Konbini – Kedai Serbaneka Sebahagian Daripada Fabrik Sosial Jepun

313

Bila anda berkunjung ke kedai serbaneka berhampiran, apa barang atau perkhidmatan yang ditawarkan di kedai sebegini? Selalunya barang atau perkhidmatan yang ditawarkan ialah produk makanan segera, minuman, rokok, tambah nilai kredit telefon bimbit dan pembayaran bil.

Nampak biasa saja tetapi di Jepun, ia menjadi pusat pelbagai aktiviti komuniti dari khidmat pembayaran bil-bil utiliti hinggalah tempat penjualan tiket pengangkutan dan program istimewa.

Bagi yang selalu berkunjung ke Jepun, kedai serbaneka atau nama popularnya konbini mudah didapati di mana-mana tak kira sama ada anda di lapangan terbang, stesen keretapi atau kawasan pedalaman. Tidak percaya?

Bagi setiap kawasan yang mempunyai penduduk seramai 2,000 orang, tak sah jika tidak lihat kelibat konbini. Bagi warga Jepun, konbini dianggap satu keajaiban kerana menjadi penyelamat dalam pelbagai situasi dari pembelian barang dapur hinggalah akses kepada tiket pengangkutan.

Majoriti konbini di Jepun dikuasai tiga firma utama iaitu 7 Elevan, Family Mart dan Lawson. Walaupun wujud kepelbagaian antara ketiga-tiga firma, kebanyakan servis yang ditawarkan masih sama dan boleh dijumpai di mana-mana.

Antara servis yang ditawarkan:

1. Menghantar atau mengutip surat/bungkusan. Urusan sebegini pasti menyusahkan jika anda tiada alamat surat-menyurat di Jepun lebih-lebih lagi semasa mengembara atau tiada di rumah semasa surat atau pakej bungkusan dihantar. Tetapi jangan risau, kebanyakan konbini mempunyai kerjasama dengan syarikat-syarikat pos seperti Japan Post dan Yamato Transport untuk menyediakan perkhidmatan pos penuh.

Jika hendak menghantar sesuatu, minta borang berwarna merah jambu dengan kerani bertugas, isikan semua maklumat berkenaan seperti nama penerima dan alamat penghantaran, sertakan pada surat/bungkusan, serahkan kepada kerani dan bayar yuran penghantaran.

Penghantar akan diberi salinan borang dan nombor penjejakan pakej. Jika anda memesan barangan dalam talian tetapi tidak tahu hendak dihantar ke mana, anda boleh meletakkan alamat konbini sebagai alamat penerima. Konbini akan menyimpan barangan anda sehingga 10 hari. Tetapi perlu diingat, tidak semua konbini menawarkan perkhidmatan sebegini.

2. Beli tiket. Bila anda beli tiket dalam talian, adakalanya anda akan menggaru kepala di mana hendak mendapatkan atau tempat yang menawarkan tiket program atau tempat-tempat tertentu. Di konbini, anda boleh beli apa jenis tiket dari tiket konsert hinggalah tiket tempat tumpuan pelancong seperti muzium dan taman tema.

Dan jangan terkejut jika tiket yang dibeli di konbini kadangkala lebih murah berbanding harga biasa berikutan kewujudan diskaun istimewa pembelian di konbini. Anda boleh beli di mesin tiket yang mempunyai skrin sentuh dengan pilih menu pilihan tiket atau menaip nama program atau tempat tumpuan untuk mendapatkan tiket yang dimahukan. Selepas selesai, mesin akan mengeluarkan resit, bawa resit ke kaunter dan bayar harga tiket yang ditetapkan.

Selain tiket konsert atau tempat tumpuan, mesin ini juga turut mengeluarkan tiket perkhidmatan pengangkutan seperti tiket bas atau tiket penerbangan. Untuk perkhidmatan sebegini, ia masih sama seperti sebelumnya. Bezanya, anda perlu isi maklumat spesifik seperti destinasi yang dituju dan nombor telefon.

