang agak lama untuk menemukan kota ini,” tulis Professor Piotr Dyczek, pengarah Pusat Penyelidikan Barangan Antik Di Eropah Tenggara di Universiti Warsaw.

RUNTUHAN KOTA PURBA KERAJAAN ILLYRIA

Runtuhan ini ditemui di sebuah bukit yang dipanggil oleh penduduk tempatan sebagai “Batu Ular” di (kampung) Bushat, beberapa batu dari Shkoder. Oleh kerana ia telah mengalami proses penghakisan bertahun-tahun lamanya, runtuhan ini kelihatan seperti batu pepasir dan paduan semula jadi yang membentuk bukit tersebut. Makanya tidak hairan jika penduduk tempatan yang lalu-lalang di situ menganggapnya sebagai timbunan batu biasa, bukan sebuah struktur binaan manusia.

Menurut Shpuza kepada media Gazeta Shqiptare, misi ekskavasi tersebut telah pun dilakukan sejak tahun 2016.

Professor Piotr Dyczek dari Universiti Warsaw yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi ini. (Kredit First New)

Penemuan yang dilakukan oleh gabungan arkeologis dari Albania dan Poland ini melibatkan batuan purba dari sebuah kota pertahanan yang dikelilingi oleh tembok benteng berserta pintu gerbangnya. Menurut Profesor Piotr Dyczek, seni bina bagi binaan tersebut merupakan ciri lazim bagi budaya Hellenistik.

Turut ditemukan sejumlah barangan artifak seperti syiling dan kepingan tembikar. Barangan-barangan ini dipercayai bakal membantu Dyczek dan pasukannya untuk melakukan ujian pentarikhan bagi mengenal pasti usia tinggalan sejarah itu.

Tapak ini berkeluasan sekitar 300 000 meter persegi sekaligus memaksudkan bahawa Kota Bassania memiliki saiz tiga kali ganda lebih besar berbanding Shkoder purba, yang hanya sekitar 70 000 meter persegi sahaja.

Kole Shabeni, seorang penduduk tempatan yang menemani pasukan arkeologis semasa usaha-usaha ekskavasi dilakukan turut mengatakan bahawa mereka (penduduk tempatan) hanya mengenali tempat tersebut sebagai “Batu Ular” berikutan laluannya berbentuk seperti ular. Langsung tak terlintas dalam fikiran mereka bahawa terdapat sebuah kota purba tersembunyi di sebalik runtuhan itu.

Runtuhan ini dipercayai sebagai sebahagian dari Kota Bassania. (Kredit: Science in Poland)

Para arkeologis dan penyelidik mengandaikan bahawa kota yang dijumpai ini merupakan kota yang disebutkan sebagai Bassania, Bexena atau Pexena di dalam sumber-sumber klasik.

Sama ada kota hilang yang ditemui ini benar-benar adalah Kota Bassania ataupun tidak, majlis perbandaran Vau Dejes mengeluarkan makluman bahawa pihaknya akan menugaskan beberapa orang pengawal di tapak berkenaan untuk menghindarkan sebarang usaha penggalian haram atau rompakan.

Runtuhan ini ditemui pada tahun lepas berdekatan kota Shkoder di utara Albania. (Kredit First New)

RUJUKAN:

Anila Dushi. (18 Jun 2018). Discovery of ‘Lost City’ in Albania Thrills Archaelogists. Balkan Insight.
https://balkaninsight.com/2018/06/18/discovery-of-lost-city-in-albania-thrills-archaeologists-06-18-2018/

Anne Chatham. (18 Jun 2019). Remains of ancient city found on Albanian hill. The First News.
https://www.thefirstnews.com/article/remains-of-ancient-city-found-on-albanian-hill-6428

Christine Ayele Diossa. (19 Jun 2018). Found: An Untouched 2000-Year-Old City in Albania. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/the-lost-city-in-albania

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.