Kontrak sosial telah menjadi asas penting kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1946. Sebelum Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 digubal, British telah memperkenalkan gagasan Malayan Union. Namun begitu, Malayan Union mendapat tentangan yang hebat terutama daripada kaum Melayu.

Oleh itu, Perjanjian Persektuan Tanah Melayu 1946 adalah sangat penting kerana ia memansuhkan pelaksanaan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah persekutuan buat pertama kali.

Kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan. Ia menjadi corak kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka. Sembilan tahun kemudian, ianya digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan 1957.

Jika diteliti secara kasar istilah “Kontrak Sosial” ini sebenarnya tidak disebut secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi jika diteliti secara halus, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara Malaysia dan seterusnya menentukan sifat sesebuah negara (Nor Azilah dan Nor Fazilah, 2008).

Menurut pandangan ahli teori demokratik seperti Thomas Hobbes dan John Locke, teori kontrak sosial adalah manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Menurut Syed Ahmad Hussein (1994) kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.

Kontrak sosial juga dapat ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara khususnya di Malaysia.

Walaupun kontrak sosial tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan persekutuan akan tetapi asas-asas perlembagaan Malaysia dibina berdasarkan kontrak sosial ini. Asas inilah yang dipanggil sebagai elemen tradisional dalam Perlembagaan Persekutuan (Ku Amirul Faiz Ku Seman, 2017).

Elemen tradisional dalam Kontrak sosial merujuk kepada kedudukan agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Ia bukanlah paksaan orang Melayu ke atas bangsa lain tetapi merupakan satu toleransi kaum Cina dan India dalam mengiktiraf hak-hak orang Melayu dan suku pribumi lain sebagai pribumi di sini.

Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik. Oleh itu, perlembagaan yang dibina hendaklah merangkumi semua kepentingan kaum-kaum ini terutamanya kaum Melayu kerana mereka merupakan tuan kepada Tanah Melayu. 

Kepentingan dan Sejarah Kontrak Sosial

Kepentingan kontrak sosial adalah untuk menjamin hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sebagai tuan bagi Tanah Melayu serta memelihara kepentingan kaum-kaum yang lain seperti yang tertakluk di dalam perlembagaan persekutuan. Kontrak sosial ini merupakan satu persetujuan bersama antara Melayu, Cina dan India ketika mahu mencapai kemerdekaan. Seperti yang kita semua ketahui, kita telah mencapai kemerdekaan melalui jalan demokrasi.

Oleh itu, pemimpin negara kita terdahulu telah melakukan banyak rundingan dengan pihak British untuk mencapai kemerdekaan. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman telah memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress) dalam perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British melalui penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (CLC) yang dianggotai oleh wakil-wakil kaum imigran dari etnik Cina, India dan Ceylon.

Kontrak sosial merupakan persetujuan oleh tiga wakil utama dari tiga masyarakat utama dalam Tanah Melayu yang mewakili parti-parti tersebut. Wakil dari kaum Melayu ialah Tunku Abdul Rahman Putra al Haj, Tun Tan Cheng Lock sebagai wakil bagi kaum Cina manakala Tun V. T. Sambathan wakil dari kaum India. Justeru, kita perlu menelusuri kembali lipatan sejarah bagaimana persetujuan kontrak sosial ini dimeterai.

Jika diteliti kembali melalui faktor sejarah, dasar terawal yang merungkai aspek persefahaman dan perpaduan pelbagai kaum di negara ini adalah berkait rapat dengan kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh kaum-kaum utama Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan (Nor Azilah, Nor Fazilah, 2008).

Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, pihak British merupakan penjajah terakhir yang menguasai Tanah Melayu. Melalui pelbagai perjanjian yang terpaksa ditandatangani oleh raja raja Melayu akibat tipu muslihat pihak British yang licik, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu secara sah.

Walaupun negeri-negeri Melayu dijajah oleh pihak British, namun mereka tetap mengakui keabsahan yang dimiliki oleh Raja-raja Melayu dalam mentadbir negeri masing-masing. Namun begitu, kuasa Raja-raja Melayu telah dikurangkan menyebabkan pihak British melakukan dengan sewenang-wenangnya dalam mengaut hasil mahsul Tanah Melayu.

Pihak British telah membawa masuk pendatang dari Cina dan India untuk bekerja dengan mereka. Melalui kemasukan bangsa asing dari luar, pihak British telah melakukan dasar pecah dan perintah untuk mengelakkan penentangan kepada mereka. Orang Melayu telah ditempatkan di kawasan kampung, orang Cina di kawasan bandar dan orang India di kawasan estet. Hal ini berlangsung dalam satu jangka masa yang lama sebelum British melaksanakan dasar dekolonisasi.