Selepas selesai, ambil borang tempahan tiket, bawa ke kaunter dan bayar untuk selesaikan tempahan. Tetapi bersedialah untuk mengeluarkan sedikit bayaran tambahan untuk caj perkhidmatan. Namun jika anda tiada kad kredit, ada solusi khas untuk anda…

3. Pengambilan kad kredit. Ya, saya tidak berbohong. Di sini, konbini menawarkan dua pilihan iaitu kad pra-bayar kredit dan kad kredit biasa. Kad pra-bayar kredit ialah kad pra-bayar yang mempunyai sejumlah kredit tertentu dan boleh diterima seperti kad kredit biasa. Tetapi ia mempunyai satu kekurangan iaitu pengguna tidak boleh menambah kredit atau mencaj semula kad pra-bayar.

Contohnya, Amazon dan Rakuten menawarkan kad pra-bayar kredit tetapi ia hanya boleh digunakan di laman sesawang mereka. Sementara Kad Kredit Maya Pra-Bayar Visa (VCP) pula sebenarnya baucar yang mengandungi nombor maya kad kredit dan kod sekuriti. Selepas mendaftar secara dalam talian, anda boleh melakukan pembelian dalam talian.

Satu-satunya kad kredit sebenar yang ditawarkan konbini ialah JMB Lawson Ponta Visa oleh firma Lawson. Proses permohonan sama seperti proses permohonan kad kredit lain termasuk alamat (hanya terpakai di Jepun) dan pendapatan serta ditapis sebelum diluluskan.

4. Pembayaran bil pembelian dalam talian. Nak beli barang dalam talian tetapi tiada kad kredit atau alamat di Jepun? Jangan risau, konbini boleh membantu anda dalam hal ini. Laman-laman sesawang pembelian dalam talian seperti Amazon dan Rakuten menawarkan pilihan pembayaran di konbini kepada pengguna.

Bila anda memilih pilihan itu, firma akan menghantar e-mel pengesahan bersama kod. Pergi ke konbini dan cari mesin tiket serbaguna. Cari sampai jumpa pilihan pembayaran dalam talian, masukkan kod dan resit akan dikeluarkan. Bawa resit ke kaunter dan bayar item yang dibeli mengikut harga ditetapkan. Ingat, barang tidak akan dihantar selagi mana proses pembelian tidak diselesaikan. Anda juga boleh membayar caj tambahan untuk penghantaran dan boleh dihantar ke konbini yang terdekat dengan tempat tinggal atau tempat penginapan anda.

5. Pembayaran bil utiliti. Perkhidmatan sebegini sudah wujud di Malaysia walaupun sudah wujud pilihan pembayaran melalui pemindahan bank automatik. Tetapi di Jepun, anda juga boleh menyelesaikan bayaran insuran kesihatan. Sebelum sebarang pembayaran diteruskan, kerani akan mengesahkan jenis bil yang dibayar dan jumlah yang nak dibayar. Jika anda terlepas tarikh pembayaran, anda masih boleh membawa bil ke konbini di mana kerani akan mengimbas bil dan bayar amaun yang dinyatakan.

6. Kutipan sampah dan pembayaran kupon sampah. Di Jepun, agak sukar menemui tong sampah kerana menjadi kebiasaan warganya membawa sampah kembali ke rumah masing-masing. Jadi, konbini menyediakan tong sampah untuk pengguna terutama pelancong membuang sampah yang dibawa mereka.

Tetapi jika anda ada sampah yang besar yang memerlukan perkhidmatan kutipan sampah, ia boleh dilakukan melalui laman tempahan pembuangan dalam talian. Tapi kena ingat jadual kutipan sampah dilakukan bagi memudahkan urusan. Pertama, anda kena hubungi 03-5296-700 atau lawat laman sesawang Bulk Waste Reception Center (http://sodai.tokyokankyo.or.jp/Sodai/V2Index/0/1).

Kedua, anda kena bayar khidmat pengambilan sampah di konbini melalui pengambilan kupon pengambilan sampah. Bayaran bergantung kepada saiz sampah dan hanya diketahui selepas tempahan dibuat. Contoh jika anda perlu bayar kupon 1,000 yen (RM 38.39), anda kena bayar menggunakan dua kupon 300 yen (RM 11.52) dan satu kupon 400 yen (RM 15.35). Bila hari kutipan tiba, pastikan sampah sudah sedia untuk dikutip, selitkan kupon di tempat yang boleh dilihat dan jangan lupa isi nama dan alamat.

