Konsep Dewa Atau Tuhan Dalam Dragon Ball

2,845

Bagi peminat anime terutamanya bagi mereka yang lahir sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, anime bersiri Dragon Ball merupakan salah sebuah “anime lagenda” yang juga menjadi inspirasi kepada penciptaan siri anime Jepun yang lain seperti Naruto dan One Piece. Bermula dengan kelahiran anime bersiri Dragon Ball pada tahun 1986 sehingga tahun 1989 yang berjalan selama 153 episod, kemudian muncul pula sekuel bersiri keduanya, iaitu Dragon Ball Z bermula pada tahun 1989 sehingga tahun 1996 yang berjalan selama 291 episod.

Tidak lama selepas itu, keluar pula sekuel bersiri ketiganya iaitu Dragon Ball GT yang berjalan selama 64 episod yang bersiaran daripada tahun 1996 sehingga tahun 1997. Setelah hampir 18 tahun anime tersebut “menyepi,” pada tahun 2015, peminat anime Dragon Ball digembirakan dengan kemunculan siri keempat anime tersebut iaitu Dragon Ball Super yang berjalan sebanyak 131 episod selama tiga tahun. Sebenarnya dari segi garis masa jalan cerita siri Dragon Ball Super berlaku sebelum siri Dragon Ball GT.

Secara ringkasnya, anime tersebut menceritakan berkenaan seorang manusia berbangsa Saiyan bernama Kakarot yang merupakan watak utama daripada Planet Vegeta yang dihantar ke bumi menggunakan kapal angkasa ketika masih bayi sepertimana anak-anak Saiyan yang lain yang dihantar ke planet-planet tertentu untuk menguasai planet tersebut.

Walau bagaimanapun, misi tersebut tidak terlaksana kerana insiden Kakarot terhantuk kepalanya dengan kuat di bumi yang mengubah sifat semulajadi dirinya sebagai bangsa Saiyan yang bersifat kasar, ganas dan bengis menjadi seorang yang ceria, periang dan berhati mulia. Ini diceritakan dalam satu slot rancangan televisyen istimewa yang bertajuk “Dragon Ball Z: Bardock – The Father of Goku” ketika siri Dragon Ball sedang bersiaran pada tahun 1990.

Kakarot dipelihara oleh seorang pakar seni bela diri bernama Son Gohan dan diberi nama baharu iaitu Goku. Sejak itu, bermulanya perjalanan hidup Goku di bumi bersama rakan-rakan buminya. Misi asalnya untuk menguasai planet tersebut bertukar menjadi pelindung kepada planet bumi dan penghuninya daripada ancaman musuh-musuh yang muncul silih berganti dan semakin lama semakin kuat.

Ramai juga dalam kalangan bekas musuhnya yang akhirnya menjadi sebahagian daripada rakan-rakannya yang turut sama melindungi bumi seperti Tien Shinhan, Piccolo, Vegeta malah Majin Buu yang pada asalnya ditakuti oleh Kaioshin, antara salah satu dewa yang menguasai alam semesta dalam anime tersebut.

Apa yang menariknya, semakin siri anime tersebut berjalan, selain daripada semakin kuat musuh yang dihadapi oleh mereka, semakin tinggi autoriti individu yang ditemui oleh Goku dan rakan-rakannya dalam misi-misi mereka melindungi bumi, galaksi dan seterusnya alam semesta. Penulis tertarik dengan konsep tingkatan watak dewa-dewa atau tuhan-tuhan yang terdapat sepanjang jalan cerita anime tersebut.

Bermula dengan pertemuan Goku dengan King Furry, seorang raja yang menguasai semua penduduk bumi. King Furry bukanlah watak seorang dewa, tetapi boleh dikatakan beliau adalah watak pemerintah yang paling berkuasa di muka bumi dari segi autoriti. Watak King Furry adalah seekor anjing berwarna biru, bermisai tebal, berkaca mata serta berpakaian dan berpewatakan seperti manusia.

Beliau adalah antara tidak ramai penduduk Bumi yang mengetahui bahawa Goku dan rakan-rakannya adalah penyelamat sebenar bumi, bukan Encik Satan. Walaupun beliau mempunyai kekuasaan memerintah penduduk bumi, namun beliau tidak memiliki sebarang kepakaran dalam bidang seni bela diri.

