Kota Batman

283

WATAK super hero ikonik Batman sudah tentu tiada yang tidak mengenalnya memandang ianya sudah sebati di dalam setiap jiwa pencinta dunia superhero. Dan yang pasti ramai sudah mengetahui bahawa watak ikonik ini didodoikan menjelma hanya di sebuah bandar yang dikenali sebagai “The Gotham City”. Namun disebalik cerita kota yang menjadi milik Batman atau manusia kelawar ini sebenarnya ada sebuah kota yang benar-benar wujud di dunia nyata yang dikenali sebagai Kota Batman, lokasinya pula nun terletak di Negara Turki.

Kota Batman merupakan salah satu daripada kota-kota kecil yang terletak di wilayah Anotalia iaitu yang berkedudukan tenggara dalam negara Turki.  Satu kota yang menyimpan 1001 sejarah lama negara Turki ini mendapat namanya daripada satu sungai yang dikenali dengan nama Sungai Batman.  Sungai Batman juga menjadi penanda sempadan yang memisahkan wilayah Anatolia dengan Diyarbakir.

Apabila kita menyelak tabir sejarah setiap kota yang berada di Turki, sudah tentu tidak boleh lari dari perkaitannya dengan Kerajaan Uthmaniah dulu-dulu.  Dan begitulah juga Kota Batman apabila sejarah panjangnya bermula sekitar kurun 700 masihi lagi dengan orang-orang Arab sudah mula membanjiri buminya.  Tatkala empayar Seljuk yang berpusat di Oghuz, Turks mula menebarkan pengaruh maka Batman juga tidak terkecuali. 

Sekitar tahun 1243, empayar Mongol yang berpusat di China sudah mula memerangi sultan-sultan Seljuks yang bersemayam di sekitar wilayah Anatolia.  Satu persatu wilayah Anatolia menjadi milik orang Mongol pada masa itu.  Dan pada tahun 1320 iaitu di ketika Osman I pengasas empayar Uthmaniah mula memberontak atas penindasan empayar Mongol akhirnya wilayah Anatolia yang mana Batman berada dibebaskan dan menjadi sebahagian daripada pembentuk Empayar Uthmaniah di Turki.

Batman dibawah kekuasaan empayar Uthmaniah sekitar abad ke 15 masihi pula telah diserahkan pentadbirannya untuk diterajui oleh Ak Koyunlu (turut digelar Aq Qoyunlu) iaitu salah satu daripada kerajaan pribumi yang pernah mendominasi utara Iraq iaitu Azerbaijan dari tahun 1378 hingga 1508. Pada ketika bibit-bibit awal satu kerajaan bercorak republik terbentuk di Turki, Batman sekali lagi diteraju pentadbirannya oleh orang-orang Kurds yang mendominasi wilayah Siirt.  Dan pada ketika itulah orang-orang Kurds menggelarkannya sebagai “Iluh”. 

Dari “Iluh” akhirnya secara sah dinamakan Batman dan tampil sebagai sebuah daerah pada tahun 1957.  Sekitar tahun 1990 pula ia dijadikan provinsi Batman yang mana Kota Batman adalah pusat pentadbirannya.   Daerah-daerah yang mencakupi provinsi Batman adalah Besiri, Gercus, Hasankeyf, Kozluk dan Sason.

Batman merupakan nadi kepada sumber ekonomi Turki sejak di tahun 1955 lagi kerana disinilah industri pengekstrakan dan pemprosesan minyak secara mula dieksplorasi iaitu di wilayah Raman dan Garzan.  Sekaligus pembinaan kilang penapis minyak moden menjadikan Batman semakin pesat membangun dengan limpah kurnia sumber keuntungan daripada “emas hitam” di bumi mereka sehingga sekarang. 

Dalam pada itu walaupun wujud sekian lama di mukabumi ini, nama Kota Batman hanya diketahui dunia sekitar tahun 2008 tatkala Kota Batman pada masa itu diterajui oleh seorang datuk bandar yang bernama Huseyin Kalkan. Media massa seluruh dunia berkampung di Kota Batman apabila Datuk Bandar Huseyin mengwar-warkan bahawa mereka akan menyaman syarikat perfileman Warner Bros. dan pengarah “The Dark Knight” iaitu Christopher Nolan kerana menggunapakai nama “Batman” tanpa memohon izin daripada mereka. 

Walaubagaimanapun, ia mungkin hanya satu tindakan popularis bagi meletakkan nama Kota Batman di mata dunia kerana sehingga sekarang tiada lagi tindakan mahkamah pernah diambil seperti yang digembar-gemburkan.  

“There is only one Batman in this world” – Datuk Bandar Batman, Huseyin Kalkan-

RUJUKAN:

  1.  How the town of Batman, Turkey, Got Its Name https://www.cntraveler.com/stories/2013-04-01/batman-turkey-maphead-ken-jennings
  2.  Batman Sues Batman Over Batman https://www.theregister.co.uk/2008/11/12/batman_city_sues_batman/
  3.  The city of Batman, on Batman River in Batman Province http://www.amusingplanet.com/2015/07/the-city-of-batman-on-batman-river-in.html
  4. History of Seljuks, Turkey http://www.turkeyforyou.com/travel_turkey_seljuks

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.