Beberapa hari lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat untuk melihat perlumbaan Formula Satu (F1) kembali di Malaysia. Dan reaksi kepada kenyataan ini bercampur-campur dari menyokong penuh, sokongan secara bersyarat hinggalah tentangan atas sebab kewangan. Semua ada hujah tersendiri berkenaan kenyataan beliau tetapi pernahkah kita tanya kos sebenar penganjuran sesebuah perlumbaan F1?

Isu kos penganjuran ini bukanlah satu isu baru kerana dibangkitkan bukan sekali dua oleh pengurusan litar-litar semasa era Liberty Media (pemilik terkini francais F1) tetapi juga semasa era pemilik sebelumnya Bernie Ecclestone. Kos penganjuran tidak pernah dinyatakan secara jelas di media dan ia dianggap satu rahsia sulit oleh pemilik francais dan penganjur perlumbaan. 

Buktinya, satu klausa kontrak penganjuran sebuah perlumbaan yang menyatakan secara jelas apabila sesebuah perlumbaan itu diumumkan, promoter perlumbaan tidak dibenarkan menerbitkan atau mendedahkan kandungan kontrak kepada pihak ketiga. Tetapi kita bernasib baik, kebanyakan perlumbaan kecuali Grand Prix British mendapat geran kewangan dari pihak kerajaan dan mereka perlu memfailkan dokumen rasmi untuk mengesahkan maklumat kewangan perlumbaan.

Sebut pasal perlumbaan F1, ia menjadikan sukan berkenaan sebagai sukan ikonik berikutan perlumbaan-perlumbaan yang dianggap berprestij dalam kalendar perlumbaan. Sejak dilancarkan pada tahun 1950, litar-litar seperti Silverstone dan Monaco amat sinonim dengan sukan ini kerana menawarkan cabaran berbeza kepada para pelumba. 

Tetapi tak semua litar dapat bertahan untuk berada dalam kalendar perlumbaan disebabkan isu kewangan dan ini tidak terpakai kepada Malaysia sahaja. Di sesetengah negara seperti Perancis dan Jerman, mereka memilih untuk menganjurkan perlumbaan secara berselang bagi mengurangkan impak kos kewangan.

Dan ada yang terpaksa menghentikan terus perlumbaan kerana menghadapi masalah kewangan yang serius. Misalnya di India, Grand Prix India hanya dapat bertahan selama tiga tahun sebelum ditarik keluar dari kalendar perlumbaan pada tahun 2014. Tak lama selepas itu, laporan The Telegraph mendedahkan promoter perlumbaan iaitu Kumpulan Jaypee masih berhutang dengan syarikat operasi F1 iaitu Formula One World Championship sebanyak $51.4 juta dalam bentuk yuran perlumbaan yang masih belum dilunaskan. Nasib yang sama turut menimpa Grand Prix Korea Selatan yang hanya bertahan selama empat tahun (2010-2013) di mana selain kos kewangan, ia juga merupakan antara litar yang tidak disukai pelumba dan peminat.

Ada yang beranggapan kos penganjuran sukan ini murah kerana ia hanya memerlukan kemudahan tempat duduk penonton dan kawasan asfalt khas untuk para pelumba beradu kelajuan. Hakikatnya, tiada cara untuk menjadikan kos perlumbaan F1 berpatutan dari segi kos tetapi satu cara yang dianggap paling murah ialah penganjuran perlumbaan di jalan biasa seperti yang dilakukan di Singapura dan Azerbaijan. 

Perlumbaan sebegini dianggap lebih murah kerana tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak seperti kos pembinaan litar kekal. Ini memberi peluang kepada penganjur akses kepada tarikan F1 dan tidak merasa terbeban dengan projek gajah putih sekiranya memilih untuk tidak menyambung kontrak penganjuran. Selain itu, ia turut memberi impak besar kepada ekonomi tempatan.

Tetapi dari segi kos pengurusan dan penyelenggaraan, ia boleh buat sesiapa saja muntah darah. Bukan senang nak ubah jalan raya biasa kepada litar perlumbaan dan pemasangan struktur sementara seperti tempat duduk penonton perlu dibeli atau diupah terlebih dahulu. Selain itu, jalan yang dipilih perlu diselenggara dan dinaiktaraf bagi memenuhi standard ketat keselamatan F1 seperti yang ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). 

Kos pengambilan pekerja saja sebanyak $16 juta, belanjawan pasukan pengurusan dan pemasaran ($6.5 juta), sewa tempat duduk penonton ($14 juta), sewa kawasan jalan dengan pagar dan halangan keselamatan ($8 juta), bayaran bil, pejabat dan kenderaan ($6 juta), perbelanjaan lain-lain ($4.5 juta) dan insurans ($1 juta).

