Korea Yang Bersatu Di Winter Olympic

0
764
views

Sebagai seorang “Koreanophile”, tipulah kalau kata tak terharu melihat kontinjen Korea Utara dan Korea Selatan berarak secara bersama-sama ketika Acara Perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan semalam. Bendera yang dibawa ialah 통일기 (“Tongilgi”) atau Bendera Penyatuan (“Unification Flag”) yang menunjukkan peta Semenanjung Korea yang bersatu tanpa perpecahan.

Tongilgi sudah diguna sejak tahun 1991 (tahun tamatnya Perang Dingin) sebagai simbol kehendak kedua-dua Korea Utara dan Korea Selatan untuk kembali bersatu. Ia hanya pernah diguna 2 kali sahaja di Sukan Olimpik iaitu pada Olimpik Sydney 2000 dan Olimpik Athens 2004, ketika zaman “Sunshine Policy”.

“Sunshine Policy” diperkenalkan oleh Presiden Kim Daejung pada tahun 1998, 20 tahun yang lalu. Sebagai seorang yang berfahaman ideologi kiri (sosialisme dan demokrasi sosial), Kim lebih cenderung untuk berdamai dan berdialog dengan Korea Utara, berbanding dengan parti kanan yang lebih bersikap keras. Dasar Sunshine Policy mengandungi bantuan dan kerjasama ekonomi yang bertujuan untuk membina kepercayaan antara dua Korea dan membantu Korea Utara merapatkan jurang pembangunan sebagai persediaan bersatu kembali dengan Korea Selatan.

Sunshine Policy diteruskan oleh Roh Moo-hyun (2003-2008) tapi ditamatkan oleh Lee Myung-bak (2008-2013) yang berasal dari parti kanan dan konservatif. Alasannya ialah Korea Selatan tidak harus “memanjakan” Korea Utara lagi kerana Korea Utara telah mengkhianati Korea Selatan dengan menguji senjata nuklear pada 2006. Sikap dingin Korea Selatan di bawah rejim konservatif Lee dan Park Geun-hye (2013-2017) dibalas oleh Kim Jong-un (pemimpin Korea Utara sejak tahun 2011) dengan provokasi. Keadaan Semenanjung Korea berada dalam keadaan paling tegang semenjak Perang Korea (1950-1953).

Sejak Moon Jae-in (“protege” Roh Moo-hyun) mengambil alih jawatan presiden Korea Selatan, beliau cuba “reverse” dasar konservatif untuk meredakan ketegangan. Kim Jong-un juga nampak peluang untuk mengeluarkan Korea Utara daripada isolasi (akibat dipulau oleh kuasa-kuasa besar termasuk China). Jadi pada waktu kritikal ini, orang Korea telah bergabung untuk menyelamatkan satu sama lain. Walaupun agak sukar untuk Sunshine Policy diadakan kembali, namun mereka telah menunjukkan solidariti sebagai satu bangsa (민족 – “minjok”).

Tak banyak bangsa di dunia seperti bangsa Korea. Boleh dikatakan mereka adalah satu-satunya bangsa yang mempunyai sejarah penyatuan selama 1,000 tahun tanpa putus. Peta yang dicetak pada Tongilgi menunjukkan sempadan Korea yang hampir tidak berubah sejak tahun 918, tahun terdirinya Dinasti Goryeo (disitu datangnya nama “Korea”).

Ketika itu, negara-negara seperti England, Perancis, Jerman, Rusia semua belum wujud lagi. China berpecah kepada 11 negeri (“Five Dynasties and Ten Kingdoms”). Hokkaido dan Okinawa belum jadi sebahagian daripada Jepun, dan Jepun mengalami perpecahan ketika zaman Sengoku (1467-1603). Korea hanya berpecah pada tahun 1950 dan berperang sesama diri akibat hasutan Amerika dan Soviet yang masing-masing menjadikan Korea Selatan dan Korea Utara sebagai proksi.

Tapi bukan semua minat dengan idea penyatuan semula Korea. China, US, Rusia melihat dengan skeptikal. Yang paling cepat melompat ialah Jepun. Secara tersurat, Jepun membantah kemasukan Liancourt Rocks (“Takeshima” dalam Bahasa Jepun atau “Dokdo” dalam Bahasa Korea) dalam peta “Korea Bersatu”. Namun secara tersirat, Jepun sentiasa melihat Korea sebagai “dagger pointed at the heart of Japan”. Jepun tidak mahu melihat Korea membangkit dan mengancam kedudukan Jepun. Jadi dasar Jepun terhadap Korea adalah samada menguasainya seperti dari tahun 1910-1945 atau “pecah dan perintah”.

Malah orang Korea terutamanya generasi muda pun mula menentang idea penyatuan, atas faktor ekonomi. Mereka takut orang Utara akan merampas peluang pekerjaan mereka nanti. Penyatuan semula Korea bukan lagi satu idea yang dianggap popular atau praktikal, berbanding 20 tahun yang lalu.

Adakah Korea akan kembali bersatu satu hari nanti? Atau mereka akan kekal sebagai dua buah negara bangsa yang berasingan? Ia bergantung pada orang Korea sendiri, samada mereka mampu mencipta “miracle” (기적 – “gijeok”) geopolitik sebagaimana mereka mencipta “miracle” ekonomi.