Apakah yang dimaksudkan dengan berwa’adat (sumpah setia)?

Benarkah wujud ‘daulat’ Raja-raja Melayu?

Barang siapa menderhaka kepada raja akan terkena ‘tulah’?

Begitulah persoalan yang sering kali bermain dalam fikiran kita setiap kali membicarakan tentang kedaulatan Raja-raja Melayu yang sememangnya terkenal sejak dahulu kala lagi. Tapi tak ramai antara kita yang benar-benar tahu asal-usul kedaulatan yang dijunjung selama ini. Oleh itu, bacalah artikel ini dengan hati yang tenang dan fikiran yang lapang.

PENGENALAN

Kesultanan Melayu Melaka adalah kerajaan Melayu zaman klasik yang menjadi tunjang kepada kerajaan-kerajaan Melayu selepasnya. Kerajaan ini mencapai zaman kegemilangannya dalam pertengahan abad ke-15 hingga awal abad ke-16 merupakan sebuah kerajaan Melayu terulung dan disanjung di alam Melayu dan menempa nama dalam pelbagai aspek pembangunan tamadun Melayu seperti yang dikisahkan melalui suatu karya sastera sejarah agung bertajuk Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Karya penulisan sastera sejarah mengenai salasilah Raja-raja Melayu ini telah disunting dan disusun semula oleh seorang pembesar dan karyawan abad ke-17 iaitu Tun Seri Lanang dalam tahun 1612 hingga 1614. Kegemilangan dan kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka ini sudah semestinya tidak dapat dipisahkan dengan aspek taat setia, daulat dan derhaka yang menjadi pegangan dan fahaman bersifat tabu dalam kebudayaan masyarakat Melayu beraja sehingga kini.

Justeru, karya Sejarah Melayu ini menjadi sandaran utama dalam mengupas dan membincangkan isu atau doktrin yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dalam menyanjung dan mengangkat martabat Raja-raja Melayu sepanjang zaman. Fahaman mengenai unsur taat setia, daulat dan derhaka ini menjadi doktrin utama yang dipegang oleh orang Melayu semasa pemerintahan Ksultanan Melayu Melaka hingga mampu mengangkat darjat dan status kerajaan ini ke peringkat tertinggi dalam pensejarahan Melayu bukan sahaja di Nusantara malah terkenal hingga ke pelusuk dunia yang lainnya.

Pemerintah Melaka ini dikatakan berdaulat dan berkuasa kerana keturunannya yang dikaitkan dengan salasilah raja-raja dari kerajaan yang besar sejak berabad lamanya telah membawa kepada wujudnya unsur taat setia kepada raja dengan tidak berbelah bagi serta aspek derhaka yang tidak boleh dilanggar oleh sekalian rakyat bagi mengelakkan ‘tulah’ dek kerana daulat raja itu sendiri. Hubungkait antara aspek taat setia, daulat dan derhaka dengan pengukuhan kuasa pemerintah dalam mentadbir dan menerajui kerajaan dapat dilihat dengan jelas seperti yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin.

Sebagai contoh, watak Hang Tuah yang wujud dalam Sejarah Melayu ini dikatakan tersangat taat dan patuh dengan sultannya hingga sanggup membunuh sahabatnya sendiri sungguhpun sang sahabat tersebut menderhaka kerana membela dirinya sendiri. Manakala elemen daulat pula berkait rapat dengan ketulahan yang berlaku disebabkan oleh darjat raja-raja yang tidak sama dengan rakyat jelata.

Contohnya, konsep ‘wa’adat’ iaitu perjanjian taat setia yang diusulkan oleh Demang Lebar Daun terhadap Sri Tri Buana sebelum menyerahkan anakandanya untuk dikahwinkan dengan putera raja itu diharap dapat menyelamatkan anaknya  dan seluruh rakyat daripada terkena penyakit kedal (penyakit kulit) seperti isteri-isteri sebelum itu.

Konsep derhaka juga sangat penting dalam mencerminkan penyerahan rakyat jelata kepada raja-raja Melayu yang mana hal ini telah menaikkan dan mengukuhkan kuasa pemerintah dalam kebudayaan masyarakat Melayu Melaka sejak berzaman lamanya.

