Kongsi Lan Fang: Wilayah Autonomi Cina Hakka Yang Dianggap Seperti Republik Di Borneo

0
2037
views

ADA sejarahwan mengatakan bahawa ianya merupakan satu kerajaan berbentuk republik namun jika diteliti daripada segi aspek kebenarannya, pengasasnya sendiri tidak pernah mengatakan bahawa ianya satu kerajaan. Sebaliknya merupakan satu bentuk kongsi yang mempunyai sistem pemerintahan dan pentadbirannya yang tersendiri.

Inilah Kongsi Lan Fang iaitu satu wilayah kecil yang pernah wujud di Kalimantan Barat, Borneo atau secara lebih mengkhusus di Kota Mandor, Kabupaten Landak, Provinsi Kalimantan Barat sekarang. Keunikan sejarahnya terletak kepada pengasasnya serta bentuk pentadbirannya. Ditubuhkan pada tahun 1777 kemudian dibubarkan oleh Koloni Belanda pada tahun 1884. Dikenali dengan nama Kongsi Lan Fang bersempena dengan pengasasnya iaitu Low Fang Pak atau Lou Fang Bo, seorang berketurunan Cina Hakka.

Kehadiran imigran Cina di bumi Borneo suatu waktu dahulu banyak didokongi oleh perkembangan perlombongan emas di Borneo lebih-lebih lagi di Kota Sambas. Kedatangan mereka sentiasa dialu-alukan kerana teknik perlombongan mereka lebih baik daripada masyarakat tempatan sendiri. Walaupun ianya masih kaedah perlombongan tradisional tetapi dikatakan keuntungan yang didapati daripada pelombong-pelombong Cina banyak memberi pulangan kepada pemerintah kerajaan kuno suatu waktu dahulu.

Low Fang Pak atau Lou Fang Bo merupakan salah seorang daripada masyarakat Cina Hakka yang merantau jauh daripada Negara Tembok Besar China. Beliaulah yang menjadi Ketua dan pemimpin masyarakat pelombong Cina Hakka di Kota Mandor suatu waktu dahulu bagi menguruskan apa yang perlu untuk mereka baik dari segi logistik serta kewangan. Lama-kelamaan kerana faktor pengaruh dan kuasa akhirnya pimpinan kongsi yang kecil menjadi sebuah pentadbiran wilayah yang besar.

Apa yang menarik mengenai wilayah Kongsi Lan Fang ini adalah mereka mempunyai ketua atau setaraf “Presiden” dengan mempunyai cap mohor tersendiri. Selain daripada itu wilayah ini juga mempunyai sistem pentadbiran sendiri dengan bentuk perundangan serta hukuman kepada pesalah mereka. Di wilayah Kongsi ini juga turut mempunyai sistem perbankan sendiri berdasarkan kepada matawang yang mempunyai nilainya berdasarkan kepada harga emas semasa.

Oleh kerana pelombong-pelombong emas ini turut membawa keluarga mereka tinggal bersama mereka maka sistem pendidikan serta pertanian turut didirikan dan mempunyai badan-badan khas yang mengendalikannya. Dan apa yang lebih menarik adalah kewujudan bendera iaitu mercu tanda sebuah kedaulatan wilayah turut dimiliki mereka iaitu bendera segiempat dengan warna kuning sebagai latarnya selain daripada 2 perkataan dari bahasa Mandarin “Lan Fang To Tang Chi”.

Dan Lan Fang juga turut mempunyai barisan pertahanannya sendiri iaitu tentera yang diupah untuk menjaga keselamatan kongsi mahupun menangkap sesiapa sahaja yang sudah membuat onar sehingga menjejaskan nama baik kongsi.

Dikatakan tentera mereka mempunyai tauliah ketenteraan yang dibawa khas daripada Negara Tembok Besar China. Malah menurut sejarahnya pernah ada Kerajaan-kerajaan kuno di bumi Borneo yang memohon bantuan daripada tentera dari Lan Fang bagi memperkuatkan sistem pertahanan mereka daripada diserang musuh.

