Konotasi Anjing Dalam Peribahasa Melayu

555

Peribahasa merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Menurut Za’ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar, dan bijak perkataannya.

Peribahasa tercipta daripada pengalaman kehidupan harian sesuatu masyarakat. Peribahasa juga merupakan satu sindiran dan pengajaran orang terdahulu yang diturunkan  sejak berzaman. Peribahasa Melayu sangat dekat alam sekeliling. Tingkah laku manusia, gerak gaya binatang, liuk-lintuk tumbuhan, gelap terang cuaca, segalanya diambil menjadi kiasan untuk melambangkan sesuatu sifat atau keadaan.

Estetiknya jiwa Melayu lama itu adalah disandarkan oleh betapa pentingnya kesopanan dalam pertuturan atau komunikasi. Peribahasa itu merupakan satu penyampaian kata yang berseni. Menurut Asmah Haji Omar (2015) dalam peribahasa tergambar fizikal, alam dan budaya Melayu serta minda mereka semuanya tersimpul dalam bahasa yang ringkas, padat dan indah.

Seperti yang dikatakan dalam perenggan sebelum ini, peribahasa Melayu menggunakan alam sekeliling untuk melambangkan sesuatu sifat atau keadaan. Antara unsur yang disebut ialah binatang. Penggunaan nama-nama binatang dalam peribahasa adakalanya membawa makna yang positif dan adakalanya makna yang negatif. Salah satu binatang yang disebut dalam peribahasa Melayu ialah anjing.

Anjing dimaknakan sebagai binatang yang menyalak (ada yang dipelihara untuk menjaga rumah dan sebagainya dan ada yang liar). Selain itu, Kamus Dewan juga mendefinisikan anjing sebagai (kiasan) barua, tali barut, angsama, muncikari, jarumian, pinang muda. Dari sudut etimologi, istilah “anjing” merupakan kata bahasa Melayu yang asli dan wujud dalam loghat bahasa Melayu yang lain seperti anjiang bahasa Minangkabau.

Istilah ini telah menggantikan “asu” sebagai perkataan umum untuk binatang ini dalam bahasa Melayu di Malaysia, di Singapura, di Brunei mahupun di Indonesia. Perkataan “asu” pula merupakan perkataan umum untuk “anjing” dalam bahasa-bahasa Austronesia dan berpunca daripada “*(w)asu” dalam bahasa Proto-Austronesiadan sepunca dengan bahasa lain seperti aso bahasa Tagalogasu bahasa Jawa, asu / tasu  bahasa Sungai dan asèë bahasa Aceh.

Artikel ini akan melihat pemaknaan perkataan anjing dalam peribahasa Melayu dengan melihat makna konotasinya. Kesemua dua puluh tujuh peribahasa yang disebutkan dalam artikel ini diambil daripada Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Penggunaan istilah anjing dalam peribahasa membawa makna yang berbeza daripada makna denotasinya. Setelah diamati, tidak ada satu pun daripada eribahasa-peribahasa tersebut yang memberikan konotasi yang positif, sama sikap ataupun keadaan, gambarannya tetap tidak elok.

            Berikut disenaraikan 27 peribahasa tersebut:

1. Anjing hitam

Maksud : Orang jahat yang sentiasa menunjuk-nunjukkan keburukannya

2.         Anjing diberi makan nasi, bilakan kenyang

            Maksud : Sia-sia memberikan nasihat yang baik kepada seorang yang jahat

3.         Anjing ditepuk menjungkit ekor

            Maksud : Orang yang tidak berbudi, jika dihormati akan menjadi sombong

4.         Anjing galak, babi berani

            Maksud : Berani sama berani, kuat sama kuat

5.         Anjing itu jika dipukul sekalipun, berpulang juga ia ke tempat yang banyak tulang

Maksud : Orang yang tamak dan tidak mempunyai malu itu tidak peduli akan nama baiknya.