Kemudian, Goku bertemu pula dengan Kami, seorang makhluk daripada Planet Namek yang dilantik sebagai Penjaga Bumi. Dari segi bahasa, Kami dalam bahasa Jepun bermaksud Tuhan atau Dewa. Dalam kepercayaan agama Shinto yang merupakan agama majoriti masyarakat Jepun sejak dahulukala, konsep Kami bagi mereka adalah suatu roh atau semangat yang disembah yang merangkumi pelbagai elemen alam, haiwan termasuklah roh mereka yang telah mati.

Watak Kami dalam anime Dragon Ball dipilih daripada kalangan bangsa Namek daripada Planet Namek. Mereka adalah makhluk berwarna hijau, mempunyai kuasa penyembuhan, tidak mempunyai jantina wanita, meneruskan zuriat menerusi proses “bertelur” melalui mulut, mempunyai keupayaan “menumbuhkan” semula mana-mana anggota badan yang putus atau musnah seperti ekor cicak dan sebagai perantara antara makhluk bumi dengan dewa di alam roh atau di alam lain.

Selepas Kami bersatu badan kembali dengan Piccolo, yang pada asalnya merupakan sebahagian daripada dirinya, seorang lagi makhluk Namek bernama Dende yang ketika itu masih lagi seorang budak dilantik menggantikan tempat Kami sebagai Penjaga Bumi. Ini menunjukkan bahawa tugas Penjaga Bumi dalam anime tersebut bersilih ganti dan penggantinya dipilih oleh penyandang jawatan tersebut sebelumnya.

Mereka tinggal di suatu tempat istana terapung yang berada sangat tinggi di langit bumi, dengan tugas memerhati dan menjaga penduduk bumi daripada atas tanpa diketahui kewujudan mereka oleh penduduk Bumi kecuali Goku dan rakan-rakannya. Penjaga Bumi akan ditemani oleh seorang pembantu yang setia berkhidmat bernama Popo.

Di “alam lain” atau di alam roh atau di “peringkat alam lagi tinggi,” lain pula dewa-dewa yang menguasainya. Bermula dengan King Yemma, dewa yang menguasai alam roh dan menentukan destinasi setiap roh dari seluruh penjuru alam sama ada ke syurga ataupun ke neraka. Watak King Yemma dalam anime Dragon Ball Z ialah seperti seorang gergasi yang sangat besar fizikalnya, kulit berwarna merah, berpakaian dan bekerja dalam suasana seperti pejabat.

King Yemma bukan sahaja berkuasa mengawal semua roh di alam roh, bahkan beliau juga mampu menguasai roh-roh jahat yang kuat seperti abang kandung Goku iaitu Raditz. Beliau juga mampu menetapkan kelahiran semula roh jahat menjadi individu yang baik sepertimana yang berlaku pada roh Majin Buu jahat kepada seorang budak baik bernama Uub.

Dewa Yama

Dalam kepercayaan mitologi agama Hindu dan Buddha, terdapat suatu dewa yang menguasai alam roh dan kematian, juga menguasai kitaran hidup Samsara yang dipanggil Dewa Yama. Kemungkinan watak King Yemma adalah berdasarkan kepercayaan mitologi Dewa Yama.

Peringkat autoriti seterusnya dalam anime Dragon Ball ialah King Kai yang menguasai bahagian utara alam semesta ketujuh. Dalam anime Dragon Ball, pada asalnya terdapat 18 kelompok alam semesta, enam kelompok alam semesta daripadanya telah dilenyapkan, sementara bumi termasuk dalam kelompok alam semesta ketujuh. D

alam kelompok alam semesta ketujuh, autoriti penguasaannya dibahagikan kepada empat bahagian iaitu utara, selatan, timur dan barat yang mana setiap bahagian tersebut ditadbir oleh dewa masing-masing. King Kai yang juga salah seorang mahaguru kepada Goku merupakan dewa yang mentadbir bahagian utara alam semesta ketujuh.

King Kai

Perwatakan King Kai adalah seorang makhluk gempal yang pendek, berkulit biru, berkaca mata hitam, mempunyai sesungut panjang seperti cengkerik, seorang yang suka syok sendiri apabila membuat lawak, mampu berkomunikasi secara telepati, mampu mengesan apa sahaja di alam semesta dan suka memandu kereta antiknya di planetnya yang kecil.

Walaupun beliau adalah dewa, tetapi beliau juga tidak dapat lari daripada kematian. Ini dapat dilihat apabila beliau berubah menjadi roh setelah planetnya musnah akibat letupan cubaan bunuh diri Cell. Walaupun tiada adegan beliau pernah berlawan, namun beliau telah melatih banyak roh ahli seni bela diri di alam roh termasuklah King Yemma sendiri. Beliau juga yang mengajar teknik Kaio-ken dan “Spirit Bomb” kepada Goku.

