Kopi Dan Kencing

582

Kopi dengan rakyat Malaysia tidak dapat dipisahkan. Ia seakan menjadi rakan baik yang sentiasa menemani di kala gembira, sedih atau penat dan tidak pernah mengira tempat dan waktu.

Kopi bukan sahaja hanya digemari oleh golongan emas bahkan meliputi keseluruhan kategori baik yang setahun jagung, muda-mudi ataupun yang sudah berkeluarga. Sesetengah orang telah meletakkan kopi sebagai keutamaan sebelum menjalani kehidupan seharian.

Kopi telah berkembangan secara meluas di seluruh dunia sehingga pelbagai syarikat kopi membuka kedai-kedai ‘port’ lepak untuk rakyat. Aroma kopi yang memukau dan rasanya yang menyengat membuatkan kebanyakkan orang tidak akan menolak pelawaan secawan kopi.

Kopi juga boleh menjadi ejen kepada keluarga untuk meluangkan masa dan boleh menjadi penyebab hubungan dan ukhwah antara manusia menjadi lebih erat. Tidak kurang juga, mereka mengambil kopi untuk kekal fokus dalam melaksanakan tugas yang diamanatkan ataupun untuk berjaga malam menghabiskan pekerjaan mereka.

Buang air kecil atau bahasa yang lebih mudah difahami iaitu kencing merupakan lumrah buat setiap manusia. Bahan ini disingkirkan oleh ginjal setelah beberapa proses dilakukan dan dikeluarkan melalui uretra. Terdapat 3 proses utama dalam penghasilan air kencing iaitu penapisan, penyerapan dan rembesan. Air kencing mengandungi urea dan bahan kumuh yang boleh membahayakan tubuh badan dan perlu disingkirkan.

Apakah perkaitan kopi dan kencing? Suatu terma yang amat berbeza secara lahiriah kerana satu diambil dan satu lagi dibuang. Rasanya pon tidak mempunyai sedikit persamaan bahkan warnanya juga jauh sekali berbeza.

1. Mempengaruhi bau kencing

Apabila seseorang itu meminum kopi dengan kadar yang banyak, kencingnya akan berbau seakan akan bau kopi. Ini kerana pelbagai bahan digunakan untuk menghasilkan kopi tersebut seperti antioksida iaitu ‘polyphenols’. Polyphenols banyak terdapat di dalam kopi yang akan diserap oleh sistem perkumuhan. Polyphenols ini akan diurai dan dikeluarkan melalui urine. Akibatnya, kencing akan menjadi seperti bau kopi.

2. ‘Diuretic Effect’ 

Kafein yang terkandung di dalam kopi adalah dikelaskan sebagai diuretik. Ini bermakna kafien mampu mempengaruhi kadar pengeluaran air kencing daripada tubuh badan.

Perkara ini kerana kafein mampu meningkatkan tekanan darah di antara kapilari di dalam ginjal. Oleh itu, darah yang ditapis meningkat seterusnya kadar pengeluaran air kencing bertambah.

Semakin banyak kuantiti kopi yang diminum oleh seseorang akan meningkatkan kekerapan dia keluar masuk dari tandas.

3. Warna cecair

Pengambilan kopi secara berlebihan akan mengakibatkan warna cecair yang keluar akan berubah. Warna keruh menunjukkan bahawa badan berada dalam keadaan dehidrasi akibat daripada pengambilan kafein di dalam kopi. Kafein tersebut juga menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat dengan kehadiran urea dan bahan lain.

Kesimpulan

Kopi dan kencing sememangnya jauh berbeza. Tetapi disini penulis ingin menunjukkan bahawa kopi mampu mempengaruhi air kencing pada badan manusia. Tidak dinafikan, kopi banyak mendatangkan faedah kepada manusia tetapi jika diambil secara berlebihan, ia akan menjadi duri dalam daging kepada peminum. Mencegah lebih baik daripada mengubati!

RUJUKAN:

Coffee, caffeine & hydration in the general population. https://www.coffeeandhealth.org/topic-overview/coffee-caffeine-hydration-in-the-general-population/

The Effects of Caffeine on Urine. https://www.livestrong.com/article/268324-the-effects-of-caffeine-on-urine/

Why does my urine smell like coffee?. https://www.medicalnewstoday.com/articles/321494.php

Artikel disumbangkan oleh H. Faizi untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.