Perkara tersebut telah termeterai dalam persetiaan ‘wa’adat’ yang menyatakan bahawa anak cucu Demang Lebar Daun tidak boleh menderhaka kepada keturunan Sri Tri Buana sungguhpun raja itu zalim dan jahat budi pekertinya.  Oleh itu, artikel ini akan mengupas dan menilai ketiga-tiga konsep yang dinyatakan sebelumnya secara lebih terperinci dengan bersandarkan kepada teks karya sastera sejarah Melayu terkenal iaitu Sulalatus Salatin.

KONSEP TAAT SETIA, DAULAT DAN DERHAKA DALAM KERAJAAN MELAYU MELAKA

Perkataan daulat berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘daulah’ yang bermaksud kerajaan, dinasti atau kuasa. Bagi sesebuah pemerintahan atau kerajaan, konsep ‘daulah’ itu perlu untuk menunjukkan hak kepada seseorang individu atau segolongan orang yang mentadbir sesebuah kerajaan, dengan erti kata lain memberi unsur pengiktirafan kepada pemerintah tadi dalam melaksanakan kuasa atau wibawa (authority) ke atas anggota yang diperintah atau masyarakat yang berada di bawah pemerintahan itu.

Oleh itu bagi menyatakan nilai kuasa dan wibawa pemerintah Melaka, keturunan sultan Melaka itu dikatakan berasal daripada golongan pemerintah Barat yang berkuasa besar. Hal ini disebut dalam Sulalatus Salatin pada bab atau cetera yang pertama tentang kisah asal-usul Raja-raja Melayu.

Dikisahkan bahawa sultan Melaka yang berketurunan Parameswara, putera raja Palembang itu sebenarnya bersusur-galurkan Sang Sapurba iaitu anak Raja Suran dari negeri di bawah laut yang muncul di Buki Siguntang ketika menginjak dewasa yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain dari negara Makaduniah di Barat.

Anak-anak Raja Suran seramai tiga orang itu telah muncul di Bukit Siguntang dengan berpakaian diraja dan menunggang lembu putih pada suatu malam dalam kawasan padi huma milik penduduk tempatan bernama Wan Empuk dan Wan Malini. Ketiga-tiga putera raja itu telah memperkenalkan diri sebagai manusia yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain bernama Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama. Adapun yang digelarkan sebagai Sang Sapurba itu merujuk kepada Nila Utama manakala Nila Pahlawan dan Kerisyna Pandita telah dikahwinkan dengan Wan Empuk dan Wan Malini.

Nila utama atau Sang Sapurba pula telah berkahwin dengan anak Raja Palembang iaitu Demang Lebar Daun yang bernama Wan Sendari dan dikurniakan empat orang anak, dua orang putera dan dua orang puteri. Putera-puteranya itu bernama Sang Maniaka dan Sang Nila Utama dan dikatakan keturunan raja-raja Melayu itu berasal daripada keturunan anak cucu Sang Nila Utama.

Persoalannya mengapakah keturunan raja-raja Melayu ini dikaitkan hubungan salasilahnya dengan Raja Iskandar Zulkarnain yang mempunyai sebuah kerajaan besar di Barat itu? Sudah tentunya ia adalah alasan bagi menunjukkan bahawa asal-usul raja-raja Melayu itu sendiri bukanlah datangnya dari keturunan yang sebarangan tetapi daripada seorang tokoh peminpin kerajaan yang diketahui dunia.

Simbol daulat, derhaka dan taat setia ini juga dapat dilihat dengan wujudnya perjanjian setia atau ‘wa’adat’ di antara Demang Lebar Daun yang mewakili golongan rakyat dan Sri Tri Buana sebagai pemerintah berkaitan dengan sumpah setia seorang hamba kepada rajanya.

Cetera kedua dalam Sulalatus Salatin telah mengisahkan tentang Sang Sapurba Taramberi Teribuana yang telah mengahwini seramai 39 orang gadis tetapi tiada seorang pun yang kekal bersamanya kerana berlainan darjat dan telah terkena penyakit kedal.

Sang Sapurba kemudian mendengar khabar tentang anak gadis Demang Lebar Daun, baginda berhasrat untuk berkahwin dengannya. Demang Lebar Daun bersetuju dengan pinangan tersebut tetapi meletakkan satu syarat supaya berwaadat.

Demang Lebar Daun berbuat demikian kerana hendak mengelakkan anaknya juga daripada terkena penyakit kedal dan mungkin dapat mengelakkan ketulahan kepada sekalian rakyat yang lain juga. Sembah Demang Lebar Daun:

“Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jikalau berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhilatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat, jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum syarak”.

