Koo Kien Keat-Tan Boon Heong – Regu Negara Yang Pernah Duduuk Nombor 1 Dunia

782

Pra-tempah hanya di Shopee

Sebut saja nama Koo Kien Keat/Tan Boon Heong sudah pasti meniti di bibir peminat sukan badminton negara. Semasa kedua-duanya mencipta nama pada peringkat awal, ramai melihat mereka sebagai satu lagi regu emas Malaysia. Tetapi angkara sikap besar kepala dan enggan mendengar nasihat jurulatih mereka, ia akhirnya menjejaskan prestasi mereka.

Sebelum kedua-duanya digandingkan oleh jurulatih beregu legenda Rexy Mainaky, Kien K3at pada awalnya digandingkan dengan Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming. Beliau digandingkan dengan Choon Eng untuk Piala Thomas 2004 sebelum digandingkan dengan Chong Ming untuk Kejohanan Dunia 2005.

Gandingan Kien Keat-Choon Eng menjadi duri dalam daging kepada regu Indonesia Flandy Limpele-Eng Hian pada peringkat suku akhir Piala Thomas 2004. Sementara gabungannya dengan Chong Ming pula membuahkan pingat gangsa Kejohanan Dunia 2005 yang diadakan di Anaheim, California.

Manakala Boon Heong pula mencipta nama sebagai regu bersama Hoon Thiew How. Kedua-duanya menjadi juara regu Kejohanan Remaja Dunia 2004 dan naib juara acara beregu Kejohanan Badminton Asia.

Menjelang Sukan Asia 2006, Mainaky membuat eksperimen berani dengan menggandingkan Kien Keat-Boon Heong. Walaupun diletakkan sebagai regu bukan pilihan, itu tidak menghalang mereka menempa nama di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat emas acara regu lelaki badminton Sukan Asia 2006.

Lebih manis, perjalanan mereka ke final menyaksikan ramai regu lelaki bertaraf dunia kecundang termasuk Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia. Kien Keat-Boon Heong turut mencipta sejarah sebagai regu paling muda memenangi pingat emas Sukan Asia.

Mereka tidak menoleh ke belakang dan menjadi tumpuan peminat baik tempatan mahupun dunia. Pada Mac 2007, regu Malaysia ini membuat kejutan sebagai juara acara regu lelaki Terbuka Seluruh England selepas berjaya mengatasi Cai Yun-Fu Haifeng dari China. Menariknya, regu China itu merupakan regu lelaki nombor satu dunia ketika itu.

Justeru, tidak hairanlah apabila Sukan Olimpik 2008 Beijing diadakan,  Kien Keat-Boon Heong menjadi sandaran negara merangkul pingat emas Olimpik bersama Datuk Lee Chong Wei. Bagaimanapun, hasrat mereka tidak kesampaian apabila kemaraan mereka tersekat pada suku akhir temasya.

Apabila nama mereka terpilih mewakili negara ke Sukan Olimpik 2012 London, Kien Keat-Boon Leong menyangka inilah peluang menebus semula kehampaan mereka di Beijing empat tahun sebelumnya. Walaupun berjaya mara ke peringkat separuh akhir, hasrat mereka sekali lagi tidak kesampaian. Tambah malang, Kien Keat-Boon Leong juga tewas dalam pertarungan merebut pingat gangsa acara beregu lelaki.

Walaupun berjaya bergelar regu nombor satu dunia pada 2010 dan memenangi pingat emas Sukan Komanwel sebanyak dua kali, itu tidak mencukupi menutup kekecewaan pada Sukan Asia 2010. Kien Keat-Boon Heong tewas di tangan regu Kido-Setiawan dari Indonesia untuk perebutan pingat emas acara beregu lelaki.

Kegagalan mereka memenuhi harapan rakyat Malaysia dalam acara-acara besar dan kemerosotan prestasi pada 2008 menamatkan terus dominasi mereka sebagai pasangan nombor satu negara. Cubaan untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro juga berakhir dengan kegagalan selepas peraturan baru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) diperkenalkan.

Menerusi peraturan baru itu, negara-negara hanya boleh menghantar dua wakil untuk setiap acara dengan syarat pemain berada di kedudukan lapan teratas. Sekiranya mereka di luar kedudukan lapan teratas, maka negara boleh memilih wakil dalam kalangan 15 pemain teratas dunia.

Kien Keat-Boon Heong gagal layak kerana mereka berada di kedudukan ke-14, selang satu tempat dengan satu lagi regu negara Goh V Shem dan  Tan Wee Kiong. Regu V Shem-Wee Kiong dipilih mewakili negara dan mengulangi pencapaian pingat perak yang diraih regu Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, AS.

Bila ditanya apa yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi mereka, Kien Keat mengakui semasa mereka berada di kemuncak, mereka bersikap besar kepala. Sikap sebegitu terjadi kerana mereka hanyut dengan perhatian dan penghargaan yang diberi ramai pihak ketika itu. Ini bukan saja menjejaskan disiplin mereka tetapi hubungan mereka dengan jurulatih-jurulatih termasuk Mainaky.

Apabila ditanya tentang hubungan mereka sebagai regu, Boon Heong mengakui mereka sekadar rakan biasa bila di luar gelanggang. Tetapi bila berada di gelanggang, mereka saling menghormati walaupun kadang-kadang bertegang urat tentang taktik perlawanan.

Beliau turut menasihatkan mana-mana individu yang beraspirasi menjadi pemain badminton agar tidak mudah hanyut dengan perhatian dan pujian ramai pihak. Selain itu, mereka juga dinasihatkan menambahbaik kualiti permainan kerana pihak lawan sudah pasti akan menganalisis permainan mereka dan lebih bersedia untuk pertarungan seterusnya.

Boon Heong menambah, sekiranya mereka boleh berbuat demikian, tiada yang mustahil bagi mereka mencapai potensi yang dinyatakan. Ini termasuk merealisasikan impian Malaysia iaitu menggapai pingat emas Sukan Olimpik.

RUJUKAN:

Labola Malaya. (2021). ‘PENTINGKAN POPULARITI, BESAR KEPALA DAN TIDAK DENGAR NASIHAT, IA SATU KESILAPAN.’

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.