Atas autoriti daripada King Kai dan tiga dewa Kai yang lain, terdapat satu dewa yang menguasai keempat-empat mereka, dikenali sebagai Dai Kaio atau Grand Kai. Watak Grand Kai tidak begitu menonjol dalam anime Dragon Ball. Berpewatakan seperti seorang lelaki tua hipster yang berpakaian jeans dan suka mendengar muzik Rock dengan membawa ke mana-mana sahaja radio bersaiz besar di bahunya, Grand Kai dikatakan seorang dewa yang begitu hebat dalam seni bela diri dan telah melatih ramai roh pahlawan daripada seluruh pelusuk alam semesta. Grand Kai tinggal di sebuah planet berlainan di alam Kai yang jauh lebih besar daripada planet King Kai.

Lebih tinggi autoriti dan kekuasaan daripada Grand Kai ialah Kaioshin atau Supreme Kai. Pada asalnya, sepertimana terdapat empat orang Kai di bawahnya, begitu juga terdapat empat orang Supreme Kai yang diketuai oleh seorang dewa yang menguasai keempat-empat mereka iaitu Daikaiohshin atau Grand Supreme Kai. Mereka tinggal di suatu alam yang berlainan daripada alam Kai yang lebih rendah autoriti daripada mereka. Setiap alam semesta mempunyai sekurang-kurang dua orang Supreme Kai yang aktif dengan salah seorang daripada mereka merupakan pembantu.

Kai biasa boleh dilantik menjadi Supreme Kai sekiranya mencapai tahap kuasa tempur yang melayakkan mereka sepertimana Zamasu yang merupakan Kai di alam semesta kelapan hampir dipilih menggantikan Kaioshin alam semesta tersebut iaitu Gowasu. Setakat ini hanya alam semesta ketujuh sahaja mempunyai watak Daikaiohshin dan Buu Baik (Good Buu) adalah jelmaan Daikaioshin walaupun kuasanya tidak sama seperti dahulu kerana Majin Buu asal telah menyerap Daikaioshin menjadi sebahagian daripada dirinya.

Supreme Kai

Supreme Kai dikatakan dewa yang paling berkuasa dalam kalangan dewa Kai yang lain. Namun mereka juga mempunyai musuh makhluk mortal yang tidak dapat ditandingi seperti Kid Buu iaitu versi asal Majin Buu. Oleh sebab itulah daripada lima orang Supreme Kai kelompok alam semesta ketujuh, cuma tinggal Supreme Kai Shin yang menguasai bahagian timur alam semesta ketujuh sahaja yang selamat daripada serangan Kid Buu. Mereka mampu melihat apa sahaja yang berlaku di alam semesta dan mempunyai kuasa teleportasi ke mana sahaja tempat dan alam.

Jika diteliti konsep empat dewa yang menguasai empat bahagian alam semesta tersebut amat mirip dengan kepercayaan penganut Hindu berkenaan kumpulan Dewa Dikpala mereka dan kepercayaan penganut Buddha berkenaan kumpulan Dewa Caturmaharajikadeva (Four Great Heavenly Kings) yang mana setiap dewa tersebut mentadbir empat atau lapan penjuru alam.

Selain mengawal selia kelompok alam semesta masing-masing, Supreme Kai juga merupakan dewa yang mencipta bintang dan planet. Berlawanan dengan sifat pencipta, Supreme Kai muncul berpasangan dengan seorang Dewa Pemusnah yang digelar Hakaishin. Ini bagi memastikan keseimbangan unsur alam semesta. Meskipun kekuatan dan kuasa berlawan Hakaishin jauh lebih kuat daripada Supreme Kai, namun jika Supreme Kai mati, maka Hakaishinnya akan mati sekali kerana mereka muncul berpasangan.

Hakaishin mempunyai kuasa pemusnah yang amat dahsyat dan berkuasa memusnahkan apa sahaja makhluk dan planet termasuklah roh dalam sekelip mata. Walau bagaimanapun, Hakaishin tidak menjalankan tugasnya sepanjang masa kerana kebanyakan masa mereka tidur dalam tempoh yang sangat lama iaitu selama puluhan tahun.

Konsep Dewa Pencipta dan Pemelihara dengan Dewa Pemusnah ini begitu mirip menyerupai konsep tiga dewa dalam kepercayaan Trimurti penganut agama Hinduisme iaitu Dewa Brahma (Dewa Pencipta), Shiva (Dewa Pemelihara) dan Vishnu (Dewa Pemusnah) mereka.

