Konsep Di Sebalik Thanos Dan The Purge

0
1782
views

Pernah tengok filem Avengers 2 ataupun The Purge? Jika pernah, anda perasan atau tidak yang bahawasanya kedua-dua filem ini menggunakan konsep yang hampir sama?

Thanos, seorang watak penjahat di dalam filem Avengers 2, memberi justifikasi terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan olehnya adalah untuk memperbetulkan imbangan alam semesta.

Thanos berpendapat sumber hasil bumi di dalam alam semesta sudah tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan penduduk di dalamnya. Jesteru itu, dia berpendapat bahawa satu tindakan drastik yang harus dibuat iaitu membunuh separuh kehidupan di alam semesta bagi menjaga kemandirian alam semesta dan kewujudan spesis itu sendiri.

Manakala, di dalam francais filem thriller seram The Purge, dalam filem-filem tersebut terutamanya dalam filem The Purge: Anarchy, The Purge: The First Election Year dan The First Purge, konsepnya bagi penulis lebih kejam berbanding dengan konsep Thanos di mana pihak autoriti membenarkan penduduknya untuk melakukan sebarang jenayah dalam masa 12 jam, di mana jenayah bunuh turut dihalalkan di dalam tempoh tersebut.

Hujah NFFA (New Founding Fathers of America), watak parti pemerintah bagi Amerika Syarikat di dalam filem itu, antaranya adalah untuk mengukuhkan ekonomi (membasmi kemiskinan) dan mengurangkan kadar jenayah.

Soalan yang mungkin bermain di minda pembaca adalah adakah konsep yang kejam ini mempunyai asas yang kukuh? Jika pembaca belajar subjek ekonomi asas di sekolah menengah, kolej, ataupun universiti, terdapat tiga masalah ekonomi yang wujud di dunia ini iaitu:

  1. Masalah Kekurangan: Secara ringkasnya bermaksud kita mempunyai sumber yang terhad.
  2. Masalah Pilihan: Kesinambungan pada permasalahan pertama. Disebabkan kita mempunyai sumber terhad, kita terpaksa membuat pilihan.
  3. Masalah Kos Lepas: Selepas membuat pilihan, kita terpaksa melepaskan pilihan kedua yang terbaik (pilihan yang dipilih).

Jesteru itu, konsep yang ada pada filem-filem tersebut adalah salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang pertama. Pengurangan terhadap entiti yang menggunakan sumber akan memberi ruang yang lebih terhadap entiti yang lain untuk menggunakan sumber tersebut.

Waqaf Saham

Contoh yang paling mudah, jika A dan B diberikan hanya sebiji buah epal, A dan B terpaksa berkongsi buah epal tersebut. Namun jika A membuat keputusan untuk membunuh B ataupun kita lenyapkan terus B di dalam situasi tadi, A tidak perlu berkongsi epal tersebut. Oleh itu, konsep yang diamalkan oleh kedua-dua watak tersebut ada asasnya.

Thomas Robert Malthus, seorang agamawan Kristian yang bermazhab Anglican dan sarjana ekonomi pada abad ke-18, telah membuat satu teori berkait rapat dengan konsep ini, iaitu teori berkaitan dengan pertumbuhan populasi. Thomas, berdasarkan teorinya, menyatakan pertumbuhan populasi manusia mempunyai potensi untuk bertambah secara geomatrik dan pertumbuhan terhadap makanan adalah secara arematik di mana secara ringkasnya, pertumbuhan populasi manusia itu lebih laju berbanding dengan pertumbuhan makanan. Dia berhujah bahawa setiap pertumbuhan makanan, akan menyebabkan pertumbuhan populasi yang lebih banyak. Hasil daripada teori beliau, teori Malthusian Trap diperkenalkan.

Sumber: http://www.opentextbooks.org.hk/ditatopic/8056

Berdasarkan graf di atas, Malthusian trap terjadi bilamana kuantiti makanan yang diperlukan bersamaan atau lebih daripada makanan yang ada. Bilamana ini berlaku, akan terjadinya bencana dari sudut ekonomi dan sosial seperti kebuluran, perang yang berleluasa, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya. Pada pendapat Thomas, terdapat dua cara untuk mengawal populasi manusia iaitu :

  1. Positive Checks: Peperangan, wabak penyakit, Ketidak cukupan makanan (kebuluran)
  2. Preventive Checks: Kekangan moral seperti melewatkan atau elakkan perkahwinan bagi yang kurang berkemampuan, kurangkan kelahiran anak.

Bagi beliau, positive checks itu akan terjadi apabila Malthusian trap itu telah berlaku. Jesteru itu, bagi beliau, preventive checks itu lebih baik untuk mengelakkan kejadian yang sebaliknya yang membawa kepada kemudaratan yang lebih parah.

Konsep yang diguna pakai oleh filem Avengers 2 dan The Purge adalah berdasarkan konsep yang diterbitkan oleh Thomas Malthus namun watak di dalamnya menggunakan positive checks untuk mengawal populasi bagi menyelamatkan sebahagian besar daripada populasi di dalam jangka masa yang panjang.

Thanos dan NFFA (walaupun tindakan NFFA sebenarnya merupakan penindasan terhadap orang miskin) sanggup menjadi agen untuk mengurangkan populasi penduduk bagi mengelakkan kesan yang lebih parah akibat daripada Malthusian trap. Maka dengan itu, jelaslah sebenarnya konsep tersebut bukanlah tidak mempunyai asas langsung walaupun secara moral ianya bersifat sangat kejam.

Sebenarnya banyak para sarjana ekonomi yang menyangkal teori Thomas Malthus berkaitan dengan pertumbuhan populasi dan kesan terhadap pertumbuhan populasi itu sendiri. Insya-Allah penulis akan buat artikel yang baru bagi menjelaskan hujah yang menyangkal teori ini.

Rujukan

Malthus, Thomas Robert (1798). “An Essay on The Principle of Population” (PDF). Electronic Scholarly Publishing Project. Retrieved 29 March 2018.

https://www.cs.hmc.edu/~belgin/Population/malthus.html