6.    Anjing itu meski dirantai dengan rantai emas sekalipun, nescaya berulang-ulang juga ia ke tempat najis.

Maksud : Orang yang bertabiat jahat itu, walau bagaimana sekalipun, tidak akan berubah lakunya

7.         Anjing mengulangi bangkai

            Maksud : Laki-laki yang mengulangi perbuatan yang tidak senonoh

8.         Anjing menyalak bukit, mahukah runtuh

            (Berapapun anjing menyalak bukit bolehkah runtuh)

Maksud : Bagaimanapun orang yang jahat mencela orang yang baik, tidak aka nada akibatnya

9.         Anjing tiada bercawat ekor

            Maksud : Sesuatu yang hina dan tidak berguna tidaklah indah pada mata sekalian orang

10.       Bagai anjing beranak enam

            Maksud : Dikatakan kepada perempuan yang kurus sekali kerana melahirkan anak

11.       Bagai anjing melintang denai

            Maksud : Seseorang yang sombong menunjukkan kesombongannya

12.       Bagai anjing menyalak di ekor (di pantat) gajah

            Maksud : Orang lemah hendak melawan orang yang berkuasa

13.       Bagai anjing tersepit di pagar

            Maksud :  Seseorang yang dalam kesusahan serba salah halnya

14.       Bangsa anjing, kalau biasa makan tahi, tak dimakan, dicium ada juga

Maksud : Orang yang biasa berbuat jahat itu walau bagaimanapun akan teringat juga perbuataannya yang jahat

15.       Bagai disalak anjing bertuah

Maksud : tidak dapat bertangguh, permintaan mesti dikabulkan (berkenaan anak-anak yang tidak dapat ditolak kehendaknya)

16.       Melepaskan anjing yang tersepit (sesudah dilepas dia menggigit)

            Maksud : Menolong orang yang tidak tahu membalas budi

17.       Bagai anjing terpanggang ekor

Maksud = Seseorang yang mendapat kesusahan yang amat sangat sehingga kian ke mari mendapatkan pertolongan

18.       Seperti anjing berebut tulang

            Maksud : Orang tamak yang merebutkan harta

19.       Seperti anjing berjumpa pasir

            Maksud : Orang yang selalu ria hati kerana mendapat benda yang disukai

20.       Seperti anjing beroleh bangkai

            Maksud : Orang tamak yang mendapat sesuatu dengan mudah

21.       Seperti anjing dengan kucing

            Maksud : Orang yang selalu berbantah

22.       Seperti anjing kedahuluan

Maksud : Seseorang yang didahului oleh orang yang lebih mulia (kaya) dalam hal meminang gadis

23.       Seperti anjing kepala busuk

Maksud : Orang yang telah dikatakan kejahatannya, ke mana-mana ia pergi dihina orang juga

24.       Seperti anjing lapar mendapat tulang, daging segumpal, dan sekeping apam

Maksud : Orang yang melakukan sesuatu kebajikan hanya kerana mengharapkan keuntungan

25.       Seperti anjing menggonggong bangkai

            Maksud : Laki-laki yang membawa perempuan jahat

26.       Umpama anjing makan muntahnya

            Maksud : Orang yang tamak itu tidak membezakan yang baik dengan yang jahat

27.       Seperti anjing menggonggong tulang / Seperti anjing dengan bayang-bayang

            Maksud : Orang tamak yang ingin memiliki harta orang lain, akhirnya harta sendiri habis

Lima daripada peribahasa di atas memberikan konotasi anjing melambangkan sikap tamak seseorang. Peribahasa ‘Anjing itu jika dipukul sekalipun, berpulang juga ia ke tempat yang banyak tulang’ memberikan kiasan bahawa seseorang yang sudah dikuasai sikap tamak, lama-kelamaan dia tidak lagi memikirkan atau mementingkan nama baiknya sendiri.

Dia sudah hilang rasa malu. Sikap orang tamak yang suka berebutkan harta pula diibaratkan  anjing berebut tulang. Disifatkan ‘bangkai’ itu sebagai satu benda yang percuma dan mudah diperoleh kerana fitrah bangkai itu terbiar dan tidak berempunya. Justeru, dikatakan seperti anjing beroleh bangkai maka dikiaskan kepada seseorang yang tamak yang mudah memperoleh sesuatu dengan mudah.