Gambaran Trimuti.

Kebanyakan golongan Hakaishin dalam anime Dragon Ball Super adalah dalam bentuk separa haiwan dan separa manusia. Hakaishin untuk kelompok alam semesta keenam dan ketujuh adalah dalam bentuk kucing iaitu Champa dan Beerus. Jika kita baca sejarah kepercayaan mitologi masyarakat tamadun Mesir Purba, terdapat suatu dewi kucing yang pernah disembah oleh mereka iaitu Bastet.

Beerus
Bastet

Walau bagaimanapun, Bastet dalam kepercayaan mereka ialah dewi yang berkenaan dengan kediaman, kesuburan dan kelahiran. Watak Beerus juga amat menyerupai satu lagi entiti Dewa Kematian dalam kepercayaan masyarakat tamadun Mesir Purba yang dinamakan Anubis. Perbezaannya cuma kepala Dewa Anubis lebih menyerupai spesis “canine” seperti anjing, serigala dan jakel.

Anubis
Gambaran Ganesha

Hakaishin bagi kelompok alam semesta yang lain ada dalam bentuk gajah, tikus dan musang. Apa yang menariknya, terdapat satu perwatakan Hakaishin bagi kelompok alam semesta ke-10 yang bernama Rumsshi yang seakan-akan sama seperti imej patung berhala Dewa Ganesha sembahan penganut agama Hindu iaitu dewa yang berkepala gajah. Selain berpakaian seperti golongan kerabat diraja Mesir Purba, nama-nama golongan Hakaishin adalah berdasarkan jenama minuman-minuman keras.

Bagi mengawal kuasa dan tindakan Hakaishin, mereka sentiasa ditemani oleh seorang pembantu yang berperanan seperti “malaikat penjaga.” Dengan tugas mengawal tindakan dewa pemusnah, sudah semestinya kekuatan dan kuasa berlawan golongan dewa tersebut jauh lebih kuat, bahkan Whis, “malaikat pembantu” bagi Hakaishin Beerus juga merupakan gurunya.

Mereka berpewatakan sentiasa tenang, berpakaian kemas, mempunyai sebatang tongkat kuasa, mempunyai lingkaran biru besar yang melingkari leher mereka, sentiasa setia berkhidmat dengan Hakaishin masing-masing, mampu bergerak sepantas kelajuan cahaya yang membawa Hakaishin mereka bergerak ke mana-mana sahaja dan mempunyai kuasa mengundurkan masa beberapa minit.

Walaupun begitu, kesemua Supreme Kai dan Hakaishin tunduk kepada Daishinkan atau dikenali sebagai “High Priest.” Berpewatakan sama seperti “Malaikat Penjaga” yang lain cuma fizikalnya seperti seorang budak, beliau merupakan bapa kepada Whis dan Vados iaitu Malaikat Penjaga Hakaishin Beerus dan Champa (Dewa Pemusnah alam semesta kelapan), serta dipercayai bahawa beliau juga adalah bapa kepada semua Malaikat Penjaga Hakaishin alam semesta yang lain.

Walaupun tiada ditunjukkan mana-mana adegan berlawannya, tetapi dinyatakan bahawa Daishinkan merupakan salah seorang individu paling kuat dan berkuasa dalam kalangan semua dewa sekalian alam semesta, sehinggakan Malaikat Penjaga Hakaishin sendiri tidak mampu mengukur tahap kekuatannya.

Tidak terhenti setakat di situ, lebih tinggi kekuasaan dan autoriti daripada Daishinkan dan sekalian jenis dewa yang lain ialah Zeno atau dikenali sebagai Raja Segala-galanya (Omni-King). Daishinkan berkhidmat sebagai menteri kepada beliau. Berpewatakan, fizikal dan berperangai seperti seorang budak yang pendek dan kecl, Zeno mempunyai fizikal kepala berbentuk lonjong seperti bola raghbi dan berbelang biru dan jingga.

Tetapi jangan tertipu dengan fizikal dan perwatakan kebudak-budakannya, ini kerana beliau berkuasa melenyapkan seluruh alam semesta dalam sekelip mata termasuklah makhluk yang bersifat kekal hidup (immortal) dan beliau sendiri dipercayai bersifat kekal hidup. Disebabkan emosinya terganggu, beliau telah melenyapkan enam daripada 18 alam semesta dan pernah melenyapkan tujuh alam semesta yang lain termasuklah alam semesta ketujuh.

