Dengan pandemik Covid-19 melanda dunia ketika ini, apa saja urusan yang dibuat sama ada perlu ditangguhkan atau dialih ke medium dalam talian. Tetapi dalam soal politik terutama membabitkan isu Parlimen/DUN, ia tidak boleh ditangguh lama-lama melebihi enam bulan dari tarikh persidangan sebelumnya. Silap haribulan, negeri atau negara perlu mengadakan pilihan raya di sebalik ujian pandemik wabak ini.

Tetapi di Korea Selatan, pandemik tak pandemik, rakyat negara itu tetap menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi berikutan pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan diadakan pada minggu ini. Semua menjalankan tanggungjawab termasuk yang sedang menjalani kuarantin.

Untuk pilihan raya kali ini, 35 parti mengambil bahagian tetapi tumpuan tertumpu kepada parti pemerintah, Parti Minjoo (Demokratik) dengan parti pembangkang berfahaman konservatif, Parti Masa Hadapan Bersatu (PMHB). Pilihan raya ini dianggap penting kerana boleh menguji populariti parti dan calon yang dipilih menjelang pilihan raya presiden 2022.

Rajah 1: Warga Korea keluar mengundi sempena pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan 2020. Sumber: https://edition.cnn.com/2020/04/13/asia/elections-coronavirus-pandemic-intl-hnk/index.html

Seperti biasa, bila pengumuman pilihan raya ini dibuat, ramai menyatakan kebimbangan penularan gelombang kedua Covid-19 akan membuatkan ramai pengundi tidak hadir. Tetapi pada hari pengundian yang berlangsung hari ini, ramai warga Korea Selatan keluar menjalankan tanggungjawab mereka tetapi selepas menjalani saringan ketat di pusat pengundian.

Lebih 11 juta pengundi atau 26% populasi Korea Selatan keluar menjalankan tanggungjawab membuat undian awal mereka pada hari Jumaat dan Sabtu lepas. Ada memilih mengundi secara pos tetapi ada juga memilih datang ke pusat pengundian awal. Pilihan raya kali ini turut dianggap istimewa kerana pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi buat kali pertama.

Menariknya, Korea Selatan tidak pernah terlepas menjalankan tanggungjawab mengadakan pilihan raya termasuk semasa situasi P3rang Korea yang tercetus pada tahun 1952. Tetapi kali ini, bagaimana nak mengelak pengundi dari dijangkiti Covid-19 tetapi masih mampu menjalankan tanggungjawab mereka.

Rajah 2: Korea Selatan tidak pernah terlepas mengadakan pilihan raya dalam pelbagai situasi termasuk P3rang Korea 1952.

Suruhanjaya pilihan raya Korea Selatan memutuskan sekiranya ada pengundi yang merekodkan suhu melebihi 37.5 darjah Celsius, maka individu tersebut diiringi ke kawasan pengundian berasingan dan dijauhkan daripada pengundi-pengundi lain.

Manakala pengundi yang sedang menjalani rawatan Covid-19 diberi pilihan mengundi melalui undian pos. Tetapi dalam situasi ini, suruhanjaya pilihan raya memilih membawa pusat pengundian ke pusat kuarantin atau hospital khas Covid-19 bagi membolehkan pesakit-pesakit ini melaksanakan tanggungjawab mereka.

Rajah 3: Seorang pesakit Covid-19 mengundi untuk pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan 2020. Sumber: https://www.aljazeera.com/news/2020/04/moon-party-set-coronavirus-boost-south-korea-election-200414061208253.html

Tetapi isu yang memeningkan kepala kerajaan Moon Jae-in ialah bagaimana memantau 60,000 individu yang kini dalam kuarantin sekiranya mereka keluar mengundi. Bagi memastikan tidak berlaku perlanggaran kuarantin, berikut syarat-syarat yang dikenakan:

  1. Hanya boleh keluar dari rumah mereka antara 5.20 petang hingga 7.00 malam pada hari pengundian.
  2. Mereka tidak dibenarkan menggunakan pengangkutan awam dan hanya dibenarkan berjalan atau menggunakan kenderaan peribadi semasa hendak pergi ke pusat pengundian.
  3. Bila mereka pulang, mereka diarah berhubung dengan pegawai kesihatan mereka. Jika mereka gagal berbuat demikian, polis akan dihantar untuk mencari mereka kerana bimbang potensi perlanggaran kuarantin seperti yang berlaku pada bulan lepas.