Namun begitu, pihak British tidak mahu bertanggungjawab dengan bangsa asing yang telah dibawa masuk ke Tanah Melayu. Oleh itu, pihak British telah menetapkan prasyarat kepada pemimpin Tanah Melayu untuk menerima orang Cina dan India sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Orang Melayu terpaksa bersetuju dengan prasyarat British kerana orang Melayu terdesak untuk mendapatkan kemerdekaan. Pada waktu itu juga, negara China telah menutup pintu mereka dari menerima orang Cina di Malaysia. Pihak British yang mengetahui akan  perkara ini juga telah awal-awal mengumumkan tidak mahu menerima orang Cina ini dibawa masuk ke British. Oleh itu, orang Melayu pada waktu tersebut berada dalam dilema dan tersepit terpaksa juga menerima orang Cina.

Oleh itu, sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan serta pengorbanan orang Melayu untuk menerima orang Cina dan orang India, perlembagaan persekutuan Tanah Melayu 1957 yang digubal telah memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sekarang dikenali dengan nama Malaysia.

Persetujuan quid pro quo atau saling memberi inilah yang dipanggil sebagai kontrak sosial. Perjanjian Kontrak sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia telah dipersetujui sejak tahun 1948 dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sehingga ke hari ini.

Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan persekutuan Tanah Melayu telah diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan ke dalam perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti bersetuju untuk meluluskan perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan.

Kesannya, perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan pada tahun 1957. Natijah dari persetujuan itu telah menjadikan kaum Cina dan India sebagai warganegara Malaysia melalui Perkara 14-18 yang merujuk kepada pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang bukan Melayu. Namun, masyarakat Cina dan India telah disyaratkan untuk meperakui dan mengiktiraf beberapa hak istimewa yang perlu diberikan kepada seluruh masyarakat Melayu dan bumiputera sebagai pertukarannya.

Melalui kontrak sosial yang dipersetujui, kaum Melayu dan Bumiputera diberikan perlindungan kepada tanah-tanah rizab yang dikenali sebagai Tanah Simpanan Melayu yang tidak boleh ditukar milik secara sewenang-wenangnya. Selain itu, pemberian kuota khusus dalam beberapa aspek seperti pendidikan awam, biasiswa dan penjawatan perkhidmatan awam seharusnya tidak dipertikaikan.

Isu-isu Kontrak Sosial

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, isu kontrak sosial sering ditimbulkan semula oleh sebahagian rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab. Mereka memainkan retorik ketuanan Melayu yang terhasil daripada kontrak sosial ini.

Perlu difahami bahawa, ideologi yang mereka perjuangkan ini sangat rapuh dan tiada asasnya dalam perlembagaan serta mengancam keamanan negara Malaysia yang kita cintai. Antara falasi yang mereka sering laungkan adalah kontrak sosial ini sudah tidak relevan untuk diamalkan di Malaysia yang sudah merdeka lebih dari 60 tahun. Selain itu, mereka mendakwa bahawa kaum minoriti ditindas akibat daripada kontrak sosial walhal perkara tersebut tidak pernah berlaku pun.

Sedangkan kalau dilihat senarai orang-orang terkaya di Malaysia, majoritinya dipegang oleh bukan Melayu. Sebenarnya, hujah yang mereka bawakan ini sangat dangkal dan tidak layak untuk diperdebatkan kerana mereka berhujah tanpa bersandarkan fakta serta tidak mengambil kira tentang asas-asas bagaimana tertubuhnya perlembagaan sebuah negara berdaulat yang bernama Malaysia.

Perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu yang merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan (Abdul Aziz Bari, 1996). Oleh itu, beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan telah mengekalkan beberapa elemen penting bangsa Melayu yang menjadi tradisi sejak zaman penjajahan sebelum British lagi.

Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar disebalik pembentukan perlembagaan 1957. Muhammad Sufian (1984) telah menyatakan bahawa, “Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu.”

Antara intisari dalam Kontrak Sosial adalah berkenaan dengan unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan yang meliputi bahasa Melayu, agama Islam, keudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta pemerintahan beraja. Para penggubal menganggap elemen tersebut penting dalam menjaga kestabilan neagara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan kaum Melayu sebagai majoritinya.  

Perkara ini juga dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu-isu sensitif yang dilarang dalam perbincangan awam. Berkenaan dengan kedudukan agama Islam telah dinyatakan dalam Perkara 3 bahawa agama Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain boleh diamalkan. Perkara 152 menyatakan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tanpa menafikan hak-hak bangsa lain menggunkan bahasa mereka.

Akan tetapi, isu yang sering dipersoalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab adalah berkenaan dengan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Isu ini timbul kerana Perlembagaan Persekutuan dibaca tanpa melihat sejarahnya.

Menurut Ahmad Mohd Ibrahim (1995), perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Isu ini sangat sensitif dalam kalangan kaum Melayu kerana mereka seolah-olah mempertikaikan asas pembentukan dalam perlembagaan Malaysia. Perlu difahami bahawa antara sebab utama penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah penghapusan kuasa raja-raja Melayu.