Sang Sapurba menerima permintaan tersebut dengan memberikan syaratbya pula yang berbunyi:

“Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun”.

Maka Demang Lebar Daun menerima dan menambah:

“Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah”.

Begitulah yang dikisahkan dengan perjanjian di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Hal ini telah menunjukkan bahawa unsur daulat itu wujud melalui ketinggian darjat seorang anak raja berketurunan orang besar yang tidak boleh bergaul dengan rakyat jelata hingga perlu diperbuatkan perjanjian setia seorang rakyat kepada rajanya bagi mengelakkan ‘tulah’. M

Melalui perjanjian ini juga dapat dirungkaikan unsur derhaka dengan titah raja yang mahukan golongan bawahan terus menurut perintah sungguhpun pemerintahnya berlaku zalim dan jahat budi pekertinya jangan sekali-kali diderhakai. Konsep taat setia juga diperkatakan dalam perjanjian ini yang mana seorang rakyat itu haruslah menunjukkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada rajanya selagi mana tiada perubahan wa’adat dibuat golongan pemerintah.

Peristiwa penderhakaan Sang Rajuna Tapa kerana anaknya yang merupakan gundik Raja Singapura iaitu Raja Iskandar Syah telah dibunuh kerana difitnah oleh gundik-gundik yang lainnya pula diceritakan dalam cetera kesepuluh. Dalam pengkisahan ini, anak Sang Rajuna Tapa telah disula di hadapan khalayak ramai di hujung pasar dan hal ini amat memalukannya. Beliau bertekad untuk membalas dendam dengan perbuatan belot terhadap raja Singapura itu.

Satu pakatan belot telah dirancang dengan Betara Majapahit apabila orang Jawa datang menyerang, Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu belakang Kota Singapura hingga menyebabkan kekalahan kepada pihak Raja Iskandar Syah. Akibat daripada kekalahan itu, Sang Rajuna Tapa suami isteri telah menjadi batu, rumahnya roboh dan beras menjadi tanah kerana derhaka kepada raja.

Manakala Raja Iskandar Syah pula telah berundur hingga ke Muar dan tidak dapat menjadi Raja Singapura lagi. Hal ini berkait rapat dengan perjanjian wa’adat di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun sebelumnya bahawa rakyat tidak boleh menderhaka dan raja tidak boleh mengaibkan rakyatnya, jika dilanggar maka akan terkena tulah.

Unsur kedaulatan raja-raja Melayu Melaka juga berkait rapat dengan pengaruh Parsi yang ditonjolkan melalui penggunaan gelaran zillu’llahu fi’i-‘alam setelah kedatangan Islam dalam memperkukuhkan kedudukan pemerintah seperti mana unsur daulat dalam masyarakat terdahulu yang menggunakan konsep devaraja semasa menganuti agama Hindu.

Konsep zillu’llahu fi’i-‘alam ini membawa maksud kedudukan raja telah dinaiktarafkan hingga bersamaan taraf para nabi bahkan juga Sejarah Melayu meletakkan daulat raja dengan menyatakan bahawa ‘raja umpama ganti Allah’ atau bayangan tuhan dimuka bumi.

Konsep ini mula digunapakai setelah pemerintahan Melaka menerima ajaran Islam bagi menampilkan unsur daulat atau wibawa dan kuasa sultan dalam memakmurkan negara. Oleh itu pengucapan atau laungan ‘Daulat Tuanku’ telah memperdengarkan penegasan tentang kekuatan, kekerasan, keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada pemerintah itu sendiri.

PENGUKUHAN KUASA SULTAN MELALUI UNSUR TAAT SETIA, DAULAT DAN DERHAKA

Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap kerajaan Melayu di Nusantara bagi mewujudkan “annal” atau hikayat yang tersendiri bagi mengangkat kekuasaan dan kedaulatan raja-rajanya seperti kerajaan Melaka yang mempunyai Sulalatus Salatin, hikayat Raja-raja Pasai bagi kerajaan Islam Pasai dan Tuhfat al-Nafis yang menceritakan tentang Kesultanan Melayu Johor. Oleh itu, Sulalatus Salatin adalah satu-satunya karya sastera sejarah yang memegahkan Melaka sebagai kerajaan yang lebih berdaulat daripada kerajaan-kerajaan lain malah lebih tinggi daripada Maharaja China, Siam dan raja-raja lain.