Kos operasi tahunan litar jalan raya F1 dianggarkan dalam lingkungan $57.5 juta dan purata yuran penganjuran sebanyak $31.5 juta. Nampak macam berpatutan di atas kertas, kan? Masalahnya jika kita rujuk dokumen Liberty, dokumen tersebut turut menyatakan kenaikan yuran tahunan sepanjang tempoh kontrak berdasarkan indeks harga pengguna sesebuah tempat atau peratusan tetap sehingga lima peratus setahun. 

Kebanyakan kontrak penganjuran memakan masa 10 tahun dan $31.5 juta yang dicatat pada tahun pertama penganjuran akan menjadi $48.9 juta pada tahun ke-10 penganjuran. Jika dicampur jumlah yuran penganjuran dalam tempoh berkenaan iaitu $396.2 juta dengan kos operasi sebanyak $575 juta, jumlah sebenar kos penganjuran hampir mencecah satu bilion dolar.

Nak kata kos penganjuran di litar tetap berpatutan pula, ia tidaklah semahal kos penganjuran di litar jalan raya. Tetapi ia bukan satu tugas mudah sama ada menaiktaraf litar sedia ada untuk mengikut standard ketat FIA atau membina litar baru, kos yang memakan berpuluh-puluh juta dolar. Untuk kos pembinaan litar, kerja alih tanah, infrastruktur dan elektrik memakan kos $50 juta, asfalt (termasuk longkang dan halangan keselamatan) ($75 juta), tempat duduk penonton ($30 juta), bangunan pit, penginapan VIP dan perlumbaan ($65 juta), pusat media ($15 juta), pusat perubatan ($5 juta) dan kelengkapan elektronik khas ($30 juta). 

Jumlah bagi semua kos ini sebanyak $270 juta dan dicampur dengan kos penganjuran untuk tempoh 10 tahun, ia mencecah lebih $800 juta. Lebih banyak kemudahan ditambah pada sesebuah litar, maka kos pembinaan litar juga semakin bertambah seperti yang berlaku kepada litar Yas Marina di Abu Dhabi. Selain litar perlumbaan, Yas Marina turut menempatkan sebuah marina dan sebuah hotel teknologi tinggi dengan kos sebanyak $500 juta. Jadi, kos penganjuran tetap mencecah satu bilion dolar tanpa mengira sama ada litar jalan raya atau litar tetap.

Jika kerajaan benar-benar serius untuk membawa pulang F1 ke Malaysia, suka atau tidak, mereka perlu menerima hakikat ia memakan kos yang banyak. Dan dengan populariti dan pendapatan sukan berkenaan semakin menurun berikutan dominasi juara dunia Lewis Hamilton dan Mercedes, penstrukturan semula yang dijalankan oleh Liberty termasuk penambahan staf dan kecenderungan Liberty memilih stesen televisyen berbayar berbanding penyiar biasa, ia seharusnya menjadi isyarat kepada kerajaan untuk beralih arah kepada sukan-sukan lain yang lebih berpatutan dari segi kos penganjuran dan membawa pulangan yang lebih menguntungkan.

Oh ya, bukankah kerajaan sebelum ini mengatakan mereka tiada wang untuk perkara-perkara sebegini? Rujuk kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bila diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir ini. Menurut beliau, kerajaan sebelum ini terpaksa membelanjakan RM200 juta setahun semasa menganjurkan perlumbaan F1 dari 1999 hingga 2017. 

Dengan dakwaan parti pemerintah bahawa kerajaan tiada dana dan harus berjimat cermat sehingga terpaksa memotong peruntukan atlet dan tidak menyambung kontrak staf sains sukan tetapi berangan mahukan F1, maka mana keutamaan kewangan sebenar yang sentiasa ditekankan pakatan pemerintah yang dilaung-laungkan dalam media? Apakah itu juga satu pembohongan? Kita tunggu dan lihat sambungan cerita ini.

SUMBER

1. Sylt, Christian. (2017). Forbes. The $1 Billion Cost Of Hosting An F1 Race. https://www.forbes.com/sites/csylt/2017/03/13/the-1-billion-cost-of-hosting-an-f1-race/#420da14f4f79

2. Sylt, Christian. (2018). The Independent. Formula One reveals television audience is down so far this year despite a boost in on-track action. https://www.independent.co.uk/sport/motor-racing/formula1/f1-television-figures-down-decrease-liberty-media-standings-a8346796.html

3. Mohamed Radhi, Nor Ain. (2019). New Straits Time. Bringing F1 back to Sepang: What do Malaysians think? https://www.nst.com.my/news/nation/2019/02/459943/bringing-f1-back-sepang-what-do-malaysians-think


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.