Bagi memastikan pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan berjalan lancar dan bebas daripada jangkitan Covid-19, 550,000 staf digerakkan untuk menyediakan pusat-pusat pengundian dan memastikan proses pengundian berjalan lancar pada hari pilihan raya.

Rajah 4: Penjarakan sosial menjadi keutamaan semasa menanti giliran mengundi. Sumber: https://www.nytimes.com/2020/04/10/world/asia/coronavirus-south-korea-election.html

Mereka turut membersihkan 14,000 stesen pengundian dan meletakkan tanda pada barisan bagi membolehkan penjarakan sosial dibuat. Ya, ia menyusahkan dan mengambil masa tetapi para pengundi tidak kisah dengan sedikit penangguhan selagi mana mereka dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Datuk bandar daerah Yongsan, Seoul, Sung Jang-hyun berkata, “Semua orang mengetahui keseriusan situasi ini dan menunjukkan kematangan sebagai warganegara dengan menggalakkan pengawai pilihan raya daripada merungut tentang situasi yang dihadapi.”

Disebabkan Covid-19 juga, ramai calon parti yang bertanding terpaksa mengubahsuai strategi kempen mereka. Di Korea Selatan, suasana pilihan raya boleh saja bertukar menjadi kecoh dengan van dilengkapi speaker berkempen dengan kuat atau ahli-ahli politik dan para penyokong saling menjerit antara satu sama lain.

Tetapi akibat penularan pandemik Covid-19, penjarakan sosial harus dibuat dan bersalaman digantikan dengan laga siku atau laga buku lima. Di sebalik semua itu, ada yang kreatif menjalankan kempen mereka seperti yang dilakukan bekas warga Korea Utara, Thae Yong-ho.

Yong-ho yang ketika ini berkempen agar dipilih sebagai ahli Perhimpunan Kebangsaan buat kali pertama mengeluarkan videonya menyanyikan lagu rap sebagai sebahagian daripada kempennya. Covid-19 turut memaksa parti-parti politik menukar kandungan kempen mereka dari isu Korea Utara dan ekonomi kepada tindak balas negara terhadap pandemik wabak berkenaan.

Tindakan pantas pihak berkuasa kesihatan mengawal bilangan kes Covid-19 pada Februari dan Mac tahun ini termasuk melaksanakan ujian Covid-19 sebanyak mungkin mendapat pujian ramai. Buktinya, bilangan kes baru yang dilaporkan berada di bawah paras 50 kes dan lebih 7,000 orang disahkan pulih.

Keadaan ini memberi suntikan semangat kepada Minjoo yang bergelut dengan situasi ekonomi Korea Selatan dan beberapa skandal yang menimpa beberapa pembantu Jae-in. Sementara PMHB pula memuji kredibiliti dan profesionalisme yang ditonjolkan petugas barisan hadapan semasa mendepani Covid-19.

Rajah 5: Keupayaan kerajaannya mengendalikan krisis pandemik Covid-19 dilihat memberi kelebihan kepada Parti Minjoo yang diterajui Jae-in.

Di sebalik semua ini, ramai bimbang pilihan raya Perhimpunan Kebangsaan ini bakal menjadi pencetus gelombang Covid-19 yang seterusnya. Tetapi buat masa ini, Korea Selatan mahu membuktikan pandemik ini bukan halangan untuk melakukan sesuatu yang sudah diikhtiarkan.

Dan hasilnya, Parti Minjoo yang diterajui Jae-in memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya ini dengan 180 kerusi. Sementara PMHB dan parti-parti kecil yang bertanding hanya berjaya mendapat 103 kerusi. Pilihan raya kali ini turut menyaksikan peratusan pengundian sebanyak 66%, peratusan paling tinggi untuk pilihan raya parlimen Korea Selatan sejak 1992.

Pilihan raya kali ini turut dianggap bersejarah bagi bekas diplomat Pyongyang, Yong-ho yang bertanding di bawah nama barunya Thae Gu-min kerana terpilih sebagai wakil rakyat menerusi pilihan raya. Yong-ho dilaporkan menang selesa di daerah Gangnam, Seoul sekaligus menjadikannya bekas warga Korea Utara pertama berkhidmat di Perhimpunan Kebangsaan.

RUJUKAN:

Bicker, Laura. (2020). Coronavirus: South Korea holds elections in masks and clinics. BBC. https://www.bbc.com/news/world-asia-52275993

McCurry, Justin. (2020). South Korea’s ruling party wins election landslide amid coronavirus outbreak. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2020/apr/16/south-koreas-ruling-party-wins-election-landslide-amid-coronavirus-outbreak

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.