Kosa Kata Warisan Borean: HVMV

61

Borean ialah sebuah hipotesis makrokeluarga bahasa yang merangkumi semua keluarga bahasa kecuali peribumi sub-sahara Afrika, New Guinea, Australia dan Kepulauan Andaman. Perkataan “Borean” berasal daripada bahasa Yunani Boréas (βορέας) yang bermaksud “utara”, makna perkataan tersebut melambangkan sebahagian besar taburan makrokeluarga bahasa tersebut yang memenuhi kawasan hemisfera utara. Bahasa Borean dipercayai pernah dituturkan sekitar tahun 48 000 – 19 000 SM.

Antara kosa kata yang terdapat dalam Borean ialah “HVMV”. Kosa kata tersebut bermaksud “emak” dalam bahasa itu. Dalam Fonetik, lambang “H”, “V” dan “M” melambangkan bunyi glotal, vokal dan [m] masing-masing. Perkataan HVMV barangkali disebut sama ada [ʔama], [ʔami], [ʔamu], [ʔəma] atau sebagainya.

Perkataan HVMV telah berevolusi menjadi *ʔVmV (Eurasiatik) lalu berevolusi lagi menjadi *mā-t-er- (Indo-Eropah), *ĕ̀me (Altaik), *emä (Uralik), *am- (Dravidian) dan *ǝma (Eskimo-Aleut). Perkataan māter (Latin), mātár- (Sanskrit) dan mother (Inggeris) merupakan warisan *mā-t-er- (Indo-Eropah). Perkataan eme (Turki), eme (Mongolia), emile (Manchu), am (Korea) dan mesú (Jepun) merupakan warisan *ĕ̀me (Uralik). Perkataan emä (Suomi), ema (Esti) dan eme (Magyar) merupakan warisan *emä (Uralik).  Perkataan ammā (Tamil), amma (Telegu), amma (Kolami) dan ammā (Brahui) merupakan warisan *am- (Dravidian). Perkataan ǝma (Alaska), amâma (Greenland) merupakan warisan *ǝma (Eskimo-Aleut).

Perkataan HVMV telah berevolusi menjadi  *ʔVma (Afroasiatik) lalu berevolusi lagi menjadi  *ʔu/imm- (Semitik), *maH (Berber), mw.t (Mesir Purba), *maH (Khadik Barat), *ʔama (Khadik Tengah), *ʔam- (Kusyitik Timur Tinggi) dan  *ʔam- (Kusyitik Selatan). Perkataan ʔumm- (Arab), ʔēm (Ibrani), ʔǝmm (Amharik), ʔīmmā (Aramik) merupakan contoh warisan *ʔu/imm- (Semitik).  Perkataan mā (Ghadames), ma (Ayr) dan ma (Ahaggar) merupakan contoh warisan *maH (Berber). Perkataan maɣay (Warji), māh ǝ (Kariya) dan  mā (Siri) merupakan warisan *maH (Khadik Barat). Perkataan  ǝ́mma (Malgwa), ū́ma (Ngweshe) dan Ammá (Mada) merupakan contoh warisan *ʔama (Khadik Tengah).  Perkataan ama (Sidamo), ama  (Gedeo) dan aama (Burji) merupakan contoh warisan *ʔam- (Kusyitik Timur Tinggi). Perkataan  ama (Mbulu),  ama (Mbulungi) dan ʔama-ʔeto (Asa-Aramanik) merupakan contoh warisan *ʔam- (Kusyitik Selatan).

Perkataan HVMV (Borean) telah berevolusi menjadi  *HV̆mV̄́ (Sino-Kaukasian) lalu berevolusi lagi menjadi *mǝ̄H (Sino-Tibetan), *-́mi (Burushaski) dan *ema- (Basque). Perkataan mǔ (Mandarin), móuh (Kantonis), ma (Tibet) dan maj (Burma) merupakan warisan *mǝ̄H (Sino-Tibetan). Perkataan -́mi (Yasin), -́mi (Hunza) dan -́mi (Nagar) meruapakan warisan *-́mi (Burushaski). Perkataan eme (Bizkaian), eme (Gipuzkoan), emazte (Salazare) dan emakume (Baztan) meruapakan contoh warisan *ema- (Basque).

Perkataan HVMV (Borean) telah berevolusi menjadi *mVʔ (Austrik) lalu berevolusi lagi menjadi  *meʔ (Austroasiatik), *meːᴮ (Tai) dan  *əma-ʔ (Malayo-Polinesia). Perkataan me (Khmer), kymie (Khasi), mi (Mon) dan meʔ (Bahnar) merupakan contoh warisan *meʔ (Austroasiatik). Perkataan mɛ̂ɛ (Thai), mǣ (Lao) dan meh Zhuang) merupakan contoh warisan *meːᴮ (Tai). Perkataan emak (Melayu), imá-ʔ (Tagalog), emma-ʔ (Bugis), ma-ʔ (Iban) dan ema-ʔ (Komodo) merupakan contoh warisan *əma-ʔ (Malayo-Polinesia).

Akhir kata, itu adalah contoh bahasa di seluruh dunia yang mempunyai kosa kata warisan daripada Borean iaitu HVMV. Tidak semua kosa kata membawa maksud “emak”. Sebagai contoh eme dalam bahasa Turki membawa maksud “perempuan” atau “perempuan tua” serta *ema- dalam Basque membawa maksud “perempuan janda”. Untuk pengetahuan semua, tidak semua pihak menerima hipotesis makrokeluarga Borean. Hipotesis Borean telah dikaji oleh Harold C. Fleming (1926-2015) dan Sergei Starostin (1953-2005) pada tahun 2002 dan 2005 masing-masing.

Pada pendapat anda, adakah anda menerima hipotesis makrokeluarga Borean? Sila jelaskan di dalam ruangan komen di bawah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.