Masyarakat Melayu lama juga melihat anjing sebagai seekor binatang yang tidak tahu membezakan antara makanan atau sisa makanan dengan muntahnya sendiri. Apabila lapar, anjing hanya akan makan sahaja walaupun benda yang dimakannya itu ialah muntahnya sendiri.

Kefahaman inilah yang mewujudkan peribahsa ‘Umpama anjing makan muntahnya’ yang membawa makna konotasi seseorang yang tidak tahu membezakan yang baik dengan yang jahat. Seseorang yang bersifat tamak sehingga suka menghakmilikkan kepunyaan orang lain juga dikiaskan dalam peribahasa ‘Seperti anjing menggonggong tulang’ atau ‘bagai anjing dengan bayang-bayang’.

Terdapat segelintir orang yang tidak dapat meninggalkan perbuatan jahatnya. Kesedaran ada tetapi tidak ada keinsafan. Perbuatan jahatnya itu diulangi. Orang sebegini digambarkan sebagai ‘Anjing itu meski dirantai dengan rantai emas sekalipun, nescaya berulang-ulang juga ia ke tempat najis.’ Selain itu, ada juga peribahasa yang sangat kasar jika sekilas pandang iaitu ‘Anjing mengulangi bangkai’.

Sesuatu yang kotor juga digunakan sebagai unsur penambah dalam peribahasa bagi menggambarkan keburukan perbuatan jahat. Hal ini dapat dilihat dalam peribahasa, ‘Bangsa anjing, kalau biasa makan tahi, tak dimakan, dicium ada juga’. Keadaan mengulangi kejahatan tersebut sebenarnya berpunca daripada persepsi masyarakat sekeliling. Ada pesalah yang menginsafi kesalahannya dan memerlukan ruang serta peluang untuk membetulkan segala cacat cela yang diwujudkannya namun segelintir masyarakat beranggapan bahawa, ‘Seperti anjing kepala busuk’.

Anjing juga digunakan dalam peribahasa untuk menunjukkan taraf dan kedudukan seseorang itu. Peribahasa nombor 9 misalnya, iaitu, ‘Anjing tiada bercawat ekor’. Peribahasa ini memberikan konotasi tentang nasib seseorang yang dalam keadaan hina dan tidak berguna seperti melukut di tepi gantang, maka dia tidak memperoleh pandangan yang baik daripada masyarakat sekelilingnya. Dia sentiasa dipandang rendah. Ada atau tidak ada, kewujudannya tidak mengubah apa-apa.

Anjing juga dikiaskan kepada seseorang yang bersikap jahat atau berniat jahat yang sentiasa mencari punca masalah terhadap orang yang bersikap baik. Orang yang baik itu diibaratkan bukit. Pastinya salakan seekor anjing tidak akan mampu meruntuhkan sebuah bukit seperti peribahasa ini, ‘Anjing menyalak bukit, mahukah runtuh (Berapapun anjing menyalak bukit bolehkah runtuh?)’.

Walau betapa hebat sekalikan kejahatan seseorang terhadap seseorang yang baik sama ada dari segi perbuataan atau pertuturan, tidak akan mampu menjejaskan kebaikan seseorang itu. Ada juga yang menggunakan anjing untuk menggambarkan keberanian dan kekuatan seseorang itu sama dengan pihak yang dihadapi. Maka wujudlah peribahasa, ‘Anjing galak, babi berani’. Kelihatannya peribahasa ini mirip maknanya dengan peribahasa ‘Bertemu buku dengan ruas’.

Ada juga peribahasa Seperti anjing menggonggong bangkai yang menggambarkan seorang lelaki membawa (berkawan atau bergaul) perempuan jahat. Anjing juga menggambarkan keadaan seseorang yang lemah dalam peribahasa. Berdasarkan peribahasa, ‘Bagai anjing menyalak di ekor (di pantat) gajah, orang yang lemah di sini merujuk kepada seseorang yang tidak mempunyai keupayaan (mungkin dari segi harta dan pangkat) untuk menentang seseorang yang berkuasa (berharta atau berpangkat).

