Konkrit – Pengeluar Terbesar Karbon Dioksida

215

Semua sedia maklum konkrit merupakan bahan buatan manusia yang paling banyak digunakan terutama dalam sektor pembinaan. Dan ia merupakan sumber kedua paling banyak digunakan di dunia selepas air. Tetapi tanpa kita sedar, bahan yang memang elok sebagai asas binaan-binaan dari rumah kediaman hinggalah bangunan pencakar langit ini juga merupakan antara pengeluar karbon dioksida (CO2) paling banyak iaitu sebanyak lapan peratus.

Jika kita anggap industri simen ini seperti sebuah negara, ia akan menjadi pengeluar ketiga terbesar di dunia selepas China dan Amerika Syarikat. Ia menyumbang kepada lebih CO2 berbanding minyak penerbangan (2.5%) dan industri pertanian global (12%).

Ini sesuatu yang disedari ramai pihak termasuk pemain industri simen. Pada tahun lepas, pemain-pemain industri berkumpul di Warsaw, Poland bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Antarabangsa (COP24) yang digerakkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Mesyuarat ini diadakan bagi melihat bagaimana sesebuah negara atau pemain industri memenuhi keperluan Perjanjian Paris berkenaan perubahan iklim. Sekiranya pemain-pemain industri simen mahu menyumbang kepada perjanjian ini, mereka perlu mengurangkan pengeluaran tahunan CO2 sebanyak 16% menjelang tahun 2030.

Sejarah konkrit

Jadi mengapa konkrit menjadi pilihan pembina di seluruh dunia? Konkrit menjadi pilihan kerana ia merupakan bahan binaan yang baik, mudah didapati, kos berpatutan dan kualiti struktur yang baik bersesuaian dengan keperluan pembinaan sesebuah projek. Walaupun ia ada masalah dari ketahanan jika menggunakan penyokong besi yang boleh saja meretakkan konkrit berkenaan, ia terus menjadi pilihan di seluruh dunia.

Bagi Felix Preston, Timbalan Pengarah Penyelidikan Jabatan Sumber, Alam Sekitar dan Tenaga untuk Chatham House, agak sukar untuk membayangkan sesebuah projek dapat disiapkan tanpa penggunaan konkrit. Ini kerana walaupun ianya tidak mustahil, ia pastinya mencabar keupayaan para pembina dalam merealisasikan binaan mereka.

Penggunaan konkrit sebagai bahan binaan yang tidak boleh dicabar banyak menyumbang kepada pertumbuhan industri simen sejak tahun 1950-an dengan Asia dan China menjadi penyumbang utama bermula pada tahun 1990-an.

Semua ini berlaku berikutan pertumbuhan ekonomi yang cepat terutama membabitkan sektor perindustrian. Dan berdasarkan Chatham House, walaupun permintaan simen di China sudah berkurangan, ia akan dipenuhi pula oleh negara-negara Asia Tenggara dan sub-Sahara Afrika yang memerlukannya untuk projek-projek kediaman dan pembangunan.

Ramai menganggap konkrit hanya wujud pada zaman moden tetapi hakikatnya, bahan sebegini sudah lama wujud berdasarkan catatan sejarah. Penggunaannya pertama kali direkodkan sejak 8,000 tahun lalu dan digunakan oleh penduduk di Syam sebagai bahan membuat lantai, bangunan dan tangki-tangki bawah tanah.

Dan kita semua sedia maklum kehebatan Rom sebagai pakar konkrit di mana ia banyak digunakan untuk membina akueduk, rumah-rumah mandi, amfiteater dan monumen-monumen hebat. Salah satu monumen Rom yang dibina dari bahan ini ialah Pantheon yang mempunyai kubah konkrit terbesar di dunia dengan diameter 43 meter.

Tetapi konkrit yang kita kenali hari ini tidak akan wujud tanpa proses pembuatan batu-bata yang dihasilkan Joseph Aspdin pada abad ke-19. Teknik Aspdin yang membakar batu kapur dan tanah liat dalam pembakar yang panas dan menghancurkan ia sehingga ke tahap serbuk untuk menghasilkan batu tiruan yang kini dipanggil simen Portland.

