Moving Forward As One

Korang Tahu Tak Yang Marikh Dipenuhi Ais?

1,487

Teknologi angkasa hari ini telah menyingkap banyak rahsia yang terselindung di sebalik planet bernama Marikh.

Rahsia ini dikupas lapisan demi lapisan untuk menjayakan matlamat akhir: satu hari manusia boleh mendiami planet ini… atau sekurang-kurangnya menjejak. Mungkin ada yang tertanya-tanya – apa gunanya? Rugi saja… baik belanja untuk pulihkan Bumi.

Sebenarnya Bumi harus dipulihkan. Tetapi usaha aeroangkasa tidak boleh berhenti, walaupun demi Bumi.

Industri aeroangkasa tidak patut dipersalah atas apa yang sedang berlaku di Bumi. Malah aeroangkasa mungkin satu hari menyediakan jendela untuk keluar daripada Bumi.

Sebab itulah misi Marikh tidak sia-sia ataupun merugikan. Setiap sen yang dibelanja untuk Marikh sebenarnya menciptakan teknologi baru. Teknologi ini boleh digunakan untuk kemudahan manusia.

Sebagai contoh, teknologi LASIK dan LED sebenarnya tercipta melalui usaha gigih NASA dalam bidang aeroangkasa.

Pendaratan Bulan pada tahun 1969 memberikan sumbangan pada industri kesihatan.

Kerana komponen yang dicipta kemudian menjadi imbasan MRI (Lee, 2019). Jadi kepada yang kata pendaratan Bulan itu penipuan, kalian percaya pula pada imbasan MRI.

Imbasan MRI yang dicipta menggunakan teknologi pendaratan Bulan.

Teknologi manusia dijangka akan bertambah lebih maju. Kerana hari ini bukan NASA sahaja yang sedang bergiat untuk pergi ke Marikh. Lebih ramai bertanding, lebih banyak teknologi boleh dihasilkan.

Manusia menghala ke zaman kegemilangan teknologi. Dan hari ini, berkat daripada teknologi-teknologi pelopor ini, manusia sudah tahu yang Bulan mempunyai ais (Carpineti, 2021)

Kepentingan Ais Marikh Pada Manusia

Marikh meninggalkan petunjuk yang keras. Satu masa dahulu, permukaan Marikh sangat kaya dengan air dan gas rumah hijau. Apabila ada air, tentu sekali boleh ada kehidupan.

Marikh barangkali mempunyai kehidupan yang menyelami lautan mudanya (Siegel, 2019).

Gambaran Marikh yang dulu (tolong faham maksud gambaran).

Lama kelamaan, Marikh hilang segalanya. Lautannya menjadi kering. Atmosferanya lenyap.

Semua potensi pun lesap. Hari ini Marikh hanya merah menyala, tetapi permukaan keringnya menutup rizab ais begitu banyak.

Ais ini dijangka merupakan air yang diserap bumi Marikh. Kalau bercakap pasal ais, mungkin ramai akan membayangkan seperti Bumi… sebuah planet yang berkutubkan ais.

Untuk pengetahuan semua, ais di planet Marikh sebenarnya besar. Saintis membuat anggaran kasar bahawa ais bersaiz lebih daripada 5,000,000 kilometer persegi ditemui di permukaan dan dalam planet Marikh.

Cukup untuk menutup permukaan Marikh dengan ais sedalam 35 meter (Christensen, 2006).

Kawah ais di permukaan Marikh

Suhu Marikh bantu mengekalkan ais ini. Atmosferanya didapati 100 kali ganda lebih nipis untuk dibandingkan dengan Bumi. Jadi Marikh tidak mampu menyimpan haba.

Tanpa atmosfera, suhu Marikh boleh turun ke paras -60ºC hingga -125ºC. Semasa musim panas (summer), iklim Khatulistiwa Marikh mempunyai suhu 20ºC yang agak sesuai (tetapi sejuk) untuk manusia.

Walau bagaimanapun, suhu itu hanya pada waktu siang sahaja. Menjelang malam, tempat yang sama mempunyai suhu -73ºC (Sharp, 2017).

Gambar selfie Curiosity (yang diambil setiap sudut dan dibuat bentuk panorama)

Jadi semua boleh bayang kenapa Marikh boleh menyimpan ais. Suhunya memang rambang dan sentiasa sejuk beku… lebih sejuk daripada peti sejuk beku. Andainya manusia boleh menciptakan teknologi seperti rumah kalis beku yang terjamin selamat, mungkin manusia boleh mencairkan ais Marikh untuk kegunaan harian?

Mungkin boleh – mungkin tidak. Pertama sekali, air Marikh tidak bertakung dalam bentuk bongkah ais gergasi. Sebaliknya, air Marikh wujud dalam keadaan pasir basah yang beku (Moskowitz, 2014).

Jadi sumber air sebenar perlu dikenal pasti terlebih dahulu, kerana proses penapisan mungkin tidak sesuai digunakan di sini. Sumber air juga bukan jalan penyelesaian, kerana jenis air tersebut perlu dikenal pasti pula… sama ada air masin atau air tawar.

Setakat ini semua air Marikh didapati sangat masin… jauh lebih masin daripada air Laut Merah (Hernandez, 2015).

Air laut Marikh mempunyai jumlah perchlorate begitu tinggi – mampu menjejaskan organ dalaman. Jadi saintis mungkin perlu menggunakan cara tertentu untuk membuat air ini boleh diminum… yang akan menggunakan bahan api (untuk tenaga) pula.

RUJUKAN:

Carpineti, A. (2021, Februari 9). There’s Plenty of Water Ice Buried on Mars According to New Map. IFL Science.

Christensen, P.R. (2006). Water at the Poles and in Permafrost Regions of Mars. Elements. 3 (2): 151-155.

Hernandez, D. (2015, Mei 10). What It Would Take To Drink The Water on Mars. Huffpost.

Lee, B.Y. (2019, Julai 20). What the Apollo 11 Moon Landing Did For Medicine and You. Forbes.

Moskowitz, C. (2014, Julai 25). Martian soil salts may make water ice all wet. Scientific American.

Sharp, T. (2017, November 3). What is The Temperature of Mars? Space.

Siegel, E. (2019, Mei 14). This Is Why Mars Is Red and Dead While Earth Is Blue and Alive. Forbes.

Ruangan komen telah ditutup.