Hal ini diperjelaskan dengan satu peristiwa dalam cetera kelima belas ketika maharaja China mengetahui tentang kedaulatan dan kekuatan Kesultanan Melayu Melaka lalu baginda mengutuskan orang-orangnya untuk pergi mengadap Sultan Mansur Syah, sultan Melaka ketika itu. Setelah sampai, perutusan itu diarakkan ke Balairung Seri untuk mengadap sultan dan menyampaikan surat daripada Maharaja China yang ingin bersahabat dengan Melaka. Kemudian orang-orang China itu kembali ke China membawa surat persetujuan daripada sultan Melaka. Maharaja China sangat gembira dengan perutusan itu dan menitahkan supaya puterinya dibawa ke Melaka untuk dijadikan isteri sultan.

Setelah Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po, beberapa ketika kemudian utusan China itu pulang untuk mengadap Maharajanya dengan membawah kirim sembah daripada sultan Melaka. Maharaja China berasa sangat gembira dan berbangga dengan sembah daripada sultan Melaka, menantunya itu dan selang dua hari baginda telah terkena penyakit kedal. Ramai tabib China telah datang untuk mengubati maharaja tetapi tidak berjaya sehinggalah seorang daripadanya menyatakan bahawa baginda telah terkena tulah kerana menerima sembah sultan Melaka.

Penyakit maharaja China itu hanya dapat disembuhkan dengan meminum dan membasuh muka dengan air basuhan kaki sultan Melaka. Setelah berjaya mendapatkannya dan melakukan seperti yang dipinta, dengan tiba-tiba juga penyakit kedal itu hilang serta-merta. Semenjak itu maharaja China tidak mahu lagi menerima sembah daripada sultan Melaka dan percaya dengan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka namun perhubungan baik antara China dengan Melaka tetap diteruskan dengan baik.

Manakala cetera keenam belas pula mengisahkan tentang kesetiaan seorang rakyat kepada rajanya dan perbuatan derhaka yang ditunjukkan oleh pihak yang satu lagi. Dalam kisah ini, disebutkan Hang Kasturi yang berkeinginan terhadap dayang raja telah bertindak menduduki istana hingga Sultan Mansur Syah bersama Permaisurinya pindah ke tempat lain. Disebabkan hal itu, sultan berasa kesal kerana telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah, tetapi sebenarnya beliau telah diselamatkan oleh Seri Nara Diraja.

Lalu Seri Nara Diraja memohon supaya Hang Tuah diampunkan dan dibawa balik untuk menguruskan hal penderhakaan Hang Kasturi itu. Baginda sultan bersetuju untuk mengampunkan Hang Tuah dengan memberikan kerisnya sendiri supaya Hang Tuah dapat membalas perbuatan khianat itu dengan berkata ‘basuhlah arang dimukaku ini’.

Hang Tuah dengan segala taat setianya tanpa berbelah bahagi telah membunuh sahabat baiknya sungguhpun sebelum itu sultan pernah menitahkan dirinya sendiri untuk dihukum bunuh. Seluruh anggota keluarga Hang Kasturi turut sama dibunuh hingga kaki tiang rumahnya juga digali dan dibuang ke laut. Hang Tuah pula telah dikurniakan dengan gelaran Laksamana di atas kesetiaan yang ditunjukkan sebaliknya bagi yang menderhaka terus mendapat balasan. Ini merupakan salah satu cara sultan menjadikan orang bawahannya sentiasa taat dan patuh pada perintahnya dan sesiapa yang menderhaka akan dihukum.

Kedudukan sultan juga meningkat kerana karakter Hang Tuah yang menunjukkan sifat taat setianya yang keterlaluan terhadap pemerintah meskipun terpaksa membunuh sahabat baiknya sendiri. Perkara ini dilihat sebagai satu pengajaran kepada rakyat yang lain supaya tidak akan sekali-kali menderhaka kepada raja.

Sultan-sultan Melaka ini sangat disanjungi dan ditaati kerana keturunan dan kedaulatannya yang berasal daripada keturunan raja-raja besar seperti Raja Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah. Oleh kerana ketinggian status ini dan juga persetiaan wa’adat yang dinyatakan diawal penceritaan mengenai kisah raja-raja Melayu, maka orang-orang Melayu tidak akan sekali-kali menderhaka kepada rajanya sekalipun raja itu dan keturunannya bertindak zalim.