Walaupun kongsi Lan Fang mempunyai status wilayah yang agak unik kerana dikatakan tiada campurtangan daripada pentadbiran Kerajaan-kerajaan kuno pada waktu itu namun begitu kongsi Lan Fang sentiasa bersahabat baik dan menjadi mereka yang setia kepada pemerintah-pemerintah pada waktu itu. Saban tahun merekalah yang menguruskan semua cukai perlombongan dan juga keuntungan daripada hasil emas yang digali untuk diberikan peratusannya kepada pemerintah tempatan.

Waqaf Saham

Namun begitu setelah adanya pengaruh Belanda yang mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan-kerajaan kuno akhirnya sebuah kongsi yang bersifat autonomi selama lebih 102 tahun kewujudannya dibubarkan oleh Koloni Belanda pada tahun 1884. Kesemuanya atas kehendak Belanda yang mahukan segala perolehan perlombongan emas dan segala pentadbiran di bumi Kalimantan Barat adalah milik mereka.

Menurut ceritanya oleh kerana ingin menghapuskan terus kesemua pengaruh Lan Fang ini, pihak Belanda dikatakan telah membuat satu perancangan rapi bersekongkol dengan petualang di dalam kongsi Lan Fang sendiri bagi memastikan pembunuhan “Presiden” dan keluarganya yang terakhir direka seolah-olah ada perebutan kuasa dalaman di dalam kongsi Lan Fang itu sendiri.

Sekiranya dihubungkaitkan dengan sejarah Sarawak dibawah Brooke menyaksikan bagaimana Brooke juga turut memerangi pelombong-pelombong emas di Bau yang bangun mengangkat senjata menentang Brooke pada tahun 1857. Mereka diperangi sehingga ke bumi Kalimantan dengan bantuan daripada Koloni Belanda pada masa itu. Juga mempunyai sebab yang sama iaitu pelombong emas di Sarawak menginginkan untuk mempunyai wilayah autonomi tersendiri yang sudah tentu tidak dibenarkan oleh Brooke sama sekali.

Kekuasaan dan sistem pemerintahan mereka menjadi ingauan ngeri oleh Koloni Belanda ataupun Kerajaan Brooke di Sarawak sehingga membenarkan mereka diperangi tanpa ada perasaan belas kasihan. Di dalam ekspedisi memerangi pelombong Cina Hakka di Bau sahaja hampir 20.000 nyawa pelombong dan keluarga mereka dibunuh dan dibakar hidup-hidup di dalam gua tanpa mengira anak kecil mahupun wanita.

Di pihak Koloni Belanda juga begitu, ramai pelombong-pelombong dan keluarga mereka sehingga sesiapa sahaja yang berhubungkait dengan mereka turut dibunuh dan disiksa.

Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenal satu kongsi yang dikenali sebagai Kongsi Lan Fang yang pernah mempunyai wilayah autonomi di bumi Kalimantan Barat. Kongsi Lan Fang agak unik kerana ianya ditadbir secara terus oleh masyarakat pelombong Cina Hakka di tengah-tengah kekuasaan Sultan-sultan Kerajaan-kerajaan kuno di Kalimantan Barat suatu waktu dahulu.

#KamekSayangSarawakBah

-HB-

Rujukan:

1. Author: Yunos Rozan – Saga of Lanfang Republic. The Brunei Times, May 23, 2011.

2. The Sarawak Museum Journal. Volume 9 – For the Promotion of Scientific Knowledge and Study of the Natives and Natural History of the Island of Borneo, Retrieved 24 April 2014.

3. Author: Wang Tai Peng – The Origins Of Chinese Kongsi. Pelanduk Publications 2014

4. Author: Heidhues Mary F. Somers. – Golddiggers, Farmers and Traders in the “Chines District” of West Kalimantan, Indonesia. 2003

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.