Setakat ini, Zeno atau lebih dikenali sebagai Omni-King adalah individu dan dewa yang paling berkuasa dalam sekalian anime bersiri Dragon Ball. Beliau mempunyai dua orang penjaga yang tinggi lampai dan sentiasa berada di sisinya.

Walaupun begitu ramai watak dewa di pelbagai peringkat alam dalam siri-siri anime Dragon Ball, tiada seorangpun yang disembah oleh penduduk bumi dan penghuni planet-planet lain, bahkan kewujudan mereka tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Goku dan rakan-rakannya serta beberapa orang pemerintah beberapa buah planet seperti Raja Vegeta, Pemerintah Planet Vegeta yang mengenali dan amat menggeruni Hakaishin Beerus.

Terdapat juga golongan “dewa bawahan” yang tidak mengetahui pun kewujudan “dewa atasan” seperti Penjaga Bumi (Dewa Bumi) yang hanya mengetahui kewujudan Kaioshin melalui khabar angin sahaja dan Kaioshin pula bertanya kepada Kaioshin Tua siapakah Zeno apabila pertama kali beliau melihatnya.

Sungguhpun begitu, terdapat segolongan dewa dalam siri anime Dragon Ball yang selalu dicari dan diseru kerana mereka boleh menunaikan apa sahaja hajat mereka iaitu golongan Dewa Naga atau “Eternal Dragons” seperti Shenron, Porunga dan Super Shenron. Walaupun mereka berkuasa menunaikan apa sahaja jenis hajat, tetapi mereka juga boleh dibunuh dan boleh dipengaruhi oleh kuasa negatif. Sepertimana yang kita ketahui, naga adalah makhluk mitos yang amat sinonim dalam budaya dan kepercayaan tradisional masyarakat Asia Timur.

Dragon Ball mengandungi banyak mempunyai unsur agama dan kebudayaan masyarakat penganut agama Hinduisme dan Buddhisme. Dalam satu babak anime Dragon Ball, episod ke-53, terdapat sebuah berhala besar Dewi Durga berada di suatu tempat simpanan harta karun lanun. Dewi Durga adalah salah satu jelmaan utama Dewi Shakti dalam kepercayaan penganut agama Hinduisme. Terdapat juga beberapa orang karakter dalam Dragon Ball berpewatakan seperti Sami Buddha seperti Krilin, Tien Shinhan dan Nam.

Sun Wukong

Watak Goku sendiri adalah berdasarkan watak Sun Wukong dalam kesusasteraan novel klasik China. Watak Sun Wukong pula selalu dikaitkan dengan Dewa Hanuman dalam kepercayaan masyarakat penganut agama Hinduisme iaitu dewa mereka yang menyerupai monyet.

Walaupun siri anime Dragon Ball GT dilihat seperti kesinambungan garis masa Dragon Ball Super, tetapi jika diteliti semula kedua-dua siri tersebut, penulis merasakan seperti ada “lopong masa” atau dimensi masa berlainan antara kedua-duanya. Apapun, adakah Akira Toriyama akan menghasilkan sambungan anime Dragon Ball yang seterusnya? Jika ada, apakah ada watak dewa atau tuhan yang lebih tinggi dan berkuasa daripada Zeno?

Atau adakah akan munculnya musuh yang lebih berkuasa daripada dewa-dewa mereka? Ini kerana dalam perlawanan antara alam semesta, alam semesta pertama, kelima, kelapan dan ke-12 dikecualikan daripada penyertaan perlawanan kerana tahap kekuatan penghuni masing-masing melebihi takat 7 dalam standard ukuran kekuatan makhluk fana (mortal).

Tambahan pula, pada akhir episod Dragon Ball Super, Android 17 yang memenangi perlawanan tersebut telah memohon kepada Dewa Naga supaya mewujudkan semula kesemua alam semesta yang pernah dilenyapkan oleh Zeno. Ini bermaksud ada kemungkinan enam alam semesta yang dilenyapkan oleh Zeno dahulu wujud semula dan kita tidak mengetahui ukuran kekuatan makhluk penghuninya.

Perlu penulis ingatkan sekali lagi, anime Dragon Ball cumalah karya fiksyen semata-mata, watak—watak dewa yang terdapat dalam anime tersebut tidaklah sesekali menggambarkan dewa-dewi dalam kepercayaan dan kebudayaan penganut agama Hinduisme, Buddhisme dan Shintoisme yang sebenar, cuma kemungkinan besar persamaan-persamaan yang dibincangkan di atas adalah hasil inspirasi Akira Toriyama daripada agama-agama dan kebudayaan Timur tersebut.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.