Kopi Tular Covid-19: Dalgona Coffee

5,309

Kita juga dapat lihat di media sosial, terdapat beberapa pemegang akaun yang sudi untuk berkongsi resipi masakan mereka supaya pengikut laman sosialnya dapat mencuba ketika tempoh PKP ini di rumah.

Antara resipi yang sering berlegar sekitar 2-3 hari ini merupakan resipi minuman kopi. Kopi ini menjadi tular dalam tempoh PKP ini dikenali sebagai ‘Dalgona Coffee’. Artikel kali ini akan menghuraikan beberapa perkara yang berkaitan dengan minuman ‘viral’ tersebut.

Perkara pertama yang akan kita lihat adalah dari segi sejarah minuman ‘Dalgona Coffee’ itu sendiri. Rata-rata daripada kita mengatakan bahawa kopi ini berasal daripada Korea Selatan tetapi tahukah anda bahawa kopi ini berasal daripada India. Beberapa negara juga dikaitkan sebagai tempat asal kopi tular ini seperti Pakistan dan Macau. Kopi ini juga dikenali sebagai ‘whipped coffee’ dan ‘beaten coffee’. Mungkin kerana tekstur serta cara penghasilan kopi itu, ia digelar sebegitu.

Kopi ini mula mendapat populariti dan perhatian apabila diketengahkan di dalam satu rancangan TV Korea yang bertajuk ‘Pyunstorang’ pada bulan Januari lalu. Di dalam rancangan tersebut, seorang pelakon Korea Selatan iaitu Jung Il-Woo telah mengembara ke Macau dan mencuba minum ini.

Beliau merupakan individu yang telah memberikan nama ‘dalgona’ kepada kopi ini bersempena dengan makanan tradisional Korea. Makanan tersebut merupakan sebuah gula-gula tradisional ataupun lebih mesra dikenali sebagai ppopgi di Korea. Gula gula ini boleh ditemui di kedai kedai ‘tepi jalan’ di sana. Minuman ini diberikan nama samaran sebagai ‘dalgona’ kerana mereka mengatakan bahawa rasanya sama seperti gula gula tersebut. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan ppopgi tersebut hanyalah gula dan serbuk penaik.

Korean traditional sugar candy: Dalgona / ppopgi (뽑기)

Hasil tinjauan penulis, #DalgonaCoffee telah mendapat lebih 10.7 juta penonton di applikasi TikTok manakala di Twitter pula, tanda palang tersebut pernah menjadi trending pada awal kemunculannya. Sehingga ke hari ini, kita boleh simpulkan bahawa perkataan ‘Dalgona Coffee’ akan menghiasi telefon pintar anda dan mendahului carta carian di media sosial.

Seterusnya, artikel ini akan memberikan cara serta resipi untuk menghasilkan minuman tersebut. Minuman ini dilihat mudah untuk dihasilkan serta tidak memerlukan bahan yang banyak serta rumit. Antara bahan yang diperlukan adalah seperti serbuk kopi, gula, ketulan ais, air panas dan susu segar. Langkah yang perlu diambil untuk menghasilkan minuman ini adalah seperti berikut:

  1. Pertama sekali, kita perlu mencampurkan dua sudu serbuk kopi, dua suda gula dan dua sudu air panas di dalam bekas
  2. Seterusnya, kita perlu mengacau campuran tersebut sama ada menggunakan sudu, pemukul atau mesin pengadun. Kacau sehingga campuran tersebut sebati menjadi seakan akan krim
  3. Masukkan beberapa ketul ais ke dalam gelas serta tuangkan susu ke dalam gelas sebanyak ¾ gelas tersebut.
  4. Masukkan campuran yang telah di kacau tersebut ke dalam gelas yang berisi susu.
  5. Dalgona Coffee anda sudah siap untuk diminum.

Terdapat juga seorang pengguna yang telah berkongsi cara beliau menghasilkan Dalgona Coffee ini. Beliau tidak menggunakan pemukul ataupun mesin pengadun untuk menghasilkan campuran tersebut tetapi telah menggunakan botol untuk mencampurkannya. Beliau memasukkan semua bahan kedalam botol dan menggoncangkan botol tersebut sehingga campuran itu sebati.

Langkah ini dilihat mudah dan cepat tetapi terdapat pengguna laman sosial yang lain telah menegur kerana menggunakan botol plastik. Dikatakan bahawa jika air panas diletakkan di dalam botol plastik, ia mampu memberikan risiko buruk serta kesan sampingan kepada kesihatan individu tersebut

Tidak kurang juga, ada segelintir pihak yang kurang berjaya untuk menghasilkan kopi tular ini. Walaupun telah menggunakan resipi serta cara penghasilan yang sama, namun produk ataupun hasil yang diterima berlainan dengan orang lain. Selalunya kita melihat sebatian kopi yang telah menjadi seakan buih itu berada terapung di permukaan namun kali ini larutan kopi itu mendap di bawah susu tersebut.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Umum mengetahui, setiap perkara selalunya mempunyai kebaikan dan keburukan. Maka disini penulis akan mengemukakan beberapa keburukan yang mungkin akan anda hadapi jika terlalu kerap meminum kopi ini. Antara komplikasi yang mungkin akan anda hadapi adalah kesukaran untuk tidur. Perkara ini kerana pengambilan kopi yang mengandungi kafien secara berlebihan mampu memberikan gangguan tidur buat seseorang tersebut. Maka perlulah kita untuk mengawal tahap pengambilan kafien seharian supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Terdapat juga segelintir pihak yang berasa tidak sedap badan serta pening kepala akibat mencuba minuman tular ini. Tetapi bagi seseorang yang biasa mengambil kopi, mereka tidak menghadapi sebarang masalah dengan minuman tersebut. Penulis menasihati semua pihak agar mengukur baju di badan sendiri dan jangan membahayakan diri sendiri kerana ingin  mengikuti trend. Ketahuilah bahawa kesihatan itu amat berharga.

Selain itu, kafein juga mampu menganggu serapan kalsium dan zat besi oleh badan manusia. Penggunaan susu juga perlu diteliti kerana susu full cream mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Anda disarankan untuk bertukar kepada susu low fat.

Akhir kata, lakukan perkara yang berfaedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kurangkan akitiviti di luar rumah jika tidak perlu dan elakkan diri daripada berkumpul. Ikutlah arahan yang diberikan oleh pihak yang berautoriti demi menjamin kesihatan kita semua. #StayatHome #KitaJagaKita

RUJUKAN:

1- Sweeten up your day with dalgona coffee (달고나 커피), Zhen Zhen, 10 Mac 2020, https://kavenyou.com/dalgona-coffee/

2-Jom try sendiri kopi viral, Nana, 20 Mac 2020,                                                                   https://www.remaja.my/jom-try-sendiri-kopi-viral-dalgona-coffee-hanya-guna-3-bahan-tapi-sedap-setanding-jenama-terkenal/

3- Ramai mengadu sukar tidur lepas pekena dalgona coffee, Almaswa Haji Che Ros. 22 Mac 2020, https://www.remaja.my/ramai-mengadu-sukar-tidur-lepas-pekena-dolgana-coffee-ini-keburukan-kafein-berlebihan/

4- Jangan cuba dalgona coffee yang viral ini jika, Jannah, 21 Mac 2020, https://dailymakan.com/jangan-cuba-dalgona-coffee-yang-viral-ini-jika/13239/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.