7. Cetak dan salin dokumen/foto. Perkara sebegini merupakan satu rutin bagi pelajar dan pekerja perkhidmatan sama ada kerajaan atau swasta. Selain fungsi biasa seperti membuat salinan hitam putih atau berwarna dan mencetak, konbini turut menyediakan perkhidmatan mencetak gambar dan menghantar faks.

Ini memudahkan urusan bukan saja menghantar kepada pihak-pihak berkepentingan tetapi juga membolehkan tiket konsert hingga pengangkutan boleh dibeli daripada mesin yang sama. Dan ada juga yang menawarkan jualan tali leher bagi membolehkan pekerja menukar tali leher baru atau mendapatkan tali leher kecemasan untuk urusan penting seperti temu janji dengan klien atau mesyuarat.

8. Tempat memanaskan dan memasak makanan segera seperti mi segera. Seperti di Malaysia, konbini juga turut menyediakan tempat bagi pengguna memanaskan makanan yang baru dibeli seperti makanan sejuk beku atau memasak mi segera. Selepas selesai memasak, pengguna boleh makan di satu tempat khas yang disediakan.

9. Pembelian hadiah. Orang Jepun mempunyai tradisi memberi hadiah terutama semasa musim-musim tertentu. Bergantung kepada musim, konbini akan menyediakan katalog hadiah yang boleh diambil secara percuma. Mereka menawarkan pelbagai jenis hadiah yang berkualiti seperti buah-buahan mewah (musim panas) dan kek buah Krismas (musim Krismas). Nak tempah, mudah saja. Isikan borang pesanan di belakang katalog dan buat pembayaran di kaunter.

Selain semua perkhidmatan yang dinyatakan di atas, konbini juga turut menawarkan kemudahan lain seperti tempat letak kereta yang luas dan perkhidmatan wi-fi. Perkhidmatan sebegini menjadikan ia tempat tumpuan komuniti yang datang dari pelbagai latar belakang dan memudahkan urusan mereka terutama bagi yang sibuk bekerja.

Contohnya, penjualan produk nakashoku atau makanan yang sedia dimakan di konbini ada kaitan dengan perubahan trend isi rumah Jepun hari ini. Hari ini, bila pasangan suami isteri bekerja, makanan sebegini menjadi pilihan kerana mudah disediakan dan mengurangkan masa makan. Ini didedahkan oleh ketua unit komunikasi korporat Lawson, Ken Mochimaru.

Memandangkan ia dibuka 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu, ia amat berguna sebagai infrastruktur utama komuniti terutama semasa kecemasan dan bencana. Tidak ramai tahu lebih 13,000 wanita berlindung di konbini untuk berlindung daripada ancaman pengintai atau penjenayah. Sementara 6,000 lagi kanak-kanak memilih konbini sebagai tempat selamat untuk mendapatkan bantuan manakala 12,000 orang tua pula diletakkan di bawah perlindungan polis selepas dijumpai berjalan-jalan seorang diri di luar.

Selain sebagai pusat perlindungan, ia juga menjadi tonggak utama kecemasan terutama bila sesebuah kawasan dilanda bencana alam. Misalnya pada tahun 2016, wilayah Kumamoto dilanda gempa bumi yang mengakibatkan kawasan tersebut terputus bekalan elektrik dan gas. Konbini menjadi pusat utama penyaluran bantuan dengan firma-firma utama konbini berlumba-lumba menyalurkan bantuan.

7 Eleven misalnya menyalurkan bantuan dari konbini-konbini seluruh negara ke cawangannya di Kumamoto termasuk 700 pek lampin, 13,000 kotak produk penjagaan wanita dan 4,000 bebola nasi. 7 Eleven turut mengumumkan menyediakan perkhidmatan wi-fi percuma di setiap cawangannya, satu perkara yang dianggap jarang dilakukan syarikat berkenaan.

Manakala Family Mart pula mengumumkan menggerakkan kumpulan konbini bergerak yang boleh membawa 300 produk makanan dan isi rumah termasuk kotak bento dan minuman ringan. Lori khas ini dilengkapi dengan generator elektrik yang boleh beroperasi selama seminggu tanpa perlu mengisi minyak dan dikuasakan dengan gas propana.