Perkara ini boleh dilihat melalui peristiwa pembunuhan Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja dalam cetera kelapan belas. Raja Muhammad putera Sultan Mansur Syah telah membunuh Tun Besar kerana tersepak raga dan terkena destarnya hingga jatuh ke tanah. Bendahara tidak menderhaka kepada sultan sungguhpun anaknya dibunuh putera sultan dan Sultan Mansur Syah juga bertindak rasional dengan membuang putera mahkotanya itu ke Pahang untuk dirajakan di sana. Hal ini menunjukkan bahawa tiada perlanggaran wa’adat yang berlaku dan kerajaan Melaka terus diperintah dengan aman dan damai. 

UNSUR-UNSUR LAIN YANG MEMBANTU PENGUKUHAN KUASA SULTAN MELAKA

Sungguh unsur taat setia, daulat dan derhaka memainkan peranan yang sangat penting dalam mengukuhkan kuasa dan kewibawaan sultan sebagai pemerintah kerajaan Melayu Melaka. Namun tidak dapat dinafikan juga aspek-aspek lain yang turut membantu memperkuat dan memperkukuhkan lagi kekuasaan sultan dalam menerajui tampuk pimpinan kerajaan.

Selain daripada aspek salasilah raja-raja yang menjadi pendokong utama dalam pengukuhan kuasa pemerintahan, terdapat juga unsur budaya material dan bukan material yang lain turut membantu menaikkan lagi kemegahan kerajaan Melayu Melaka itu.  Antara unsur-unsur tersebut adalah seperti alat-alat kebesaran Diraja, alat-alat Nobat, ciri dan gelaran Diraja, bahasa istana, dan larangan tertentu yang berkaitan dengan kebesaran raja-raja.

Pertamanya dilihat melalui Mahkota yang dipakai oleh ketiga-tiga putera raja dari kerajaan di bawah laut yang muncul di atas Bukit Siguntang, Palembang dengan berkata “Mahkota inilah alamatnya, tanda hamba anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain”. Hal kesaktian berkaitan dengan mahkota turut berlaku ketika Sri Tri Buana dalam pelayaran dari Bentan ke Temasik tetapi berlaku ribut taufan secara tiba-tiba hingga akhirnya baginda mencampakkan mahkotanya bagi meredakan ribut tersebut.

Selain itu, terdapat juga pedang kepunyaan Sang Sapurba yang dinamai Curik Si Mandang Kini bersama beberapa alat kebesaran lain lagi seperti yang dinyatakan oleh A. Samad Ahmad (1979, 20): “Asal kami daripada anak cucu Iskandar Zulkarnain … nama kami Nila Pahlawan, dan seorang ini Krisyna Pandita, dan seorang Nila Utama; dan nama curik kami ini Si Mandang Kini, dan kayu ini Cap Kempa namanya; dan pedang ini Badram Balawa namanya, dan lembing ini Lembuara namanya”.

Alat-alat lain yang dijadikan alat kebesaran kerajaan ialah seperti Nafiri, Nakara/Nagara, Payung Putih, Gendang, Serunai, Jogan/Cogan, Keris Pustaka, Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Puan/Tuan Naga Taru, Mestika Embun, Keris Bawar Hang Tuah, Aguk, Kancing Halkah dan Dokoh serta Payung Pelbagai Warna. Alat-alat nobat yang digunakan pula ialah seperti Gendang Nobat, Gendang Peningkah, Nafiri, Serunai dan Nagara yang dimainkan ketika upacara pertabalan raja, istiadat menjunjung duli, nikah kahwin, berkhatan, memberi gelar, menyambut awal Ramadhan dan Syawal serta peristiwa-peristiwa besar yang lain.

Ciri dan gelaran diraja juga menunjukkan kekuasaan kerajaan melalui nama gelaran yang membawa signifikasi dan world-view yang tersendiri dalam memperteguhkan kedudukan politik dan ekonomi Melaka. Contohnya Parameswara memakai nama Sri Iskandar Syah, dalam zaman perluasan kuasa pula sultan Melaka memakai nama gelaran Islam seperti Sultan Muzaffar Syah yang bermaksud ‘Yang dimenangkan Allah’.