Walaupun peranan raja-raja pernah cuba dilumpuhkan oleh British melalui pengenalan Malayan Union, namun orang-orang Melayu telah bangkit menentang Malayan Union kerana kedudukan raja-raja Melayu itu harus dimartabatkan. Selain itu, orang Melayu juga merupakan tuan kepada Tanah Melayu.

Oleh itu, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempersoalkan tentang kedudukan hak istimewa orang Melayu ini dilihat cuba untuk mencetuskan ketegangan kaum dan mencarik keamanan serta perpaduan kaum di Malaysia.

Baru-baru ini ketika Jawi ingin dimartabatkan semula, kebanyakan rakyat Malaysia dilihat menentang perkara ini sedangkan tulisan Jawi adalah identiti bangsa Melayu sejak berabad lamanya. Perkara ini juga telah termaktub dalam Akta Bahasa kebangsaan Perkara 9 iaitu, Tulisan bagi bahasa kebangsaan  ialah tulisan Rumi: dengan syarat dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang  lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi. Perlu difahami bahawa talisan Jawi ini juga dikategorikan dalam elemen tradisional orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah memastikan keamanan yang kita nikmati selama lebih 60 tahun ini tidak diganggu-gugat. Kontrak sosial telah dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah serta disepakati oleh wakil dari semua kaum.

Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu yang lain (F.A. Trinade dan H. P. Lee, 1998). Permuafakatan yang telah dicapai telah mendapat sokongan rakyat yang terbukti melalui kemenangan pada pilihan raya tahun 1955.

Oleh itu, semua masyarakat perlu saling memahami antara satu sama lain dan bekerjasama ke arah pembangunan masyarakat bukannya mempertikaikan isu kontrak sosial. Kontrak sosial bukanlah satu penindasan kepada kaum minoriti tetapi hakikatnya asas-asas dalam kontrak sosial inilah kita mampu untuk mencapai kemerdekaan dan menikmati keamanan kerana kesemua kepentingan kaum di Malaysia telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia. Alangkah baiknya jika kita menghayati kembali kata-kata Tun V. T. Sambathan pada tahun 1965 yang amat menyanjungi kaum Melayu:

“Di mana anda boleh dapatkan bangsa yang sebaik budi, semurah hati dan sebaik seperti mana bangsa Melayu? Di mana anda boleh melihat layanan sedemikian rupa kepada bangsa pendatang? Di mana lagi layanan sebaik ini dalam sejarah dunia?”

Jelas disini dapat kita renungi bahawa Tun V. T Sambathan amat menghargai jasa baik kaum Melayu kerana menerima kaum imigran sebagai warganegara tidak seperti masyarakat Malaysia pada hari ini yang tidak tahu langsung sejarah penubuhan Malaysia tetapi berlagak mengalahkan seorang profesor.

Semoga generasi yang akan datang selepas ini dapat menjadi seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Profesor Teo Kok Seong dan beberapa lagi sarjana sejarah yang lain yang mendalami dan amat memahami sejarah penubuhan sebuah negara Malaysia. Marilah sama-sama kita menjadi rakyat Malaysia yang bersyukur dan menghormati dan menyajung tinggi asas yang telah membentuk negara berdaulat Malaysia.

 RUJUKAN:

Abdul Aziz Bari. (1996). “Perlembagaan sebagai penyatuan sejarah dan nilai-nilai asal negara” dalam Kongres Sejarah Malaysia II, 26-28 November.

Ahmad Mohd Ibrahim. (1995). “Prinsip-prinsip perlembagaan Islam dalam perlembagaan Malaysia,” dalam Seminar Persidangan Pemerintahan Islam. Oxford University Press.

F.A. Trinade dan H. P. Lee. (1998).The role of constitutional rulers in Malaysia. Singapura: Oxford University.

Ku Amirul Faiz Ku Seman. (2017). Sejarah dan Perlembagaan Persekutuan. Dipetik daripada: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/sejarah-dan-perlembagaan-persekutuan-1.481458#ixzz5igIOJ17Y

Mohamed Suffian Hashim. (1984). Mengenal perlembagaan, (terj,) Abdul Majid Abd, Latiff dan Ridzuan Omar. Kula Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nor Azilah Ahmad dan Nor Fazilah Abdul Hamid. (2008). Perjanjian Kontrak sosial menurut perspektif parti-parti politik di Melaka: Satu analisa. Universiti Teknologi Mara: Shah Alam.

Perlembagaan Persekutuan. (2008). Disusun oleh Lembaga Penyelidikan Undang-Undang.

Syed Ahmad Hussein.(1994). Pengantar Sains Politik. Kuala Lumpur: USIM.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Epicurian Ataraxia. Hanya sebutir garam yang larut dalam lautan ilmu. Cuma insan biasa yang ingin mencungkil potensi diri. Berharap untuk membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu.

Comments are closed.