Begitu juga halnya dengan peribahasa Seperti anjing kedahuluan. Seseorang yang tidak berkemampuan untuk meminang gadis yang diidamkan mungkin perlu berputih mata apabila melihat seseorang yang kaya dan dipandang mulia meminang gadis itu terlebih dahulu.

Berkenaan kedegilan seseorang juga, terdapat peribahasa yang menggunakan anjing sebagai kiasannya iaitu ‘Anjing diberi makan nasi, bilakan kenyang’ yang sama dengan peribahasa ‘Bagai mencurah air ke daun keladi’. Sia-sia memberikan nasihat kepada seseorang yang jahat kerana biasanya dia akan melawan balik sama ada dengan kata-kata atau dengan perbuatan. Dia juga tidak mahu mendengar atau menerima nasihat.

Umum mengetahui bahawa nasi bukanlah makanan rutin anjing. Kalau dihidangkan nasi, belum tentu dijamahnya dan mungkin tidak dijamah langsung. Anjing juga menggambarkan sikap sombong dalam peribahasa Melayu. Peribahasa ‘Anjing ditepuk menjungkit ekor’ dikiaskan kepada seseorang yang tidak berbudi, apabila dia mendapat pujian dan sanjungan atau penghormatan, dia menjadi sombong.

Sikap sombong itu pula dipertontonkan kepada orang orang lain secara terang ibarat ‘Anjing melintang denai’. Seseorang yang suka menunjuk-nunjuk juga ada digambarkan dalam peribahasa dengan menggunakan perkataan anjing. Sikap ini digambarkan melalui peribahasa ‘Seperti anjing lapar mendapat tulang, daging segumpal, dan sekeping apam’.

Sesuatu keadaan diri atau kehidupan seseorang juga ada digambarkan melalui perkataan anjing dalam peribahasa Melayu. Misalnya, keadaan seorang perempuan yang kelihatan sangat kurus (dan mungkin tidak terurus) kerana melahirkan anak disebut dalam peribahasa ‘Bagai anjing beranak enam’. Konotasi ini agak negatif bagi seorang wanita yang sebenarnya. Satu lagi konotasi negatif yang pada saya agak kurang wajar ialah pelambangan anjing terhadap anak (atau anak-anak).

Agaknya peribahasa terlantun keluar dalam keadaan yang marah atau sangat gelisah. Peribahasa Bagai disalak anjing bertuah merujuk kepada keadaan seseorang yang harus menunaikan permintaan anak-anaknya kerana anak-anak itu tetap berkehendakkan sesuatu itu. Lain halnya dengan seseorang yang tidak tahu mengenang budi. Maka gambaran bagai melepaskan anjing tersepit (sesudah dilepas dia menggigit) itu amat bersesuaian.

Selain itu, seseorang yang berada dalam keadaan (atau masalah) yang terlalu sukar juga digambarkan dalam peribahasa Bagai anjing tersepit di pagar dan Bagai anjing terpanggang ekor. Keadaan dua orang atau dua kumpulan yang selalu bergaduh juga sering disamakan dengan peribahasa seperti anjing dengan kucing. Hal ini kerana anjing dan kucing itu jika bertemu pasti riuh gaduhnya.

Kesimpulannya, peribahasa Melayu tercipta daripada pengalaman dan pengamatan ahli-ahli masyarakat Melayu sejak berzaman-berzaman. Pengalaman dan pengamatan ini berhubung erat dengan kehidupan masyarakat sehari-hari dan keadaan alam sekeliling.

Peribahasa yang pada mulanya diperturunkan secara lisan dan diperkembangkan secara lisan juga seharusnya diusahakan supaya ianya dapat dikekalkan. Agar keindahan penggunaannya dalam bahasa Melayu tidak hilang ditelan zaman sebaliknya menjadi warisan bangsa yang ‘tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.