Kopi & Hadramaut, Yaman

69

Yaman menghidangkan secangkir kata-kata:

“Dengannya (kopi) aku berjaya menghafaz kalamullah.”

Syeikh Hamzah Yusuf dalam kuliahnya menerangkan ketika kopi mula-mula diketengahkan, ia mencetuskan kontroversi. Adakah halal atau haram. Nama qahwah (kopi dalam bahasa arab) sendiri adalah salah satu nama khamar menurut arab klasik. Ulama’ Maliki berdebat adakah dibolehkan atau tidak minuman yang dapat merangsang manusia tiduk tidur ini. Akhirnya kata diputuskan. Dibenarkan jika diminum untuk beribadah dan diharamkan jika berjaga untuk perkara sia-sia.

Wujud versi meriwayatkan sebuah kisah. Suatu hari seorang pengembala kambing di Yaman membawa ternakannya makan. Tiba di suatu tempat, di situ terdapat banyak bijian. Dia pun membiarkan kambing-kambing peliharaan bebas menyantap. Haiwan itu dilihat gemar pula memakan bijian hitam yang wujud di situ.

Setelah beberapa kali kunyahan, pengembala itu melihat kambingnya menjadi girang gembira. Terlompat-lompat. Ini membuatnya hairan. Justeru dia mendapatkan bijian itu. Memetik dan mengutip sebiji demi sebiji. Dia tidak menunggu lama untuk membawanya pulang ke rumah.

‘Jika bijian ini boleh membuatkan kambing-kambing aku melompat kegembiraan, boleh jadi bila aku makan aku juga jadi gembira’, mungkin ini fikirnya. Bijian tersebut adalah biji kopi. Dari itulah tercipta resepi beraroma ini.

Ada satu lagi kisah tentang Syeikh Abu Hassan Syazili, seorang ulama’ Yaman. Pada suatu malam, dia kerap diserang lelap. Mata berat mendesak tidur. Dia teringin mendirikan ibadah qiamullail tetapi sering sekali graviti tidur menarik kelopak mata. Sehingggalah syeikh bermimpi malaikat menemuinya dan menunjukkan pokok kopi. Malaikat menerangkan khasiat dan kaedah memasaknya. Sejak itu masalah Syeikh Abu Hassan Syazili selesai.

Di Hadramaut pula, minuman hitam ini menyimpan nilai yang lebih dalam.

Ia sajian wajib dalam majlis-majlis eid fitri, eid adha, hadrah, zikir, khatam Quran, taklim dan tazkirah.

Disajikan saat majlis di penghujung atau ucapan berakhir. Aroma inilah yang menyegarkan indera setelah sabar menunggu ratib dan bicara dari awalnya. Lazimnya kopi di negeri ini berupa kopi pekat yang diadun bersama halia. Melahirkan keunikan aroma kental dan rasa sedikit pedas. Ramuan yang autentik.

Anda akan lihat seorang lelaki yang membawa cerek air. Di dalamnya berisi kopi. Diangkut cermat.

Seorang lagi pula membawa tompokan gelas. Berjalan dan memberinya pada setiap seorang hadirin.

Setiap barisan akan dapat mencicip kelazatan kopi asli Yaman. Bermula dari saff hadapan hinggalah ke saff terkemudian. Dituangkan satu persatu. Apa yang anda perlu hanyalah bersabar hingga tiba giliran anda menikmati keenakannya.

Sejurus hinggap di lidah, meninggalkan signature sampai kita mengenangnya bila pulang ke tanah air.

Lagenda kopi tidak berakhir di sini selagi tidak kita menjenguk Tarim.

Bagi Habib Umar Ben Hafiz, kopi adalah saksi cinta sejati.

Maestro dakwah yang sering sibuk berkhidmat kepada masyarakat, mengisi taklim subuh dan rauhah asar di Dar Mustaffa, menyantuni tetamu yang dari jauh rindu menemuinya dan dikelilingi kesibukan ibadah istiqamah lagi, sempat lagi meluangkan masa bersama bondanya lewat secangkir kopi seminggu sekali.

Kopi bukan sebarang kopi.

Habib Umar sendiri yang memilih biji kopi terbaik. Habib sendiri yang memasak dan mengoyak kulit biji kopi. Habib sendiri yang menghancurkan biji kopi menjadi serbuk. Habib sendiri yang ‘brew’ kopi tu sampai jadi. Habib sendiri yang menuangkan ke dalam gelas sebelum menyua ia dengan asak santun kepada bondanya.

Ibu dan anak itu meluangkan momen lewat secangkir kopi. Diselang seli bertukar khabar dan cerita. Oh, bakti kasih sesederhanna ini, sungguh menghamili sekosmos cinta yang besar.

Bondanya begitu bangga dengan Habib.

Setiap kali orang menziarahi beliau, pasti dia akan menunjuk ke potret Habib Umar yang terdapat di rumahnya.

“Engkau tahu ni siapa. Ni anak aku.”

Lalu disebutkan satu persatu kelebihan anaknya, seribu satu sumbangan Habib kepada ummah.

Apabila bonda meninggal dunia, dia pergi sebagai ibu yang meredhai anaknya.

Habib Umar sungguh mengalirkan air mata apabila tiba takdir Allah menjemput kekasih ayahanda.

‘Seorang ibu yang bangga dengan anaknya, hidup yang sederhana, dengan kasih yang sempurna.’

Rujukan:

  1. -tazkirah Habib Mahdi
  2. -Shaykh Hamza Yusuf – Coffee. Video ( https://m.youtube.com/watch?v=B4J1mIuSspk )
  3. -Benefits of Coffee – Shaykh Hamza Yusuf. Video ( https://m.youtube.com/watch?v=-JPPiUzAQCI

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.