Lori ini akan berhenti di tiga perhentian sehari, beroperasi dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang dan mereka boleh menerima tempahan pengguna. Kumpulan lori ini mula digerakkan Family Mart selepas gempa bumi yang melanda Jepun pada 2011.

Tetapi dari sudut negatif, konbini juga melakukan kesilapan seperti membuang sisa makanan dari rak dan menggantikannya dengan makanan yang segar. Memanglah niatnya untuk memastikan makanan yang dijual benar-benar segar dan menarik selera pelanggan.

Tetapi jika dilihat dari sudut pandang yang lebih besar, ia sebenarnya merupakan satu pembaziran. Dalam tempoh setahun saja, konbini membuang 20,000 tan sisa bebola nasi, sandwich, bento dan makanan mudah rosak ke dalam tong sampah. Amaun tersebut sama dengan amaun buah anggur yang dipetik di Jepun dalam setahun.

Tiada siapa boleh menafikan operasi 24 jam konbini amat membantu komuniti terutama kelompok yang lemah. Tetapi operasi sebegini juga memakan kos operasi dan tenaga yang banyak terutama elektrik dan pekerja sekaligus membawa kepada pembaziran sumber. Pada tahun 2004 sahaja, lebih 80% konbini dibuka 24 jam di seluruh negara dan sesetengah wilayah juga sudah mempertimbang untuk mengehadkan waktu operasi konbini.

Selain pihak berkuasa wilayah, pengusaha konbini juga turut memikirkan perkara sama atas alasan terpaksa bekerja lebih lama, keuntungan yang diterima rendah dan kekurangan bilangan pekerja. Dan ini sudah mencetuskan pertelagahan antara pemilik francais dengan pemilik konbini francais seperti kes Mitoshi Matsumoto dengan 7 Eleven selepas beliau menutup kedai antara 1.00 hingga 6.00 pagi berikutan kematian isterinya yang membantu menjaga kedai.

Namun, menutup operasi 24 jam konbini bukanlah penyelesaian terbaik kepada konflik sebegini. Mahu tidak mahu, francais dan pemilik konbini francais perlu mencari jalan tengah bagi memuaskan hati semua pihak. Ini kerana pada waktu malam, masa inilah digunakan pekerja untuk membersihkan kedai dan pembekal mengisi bekalan pada rak-rak konbini.

Walaupun rakyat Jepun amat menyukai konbini tetapi mereka juga merasakan konbini perlu mengalami reformasi bagi membantunya terus kekal relevan dengan perubahan semasa. Kota Shibai, seorang perunding berusia 22 tahun merasakan waktu operasi 24 jam konbini sebagai tidak masuk akal lebih-lebih lagi jika sesetengah konbini mengalami masalah kekurangan pekerja. Yang pasti di sebalik semua ini, konbini yang sudah menjadi sebahagian daripada fabrik sosial Jepun tidak akan hilang dari pandangan buat masa ini.

RUJUKAN:

1. AFP. (2019). Convenient but controversial: Japan’s 24/7 shops under fire. New Straits Times. https://www.nst.com.my/world/2019/04/483068/convenient-controversial-japans-247-shops-under-fire

2. Lefebvre, Ben. (2016). Food, diapers, and free wifi: Japan relies on 7-11 to lead earthquake relief efforts. QZ.com. https://qz.com/667567/food-diapers-and-free-wi-fi-japan-relies-on-7-11-to-lead-earthquake-relief-efforts/

3. Demetriou, Danielle. (2011). Shops-on-wheels to launch across tsunami-hit Japan. The Telegraph. https://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/asia/japan/8756848/Shops-on-wheels-to-launch-across-tsunami-hit-Japan.html

4. It’sYourJapan.com. 10 Things You Didn’t Know You Could Buy/Do at a Japanese Konbini (infographic). https://itsyourjapan.com/japanese-konbini/

5. Keio University. (2012). Convenience Stores and the Japanese Community. http://www.flang.keio.ac.jp/webfile/AWC/AWC2012/2012HH-HY.pdf

6. Studarus, Laura. (2019). The unique culture of Japanese convenience store. BBC. http://www.bbc.com/travel/story/20190610-the-unique-culture-of-japanese-convenience-stores

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.