Simen sebegini masih menjadi bahan utama dalam kebanyakan sumber konkrit hari ini. Tetapi teknik sebegini kini bermasalah kerana membawa masalah pencemaran udara (habuk), penggunaan tanur yang menggunakan banyak tenaga dan penggunaan bahan kimia yang mengundang kepada perlepasan banyak CO2.

Respon industri simen

Selaras dengan keperluan semasa termasuk keperluan alam sekitar, pemain-pemain industri mula bersikap proaktif termasuk membina kilang yang menggunakan kurang tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil. Persatuan Konkrit dan Simen Dunia (CGGA) mewakili 35% kapasiti pengeluaran simen merupakan komitmen industri untuk menyokong Perjanjian Paris itu. Menurut ketua eksekutif CGGA Benjamin Sporton, ia merupakan satu komitmen industri terhadap alam sekitar termasuk tindakan bersifat jangka panjang berkenaan perubahan iklim. CGGA juga akan mengeluarkan satu panduan berkenaan kelestarian alam sekitar yang harus dipatuhi ahli-ahlinya.

Bagaimanapun menurut Chatham House, perubahan yang dibawa pemain industri tidak seharusnya diterhadkan kepada pengurangan bahan bakar fosil sahaja. Mereka berpandangan pemain industri simen juga perlu memikirkan cara terbaik untuk menghasilkan simen yang melepaskan terlalu banyak CO2 terutama batu hangus. Ini kerana pada tahun 2016 sahaja, penghasilan simen dunia melepaskan CO2 sebanyak lapan peratus dan kebanyakan terhasil daripada penghasilan batu hangus. Dan ditambah dengan pembakaran secara termal, 90% daripada perlepasan CO2 sektor berkenaan berpunca daripada penghasilan batu hangus. Justeru, suka atau tidak, industri perlu bersikap proaktif dan kreatif bagi menghasilkan simen baru yang bukan saja berkualiti tetapi juga bersifat mesra alam.

Salah satu individu yang memulakan usaha ini ialah seorang wanita bernama Ginger Krieg Dosier, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Bio-Mason. Bio-Mason merupakan sebuah syarikat simen yang mahu menghasilkan simen menggunakan berbilion mikroorganisma untuk menghasilkan batu-bata bio-konkrit. Caranya ialah meletakkan pasir dalam acuan-acuan dan disuntik dengan mikroorganisma, seolah-olah meniru cara penghasilan batu karang. Proses berkenaan hanya mengambil masa empat hari dan bebas dari penggunaan bahan bakar fosil serta proses penghasilan batu hangus, dua komponen utama untuk menghasilkan simen.

Bagaimanapun untuk membawa projek sebegini ke skala lebih besar bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana industri masih didominasi sesetengah pemain yang enggan bereksperimen atau mengubah model perniagaan mereka. Selain itu, masih wujud keraguan dari kalangan arkitek, pembina dan klien-klien berkenaan menggunakan bahan yang bersifat mesra alam dalam projek-projek mereka. Selagi mana tiada tekanan dari kerajaan-kerajaan untuk memaksa mereka berubah, selagi itu sukar untuk melihat perubahan bersifat radikal dalam industri berkenaan.

Bagaimanapn menurut Krieg Dosier, ada sebab untuk bersikap optimistik berkenaan masa depan industri berkenaan. Menurutnya, industri itu bersiap sedia memenuhi tuntutan pasaran, pengenalan teknologi inovatif dalam industri dan bertambahnya kesedaran tentang kelestarian alam sekitar. Ini termasuklah penghasilan bahan yang menyerap semula CO2, penghasilan bahan yang membawa kepada pengurangan tenaga dan inovasi simen yang memasukkan elemen penyerapan semula dan penyimpanan CO2. Tetapi pada masa sama, amat penting bagi kerajaan dan pemain industri untuk bertindak segera dalam memastikan kelestarian alam tidak terjejas seiring dengan tuntutan pembangunan semasa hari ini.

SUMBER

Rodgers, Lucy. (2018). BBC. Climate change: The massive CO2 emitter you may not know about. https://www.bbc.com/news/science-environment-46455844?intlink_from_url=https://www.bbc.com/news/topics/cxqvep8kqext/long-reads&link_location=live-reporting-story

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.