Bahasa beradat atau bahasa istana seperti beta, patik, titah, cemar, santap dan sebagainya juga memperlihatkan perbezaan taraf antara sultan, golongan diraja dan rakyat biasa. Selain itu, sultan atau raja juga meletakkan larangan tertentu kepada rakyat jelata dalam membezakan gaya hidup golongan diraja dan rakyat jelata seperti pengunaan kain kuning yang hanya dikhaskan kepada golongan diraja sahaja.        

KESIMPULAN

Unsur taat setia, daulat dan derhaka memang telah sebati dalam kepercayaan masyarakat Melayu Melaka dan menjadi aspek utama yang diterapkan untuk memperkukuh dan menegakkan kekuasaan sultan yang memerintah kerajaan. Ketiga-tiga unsur ini saling berkait dan tidak dapat dipisahkan kerana ia memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sesebuah kerajaan di mata dunia.

Kesultanan Melayu Melaka sangat terkenal dengan rajanya yang berdaulat dan tidak boleh diderhakai kerana kedaulatan yang diperturunkan oleh keturunannya sejak berzaman lamanya. Jika berlaku pendehakaan maka akan terkena tulah malahan rakyat biasa juga tidak boleh bergaul secara langsung dengan sultan atau raja kerana ketinggian darjatnya. Oleh yang demikian, seluruh rakyat jelata telah meletakkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada sultan atau raja yang memerintah.

Dalam pada itu, unsur kebendaan dan segala pantang larang juga turut memainkan peranannya bagi memperlihatkan kekuasaan dan keteguhan sebuah kerajaan Melayu Melaka. Alat-alat Kebesaran Raja digunakan bagi menunjukkan kedaulatan dan kekuataan kerajaan Melaka disamping kewibawaan sultan atau pemerintah dalam mentadbir dan memperkukuhkan kerajaan tersebut.

Bahasa istana dan larangan tertentu juga diwujudkan bagi menyatakan jurang antara golongan pemerintah dengan rakyat biasa yang secara umumnya telah memberikan pandangan tersendiri terhadap Kesultanan Melayu Melaka hingga disanjung sebagai sebuah kerajaan yang hebat dan megah di rantau Alam Melayu.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa konsep taat setia, daulat dan derhaka ini sangat penting dalam memainkan peranan sebagai pendokong kepada pengukuhan kekuasaan sultan semasa mentadbir dan memerintah negara. Maka warisan ini harus dipelihara sebaiknya bagi memastikan kelangsungan kedaulatan Raja-raja Melayu agar tidak tergugat sungguhpun pada era milenium ini. Adalah tidak wajar dan biadab sekiranya kedaulatan raja-raja dipersendakan kerana ia lambang ketuanan kerajaan Melayu yang berdarjat dan bukannya wujud tak berusul.

BIBLIOGRAFI

_____, “Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu Empayar Kesultanan Melayu Melaka”, Kuala Lumpur: Balai Seni Visual Negara, 2012.

Abdul Rahman Haji Ismail dan Haron Daud, “Sulalat-us-Salatin (Sejarah Melayu): Cerakinan Sejarah, Budaya dan Bahasa”, Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2008.

Agus Salim, “Kesah Raja-Raja Melayu Melaka dari Sejarah Melayu: oleh Tun Seri Lanang”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.

Ali Ahmad, “Kajian Sejarah Melayu”, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sendirian Berhad, 1977.

Cheah Boon Kheng, “Sejarah Melayu: The Malay Annals”, Selangor: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 2010.

Ismail Ahmad, “Ulasan Sejarah Melayu untuk HSC”, Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1977.

Mustafa Mohammad Isa, “Perwatakan Dalam Sejarah Melayu”, Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1979.

Syed Zulfida Syed Mohd Noor, “Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka: Kemunculan dan Kegemilangan”, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2006. 

Umar Junus, “Sejarah Melayu: Menemukan Diri Kembali”, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984.

Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, “Sejarah Melayu: Satu Perbincangan Kritis dari Pelbagai Bidang” (edisi Shellabear), Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1978.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan sains kemanusiaan (sejarah dan tamadun) UIAM. Sedang menulis disertasi sarjana sastera (sejarah malaysia) UM. Minat sejarah, sosiologi, seni, muzik dan arkeologi. Sangat suka dengan budaya dan tamadun Asia Timur terutamanya Jepun, Korea dan China. Pluviophile, observant, introvert.

Comments are closed.